IMPAK PENGARAH GENERASI KE 5 KEPADA INDUSTRI FILEM CHINA.
Bermula dengan
filem The Yellow Earth arahan Chen Kaige
( 1984) diikuti filem Red Sorghum karya dan arahan Zhang Yimou pada
tahun 1987 pengarah China mula mempamerkan
pembaharuan, kesegaran, kedalaman intelektual dan emosi yang tidak boleh
dipertikaikan hasil karyawan Tanah Besar
China yang menamakan diri mereka
Pengarah Filem Generasi ke 5 atau The New Wave. Karya mereka tidak
langsung mengagungkan sosialisme dan propaganda komunis dan menjadi kejutan dan gegaran di dunia filem
antarabangsa terutama di Festival Filem Cannes, Berlin dan Venice yang
merupakan festival filem besar, berprestij dan cukup lama di dunia (hanya
Festival Berlin yang masih dikira baharu dalam usia sekitar 25 tahun) di luar
Hollywood.
Filem Farewell My
Concubine yang sering disebut sebagai karya bersama Zhang Yimou dan Chen Kaige
(Kaige sebagai pengarah dan Yimou
sebagai Pengarah Fotografi) sekali lagi
menggegar Cannes bila memenangi anugerah filem terbaik pada tahun 1993. Pada tahun yang sama filem arahan Zhang Yimou Raise The Red Lantern
menang di Berlin. Tahun demi tahun berikutnya adalah sejarah dunia perfileman
yang mula melihat peralihan dominasi filem-filem seni dari Barat ke Asia yang
banyak diwarnai oleh filem-filem dari China dan Iran. Hari ini, filem dari Iran
dan China bukan saja banyak mencapai kejayaan box office yang besar di seluruh
Asia tapi juga di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri.
Beberapa kali filem Zhang Yimou, Cheng Kaige dan Feng Xiao Gang
menjadi calon utama (sejak dari Raise
The Red Lantern 1993) filem Bahasa Asing
Terbaik di Anugerah Akademi Hollywood. Filem Flowers of War arahan Zhang Yimou
pada tahun 2011 hanya kalah kepada filem Iran The Separation arahan Asghar Farhadi. Bila ada lebih dari satu filem yang
di kira sebagai ‘mahakarya’ oleh pengkritik filem dari seluruh dunia , pasti
hanya satu yang terpilih dan Flowers of War terpaksa beralah kepada The
Separation bukan kerana filem Zhang
Yimou ini tidak cukup hebat.
Pengarah filem
Generasi ke 5 China merupakan karyawan yang lahir dari Akademi Filem Beijing
selepas tamatnya Revolusi Kebudayaan Mao Tze Tung yang dipelopori oleh
isterinya dan beberapa tokoh politburo Parti Komunis China yang di
gelar The Gang of Four. Dan dalam
banyak karya mereka, impak dan kesan
Revolusi Kebudayaan yang meninggalkan parut yang dalam dipamerkan secara terang
oleh karyawan filem Generasi Ke 5. Chen Kaige adalah di antara mereka yang
cukup terkesan dan menyesal kerana telah menghina serta mengaibkan bapanya
sendiri Chen Huaiai seorang pengarah filem terkenal secara terbuka ketika
berumur 16 tahun kerana dituduh menjadi penentang revolusi. Dan insiden ini terlihat dalam satu babak filem Farewell
My Concubine yang cukup mengesankan dan menyatakan segala-galanya.
Zhang Yimou yang
menghasilkan trilogi Red Sorghum, Ju Dou
dan Raise The Red Lantern menggunakan alegori dalam filem-filemnya mengkritik
tekanan politik dan sosial negaranya. Zhang banyak mempamerkan watak wanita
yang kuat dan melalui berbagai perkara yang menekan mereka oleh watak lelaki
yang dominan, jahat, kasar dan tidak berperi-kemanusiaan dan ramai penganalisis
melihat ini sebagai suatu perlambangan kepada situasi politik-sosial China yang sangat menekan. Dalam dekad pertama
proses beliau berkarya , Zhang
seolah-olah melakukan ‘purging of the pain’ yang membawakan katarsis, kelegaan dan kepuasan memperkatakan segala yang telah dilalui rakyat China dari Revolusi
Kebudayaan Mao.
Hingga ke hari ini,
Zhang tidak pernah mahu menjawap atau mengiyakan soalan yang diajukan kepadanya
tentang perkara ini. Sebagai seorang
remaja berumur 17 tahun ketika itu dan terpaksa menjual darahnya untuk membeli
kamera, tentu banyak yang mahu diperkatakan oleh Zhang dengan seringkali
mempamer watak wanita yang ditekan dan dimangsai oleh order lama. Watak wanita
yang mempunyai perwatakan kuat dengan psikologi karekter yang kompleks dalam
filem-filem Zhang mungkin merupakan perlambangan kepada ibunda dan negara yang
menjadi mangsa kepada pergolakan sejarah, sosial dan politik China yang cukup
bergelora sejak dari dahulu hingga ke zaman moden setelah komunis menguasainya.
Zhang Yimou dan Chen
Kaige adalah dua nama besar yang cukup gah
dari Pengarah Generasi ke 5 selain daripada Tiang Zhuang Zhuang yang
menghasilkan filem Blue Kite dan Zhang Junzhao (1983) yang mengarahkan
filem One and Eight dan lain-lain. Blue Kite dengan kritikan yang cukup keras
terhadap Revolusi Kebudayaan menyebabkan filem ini tidak dibenarkan tayangannya
di China. Bukan itu saja, Zhuang Zhuang juga tidak dibenarkan membuat filem
lagi sehingga beberapa tahun yang lalu atas arahan mendiang Deng Xiao Peng.
Secara formal, gelombang
filem Generasi ke 5 tamat pada tahun
1989-1990 dan ramai di antaranya selepas itu menumpukan karier mereka dalam
televisyen, dvd dan lain-lain. Pun begitu, Chen Kaige dan lebih prolifik lagi
Zhang Yimou menghasilkan filem-filem seni bermutu dan menang di banyak festival
di seluruh dunia. Filem-filem Zhang menang
anugerah Los Angeles Film Critics, Anugerah Silver Bear Berlin,
Sundance, Venice dan lain-lain. Bukan saja mendominasi filem seni melalui Hero, House of Flying Dagger, Story of Quiju,
The Road Home, Not One Less, To Live, Curse of Golden Flowers, Flowers of War
dan lain-lain, filem-filem Zhang turut membuat kutipan box office yang baik di
dalam dan di luar China.
Feng Xiao Gang walau
pun bukan dari kumpulan Generasi ke 5 adalah nama besar lain yang cukup berjaya dengan filem-filemnya seperti
The Banquet dan Aftershock. Seperti
Yimou, Feng mengeksploitasi kekuatan visual dalam filemnya. The Banquet filem period yang merupakan adaptasi longgar
Hamlet karya Shakespeare cukup hebat dengan visual dan sinematografi yang sukar dilupakan dan ternyata karya beliau
mempamer pengaruh Generasi ke 5 yang kuat.
(Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian 22 Disember 2013 yang lalu. Di atas adalah versi asal yang tidak diedit).