Wednesday, December 25, 2013

IMPAK PENGARAH GENERASI KE LIMA


IMPAK  PENGARAH GENERASI KE 5  KEPADA INDUSTRI FILEM CHINA.

Bermula dengan filem  The Yellow Earth arahan Chen Kaige ( 1984) diikuti  filem  Red Sorghum karya dan arahan Zhang Yimou pada tahun 1987 pengarah  China mula mempamerkan pembaharuan, kesegaran, kedalaman intelektual dan emosi yang tidak boleh dipertikaikan hasil  karyawan Tanah Besar China yang menamakan diri mereka  Pengarah Filem Generasi ke 5 atau The New Wave. Karya mereka tidak langsung mengagungkan sosialisme dan propaganda komunis dan menjadi  kejutan dan gegaran di dunia filem antarabangsa terutama di Festival Filem Cannes, Berlin dan Venice yang merupakan festival filem besar, berprestij dan cukup lama di dunia (hanya Festival Berlin yang masih dikira baharu dalam usia sekitar 25 tahun) di luar Hollywood.  

 Filem Farewell My Concubine yang sering disebut sebagai karya bersama Zhang Yimou dan Chen Kaige (Kaige sebagai  pengarah dan Yimou sebagai Pengarah Fotografi)  sekali lagi menggegar Cannes bila memenangi anugerah filem terbaik pada tahun 1993.  Pada tahun yang sama filem  arahan Zhang Yimou Raise The Red Lantern menang di Berlin. Tahun demi tahun berikutnya adalah sejarah dunia perfileman yang mula melihat peralihan dominasi filem-filem seni dari Barat ke Asia yang banyak diwarnai oleh filem-filem dari China dan Iran. Hari ini, filem dari Iran dan China bukan saja banyak mencapai kejayaan box office yang besar di seluruh Asia tapi juga di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri.

Beberapa kali filem  Zhang Yimou, Cheng Kaige dan Feng Xiao Gang menjadi calon utama (sejak dari  Raise The Red Lantern 1993)  filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi Hollywood. Filem Flowers of War arahan Zhang Yimou pada tahun 2011 hanya kalah kepada filem Iran The Separation arahan Asghar  Farhadi. Bila ada lebih dari satu filem yang di kira sebagai ‘mahakarya’ oleh pengkritik filem dari seluruh dunia , pasti hanya satu yang terpilih dan Flowers of War terpaksa beralah kepada The Separation bukan kerana filem  Zhang Yimou ini tidak cukup hebat.

 Pengarah filem Generasi ke 5 China merupakan karyawan yang lahir dari Akademi Filem Beijing selepas tamatnya Revolusi Kebudayaan Mao Tze Tung yang dipelopori oleh isterinya dan  beberapa  tokoh politburo Parti Komunis China yang di gelar The Gang of Four.  Dan dalam banyak  karya mereka, impak dan kesan Revolusi Kebudayaan yang meninggalkan parut yang dalam dipamerkan secara terang oleh karyawan filem Generasi Ke 5. Chen Kaige adalah di antara mereka yang cukup terkesan dan menyesal kerana telah menghina serta mengaibkan bapanya sendiri Chen Huaiai seorang pengarah filem terkenal secara terbuka ketika berumur 16 tahun kerana dituduh menjadi penentang revolusi. Dan insiden  ini terlihat dalam satu babak filem Farewell My Concubine yang cukup mengesankan dan menyatakan segala-galanya. 

 Zhang Yimou yang menghasilkan trilogi  Red Sorghum, Ju Dou dan Raise The Red Lantern menggunakan alegori dalam filem-filemnya mengkritik tekanan politik dan sosial negaranya. Zhang banyak mempamerkan watak wanita yang kuat dan melalui berbagai perkara yang menekan mereka oleh watak lelaki yang dominan, jahat, kasar dan tidak berperi-kemanusiaan dan ramai penganalisis melihat ini sebagai suatu perlambangan kepada situasi politik-sosial China  yang sangat menekan. Dalam dekad pertama proses beliau  berkarya , Zhang seolah-olah melakukan ‘purging of the pain’ yang membawakan  katarsis,  kelegaan dan kepuasan memperkatakan   segala  yang telah dilalui rakyat China dari Revolusi Kebudayaan Mao.

Hingga ke hari ini, Zhang tidak pernah mahu menjawap atau mengiyakan soalan yang diajukan kepadanya tentang  perkara ini. Sebagai seorang remaja berumur 17 tahun ketika itu dan terpaksa menjual darahnya untuk membeli kamera, tentu banyak yang mahu diperkatakan oleh Zhang dengan seringkali mempamer watak wanita yang ditekan dan dimangsai oleh order lama. Watak wanita yang mempunyai perwatakan kuat dengan psikologi karekter yang kompleks dalam filem-filem Zhang mungkin merupakan perlambangan kepada ibunda dan negara yang menjadi mangsa kepada pergolakan sejarah, sosial dan politik China yang cukup bergelora sejak dari dahulu hingga ke zaman moden setelah komunis menguasainya.

Zhang Yimou dan Chen Kaige adalah dua nama besar yang cukup gah  dari Pengarah Generasi ke 5 selain daripada Tiang Zhuang Zhuang yang menghasilkan filem Blue Kite   dan Zhang Junzhao (1983) yang mengarahkan filem One and Eight dan lain-lain. Blue Kite dengan kritikan yang cukup keras terhadap Revolusi Kebudayaan menyebabkan filem ini tidak dibenarkan tayangannya di China. Bukan itu saja, Zhuang Zhuang juga tidak dibenarkan membuat filem lagi sehingga beberapa tahun yang lalu atas arahan mendiang Deng Xiao Peng.

Secara formal, gelombang  filem Generasi ke 5 tamat pada tahun 1989-1990 dan ramai di antaranya selepas itu menumpukan karier mereka dalam televisyen, dvd dan lain-lain. Pun begitu, Chen Kaige dan lebih prolifik lagi Zhang Yimou menghasilkan filem-filem seni bermutu dan menang di banyak festival di seluruh dunia. Filem-filem Zhang menang  anugerah Los Angeles Film Critics, Anugerah Silver Bear Berlin, Sundance, Venice dan lain-lain. Bukan saja mendominasi filem seni melalui  Hero, House of Flying Dagger, Story of Quiju, The Road Home, Not One Less, To Live, Curse of Golden Flowers, Flowers of War dan lain-lain, filem-filem Zhang turut membuat kutipan box office yang baik di dalam dan di luar China.      

Feng Xiao Gang walau pun bukan dari kumpulan Generasi ke 5 adalah nama besar lain yang  cukup berjaya dengan filem-filemnya seperti The Banquet dan Aftershock.  Seperti Yimou, Feng mengeksploitasi kekuatan visual dalam filemnya. The Banquet  filem period yang merupakan adaptasi longgar Hamlet karya Shakespeare cukup hebat dengan visual dan sinematografi  yang sukar dilupakan dan ternyata karya beliau mempamer pengaruh Generasi ke 5 yang kuat.      

(Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian 22 Disember 2013 yang lalu. Di atas adalah versi asal yang tidak diedit).

0 comments: