GALERI SULTAN AZLAN
SHAH YANG MENAKJUBKAN.
Kalau mahu mengamati
dan meneliti setiap satu artifak yang dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan Kuala Kangsar, seseorang mungkin memerlukan
sehari suntuk untuk melakukannya. Sudah
hampir 10 tahun Galeri ini dibuka dan
ramai tetamu dan pelawat dari dalam dan luar negeri yang telah melawatinya, tetapi tidak banyak pablisiti yang telah dilakukan
untuk galeri ini. Sayang, kerana kerana galeri ini mempamer koleksi cenderamata
dan sebahagian besarnya merupakan koleksi
dan mengenai DYMM Sultan Azlan Shah sendiri yang sangat mengkagumkan sukar di lihat di banyak muzium di negara ini mau pun jika dibandingkan
dengan di luar negeri.
“ Tuanku memberi segala
bahan dalam koleksi baginda untuk
dipamer . Staf muzium
memilih dan membuat penyelidikan
dan hasil cetusan idea dan perkenan baginda adalah apa yang
dipamer di galeri ini.
Tujuannya kerana baginda mahu
menanam kesedaran kepada golongan
muda tentang pentingnya pendidikan” Demikian kata-kata awal pembuka cerita yang
disampaikan
kepada penulis serta jurugambar Farhan Najib dari Ipoh. Mungkin
sentuhan profesyenal pegawai
arkib seperti Puan Nor
Jannati Ibrahim yang menjadikan pemameran artifak di galeri ini begitu
rupa jadinya dan terasa ‘hidup’ punya ‘jiwa’ dan ‘bercakap’ kepada mereka yang
melawatnya,
demikian bisik hati penulis.
Puan Nor Janati seorang pegawai Arkib Negara semenjak tahun
1985 dan cukup berpengalaman pernah terlibat dengan penubuhan beberapa galeri dan muzium
di Malaysia. Malah selama 6 bulan beliau pernah di
hantar ke Timor Leste dan bekerja keras menyelaman rekod serta dokumen bersejarah negara
muda yang baru saja mencapai kemerdekaan setelmelalui peperangan
dan masalah kekacauan politik dan etnik yang serius.
Berkhidmat dibawah panji-panji Bangsa-Bangsa Bersatu, beliau dengan beberapa orang petugas dari Malaysia berjaya menubuhkan
Arkib Timor Leste dengan kecekalan yang tidak sedikit dalam suasana
negara itu masih belum cukup pulih daripada kekacauan. Sekembalinya dari Timor Leste, beliau bertugas sebagai Pengarah Arkib Cawangan Perak yang
sedang memulakan tugas membuat pengisian
untuk pameran di Galeri Sultan Azlan Shah ketika itu.
Penulis memang suka ke muzium sejak dari dulu samada di dalam atau di
luar negeri tetapi bagi saya Galeri Sultan
Azlan Shah punya kelas dan keistimewaan yang tersendiri dan mengungkap banyak ‘sejarah dalam sejarah’ seorang Sultan, Negeri Perak dan sebahagian
penting sejarah negara ini. Masakan tidak, dari artifak seperti kad
pengenalan lama, passport antarabangsa dan salinan surat beranak yang cukup peribadi sifatnya membawa
kepada persembahan hadiah berharga dari seorang raja yang di reka indah dari emas.
Integriti DYMM Sultan Azlan Shah yang terdidik dalam bidang
Undang-Undang dan begitu sinonim dengan perundangan negara untuk suatu masa yang lama dan pernah dilantik ke jawatan Ketua Hakim Negara termuda ketika berusia 37 tahun terpahat kuat dalam jiwa baginda dan mungkin ini sebabnya sepasang gelang kaki emas hadiah dari Sultan Qaboos dan rantai leher dari Amir Kuwait dipamerkan di galeri ini. Bagi orang
lain artifak sebegini mungkin tidak akan dipamerkan untuk tontonan ramai tetapi tidak di Galeri Sultan Azlan Shah (SAS).
Lama dulu, sewaktu melawat The Hermitage di St.Petersburg
yang merupakan istana musim sejuk Tzar Nicholas 11 raja terakhir Russia,penulis menyaksikan artifak
tinggalan keluarga ini dan kagum dengan ‘kemewahan’ artifak yang dipamerkan. Dari hiasan
telur Easter yang bertatahkan berlian dan batu permata berharga
hinggalah jam mangkuk biasa warna putih
dengan waktu menunjukkan pukul dua yang menandakan waktu istana itu diserang oleh
tentera Lenin dan Tzar Nicholas serta keluarganya ditawan.
Begitulah perasaan penulis ketika melawat Galeri SAS baru-baru ini.
Artifak yang dipamer punya elemen cukup manusia dan cukup ‘raja’ pada masa yang sama. Lawatilah galeri ini dan anda akan faham apa yang penulis maksudkan.
Bangunan asal galeri ini juga cukup menarik, bersejarah dan merupakan istana lama yang pernah di
semayami oleh DYMM Sultan Perak ke 28 iaitu Sultan Idris
Mursyidul Adzam Shah yang merupakan
ayahanda kepada nenda DYMM Sultan Azlan Shah sendiri.
Dikenali dengan nama Istana Ulu dan di
bina dalam tahun 1898, arkiteknya adalah Kapten Maurice
Alexander Cameron yang merupakan
Timbalan Jurutera Kolonial
dan Ketua Juruukir Negeri-Negeri Selat ketika itu. Banyak persamaan
dalam rekabentuk Istana Ulu ini yang terlihat pada bangunan
seperti Dewan Bandaraya, Mahkamah
Tinggi dan Stesen
Keretapi di Ipoh serta Istana Negara
yang terbina dalam era yang sama.
Almarhum Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah mementingkan
warisan ukiran Melayu dikekalkan di Istana Ulu yang dapat
dilihat hingga ke hari ini. Diperbuat daripada kayu cengal yang sangat kuat dan tahan, Seorang juruukir terkenal ketika itu iaitu Raja
Harun Al-Rashid telah ditugaskan membuatnya. Baginda memastikan ukiran yang menghiasi istana ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Ukiran yang ada di ruang-ruang dalam istana ini merupakan yang asal dan bukannya dibuat semula. Lebih seratus tahun ukiran-ukiran ini
menghiasi Istana Ulu, dan ia masih boleh dilihat hingga sekarang.
Di antara artifak
menarik zaman pemerintahan baginda
yang masih dapat dilihat di
galeri ini ialah
set pinggan mangkuk yang masih sempurna dan digunakan
di istana ini pada tahun 1902. Pada
setiap artifak ini
tertulis nama baginda dalam tulisan jawi. Tidak kurang pentingnya ialah gambar
baginda yang diambil ketika menghadiri majlis
Pertabalan King George ke 5 di England
dalam
busana di raja yang direka khas untuk majlis ini. Busana ini
hampir menyerupai sut kolar Nehru yang
banyak dipakai ketika ini kerana baginda tidak dibenarkan memakai sut barat
seperti yang dipakai oleh orang barat. Ini bertujuan untuk membezakan baginda seorang raja dari
koloni Britain
dari orang barat lain. Fakta sensitif sebegini mungkin tidak
dapat dibaca dalam buku sejarah mana
pun, tetapi gambar Alrmarhum Sultan Idris Mursyidul Adzam
Shah di Galeri SAS ini menceritakan
segala-galanya,
Bahan-bahan yang dipamerkan di Galeri ini dibahagikan
mengikut 13 kategori pengkelasan yangberbeza dan menarik. Di bahagian DYMM Sultan Azlan Shah
sebagai tokoh perundangan, turut dipamerkan kertas-kertas penghakiman dengan tulisan tangan
baginda yang bersih, halus dan cantik kemas tersusun dalam fail ‘crcodile’ yang digunakan ketika
itu. Sebahag besar dokumen ini telah dibukukan dan masih digunakan di mahkamah dan sekolah
perundangan di IPT kita.
Baginda telah mengendalikan lebih 1000 kes dan amat terkenal
sebagai seorang hakim yang adil,
jujur, tegas dan berani demi menegakkan kesaksamaan,
keadilan dan kebenaran. Banyak anugerah perundangan daripada universiti luar negeri yang diterima
oleh baginda dipamerkan di galeri ini yang menjadi testimoni kepada kejayaan membina imej perkhidmatan kehakiman yang
dihormati dan baik dengan baginda sebaga salah seorang ‘pemain’
utamanya yang mencorakkan sistem perundangan kita untuk
suatu waktu yang lama.
Sukan Hoki negara ini juga sinonim dengan DYMM Sultan Perak.
Malah sesiapa yang mahu membuat penyelidikan dan bercakap tentang sukan ini di Malaysia
tidak lengkap sekiranya tidak merujuk kepada baginda. Banyak bahan yang ada kaitan dengan sukan
hoki Malaysia dan juga diperingkat antarabangsa terpamer di galeri ini. Kedudukan baginda
sebagai Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa dan Presiden Persekutuan Hoki Asia hanyalah sebahagian kecil daripada
begitu banyak pencapaian dalam bidang ini yang bermula semenjak
baginda di bangku sekolah lama dulu.
Sememangnya suatu pengalaman yang menarik, informatif dan
akan diingati oleh sesiapa juga yang
melawati Galeri SAS ini. Mungkin pihak pengurusan Galeri
perlu mengadakan banyak kerjasama
dengan IPT tempatan dan badan bukan kerajaan yang ada kaitan
dengan pemuliharaan warisan dan
sejarah untuk menganjurkan seminar dan berbagai majlis ilmu
yang akan mendedahkan
kecermerlangan galeri ini dengan artifak yang dipamerkannya
kepada ramai orang. Ramai murid
sekolah, penuntut IPT,
penyelidik serta pelawat yang
telah mendapat manfaat ilmu dari Galeri SAS,
tetapi masih ramai Khalayak yang tidak mengetahui tentangnya
dan sesuatu perlu dilakukan tentang perkara ini. Paling penting, galeri dengan pemameran koleksi
yang baik dengan sentuhan
peribadi DYMM Sultan
Perak ini adalah suatu aset Negeri Perak dan Malaysia yang penting dan
setaraf dengan beberapa galeri termashyur di seluruh dunia.
Banyak yang boleh dipelajari secara
santai dengan melawat galeri seperti ini.
(Artikel ini telah diedit dan disiarkan dalam akhbar Berita Harian semalam Ahad 12 Mei 2013. Artikel di atas adalah versi asal ketika dihantar kepada Berita Harian).