TANDA PUTERA: TANDA
KEMUFLISAN PATRIOTISME KITA?
Bagi semua yang telah menonton filem cantik Tanda Putera arahan Datuk Paduka
Shuhaimi Baba
yang masih entah bila
akan ditayangkan, pasti akan mengatakan tidak ada detik yang lebih baik
untuk menayangkannya selain daripada sekarang. Senario
politik kebelakangan yang amat mencabar di Sabah hanyalah suatu pengesahan bahawa filem kenegaraan
seperti Tanda Putera amat diperlukan dari semasa ke semasa untuk memastikan generasi muda
sekarang tidak muflis
patriotisme mereka
kerana kesilapan kita meminggirkan pelajaran sejarah suatu ketika
dulu.
Patriotisme bukan boleh dipupuk dengan kempen pengibaran
Jalur Gemilang setahun sekali pada musim menyambut kemerdekaan sahaja, tetapi banyak cara lain
yang lebih halus seperti melalui filem dan genre kesenian
lain untuk menyerapi jiwa dan
hati nurani rakyat Malaysia.
Berbagai alasan diutarakan supaya filem ini tidak
ditayangkan hingga sekarang. Antaranya kerana ada adegan kepala peserta FELDA dipenggal komunis tergolek
di atas tanah. Tapi tontonlah filem Django Unchained yang sedang ditayangkan sekarang, pasti
ramai yang akan berkata babak kekejaman dalam Tanda Putera itu tidak ada apa-apa
sebenarnya. Dalam Django Unchained babak kekejaman apa yang dilakukan oleh orang kulit putih terhadap
hamba abdi dari Afrika di ladang kapas yang tidak ada? Tapi tiada pula yang mempertikaikan tayangan filem ini di
negara ini? Kedua filem ini Tanda Putera dan Django Unchained adalah filem-filem
sejarah yang dipadankan dengan insiden yang benar-benar terjadi. Tapi mengapa harus ada
dwi-standard dalam soal ini? Puak humanis mana yang punya justifikasi begini agaknya?
Semoga keakuran pihak berwajib mengikut rentak mereka tidak akan dilihat sebagai kelemahan dan
kemuflisan patriotisme di negara ini.
Tanyalah mereka yang
telah menonton filem Tanda Putera, pasti ramai yang mengatakan ini adalah sebuah filem indah
‘festival material’ yang perlu dipertontonkan kepada khalayak. Suatu kerugian besar filem cantik seperti ini tidak ditayangkan di pawagam kita kerana hingga kini hanya ada beberapa buah filem kenegaraan yang indah begini. Lainlah kalau filem Tanda Putera
ini setahap filem Lelaki Komunis
Terakhir yang sedikt pun tidak punya nilai aestetik dan artistik yang boleh dibanggakan. Tanda Putera
bukan dalam liga filem Lelaki Komunis Terakhir yang dibuat sebagai agenda politik simpatisan kepada Chin Peng yang telah tua
dan mahu kembali ke negara yang pernah diderhakainya! Tanda Putera mempamer kekuatan dan kemantapan skrip yang bukan calang-calang bikinannya. Hanya beberapa buah filem
kenegaraan (dan bukan kenegaraan juga) kita yang sebaris kedudukannya seperti Tanda Putera.
Malah jika mahu bercakap tentang filem kita sejak dari
dahulu, Tanda Putera adalah di antara beberapa buah filem tempatan yang mengangkat perspektif lain
daripada perkara biasa dalam kehidupan , tak usah bercakap tentang filem yang berasaskan
sejarah yang benar-benar terjadi. Tanda Putera mengangkat perspektif persahabatan dan
keakraban di antara dua orang pemimpin ulung negara ini yang benar-benar terjadi dan bukannya
fiksyen yang ditokok tambah untuk menyedapkan cerita. Ianya mengenai kekuatan dan kewibawaan
peribadi Perdana Menteri Kedua Malaysia Tun Abdul Razak dan Timbalannya iaitu Tun Dr
Ismail. Garapannya begitu artistik sekali dengan mempamer aspek
kehidupan mereka yang cukup tragik dan menyedihkan.
Aspek penyelidikan dan ketelitian pembinaan skripnya sahaja sudah kup baik dan membanggakan. Tak usah bercakap tentang penataan artistik,
lakonan dan sinematografi serta runut bunyi yang memang dalam kelasnya yang tersendiri.
Penulis tidak ada sedikit pun rungutan tentang filem ini melainkan bila dan bila ia akan
ditayangkan kepada umum? Dan perlu diulang sekali lagi,suatu kesilapan besar kepada industri filem dan rakyat negara ini jika filem ini
tidak ditayangkan. Atas sebab filem ini belum ditayangkan untuk
umum, adalah tidak beretika jika penulis membuat reviu Tanda Putera. Tetapi rasanya tidak adil juga
jika tidak menulis tentang beberapa aspek yang tidak diketahui tentang kehebatan buah tangan
Shuhaimi Baba yang terakhir ini.
Ada portal berita media alternatif parti
pembangkang yang menuduh filem ini
sebagai rasis. Penulis kurang pasti apakah kewajaran mengatakan filem ini sebagai rasis? Malah ada tokoh yang
lantang memperjuangkan liberalisme dan hak asasi manusia yang
terkemuka belum pun menonton filem ini turut menuduhnya sebagai rasis! Apakah kerana adegan gerakan
hartal orang Cina di Pulau Pinang dan pergaduhan kaum Peristiwa 13 Mei 1969 dipaparkan sebagai
latar masa dan peristiwa filem Tanda Putera maka ia secara otomatik menjadi sebuah filem
yang rasis? Dalam filem ini juga
dipaparkan persahabatan dan keakraban beberapa orang
mahasiswa Universiti Malaya berlainan
kaum dengan seorang pensyarah mereka dari keturunan Serani. Apakah seorang yang
rasis
pemikirannya akan
memaparkan adegan sebegini jika ia sememangnya rasis?
Sewaktu kontroversi filem Lelaki Komunis Terakhir rancak
diperkatakan sedikit waktu yang lalu, penulis pernah disergah dengan biadap sekali oleh seorang
wartawan BBC di perkarangan kompleks FINAS. Wartawan tersebut bertanya kenapa orang Melayu negara
ini begitu takut untuk membiarkan filem ini ditayangkan kepada khalayak sedangkan
ia adalah berasaskan kebenaran dan bukan tentera Melayu sahaja yang terkorban semasa darurat? Penulis
tergamam seketika bukan kerana soalan tersebut tetapi kerana cara wartawan berkulit
putih itu bertanya. Lalu penulis ceritakan kepadanya bahawa bapa saya berkhidmat dalam
angkatan bersenjata dan pernah bertugas di kawasan hitam di Kroh semasa darurat dan masih
mengingati cerita beliau tentang kekejaman komunis dan trauma yang dilaluinya semasa pertempuran di
dalam hutan. Wartawan tersebut terdiam mendengar jawapan saya dan tidak menjawap bila
ditanya apakah bapanya pernah bertempur menentang komunis dalam hutan di Tanah Melayu
semasa darurat juga?
Atas dasar kebenaran dan fakta sejarah juga, penulis ingin
bertanya pihak yang melobi supaya Tanda Putera tidak ditayangkan, apa yang nak ditakutkan kerana
filem ini bercakap tentang kebenaran dan sejarah yang betul-betul terjadi? Mereka yang terkorban
dalam Peristiwa 13 Mei terdiri daripada orang Melayu dan juga Cina jadi apa yang difobiakan bila
kita bercakap tentang secebis sejarah negara ini?