(Mengikut pelakon utama wanita filem The King’s Speech Helena Bonham Carter yang di wawancara oleh Bloomberg TV menjelang Majlis Anugerah Akademi baru-baru ini, filem mengenai King George ke VI (Bapa Ratu Elizabeth 2 Raja United Kingdom sekarang) telah lama mahu dibuat. Tetapi demi menghormati permintaan Ratu Elizabeth 1 (dikenali sebagai Queen Mum isteri King George ke V1) yang amat disayangi rakyat Britain filem ini tidak diterbitkan sehinggalah baginda mangkat beberapa tahun lalu.
Ada kritik mengatakan filem ini amat simpati kepada Bertie (panggilan manja keluarga kepada King George VI) dalam pemamerannya. Soalnya kenapa tidak? Bertie bukan sahaja disayangi, dihormati dan dikasihani oleh keluarganya tetapi ramai rakyat termasuk Perdana Menteri dan pentadbir Britain semasa beliau menaiki takhta kerajaan. Ancaman peperangan Dunia ke 2 kerana agresifnya Hitler dengan idea Bangsa Aryan sebagai ‘ The Master Race’ dunia menjadikan rakyat Britain dan Institusi Di Raja nya bersatu dalam hubungan yang cukup kohesif dan memerlukan satu sama lain.
Saat-saat menjelang pengistiharan peperangan antara Britain dengan Jerman oleh Bertie mungkin merupakan salah satu puncak tertinggi pertautan emosi rakyat Britain dengan Raja mereka dalam sejarah moden negara ini. Menonton filem ini dengan apresiasi yang cukup adil memerlukan kefahaman tinggi tentang pengetahuan sejarah Eropah (dan juga dunia) pasca Perang Dunia 1 (1914-1918) sehingga ke tahun 1950han.
Abang Bertie Albert yang turun takhta sebagai raja kerana cintanya kepada Wallis Simpson serta memilih untuk ‘buang emak buang saudara’ untuk mengahwini rakyat Amerika yang telah pernah dua kali berkahwin cukup menjejaskan imej Institusi Di Raja Britain. Jadi tidak hairanlah seluruh kepercayaan, harapan dan jangkaan tinggi terpikul di bahu Bertie di saat-saat Hitler mengancam seluruh Eropah dan Dunia dengan sekutunya Jepun di Asia. Simpati yang cukup tinggi tertumpah kepada Bertie daripada semua orang di sekelilingnya dan garapan pengarah filem ini Tom Hooper mengungkap sentimen serta hubungan emosi yang cukup kuat tentang perkara ini dalam The King’s Speech.
Antara dialog yang cukup halus dan penuh dengan subteks antara Albert dengan Bertie ialah dalam adegan di tempat menyimpan champagne (cellar). Bertie bertanya kepada Albert yang sedang mabuk cinta dan sanggup melakukan apa saja mengikut telunjuk Wallis Simpson sehingga mengabaikan tugasnya sebagai Raja “ Apa jadi kepada Tzar Rusia (sepupu Ratu Victoria nenek mereka yang digulingkan oleh Revolusi Bolshevik 1917) and sepupu kita William( Raja Jerman yang diturunkan takhta selepas Jerman kalah Perang Dunia 1 )?”
Bertie bukan sahaja risau tentang Albert yang begitu mengikut kata hatinya, tetapi mengingatkan abangnya tentang nasib yang menimpa kaum-kerabat mereka di seluruh Eropah yang semakin dibenci dan ditolak kerana begitu terpisah daripada rakyat. Pepatah Inggeris mengatakan ‘Kepala yang memakai mahkota itu cukup berat tanggung-jawabnya’. Kata Kung Fu Tze pula ‘Seorang Raja perlu berkelakuan dan menjalankan tanggung-jawabnya sebagai Raja’ dan mengenepikan kepentingan peribadi untuk mengujudkan pentadbiran yang membawa kepada orde sosial yang cukup mantap dan mengwujudkan kedamaian dalam negaranya
Seorang Raja tidak boleh mengutamakan apa yang disukainya sahaja tetapi perlu memikirkan kesan jangka panjang segala perbuatan dan tindak tanduk baginda. Tetapi Albert terperangkap oleh cintanya kepada Wallis Simpson yang juga mempunyai hubungan sulit dengan Duta Jerman ke Britain. Suatu situasi yang cukup sulit, penuh intrig dan tidak mustahil iannya juga suatu konspirasi untuk meletakkan Britain dalam suatu situasi sukar dari segi diplomatik dan politik dengan Jerman. Cinta dan konspirasi diplomatik-politik dari dahulu hingga sekarang tetap berlaku dengan implikasi yang cukup serius serta tsunami politik yang cukup menggegar kadang-kadang. Begitulah!
Filem The King’s Speech yang merangkul empat hadiah utama Anugerah Akademi beberapa hari yang lalu memang patut menang kerana pemameran cemerlang kisah benar seorang Raja yang gagap oleh beban dan trauma psikologi yang dilaluinya sejak berumur empat tahun yang merupakan tahun-tahun penting pembentukan konsep kendiri seorang kanak-kanak yang membawa kesan besar dalam kehidupannya lama selepas itu.
Collin Firth sebagai Bertie berjaya membawakan wataknya dan amat meyakinkan dengan dilemma cukup serius dalam hidupnya. Baginda tidak mahu merebut takhta kerana perbuatan Albert yang amat tidak disenangi tetapi keterpaksaan yang cukup tidak menyenangkannya meletakkan baginda sebagai Raja sebuah kerajaan yang sedang berdepan dengan peperangan.
Filem ini menang bukan sahaja kerana UK Film Council (berfungsi seperti FINAS kita) telah menggabungkan beberapa penerbit filem terbaik Britain untuk bekerjasama menerbitkan filem yang cukup cemerlang ini tetapi kerana ianya mempamerkan sisi lain seorang Raja yang cukup manusia. Raja yang meruntuhkan tembok disekelilingnya dengan persahabatan rapat dengan seorang aktor yang lebih berjaya sebagai seorang terapis pertuturan manusia-manusia yang bermasalah kerana beban dan trauma psikologi yang mereka bawa bersama dalam hidup mereka.
((
(ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR BERITA MINGGU PADA 6HB MAC YANG LALU. iNI ADALAH VERSINYA YANG ORIGINAL).
Monday, March 7, 2011
THE KING'S SPEECH: TRAUMA SEORANG RAJA.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:13 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment