MERONG MAHA WANGSA: KESERIUSAN YANG MEMBANGGAKAN
OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.
Bila Magika diumumkan menangi banyak anugerah besar di Festival Filem Malaysia yang lalu, ramai yang terkejut mendengarnya. Filem ini banyak miripnya dengan cerita Willy Wonka dalam Charlie and The Chocolate Factory lakonan Johhny Depp. Sambil merungut kecil kepada beberapa rakan terdekat, saya melihatnya sebagai faktor yang akan terus mencetus inspirasi dan menggalakkan KRU Studio terus berkarya mencari kekuatan dan jatidiri dalam karya-karya berikutnya.
Filem Cicak Man filem pertama Yusry dikritik hebat kerana terlalu sedikit identiti Melayu nya, tetapi begitulah proses berkarya yang perlu dilalui oleh seseorang. Kritikan harus diterima dengan dada yang terbuka dan hanya dengan itu seseorang menjadi lebih dewasa. Mereka yang tidak dapat menerima kritikan yang berasas dan membina akan selamanya tinggal dalam kepompong sendiri dan tidak akan berkembang kreativitinya. Yusry seorang artis yang cukup serius dalam semua genre yang diceburinya. Jadi tidak hairan bila beliau bereksperimen dari semasa ke semasa mencari arah dalam karya kreatifnya dan akhirnya melahirkan sesuatu yang boleh dibanggakan. Hikayat Merong Maha Wangsa mengungkap pencarian dan penemuan ini saya kira.
Filem Hikayat Merong MahaWangsa (HMMW) yang diterbitkan oleh Kru Studio diangkat daripada epik lama sebuah kerajaan Melayu terawal yang bernama Langkasuka di utara Semenanjung Malaysia. Wujud lebih kurang di abad ke 2 dan bertempat di Kedah dan berkemungkinan besar berasal daripada Kerajaan Melayu Hindu-Buddha-Islam tamaddun dan petempatan awal di Lembah Bujang dan Kota Kuala Muda. Dari Tapak arkeologi di Merbok, kawasan sekitarnya dan makam Sultan Mudzaffar Shah yang berada di kawasan ini, dipercayai disinilah letaknya Kerajaan Langkasuka.
Hikayat Merong MahaWangsa yang asalnya tidaklah sama seperti apa yang dipaparkan dalam filem Yusry. Pun begitu, ramai yang berpendapat kejutan kreatif yang dilakukan oleh pengarah dan penulis skripnya adalah sesuatu yang mempamerkan kreativiti dan bakat beliau yang cukup tinggi dan amat perlu digilap dan mampu melahirkan karya-karya yang cukup baik dan boleh diperkatakan. Walau pun penulis banyak melihat imej-imej “Pirates of The Carribean” dan karya-karya John Woo dll dalam HMMW tetapi ia semakin menjadi sebahagian daripada pengaruh inter-tekstual karya lain sahaja. Ini sesuatu yang normal dalam proses kreatif semua pengkarya. Pembikin filem tersohor Jepun Akira Kurosawa pun memperlihatkan pengaruh inter-tekstual dalam karya-karya beliau dan imej-imej filem Sergei Eisenstein seperti Battleship Potemkin terdapat di dalamnya.
Hikayat Merong MahaWangsa yang asal bermula dengan pelayaran anak Raja Rom untuk mengahwini Puteri Raja China dan angkatan kapalnya dipukul ribut dan diserang oleh burung garuda. Perkahwinan politik yang bakal mencantum dua benua itu tergendala seketika oleh cemburu dan sakit hati garuda yang ingin memastikan itu tidak terjadi. Garuda juga menculik dan melarikan Puteri Maharaja China dan menyembunyikannya di sebuah pulau dan dipelihara oleh seorang nenek kebayan. Puteri itu disimpan di dalam peti kaca tapi tanpa pengetahuan sang garuda, Putera Raja Rom juga terdampar dan diselamatkan oleh nenek kebayan yang sama setelah berhari-hari hanyut di laut. Burung garuda pun tak boleh memisahkan seseorang kalau sudah ditakdirkan jodohnya begitu!
Akhirnya Putera Rom bertemu juga dengan tunangannya Puteri Raja China dengan kebijaksanaan nenek Kebayan dan mereka berjaya dikahwinkan. Garuda yang malu kerana kegagalannya dinyahkan oleh Nabi Sulaiman ke Laut Khalzum supaya tidak lagi menganggu kehidupan manusia. Sememangnya makhluk yang suka menggangu manusia lain perlu dinyahkan seperti yang dibuat oleh Raja Sulaiman. Begitulah antara mitos yang terdapat dalam Hikayat Merong Maha Wangsa.
Yusry menggantikan burung garuda dengan kumpulan lanun yang juga menggelar diri mereka Garuda. Dan kreativiti ini merupakan lesen kreatif yang cukup cantik dimanfaatkan dan dibantu dengan imej janaan kompiter (CGI) yang cukup baik filem ini amat membanggakan. Ketelitian dan segala detail sebuah filem periode yang dipaparkan dalam filem ini menambahkan kemantapannya. Kostum, set dan juga tata-rias yang cukup detail dan autentik cukup kena pada tempatnya dan melahirkan mood yang meyakinkan serta tidak mempamerkan artifisialiti yang ketara.
Selalunya pengarah wanita sahaja yang cukup detail tentang perkara ini, tetapi HMMW banyak belajar daripada filem-filem periode luar negara saya kira dan ketelitian ini telah mendatangkan kesan yang baik dalam filem ini. Pengarah fotografi filem ini juga telah melakukan tugasnya dengan berkesan sekali dan memberikan sinematografi yang cukup cantik serta menimbulkan kesan visual yang bersesuaian dengan mood yang mahu ditimbulkan..Berbaloi mengeluarkan RM 8 Juta untuk menghasilkan filem sebegini.Beberapa tahun lalu pun, ramai pengarah dan penerbit filem tempatan mengatakan sebuah filem periode yang baik memerlukan sekurang-kurangnya RM 5 juta. Malah kos RM8 juta yang dibiayai untuk HMMW merupakan produksi yang efektif kosnya.
Dari segi lakonan juga HMMW mempamerkan suatu pilihan yang baik dengan teraju utamanya merupakan beberapa nama besar dari tradisi pentas. Stephen Rahman Hughes, Dato Rahim Razali, Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Umie Aida, Mano Maniam dan Ummi Nazeera adalah aktivis teater tempatan yang tidak asing kagi di Malaysia. Hasilnya kita lihat lakonan mantap dari dalam yang amat meyakinkan. Mungkin Stephen Rahman masih mempunyai masalah dengan sebutan perkataan dalam Bahasa Malaysia termasuk menyebut nama wataknya sendiri dan Gavin Stenhaus menyebutnya dengan lebih baik dan ini sedikit mencacatkan. Pun begitu, pelakon-pelakon antara-bangsa lain seperti Craig Fong, Jing Liu Su, Henrik Norman dll tidak kurang hebatnya dan mempamerkan lakonan mantap cukup meyakinkan.
Pun begitu, penggunaan Bahasa Inggeris yang agak banyak sebagai lingua-franca di periode itu adalah sesuatu yang kurang wajar pada perkiraan saya. Di Barat Bahasa Latin masih menguasai Rom ketika itu dan Bahasa Inggeris entah di mana-mana lagi. Watak penterjemah bahasa Tamil. Melayu, China dan Latin sepatutnya diwujudkan untuk mempamerkan autentisiti . Apa pun, penyelidikan yang baik serta mendalam telah dilakukan dalam aspek ini dan laras bahasa yang digunakan cukup sesuai mengandungi bahasa klasik yang tercerna melalui pantun, gurindam dan seloka. Dalam dialog HMMW.
Syabas kepada KRU Studio.
Monday, March 21, 2011
REVIU FILEM HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 2:05 AM 0 comments
Monday, March 7, 2011
THE KING'S SPEECH: TRAUMA SEORANG RAJA.
(Mengikut pelakon utama wanita filem The King’s Speech Helena Bonham Carter yang di wawancara oleh Bloomberg TV menjelang Majlis Anugerah Akademi baru-baru ini, filem mengenai King George ke VI (Bapa Ratu Elizabeth 2 Raja United Kingdom sekarang) telah lama mahu dibuat. Tetapi demi menghormati permintaan Ratu Elizabeth 1 (dikenali sebagai Queen Mum isteri King George ke V1) yang amat disayangi rakyat Britain filem ini tidak diterbitkan sehinggalah baginda mangkat beberapa tahun lalu.
Ada kritik mengatakan filem ini amat simpati kepada Bertie (panggilan manja keluarga kepada King George VI) dalam pemamerannya. Soalnya kenapa tidak? Bertie bukan sahaja disayangi, dihormati dan dikasihani oleh keluarganya tetapi ramai rakyat termasuk Perdana Menteri dan pentadbir Britain semasa beliau menaiki takhta kerajaan. Ancaman peperangan Dunia ke 2 kerana agresifnya Hitler dengan idea Bangsa Aryan sebagai ‘ The Master Race’ dunia menjadikan rakyat Britain dan Institusi Di Raja nya bersatu dalam hubungan yang cukup kohesif dan memerlukan satu sama lain.
Saat-saat menjelang pengistiharan peperangan antara Britain dengan Jerman oleh Bertie mungkin merupakan salah satu puncak tertinggi pertautan emosi rakyat Britain dengan Raja mereka dalam sejarah moden negara ini. Menonton filem ini dengan apresiasi yang cukup adil memerlukan kefahaman tinggi tentang pengetahuan sejarah Eropah (dan juga dunia) pasca Perang Dunia 1 (1914-1918) sehingga ke tahun 1950han.
Abang Bertie Albert yang turun takhta sebagai raja kerana cintanya kepada Wallis Simpson serta memilih untuk ‘buang emak buang saudara’ untuk mengahwini rakyat Amerika yang telah pernah dua kali berkahwin cukup menjejaskan imej Institusi Di Raja Britain. Jadi tidak hairanlah seluruh kepercayaan, harapan dan jangkaan tinggi terpikul di bahu Bertie di saat-saat Hitler mengancam seluruh Eropah dan Dunia dengan sekutunya Jepun di Asia. Simpati yang cukup tinggi tertumpah kepada Bertie daripada semua orang di sekelilingnya dan garapan pengarah filem ini Tom Hooper mengungkap sentimen serta hubungan emosi yang cukup kuat tentang perkara ini dalam The King’s Speech.
Antara dialog yang cukup halus dan penuh dengan subteks antara Albert dengan Bertie ialah dalam adegan di tempat menyimpan champagne (cellar). Bertie bertanya kepada Albert yang sedang mabuk cinta dan sanggup melakukan apa saja mengikut telunjuk Wallis Simpson sehingga mengabaikan tugasnya sebagai Raja “ Apa jadi kepada Tzar Rusia (sepupu Ratu Victoria nenek mereka yang digulingkan oleh Revolusi Bolshevik 1917) and sepupu kita William( Raja Jerman yang diturunkan takhta selepas Jerman kalah Perang Dunia 1 )?”
Bertie bukan sahaja risau tentang Albert yang begitu mengikut kata hatinya, tetapi mengingatkan abangnya tentang nasib yang menimpa kaum-kerabat mereka di seluruh Eropah yang semakin dibenci dan ditolak kerana begitu terpisah daripada rakyat. Pepatah Inggeris mengatakan ‘Kepala yang memakai mahkota itu cukup berat tanggung-jawabnya’. Kata Kung Fu Tze pula ‘Seorang Raja perlu berkelakuan dan menjalankan tanggung-jawabnya sebagai Raja’ dan mengenepikan kepentingan peribadi untuk mengujudkan pentadbiran yang membawa kepada orde sosial yang cukup mantap dan mengwujudkan kedamaian dalam negaranya
Seorang Raja tidak boleh mengutamakan apa yang disukainya sahaja tetapi perlu memikirkan kesan jangka panjang segala perbuatan dan tindak tanduk baginda. Tetapi Albert terperangkap oleh cintanya kepada Wallis Simpson yang juga mempunyai hubungan sulit dengan Duta Jerman ke Britain. Suatu situasi yang cukup sulit, penuh intrig dan tidak mustahil iannya juga suatu konspirasi untuk meletakkan Britain dalam suatu situasi sukar dari segi diplomatik dan politik dengan Jerman. Cinta dan konspirasi diplomatik-politik dari dahulu hingga sekarang tetap berlaku dengan implikasi yang cukup serius serta tsunami politik yang cukup menggegar kadang-kadang. Begitulah!
Filem The King’s Speech yang merangkul empat hadiah utama Anugerah Akademi beberapa hari yang lalu memang patut menang kerana pemameran cemerlang kisah benar seorang Raja yang gagap oleh beban dan trauma psikologi yang dilaluinya sejak berumur empat tahun yang merupakan tahun-tahun penting pembentukan konsep kendiri seorang kanak-kanak yang membawa kesan besar dalam kehidupannya lama selepas itu.
Collin Firth sebagai Bertie berjaya membawakan wataknya dan amat meyakinkan dengan dilemma cukup serius dalam hidupnya. Baginda tidak mahu merebut takhta kerana perbuatan Albert yang amat tidak disenangi tetapi keterpaksaan yang cukup tidak menyenangkannya meletakkan baginda sebagai Raja sebuah kerajaan yang sedang berdepan dengan peperangan.
Filem ini menang bukan sahaja kerana UK Film Council (berfungsi seperti FINAS kita) telah menggabungkan beberapa penerbit filem terbaik Britain untuk bekerjasama menerbitkan filem yang cukup cemerlang ini tetapi kerana ianya mempamerkan sisi lain seorang Raja yang cukup manusia. Raja yang meruntuhkan tembok disekelilingnya dengan persahabatan rapat dengan seorang aktor yang lebih berjaya sebagai seorang terapis pertuturan manusia-manusia yang bermasalah kerana beban dan trauma psikologi yang mereka bawa bersama dalam hidup mereka.
((
(ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR BERITA MINGGU PADA 6HB MAC YANG LALU. iNI ADALAH VERSINYA YANG ORIGINAL).
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:13 AM 0 comments