MAAF ATAU TIADA MAAF BAGI MU?
Saya cukup tersentuh bila membaca tulisan tokoh wartawan berwibawa Tan Sri Mazlan Nordin dalam Mingguan Malaysia hari ini tentang permohonan maaf Kevin Ruud di Parlimen Australia kepada penduduk Asli atau ‘Abo’ (singkatan dari Aborogines) nama yang diberikan kepada mereka oleh penduduk kulit putih Australia. “We are sorry….for the pain, suffering and hurt.” Kata Kevin Ruud. Tanpa disedari air mata saya menitis dan saya merasa cukup sebak entah kenapa. Saya terbayang imej anak penduduk asli Australia seperti yang terakam dalam filem “Rabbit Proof Fence’ yang mengisahkan tentang ‘the stolen generation’ yang amat menyanyat hati. Anak-anak kacukan penduduk aslinya diburu, ditangkap dan dipisahkan daripada ibu mereka dalam usaha menjadikan mereka hidup seperti orang kulit putih Australia yang lain.
Hanya mereka yang melalui nasib malang di ‘hijack’ daripada ibu-bapa, saudara mara serta persekitaran hidup mereka sendiri dan dipaksa menjadi ‘orang lain’ yang kononnya lebih baik dan bertamaddun akan tahu bagaimana ertinya ‘dinafikan’ hak menjadi diri mereka sendiri! Alienasi begini mungkin nampak tidak apa-apa dari segi fizikal seseorang, tetapi kesannya kepada psikologi dan kejiwaan bukanlah sesuatu yang senang dipikul dan dilalui oleh mereka yang merasainya.
Kevin Ruud telah melakukan sesuatu yang terhormat dan amat sivil bagi pihak orang kulit Putih Australia. Dan beliau juga telah membuktikan bahawa merendah diri dan mengakui kesilapan yang telah dilakukan walau pun oleh orang lain daripada puak kita adalah sesuatu yang amat ‘noble’ dan membanggakan. Kerendahan hati seseorang tidak memerlukan apa-apa melainkan kesedaran kalau kita sudah tersilap sehingga membuatkan orang lain menderita dan sengsara siapa pun kita, harus memohon ampun dan maaf kepada mereka yang telah disakiti. Dan hanya orang yang jujur, rendah hati dan tidak ada sedikit pun ‘arrrogance’ dalam diri mereka yang mampu berbuat demikian. Tapi kepada mereka yang sombong dengan arrogance yang tidak sedikit yang mempamerkan kekurangan keimanan yang tidak tahu memohon maaf kepada orang yang telah menjadi mangsa mereka., mungkin Tiada maaf bagi mu adalah sesuatu yang patut dilontarkan kepada mereka!
Kevin Ruud, apa selepas apologi? Kata orang, Sorry No Cure! Dah bunuh orang pun boleh kata ‘maaf, saya tak sengaja nak bunuh awak.’ Tapi apa jadi kepada orang yang telah terbunuh atau menderita kerana perbuatan kita?
Sunday, February 28, 2010
Maaf atau Tiada Maaf Bagi mu?
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 5:38 AM 0 comments
Tuesday, February 23, 2010
GAPENA MENJADI TETAMU BEIJING.
Pada 24 Januari hingga 30 Januari yang lalu, serombongan AJK GAPENA telah dijemput menjadi tetamu Kerajaan Republik Rakyat China. Diketuai oleh Tan Sri Ismail Hussin Ketua 1 Gapena, turut serta dalam lawatan tersebut adalah Setiausaha 1 Prof.Madya Dt.Dr. Zainal Abidin Borhan, Ketua 2 Prof Madya Dr.Hashim Ismail,dan Hj. Abd.Rahim Abdullah.Turut serta adalah Badan Kerabat dari Perak iaitu LEPAS yang diwakili oleh ketuanya Toh Maharaja Indera Dato Haji Khairuddin Arshad yang telah menulis catatan harian perjalanan mereka yang amat menarik dan detail sekali.Rombongan GAPENA menjadi tetamu kepada The Chinese People Association for Friendship with Foreign Countries (CPAFFC).
Lawatan AJK GAPENA bermula dengan sehari di Guangzhou bandar ketiga terbesar di China.Di sini mereka dibawa bertemu dengan Timbalan Presiden Persatuan Penulis Wilayah Guangdong dengan beberapa orang penulis terkenal dari bandar ini termasuk seorang penulis terkenal wanita yang dikenali dengan nama Aryun yang merupakan seorang 'National First Grade Writer' yang tarafnya seperti Sasterawan Negara di Malaysia.
Destinasi berikutnya adalah bandar Quanzhou di mana rombongan GAPENA diraikan oleh Persatuan Persahabatan Quanzhou.Dari situ mereka dibawa dengan bas ke Jinjiang yang merupakan tempat asal datuk nenek Jose Rizal pejuang awal pembebasan Filipina di bawah pertubuhan Katipunan yang diasaskannya.Kampung asal datuk nenek Rizal bertempat di Sinque .Rombongan GAPENA disambut oleh pemimpin tempatan yang menceritakan asal usul keturunan Jose Rizal yang bermula daripada seorang pedagang abad ke 17 Cua Yi Lam atau nama Filipinonya Domingo Lam. Sesuatu yang amat menarik saya kira bila mendengar Tan Sri Ismail menceritakannya kepada saya dan mengingatkan saya kepada watak Jose Rizal yang merupakan seorang yang hebat dan serba boleh tetapi tidak panjang umurnya apabila dijatuhkan hukuman tembak sampai mati oleh penjajah Sepanyol di umur 35 tahun pada 30 Disember 1896. Rombongan GAPENA dibawa melawat rumah asal moyang Rizal yang sewaktu hidupnya mendapat berbagai gelaran seperti' Kebanggaan Bangsa Melayu', Filipino Utama serta Insan Terhebat Di Kalangan Bangsa Berkulit Sawo Matang'. GAPENA dalam usahanya mencari susur galur Melayu dan diasporanya telah menemui satu lagi 'permata' Melayu yang tidak begitu diketahui selama ini.
Seterusnya rombongan GAPENA melawat Xiamen,dan di Universiti Xiamen mereka disambut dan diberitahu kali terakhir penulis dari Malaysia datang ke situ adalah 9 tahun lalu iaitu Persatuan Penulis Cina Malaysia.Banyak perbincangan ilmiah dan kerjasama yang telah dibuat dengan pihak berwajib Universiti ini. Seterusnya mereka ke Guilin dan diraikan oleh Persatuan Persahabatan Bandaraya Guilin.
Bandar terakhir yang mereka lawati ialah Pangkalan Zhujian iaitu sebuah bandar peranginan di tepi Sungai Li dengan pemandangan yang menakjubkan mengikut catatan Dt. Khairuddin. Rombongan GAPENA meninggalkan Lapangan Terbang Guilin ke Kuala Lumpur pada 31 Januari 2010.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:15 PM 0 comments
Tuesday, February 16, 2010
KERJASAMA GAPENA-KARYAWAN FILEM.
Baru-baru ini GAPENA dan Karyawan Filem bertemu lagi dan membincangkan kerjasama. Dalam suasana paling santai di Restoran Tupai-Tupai yang semakin menjadi 'port' kami, saya dan Tan Sri Ismail Hussein bertemu dengan sahabat-sahabat dari Badan Gabungan NGO dengan 'bintang'mereka Sdr Mohd Jurit dan Ustaz Zu.Mereka di susuli oleh Sdr. Jais dari GPMS dan akhirnya kumpulan kami disertai oleh bintang-bintang sebenar dunia filem kita. Datin Paduka Shuhaimi Baba, Dato Ahmad Tamimi Siregar, Sdr Harun Salim Bachik Presiden SENIMAN, Sdr. Yusof Kelana dan juga Sdr. Jurey Latif dari PTVM hadir bersama.
Dan seperti biasa, suasana santai begini boleh menjadi tidak begitu santai dalam isu dan perkara yang dibincangkan. Kami bercakap tentang kerjasama dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan melalui filem dan program televisyen. Sinergi ini amat perlu dan penting sekali kerana tidak ada perjuangan memartabatkan Bahasa Kebangsaan yang boleh dan harus dipikul oleh pejuang bahasa sahaja tanpa melibatkan industri kreatif dan seni yang amat bersangkutan. Seorang teman di GAPENA berbisik kepada saya 'kenapa selama ini kita tidak buat kerjasama ini?' Wallahualam Bisawab jawab saya. Apa pun saya cukup bahagia kerana ramai yang sudah terpanggil dan menyedari akan keperluan ini dan iannya maha penting!!
HARI PEJUANG BAHASA 152
Pada 14hb Febuari dan 15hb Febuari yang lalu kerabat GAPENA dan pejuang Bahasa berkampung lagi. Kami meraikan Hari Pejuang Bahasa 152 yang kali ini disertai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka serta beberapa NGO Melayu. Adik-adik dari Persatuan Silat Sendeng pun ada dan ianya mencetuskan sesuatu yang amat emotif sifatnya kepada saya. Tahun lalu pada tarikh yang sama kami mengadakan majlis Ratip dan Ratap Bangsa. Kemuncaknya kami membuat laporan polis mengenai PPSMI. Berkat ratip dan ratap serta kawan-kawan yang terpaksa menelan gas pemedih mata, PPSMI dibatalkan.
Tahun ini semangat kami lebih tinggi.Pada petang 14hb. Febuari, rumah GAPENA dipenuhi oleh ramai kerabat dan sahabat yang turut serta dalam majlis tahlil yang kami adakan khas untuk mengingati arwah semua pejuang bahasa yang telah tiada.Biarlah kami yang mengingati mereka.Dibandingkan dengan tahun lalu, kehadiran kali ini lebih ramai. Malah golongan muda dan remaja juga turut sama membaca yassin dan sembahyang berjemaah.YBhg. Dato Termuzi Ketua Pengarah DBP pun turut serta bersama kami. Saya cukup terharu sewaktu melihat beliau beratur untuk menyenduk nasi dan masak lemak ikan kering. Allahyarhamah isteri Dato Termuzi yang saya panggil Kak Azimah sering menjamu kami makan di rumahnya sewaktu saya masih bertugas sebagai pensyarah di Istitut Bahasa lebih 10 tahun lalu.Alfatihah untuk beliau.
Saya selalu yakin keikhlasan dan kejujuran dapat dihidu beratus kilometer jauhnya, sama seperti manipulasi, eksploitasi ketidak-jujuran dll perkara kurang murni dan suci akhirnya akan diketahui juga walau selicik mana pun 'grandmaster'nya menjalankan modus operandi! Jika kebenaran yang kita cari, kebenaranlah yang akan kita temui sama seperti jika penipuan dan kepalsuan yang kita berikan penipuan dan kepalsuanlah yang akan kita terima.Apa pun begitulah yang saya rasai. Selepas selesai majlis membaca yassin kami melepak di 'port' Sdr.Ismail Embong di belakang rumah GAPENA. Sambil berbual dengan beliau tentang 'soal-soal negara' dan penulis skrip Sdr Anwar Idris yang kebetulan adalah sepupunya, saya semakin yakin bahawa segala yang berlaku banyak hikmahnya. Alhamdullilah.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:03 PM 0 comments