Thursday, April 14, 2011

REVIU LAT KAMPUNG BOY SEBUAH MUZIKAL.

LAT KAMPUNG BOY SEBUAH MUZIKAL: MENGANGKAT MELAYU KAMPUNG KE PERSADA DUNIA.

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.

Kata Profesor Datuk Dr. Zainal Kling antropologis Malaysia yang terkemuka teater LAT KAMPUNG BOY SEBUAH MUZIKAL (LKBSM) adalah lebih daripada sebuah teater tentang kisah hidup seorang kartunis bernama Mohd.Nor Khalid atau Lat. Penulis amat bersetuju dengan pendapat tersebut kerana muzikal ini mengangkat kampung dan kekampungan dalam diri seorang kartunis ke tempat yang jauh lebih tinggi daripada sempadan negaranya sendiri. Selama ini kampung dan kekampungan selalu dipertalikan dengan kekolotan, kemunduran dan segala macam negativiti yang membaluti minda, emosi, psiki, fizikal dan pandangan dunia Melayu.

Tetapi Lat dengan kekampungannya mengangkat Melayu kampung sebagai sumber kekuatan, sumber inspirasi dan sumber penjanaan minda yang unik. Dia berjaya meletakkan etos, norma dan segala sisi budaya Melayu ke persada dunia melalui lakaran dan contengannya yang sebahagian besar adalah mengenai dirinya sendiri..Globalisasi sebenarnya sudah lama bermula dan bersama-samanya semakin perlu manusia belajar, memahami dan mengenali antara satu sama lain. Dan seorang kartunis adalah seniman sebaris kepentingannya dengan pengarang, pemuzik, pelakon, penyair dan segala macam aktivis seni dalam apa juga genre yang diceburi.yang mengangkat milieu dan budaya masyarakat di sekelilingnya .

Siapa kata Melayu yang kekampungan penyebab Melayu tidak maju? Dan siapa kata Melayu yang kampung perlu membuang kekampungan itu untuk maju? Siapa kata Melayu perlu menjadi kurang ajar dan meninggalkan kemelayuannya untuk menjadi seorang yang terkenal di seluruh dunia? Dengan cara yang cukup halus, natural dan tanpa slogan besar mau pun kecil, secara sedar atau pun tidak Lat mengharungi hidup di kota dan di mana-mana sahaja beliau pergi tanpa perlu menjadi orang lain.Dengan loghat Peraknya yang pekat, Lat adalah epitom anak Melayu yang tidak perlu berubah hati budi mau pun akal budinya untuk berjaya. Pakaiannya mungkin mempamerkan sedikit nuansa barat dengan jeans dan jaket dan rambut tidak bersikat, tetapi jiwanya tetap Melayu dan beliau tidak pernah keliru tentang perkara itu.

Tanpa dipinta, kejujuran dan kesenimanannya yang cukup ampuh dan tidak berkompromi dengan artifisialiti, kartunis Lat ada kalanya hampir lemas dan terarus dengan kesibukan dan hiruk pikuk hidup kota bila dia menjadi manusia terkenal seorang figura yang lebih besar daripada kehidupan biasa itu sendiri. Dan indahnya muzikal ini skripnya cukup jujur mengungkap apa yang mungkin tidak terungkap dan mahu diperkatakan oleh orang lain kalaulah subjeknya bukan Mohd.Nor Khalid. Saya yakin ada ramai ‘Lat ‘ diluar sana yang telah melalui fasa serta ciri kehidupan mirip apa yang terjadi dan dilalui oleh Lat yang tulin, tetapi saya tidak yakin ramai yang sejujur beliau membiarkan cerita hidupnya dipapar kepada khalayak sebegitu rupa.

Kalau di Amerika Syarikat kita selalu mendengar tentang ‘The American Dream’. Mimpi serta cita-cita manusia-manusia kecil untuk membina kehidupan dengan menapak dari bawah dan akhirnya berjaya mencapai kejayaan, kegemilangan dan kekayaan melalui kerja kuat, ketabahan, sedikit bakat dan kelebihan. Micheal Jackson, Elvis Presley , Abraham Lincoln dll adalah epitom kepada kisah kejayaan The American Dream. Di negara ini kita mungkin tidak pernah mendengar tentang The Malaysian Dream, tetapi tanpa slogan dan konsep pun, Lat serta ramai lagi manusia seperti beliau menapak dari bawah mencapai kejayaan yang tidak pernah dimimpikan selama ini

.Muzikal ini walau pun merupakan sebuah penghargaan kepada seorang kartunis tersohor Malaysia yang masih hidup tetapi juga turut mengungkap satu ‘tour de force’ kehidupan manusia Melayu di negaranya sendiri. Terselit sebagai latar-belakang kehidupan Lat sendiri semenjak beberapa dekad lalu muzikal ini mempamerkan evolusi dan perubahan ketara serta penting sosio-politikal-ekonomi yang begitu pesat semenjak merdeka. Manisnya teater ini adalah kisah benar yang berlaku dan bukannya fiksyen tentang manusia yang hidup dari era 50han hingga kini.

Tall Order Productions telah melakukan suatu usaha penting dalam ‘Merakyatkan Seni’ mengangkat kisah kehidupan seorang anak watannya yang bukan daripada golongan elit masyarakat dan berjaya dengan hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia. Konsep merakyatkan seni harus juga bermula dengan subjek kesenian itu sendiri dan bukan hanya bermakna akses kepada berbagai genre seni untuk rakyat. Selepas Muzikal P.Ramlee, LKBSM sebuah lagi produksi yang benar-benar ‘Merakyatkan Seni’ yang tidak berfokus kepada elit politik dan sejarah negara sahaja semata-mata.

Mungkin kecacatan pementasan LKBSM tidak banyak tetapi sesuatu perlu dilakukan di masa hadapan kalau ia mahu dipentaskan lagi. Mungkin kerana ensembel muziknya mengambil banyak ruang di atas pentas, ruang lakonannya menjadi sempit dan kecil saya kira. Apalagi dalam babak yang memuatkan ramai pelakon ia kelihatan begitu menyesakkan dan ruang lakonan begitu banyak bertumpu di bahagian hadapan pentas sahaja dan ini kurang wajar serta tidak dapat dimaafkan dalam prinsip pementasan teater.

Koreografi Pat Ibrahim mempamerkan sedikit perubahan dengan kerencaman pergerakan yang juga memuatkan langkah-langkah tarian Melayu asli dan jauh lebih sesuai daripada koreografi yang sudah sedikit monoton seperti yang terpamer dalam muzikal-muzikal Terima Kasih Cinta, Cuci-Cuci, P.Ramlee dll yang agak ‘Broadway’ sifatnya.
Latar belakang bandar subjek penceritaan harus diimbangi dengan latar budaya watak-watak di dalamnya supaya ia kelihatan dan dapat dirasakan natural serta sejati dengan inti pati penceritaan.

Dari aspek lakonan, Jalil Hamid sebagai bapak dan Omar Abdullah sebagai Pak Samad cukup natural dan meyakinkan. Mereka memang berasal daripada pelakon pentas dan cukup cemerlang membawakan watak masing-masing dan hanya perlu berada di situ. Pun begitu pelakon-pelakon utama yang lain tidaklah mengecewakan dan turut memberi kekuatan dan kematangan kepada produksi LKBSM. Tahniah kepada Hans Isaac, Harith Iskander dan seluruh kru Tall Order Productions.


(REVIU DI ATAS TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR HARIAN METRO PADA HARI KHAMIS MINGGU YANG LALU.VERSI DI ATAS ADALAH YANG ORIGINAL.TK)

0 comments: