Kebelakangan ini banyak sekali penyelidikan mengenai minda serta identiti orang Islam negara ini yang telah dibuat. Banyak institusi luar negeri yang berminat serta bermurah hati mengeluarkan dana untuk penyelidikan sebegini dengan kerja-sama institusi serta Universiti tempatan. Suatu perkembangan yang amat menarik memandangkan ramai penyelidik yang terlibat dalam projek-projek ini terdiri dari mereka yang bukan Islam. Dapatan dari penyelidikan ini adakalanya mengejutkan serta tidak diduga sama sekali dan menepis pendapat serta pandangan yang selama ini samada tidak berasas atau lebih merupakan generalisasi atau mungkin juga telah berlaku perubahan besar pemikiran serta minda masyarakat Melayu-Islam negara ini.
Beberapa tahun lalu, Yayasan Konrad Adenauer dari Jerman dengan kerjasama Merdeka Centre serta Institut Asia-Eropah Universiti Malaya telah mengadakan suatu penyelidikan Pendapat Umum Mengenai Identiti Orang Islam Negara ini. Seramai 1029 responden yang dipilih secara rawak telah ditemubual oleh pihak berkenaan dalam penyelidikan ini. Antara dapatan menarik yang diperolehi ialah:-
98% responden berpendapat orang Islam Malaysia tidak patut dibenarkan menukar
agama
64% responden berpendapat undang-undang Syariah perlu dikekalkan dalam
perlembagaan kita
77% responden percaya undang-undang Syariah kita tidak cukup ketat
73% responden memilih identiti utama mereka sebagai orang Islam
97% responden menerima orang Islam Malaysia hidup bersama dengan bangsa-bangsa
lain di negara ini
79% responden percaya orang Islam Malaysia patut belajar mengenai agama lain
Pihak yang menjalankan penyelidikan ini seterusnya membuat kesimpulan bahawa dapatan-dapatan di atas menunjukkan masyarakat Islam negara ini semakin konservatif dan ortodoks. Suatu kesimpulan yang amat perlu dilihat semula dan boleh didebatkan.
Apakah kerana sebahagian besar orang Islam memilih untuk mengidentifikasi diri mereka sebagai Islam dan mahu undang-undang Syariah diperketat serta tidak mahu orang Islam dibenarkan menukar agama ini bermakna masyarakat Islam semakin konservatif? Apakah peratusan yang tinggi menerima orang Islam perlu hidup bersama penganut dan belajar mengenai agama lain menunjukkan keterbukaan tetapi pada masa yang sama konservatif?
Bagaimana boleh konservatif atau ortodoks tetapi terbuka pada masa yang sama? Sedikit mengelirukan kalau tidak pun banyak perkara asas mengenai pandangan tersebut yang tidak tepat serta menyeleweng.
Paling penting apakah ukuran yang digunakan sebagai indeks konservatifnya orang Islam Malaysia? Apakah bila semakin ramai orang yang sedar serta selesa memanggil diri mereka orang Islam itu tandanya kita semakin konservatif? Mungkin ada sebabnya mengapa ramai orang Islam yang tidak selesa membiarkan orang bukan Islam bercakap mengenai Islam kerana apakah mereka benar-benar faham mengenai kekukuhan akidah serta kedudukan agama dalam diri orang Islam di negara ini? Apakah mereka faham bahawa Islam itu semakin menjadi cara hidup yang dipegang kuat oleh penganutnya dan ini menunjukkan penghayatannya yang semakin tinggi dan mendalam dalam masyarakat kita? Apakah semakin tinggi penghayatan agama itu secara otomatis meletakkan orang Islam di negara ini sebagai semakin ortodoks?
Seperkara yang perlu diingat ialah negara ini dikenali dan diterima sebagai negara Islam sederhana dan progresif di seluruh dunia termasuk banyak negara Barat. Dengan peratusan jumlah tenaga kerja serta penuntut IPT yang tinggi terdiri daripada wanita, apakah menjadi lebih sedar tentang identiti serta mempraktis dan menghayati cara hidup Islam seperti yang sepatutnya merupakan petunjuk konservatisme? Penulis yakin ramai umat Islam di negara ini yang sependapat menjadi orang Islam yang baik dan mengamalkan cara hidup Islamik tidak bererti seseorang itu ortodoks atau nkonservatif.
Dan macam mana pula perlakuan orang Islam yang tidak konservatif? Liberal dengan tidak mengamalkan cara hidup Islam termasuk tidak mengamalkan akhlak yang baik dan terpuji? Dr. Reduan Tee sering berkata, pemimpin masyarakat Cina di negara ini tidak ramai yang mahu berjuang untuk perlakuan hidup dan akhlak yang baik di kalangan komuniti ini. Mungkin itu sebabnya Chua Soi Lek menyamakan orang Melayu-Islam yang mengamalkan cara hidup Islam itu yang menekankan akhlak yang baik sebagai konservatif. Saya yakin beliau perlu melihat semula makna ‘konservatisme’ yang difahaminya dengan realiti sebahagian besar masyarakat Islam negara ini yang mementingkan menjadi seorang Islam yang baik.
Thursday, September 23, 2010
BENARKAH ORANG ISLAM MALAYSIA SEMAKIN KONSERVATIF?
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 10:03 PM 0 comments
Subscribe to:
Posts (Atom)