Saturday, March 21, 2009

'Unsangkarable' dalam UMNO

Seperti yang telah saya catatkan sebelum ini, banyak perkara yang boleh berlaku setiap kali pemilihan UMNO diadakan. Dan terjadilah apa yang dikehendaki terjadi. YAB Dato Ali Rastam didapati bersalah dan tidak dibenarkan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden. Tidak cukup dengan itu, rayuannya juga ditolak. Tetapi pemimpin yang berwibawa ini menerimanya dengan hati terbuka, senyum yang tidak lekang dari bibirnya dan keakuran yang tidak perlu dipertikaikan oleh sesiapa pun. Tiada marah-marah dan sumpah seranah, tiada rasa kecewa atau menyalahkan sesiapa pun dan beliau menerima segalanya dan meneruskan tugas macam biasa. Dato Ali Rastam mempamerkan kekuatan dalaman yang tidak sedikit dan saya tidak yakin semua orang mampu berbuat demikian. Saya kagum dengan sikap beliau.

YB Khairy Jamaluddin pula didapati bersalah (dan beliau dilaporkan tidak tahu apa yang telah dilakukannya sehingga didapati bersalah!) tetapi diberi amaran dan dibenarkan bertanding. Ini suatu lagi kepelikan dan 'unsangkarable' yang paling tidak disangka-sangka! Tetapi YB KJ yang tetap tenang meneruskan kempen beliau seperti biasa. Ada konspirasi untuk mencantas semua calon yang dikatakan orang Pak Lah? Atau mahu memastikan orang tertentu menang tanpa masalah besar walau pun the chips are down on them? Segala-galanya mungkin walau pun ada yang awal-awal lagi menafikannya. Malah Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin juga mengungkapkan kata-kata "Hanya Allah mengetahui segala-galanya" tentang keputusan yang telah diambil oleh Lembaga Disiplin UMNO.

Kepada YB KJ, ingatlah bahawa perjuangan itu bukan perjuangan namanya kalau ianya mudah dan tidak ada halangan serta ujian yang harus dilalui. Sememangnya Allah mengetahui segala-galanya jadi berdoalah banyak-banyak mendapatkan pertolongan dari Allah SWT. Dan jangan lupa bahawa doa orang yang terinaya itu amat dekat dengan Allah dan Dia akan segera menunjukkan yang benar dan yang tidak benar. Anak saya ada kata-kata yang selalu diucapkannya setiap kali sesuatu yang mengecewakan saya berlaku disebabkan oleh perbuatan orang lain iaitu 'hidup ini kadang-kadang tidak adil, tetapi hanya Allah yang adil.' Jangan patah semangat Dik, teruskan perjuangan. Dan seperti kata Pak Lah yang dipetik oleh Pak Habib dalam buku terbarunya " Segala-galanya adalah permainan. Permainan hidup dan kita tidak ada apa-apa melainkan menjadi sebahagian daripada permainan itu. Yang kita ada hanyalah diri kita dan keluarga kita" Begitulah lebih kurang maksudnya. Cantik kata-kata Pak Lah itu dan renung-renungkan.....

0 comments: