Tuesday, October 27, 2009

Reviu singkat Muzikal Cuci

Semalam saya menonton Muzikal Cuci di Istana Budaya. Sewaktu makan di kafeteria IB saya bercakap dengan Dt.Zahim Al Bakri pengarah muzikal ini. Saya memohon maaf kepada beliau kerana tidak dapat menghadiri pratonton media yang jarang tidak saya hadiri kerana ada urusan lain sewaktu ianya dibuat minggu lalu. Saya juga katakan saya perlu menonton sekali lagi kalau mahu membuat reviu penuh tapi beliau meminta saya coretkan sedikit dalam blog ini secepat mungkin. 'Sikit pun jadilah' katanya. Ok Dt. Zahim saya tuliskan juga kerana tak sampai hati nak biarkan anda menunggu lama kerana ada beberapa artikel saya yang sedang menunggu penyiaran di akhbar.

Pada asasnya Muzikal Cuci jauh lebih baik 'pace' nya dari yang terakhir diarahkan oleh Zahim Albakri iaitu Muzikal P.Ramlee. Ada 'ruang' untuk bernafas dalam istilah teaternya untuk memberikan segala lontaran, lonjakan dan 'upheaveal' emosi skrip, lakonan dan segala elemen teater lain untuk 'sink' ke pemikiran penonton. Tahniah Dt. Zahim dan semua yang terlibat dengan pementasan Cuci. Teater adaptasi dari filem dengan tajuk yang sama ini sedikit panjang dan sangat 'pop' pendekatannya jadi ramai orang yang menonton merasa terhibur dengan adegan serta dialog lucu yang dituturkan. Ramai yang boleh pertalikan emosi dan pengalaman hidup mereka dengan apa yang ditonton dan itu mungkin kunci kepada iannya begitu menghiburkan.

Kalau dalam Mana Setangginya ada adegan pari-pari terbang penuh fantasi , dalam teater Cuci ada pula adegan romantis di atas gondola pencuci tingkap bangunan tinggi dan peraduan mencuci dari kiri kanan pentas di paras siling. Sebelum itu ada adegan drift atas pentas. Ada 'perlumbaan' kreativiti, inovasi dan keberanian mencabar konvensi yang tidak saya sedari kah? Soalan nakal ini entah mengapa timbul di benak saya. Pun begitu bagi orang macam saya, ada kalanya menonton sedikit unsur slapstik dalam muzikal ini mengganggu konsentrasi saya. Ok. Saya dah tunaikan hajat Dt.Zahim. Terima kasih kerana memberikan muzikal yang menghiburkan.

Sunday, October 18, 2009

Sisters In Islam dan bayi-bayi yang dibuang.

Kebelakangan ini semakin banyak tersiar berita tentang pembuangan bayi baru lahir yang amat menyayat hati membaca atau menontonnya di kaca televisyen. Orang-orang Arab Jahiliah dahulu menanam anak-anak perempuan yang baru dilahirkan, tetapi orang 'moden' sekarang membuangnya di tempat pembuangan sampah, di tangga masjid dan surau dll. Sehingga ke hari ini belum ada kenyataan yang dibuat oleh Sisters In Islam (SIS), tentang perkara sebegini walau pun mereka mendakwa berjuang atas dasar memartabat wanita. Sehingga kini juga saya tidak mendengar apa juga cerita tentang program sokongan terhadap wanita yang mengandungkan anak di luar nikah mahu pun tindakan-tindakan lain membela golongan ini. Maafkan saya jika tersilap dan saya tarik balik kenyataan ini sekiranya saya tidak mengetahui ianya telah dilakukan oleh pihak SIS .

Beberapa bulan yang lalu ketika berbual dengan Pengerusi PERKIM Negeri Sembilan Datuk Hajah Siti Rahmah Kassim yang juga merupakan Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO yang pertama, beliau menyatakan kepada saya pihak PERKIM Negeri Sembilan mengambil tindakan
memberikan perlindungan dan kaunseling kepada mereka yang telah tersilap jalan ini sehingga mereka melahirkan kandungan dan juga menguruskan proses mengambil anak angkat kepada mereka yang memerlukannya dan tidak membiarkan bayi-bayi yang tidak bernasib baik ini terbiar tanpa pembelaan. Soalan saya amat mudah, kenapa SIS tidak mengambil apa-apa tindakan seperti ini jika mereka benar-benar mahu memartabatkan kedudukan wanita dan berjuang untuk hak wanita?

PERKIM Negeri Sembilan tidak bising-bising tentang apa yang mereka lakukan, tetapi sedikit sebanyak mereka telah berjaya tidak membiarkan bayi-bayi yang tidak berdosa ini. Jika mahu meneruskan penggunaan nama Islam dalam pertubuhan mereka, ahli-ahli SIS semua mungkin perlu mendalami pengetahuan tentang agama Islam dan memperbetul strategi dan tindakan mereka dalam membela wanita Islam. Selamat Berjaya saya ucapkan.

Sunday, October 4, 2009

Kes Kartika Sari,Sisters In Islam dan DS Shahrizat Jalil

Beberapa hari lepas media memuatkan beberapa protes NGO Islam terhadap Sisters In Islam yang dilaporkan membuat permohonan mahkamah mengenai hukuman sebatan ke atas Kartika Sari Shukarno yang akan dilaksanakan kerana Kartika tidak memohon untuk membuat rayuan dan mahu hukuman itu dilaksanakan. Suatu ironi besar kepada apa yang didakwa oleh SIS bahawa hukuman ini adalah pencabulan hak asasi manusia, kejam dan menjatuhkan maruah individu. Mana tidaknya? Hak asasi manusia mana yang dicabul kalau Kartika sendiri telah menyedari kesilapannya dan mahukan hukuman itu dijalankan? Bukankah Kartika menerima dan reda dengan hukuman tersebut dan tidakkah itu hak asasi seorang manusia yang perlu dihormati?

Hak asasi manusia mana yang nak diperjuangkan oleh SIS sebenarnya? Atau SIS sebenarnya takut hukuman ini akan menjadi satu 'precedent" yang akan dijadikan asas kepada banyak lagi hukuman-hukuman syariah di masa yang akan datang? Bagi mereka yang biasa dengan terminologi dan prosedur undang-undang 'doctrine of Precedent' adalah maha penting dan rasionalisasi isu yang diperkatakan kadang kala boleh dikelabui oleh banyak perkara.

Perkara tentang menjatuhkan maruah individu seperti yang dikatakan oleh SIS adalah sesuatu yang boleh dihujah penuh kontroversi. Hukuman sebat kata SIS menjatuhkan maruah individu, tetapi orang Islam yang minum arak di khalayak ramai dan ini melanggar undang-undang syariah juga boleh menjatuhkan maruah individu Islam lain yang mungkin ada bersama di lokasi yang sama. Malah bukan saja maruah individu, maruah agama yang suci yang dijatuhkan di sini. Apa yang nak dikatakan oleh SIS dalam hal begini? Sekarang ini di Barat dan banyak negara maju, orang yang tidak minum arak, tidak merokok, tidak menagih dadah amat dihormati dan dipandang tinggi. Malah menyimpan perempuan, mengadakan hubungan sulit dll sering kali menjatuhkan pemimpin politik walau sebesar mana pun mereka itu.

Dalam Kongres Budaya Melayu ke 2 anjuran GAPENA dan Persatuan Sejarah Malaysia pada bulan Mach lalu, beberapa soalan tentang SIS dan kaitan rapat mereka dengan beberapa NGO Islam liberal di Indonesia dll negara telah diperkatakan. NGO yang mempromosi dan menerima perkahwinan orang Islam dengan bukan Islam tanpa menukar agama kepada Islam dan beberapa cara serta etika hidup yang tidak sebenarnya melambangkan ajaran Islam yang tulin merupakan 'rakan-rakan 'baik SIS.

Kata Dato Seri Shahrizat Jalil, pendirian SIS mungkin kerana mengambil kira 'senario yang lebih besar'. Saya tidak hairan Shahrizat berpendirian begitu kerana beberapa tahun lalu sewaktu SIS dengan beberapa individu ternama yang 'berprofil tinggi' melancarkan kempen anti-poligami Satu Isteri untuk Satu Suami Shahrizat pun turut serta bersimpati dengan mereka.Polemik tersebut hanya berhenti apabila JAKIM mengeluarkan fatwa tentang isu tersebut iaitu haram melancarkan kempen seumpama itu kerana poligami adalah sebahagian daripada peraturan dan hukum Islam yang dibenarkan.

SIS sepatutnya mengambil pendekatan mendidik suami-suami Islam supaya tidak berpoligami atau berlaku adil bila berpoligami mengikut prinsip dan ajaran Islam dan tidak menggunakan pendekatan sekular atau pandangan liberal yang tidak boleh diaplikasi terhadap umat Islam! Sayang sungguh orang-orang bijak pandai SIS hanya mahir dalam undang-undang tetapi mereka bukan pakar-pakar hukum Agama Islam yang boleh diikuti. Sebagai seorang wanita, SIS memalukan saya dengan kedangkalan ilmu dan strategi mereka! Kalau pun ada orang-orang penting SIS yang tidak mahu kahwin kerana tidak mahu menjadi 'hamba kepada lelaki' biarlah itu menjadi pandangan peribadi sahaja dan jangan bercakap bagi pihak orang lain! Itu suatu pendapat yang sangat peribadi saya kira tapi nasib baiklah ibu-ibu kita bersedia menjadi hamba kepada lelaki dan lahirlah kita! Kalau tidak, kita semua tidak ada di dunia dan ini termasuklah mereka yang berpendapat berkahwin itu menjadi hamba kepada lelaki.

Mungkin Dato Seri Shahrizat Jalil perlu berhati-hati dengan apa yang dikatakannya kerana tidak usah kira siapa yang jadi PM sekarang, hukum Islam tetap perlu diikuti dan ia tidak pernah berubah kerana ia berlandaskan Al-Quran bukan apa pandangan Tun Mahathir, Pak Lah mahu pun DS Najib. Kesilapan memberikan sokongan dan simpati kepada siapa juga mungkin mahal harga yang perlu dibayar kemudian hari kerana realiti dan senario besar serta arus di dalam UMNO mungkin berbeza sama sekali dengan apa yang ada di luar sana. Fikir-fikirkan .

Thursday, September 24, 2009

ASWARA Mahu Pentaskan Muzikal Patriotisme

Baru-baru ini Dato Omar Awang menulis dalam Utusan bahawa ASWARA akan terus mementaskan muzikal berunsurkan patriotisme dan tokoh-tokoh sejarah negara. Baguslah tu, saya setuju sangat kerana sebagai sebuah institusi kerajaan sememangnya menjadi tugas ASWARA mementaskan karya seni berbentuk begini. Pun begitu, kenapa hingga ke hari ini tiada muzikal mengenai Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia? Saya ingin mencadangkan ASWARA mementaskan teater mengenai Tunku di musim akan datang. Inilah satu-satunya tokoh sejarah yang banyak mencorakkan asas-asas penubuhan negara ini dan sayang sekali sehingga hari ini tidak ada siapa pun yang terfikir untuk membawanya ke pentas teater.

Impak Maksima ke Esplanade

Muzikal Impak Maksima akan dipentaskan di Panggung Esplanade Singapura atas jemputan orang sana. Saya kurang pasti atas dasar apa teater ini dipilih kerana sewaktu menontonnya tahun lalu saya tidak nampak di mana istimewanya muzikal ,mengenai budak lelaki jatuh cinta dengan budak perempuan dan melibatkan pergaduhan remaja dan lain-lain 'genre' kehidupan orang muda sekarang patut diangkat sebagai karya seni yang membanggkan? Mungkin keistimewaannya ialah kerana ada adegan drift kereta di atas pentas? Jadi ia dipilih kerana seni drift-mendrift? Kalau pun ia boleh dipanggil seni!

Lainlah kalau ada orang menghasilkan kisah dan dilema cinta dengan berlatar-belakangkan konspirasi politik, PRU 12 dan persoalan-persoalan berat ekonomi, perubahan sosial dan pengorbanan manusia-manusia yang terjebak di dalamnya serta penemuan makna cinta sejati, kejujuran, persahabatan, dendam serta pedihnya tertusuk tikaman dari belakang manusia-manusia yang disayangi selama ini? Mungkin saya patut menulis skrip begini. Dan orang yang saya bayangkan memegang watak utamanya ialah YB KJ! selepas menonton filem pendek KJ sebagai pemandu teksi saya sering memikirkan beliau cukup versatil untuk berlakon di atas pentas. Lagi pun sekarang dia belum pegang jawatan dalam kabinet jadi kalau dia berlakon banyak-banyak sekarang ini bagus juga! Saya yakin ahli-ahli Kelab Peminat KJ mesti suka. Saya yakin ada orang yang akan ketawa dengan cadangan ini, tetapi macam KJ saya juga suka berfikir di luar kotak. Kepala kita kadang-kadang sama dik!

Filem-filem Yasmin di Australia

Selepas menonton program tribute kepada arwah Yasmin Ahmad (dalam TV 3) beberapa bulan lalu, saya menghantar sms kepada Ku Seman. Kata saya, untungnya Yasmin buat filem cereka cuma tujuh tapi ada program tribute untuk karya-karyanya. Tapi AllahYarham Pak Arenawati menulis selama lebih daripada 50 tahun dengan entah berapa puluh novel dan mendapat anugerah Sasterawan Negara tidak ada pulak stesen TV yang membuat program untuk menghargai khazanah sastera yang beliau tinggalkan. RTM pun tidak buat program belangsungkawa untuk penulis-penulis terkenal kita secara konsisten. Hanya ada tokoh-tokoh tertentu saja yang dibuat program khas bila mereka meninggal dunia.

Mungkin Dato Seri Rais Yatim boleh memikirkan cadangan mengadakan program belangsungkawa secara konsisten tentang semua tokoh terkenal (selain tokoh politik) negara ini dalam apa juga bidang yang mereka ceburi. Ini juga ada kaitan dengan merakam sejarah serta kehidupan tokoh kebanggaan negara yang telah sepanjang kehidupan mereka mencurah bakti dalam bidang yang mereka ceburi. Saya cukup terkilan bila berbual dengan Prof Dr.Norhayati dari Universitas Hasannudin Makassar yang mengheret kamera, laptop dan segala macam alat perakam sewaktu beliau dengan seorang penuntutnya berada di sini untuk membuat dokumentari tentang Arenawati yang kita tidak buat. Kami tinggal sebilik di Hotel Seri Malaysia di Alor Setar ketika itu dan banyak cerita yang dikongsi bersama tentang Arenawati yang saya dapat dari beliau yang saya yakin tidak diketahui oleh ramai orang. Alfatihah untuk Tunku Abdul Rahman, Yasmin dan Pak Arenawati.

Friday, September 18, 2009

Berbuka Puasa dengan KJ Fan Club! Beberapa hari yang lalu, bertempat di Equestrian Country Club Bt.Kiara Khairy Jamaluddin Fan Club menganjurkan majlis berbuka puasa dengan YB KJ. Saya hadir sama walau pun bukan ahli KJFC. Selepas berbuka puasa dan solat Magrib Khairy yang cukup teruja dengan adanya KJFC yang bukan ditubuhkannya tapi merupakan inisiatif beberapa orang individu memberi ucapan diikuti dengan sesi dialog 'no hold bar' dalam mana apa juga soalan tentang dirinya beliau benarkan dan dijawab tanpa apa juga tapisan atau 'no comment'.

Ini kali pertama seorang ahli politik mempunyai kelab peminat di Malaysia. Dan keahlian seramai lebih 2000 orang di dalamnya adalah sesuatu yang sangat menarik perhatian saya. Malam tersebut hampir 200 orang hadir dan ianya terdiri daripada berbagai golongan dari pelajar sekolah hinggalah eksekutif syarikat korporat yang tidak ada kena mengena dengan UMNO atau pun Pemuda UMNO. Berbagai soalan dilontarkan kepada KJ dari kabar angin liar tentang beliau kononnya adalah kekasih lama kepada YB Nurul Izzah anak Dato Seri Anwar Ibrahim hinggalah kononnya beliau telah mengambil alih PETRONAS dan ada kepentingan dalam Air Asia, MAHB dll! Apabila soalan tentang pengambil-alihan PETRONAS dilontarkan, saya tak tahan nak tergelak dan dengan suara kuat berkata 'Please Do!' Beberapa orang yang duduk di sebelah saya dan merupakan bloggers Pro.Khairy.com turut tergelak bila saya berkata demikian. Kabar angin, gosip dan fitnah ini memang duduk dalam 'satu bakul' jadi gunakanlah lojik kelas pertama kalau nak percaya pun.

Sememangnya pembunuhan karekter adalah jalan termudah untuk menjatuhkan orang. Dan entah kenapa psiki masyarakat Melayu ini, kalau dia tak boleh naik ke atas, tarik orang yang di atas turun ke bawah supaya sama taraf dengan dia. Ahli masyarakat lain mungkin berbeza mekanisme nya kerana mungkin mereka akan berusaha dengan lebih kuat supaya mereka menjadi lebih baik dan hebat dan berjaya mendaki ke tangga yang lebih tinggi daripada orang lain. Ini ada kaitan dengan politik cantas dalam UMNO yang banyak diperkatakan oleh KJ malam itu. Inilah antara budaya tidak sihat dalam UMNO yang terus subur dipraktikkan. Hasilnya, siapa yang pandai mencantas akan terselamat walau pun orang itu tak ada substance
apa pun selain kemahiran berpolitik. Jadi macam mana kita nak dapat pemimpin politik yang cemerlang dengan substance yang tidak boleh dipertikaikan serta kemahiran berpolitik yang sihat, telus dan tidak bergantung kepada kemahiran membuat konspirasi untuk menjatuhkan orang lain?

Kata KJ lagi, beliau tidak mahu disokong kerana dia seorang KJ, tetapi sokonglah beliau kerana apa yang diperjuangkannya dan prinsip-prinsipnya. Sedikit masa lalu seorang bapa saudara yang amat saya kasihi dan hormati kerana keintelektualannya pernah berkata' KJ ni ada segala-galanya sebab itu ramai orang yang mahu melihat beliau tidak berjaya dan tidak boleh naik.' Beberapa orang teman dari Dunia Melayu yang sering ditemui di rumah GAPENA selalu berkata kepada saya KJ mempunyai potensi yang cukup tinggi dan mereka tidak hairan kalau beliau adalah seorang PM in the making!

Berkarisma, intelektual, pandai berdebat dan mengartikulasi isu-isu yang mahu diperkatakan saya amat bersetuju dengan KJ yang telah menubuhkan Kelab Debat Pemuda UMNO untuk melatih kemahiran berdebat ahli-ahli politik muda. Kalau kita lihat sesi persidangan parlimen hanya ada beberapa kerat ahli politik BN yang boleh berdebat dengan baik jika dibandingkan dengan ahli politik pembangkang. Dan bukan sahaja kemahiran berdebat mereka kurang, kemahiran mengartikulasi isu juga agak lemah. Ini di antara off-spring politik cantas kerana yang maha penting ialah survival politik seseorang bukannya samada beliau masih perlu berada dalam dunia politik atau ada orang yang lebih baik, berilmu dan releven berada di situ yang boleh memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang.

Seperti yang saya katakan malam itu, UMNO amat memerlukan anjakan paradigme untuk terus relevan dan KJ perlu melakukan sesuatu dan memulainya dengan Pemuda UMNO.

SELAMAT HARI RAYA

Sempena Hari Raya Aidil Fitri yang akan disambut beberapa hari lagi, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir batin kepada semua yang mengenali saya dan membaca blog ini serta tulisan-tulisan saya di surat kabar dan majalah.

Monday, September 7, 2009

Artikel Tentang Tone Brulin

Hari Ahad lalu, Berita Minggu telah menyiarkan artikel saya yang tersilap tajuknya berbunyi Skrip Balada Hilang Peta Akan Diterjemah Ke Bahasa Belanda. Bukan skrip sebenarnya, tapi Antologi Puisi Balada Hilang Peta karangan Sasterawaan Negara (SN)A.Samad Said. Ada bahagian artikel tersebut yang telah diedit kerana agak panjang, jadi saya letakkan artikel yang originalnya dalam posting ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

ANTOLOGI BALADA HILANG PETA DI TERJEMAH KE BAHASA BELANDA
Antara perkara yang saya paling terkilan tahun lalu ialah tidak sempat membawa Tone Brulin @ Iskandar bin Abdullah serta isterinya Siti Fauziah Abd.Rahman berjumpa pihak tertentu untuk menerbitkan skrip-skrip beliau yang telah ditulis, diadaptasi dan dipentaskan di Malaysia semenjak beliau mengajar di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang hampir 34 tahun lalu. Suatu kemalangan kecil di rumah mereka di Hulu Langat menyebabkan Tone atau nama sebenarnya Anton Van Den Endyne terlantar di hospital selama 3 minggu sewaktu pementasan teater Roh Anai-Anai tulisan dan arahannya berlangsung di panggung Lambang Sari Istana Budaya. Yang terdaya saya lakukan hanyalah menginterviu beliau sambil melawatnya di hospital yang jelas berada dalam kemurungan selepas dibedah. 2 artikel saya tentang Roh Anai-Anai dan Siti Fauziah telah di muatkan dalam Majalah PENTAS keluaran Istana Budaya tahun lalu.
Tone adalah seorang tokoh besar teater di Eropah dan terkenal di seluruh dunia dengan kumpulan TIE 3 atau Theatre in Europe of the Third World. Dengan mendapat geran tahunan dari kerajaan Belgium kumpulan Tone dengan Siti Fauziah sebagai pelakon utamanya menjelajah ke seluruh dunia selama hampir 15 tahun dan mementaskan teater demi teater yang meletakkan mereka sebagai grup teater profesyenal yang berada dalam liganya yang tersendiri. Mereka mengadaptasi cerita dan teks dari berbagai sumber tempatan di mana sahaja mereka berada. Mereka belajar, mengenali dan mengapresiasi manusia yang datang dari latar budaya yang berbeza melalui teater. Pelakon-pelakon kumpulan ini terdiri dari berbagai bangsa dari seluruh dunia dan hanya beberapa orang dari Belgium sendiri. Suatu eksperimen dalam menyatukan manusia dari berbagai budaya dan latar-belakang dalam satu kumpulan teater yang bertujuan meruntuhkan tembok-tembok perbezaan di antara kita dan belajar hidup bersama sebagai satu bangsa yang bernama manusia, saya kira.
Beberapa tahun lalu, UNESCO telah menerbitkan sebuah buku dalam Bahasa Flemish tentang Tone Brulin dan pencapaiannya bertajuk ‘ An Exceptional Life in Theatre’. Penghormatan UNESCO kepada beliau adalah pengiktirafan tertinggi kepada seorang aktivis teater antara-bangsa yang menjadi duta kecil kesenian negaranya dan kemanusiaan seluruh dunia. Mungkin banyak perkara yang boleh kita pelajari dari Tone Brulin dan Siti Fauziah tentang memperkembang dan mengantara-bangsakan teater serta kesenian kita ke peringkat yang lebih tinggi. Tidak ada gunanya penyanyi serta filem-filem kita memenangi hadiah antara-bangsa tetapi kesenian kita tidak diterima dan mendapat tempat di luar negeri terutama dari segi pemasaran. Mendapat pengiktirafan antara-bangsa adalah hanya satu batu tanda pencapaian, tetapi penerimaan khalayak antara-bangsa dalam apa juga genre seni kita adalah satu perkara lain. Dan tidak ada gunanya genre seni kita menang dan terus menang tetapi ia tidak dapat dipasarkan dan dinikmati oleh orang ramai. Ini perkiraan kecemerlangan yang seterusnya yang perlu diambil kira.
Kalau penyanyi indie Zee Avi (dulunya Koko Kaina) dari Miri, Sarawak dapat menembusi pasaran di Amerika Syarikat kerana albumnya di terbitkan oleh Jack Johnson dengan mendapat reviu yang baik dari Majalah Rolling Stone, apakah kita tidak boleh bekerjasama dengan tokoh teater besar seperti Tone Brulin untuk mementaskan teater kita di Eropah? Sekali lagi kita perlu berfikir semula tentang cara kita berfikir dan mengadaptasi diri dengan kehendak dan keperluan menjadi negara dunia pertama. Untuk itu, minda kita perlu diorientasikan berfikir dengan cara yang lebih dinamis, terbuka dan berjiwa besar, bukan terus-terusan menjadi pengimport budaya luar sahaja.
Apabila Tone menghantar emel kepada saya bulan April lalu mengatakan mereka akan balik ke Malaysia dalam bulan Jun , saya mengatur rancangan dan beberapa pertemuan dengan berbagai pihak untuk merealisasikan penerbitan skrip-skripnya. Beliau telah menghasilkan lebih daripada 35 buah skrip sepanjang penglibatannya dalam teater semenjak berumur 17 tahun di Antwerp, Belgium. Pada masa yang sama ia menyaksikan mereka bekerjasama dengan ramai tokoh teater besar di seluruh dunia temasuk AllahYarham WS Rendra, Ariffin C.Noer, Wole Soyinka, mendiang Ingrid Bergman, Harold Pinter dll. ‘The Master’ (panggilan A. Wahab Hamzah) ini sudah berumur 82 tahun dan masih aktif menulis dan mengadaptasi teks teater dari seluruh dunia. Terbaru, kami mengerjakan semula penterjemahan teks Roh Anai-Anai yang telah dilakukan oleh pelajar jurusan teater UITM yang terlibat dalam pementasannya tahun lalu. Teks ini berasal dari cerita Eugene Marais ‘ This In Not Eugene’ seorang botanis yang mengkaji tentang serangga dan babun di Afrika. Latar-belakang teks ini adalah di sebuah perkampungan Melayu Cape di Afrika Selatan ketika Eugene sedang terlantar sakit dan menumpang di rumah seorang petani di situ. Tone mendedikasi penerbitan skrip ini untuk tokoh teater Malaysia yang tidak asing lagi iaitu Krishen Jit.
Teks penuhnya akan diterbitkan dalam Majalah PENTAS yang akan datang, sementara teks Naga-Naga Siapa Kau, Naga-Naga Di Mana Kau yang dipentaskan di USM, Kuala Lumpur dan Jakarta 30 tahun lalu juga akan diterbitkan. Saya juga sedang menghubungi rakan-rakan lama yang mungkin memiliki skrip Torando yang kami pentaskan dalam tahun 1975 tapi malangnya hingga sekarang masih belum berhasil. Beberapa skrip lain seperti Tales of Mah Meri dan Tak Kotak-Kotak akan dicari semula di arkib di Anterwerp dan Siti Fauziah yakin beliau dapat membawanya balik tahun depan. Teks Tales of Mah Meri adalah kisah Orang Asli dari Pulau Indah (Pulau Carey) dan akhirnya ditukar tajuknya menjadi Tales of Nandataha dan merupakan skrip pertama yang berlatar-belakangkan Malaysia dipentaskan banyak kali di seluruh dunia dengan mendapat sambutan yang hangat di Kepulauan Carribean, Belanda, Belgium malah dipentaskan di Festival Teater di Nancy, Perancis.
Perjumpaan dan perbincangan juga telah diadakan dengan sahabat-sahabat di GAPENA. Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein Ketua 1 GAPENA menyatakan beliau amat berminat untuk membukukan koleksi skrip Tone terutama yang dikerjakan dalam Bahasa Malaysia dan berlatar-belakangkan Malaysia serta diaspora Melayu di seluruh dunia. Saya yakin perkara ini dapat dilakukan sebaik sahaja teks-teks yang berkenaan dapat dikumpulkan. Begitu juga perbincangan di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang telah kami adakan 2 minggu lalu telah menimbulkan minat untuk menterjemah Tales of Mah Meri ke dalam Bahasa Malaysia. Semoga ianya dapat direalisasikan secepat mungkin.
Saya juga telah menemukan Tone Brulin dengan Sasterawan Negara (SN) Dato A.Samad Said di Dewan Bahasa dan Pustaka di Majlis Menghampiri Ulang Tahun ke 75 Pak Samad dan baru-baru ini di ITNM. Pak Samad telah lama mengikuti perkembangan dan mengetahui karya-karya Tone Brulin tapi ini kali pertama dua seniman besar dan prolifik dari dua dunia yang berbeza ini bertemu dan saya adalah orang paling bahagia kerana dapat berbuat demikian. Malang sekali kali ini saya tidak dapat mempertemukan Tone dengan SN Dato Nordin Hassan yang agak uzur kebelakangan ini walau pun sewaktu dihubungi melalui talipon, Cikgu Nordin begitu kepingin untuk bertemu dengan beliau. InsyaAllah jika dipanjangkan umur, ianya pasti dapat dilakukan suatu hari nanti.
Apa pun, kami semua cukup gembira bila Tone Brulin mengumumkan beliau akan menterjemah antologi puisi Balada Hilang Peta yang mengandungi puisi-puisi tulisan Pak Samad ke dalam Bahasa Belanda dan akan menerbitkannya di sana. Suatu usaha kecil tetapi amat besar implikasinya saya kira kerana terjemahan yang akan dilakukan oleh seorang seniman besar seperti Tone Brulin akan meletakkan Balada Hilang Peta di tempat yang istimewa daripada jika ianya diterjemahkan oleh orang lain yang bukan dalam kedudukan beliau. Satu penghormatan besar kepada seorang sasterawan kita daripada seorang seniman besar Eropah yang melakukannya kerana dia amat suka dengan antologi ini. Beberapa buah tulisan Pak samad yang lain juga sedang giat diterjemahkan melalui usaha-usaha ITNM yang cukup agresif dan dinamis mengerjakannya dalam usaha mengantara-bangsakan hasil sastera kita.
Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Muhammad baru-baru ini di Balai Seni Lukis Negara telah menganjurkan supaya karya seni tampak kita dipamerkan di luar negeri dalam usaha mengangkat budaya dan keseniaan kita ke tahap yang lebih tinggi disamping memperkenal negara ini untuk tujuan pelancongan atau apa saja. Sememangnya itu adalah cadangan yang baik dan sihat serta tidak memerlukan belanja yang banyak atas nama mengekalkan warisan dan budaya kita. Perkara ini banyak kali saya sentuh dalam blog saya http://disudutbibirku.blogspot.com dan Alhamdullilah Tun Mahathir pun berkata demikian. Mungkin Kerana akhirnya, Tun Mahathir cukup sedar tidak ada gunanya mempunyai 10 Menara Berkembar Petronas pun kalau anak bangsa kita tercabut minda, akar budaya dan jiwanya dari menjadi orang Malaysia. AyahandaTun Mahathir, terima kasih.

Friday, September 4, 2009

Antologi Balada Hilang Peta diterjemah ke Bahasa Belanda

Sehari sebelum berangkat pulang ke Anterwerp baru-baru ini, bertempat di ITNM saya, Tone Brulin @ Iskandar bin Abdullah serta isterinya Siti Fauziah Rahman telah bertemu dengan SN Dato A. Samad Said dan isterinya Datin Rashidah. Sebelum itu kami semua telah pun bertemu di DBP, tetapi Tone Brulin meminta saya menemukan beliau dengan Pak Samad sekali lagi. Dalam pertemuan itu, Tone mengumumkan akan menterjemah Antologi Puisi Balada Hilang Peta tulisan Pak Samad ke dalam Bahasa Belanda dan akan diterbitkan di Amsterdam. Tone memilih antologi ini kerana dia menyukainya dan bukan kerana Pak Samad kebelakangan ini menjadi semakin populer dengan berbagai isu kontroversial dan penampilannya di ceramah parti pembangkang dll. Mengenali Tone Brulin yang begitu teliti dengan penulisan teks-teks teaternya yang menekankan aspek seni serta kedalaman intelektual yang tidak boleh dipertikaikan, saya tidak hairan beliau memilih antologi ini untuk diterjemahkannya. Alhamdullilah, usaha kecil ini pastinya mempunyai implikasi yang besar kepada perkembangan sastera Malaysia, apabila tokoh teater besar dunia yang mendapat pengiktirafan UNESCO memilih untuk menterjemah karya sastera seorang sasterawan kita yang cukup prolifik dan penting ke satu bahasa ilmu yang cukup penting di dunia.

Ada orang bertanya kepada saya, kenapa karya Pak Samad yang kini menjadi jaguh di pentas-pentas pembangkang yang dipilih? Saya menjawab bahawa ini pilihan Tone sendiri kerana beliau menyukainya. Lagi pun, apa yang dihebohkan sangat? Pak Samad pernah membuat pengumuman di media bahawa beliau bukan orang politik atau ahli PKR atau PAS tetapi bercakap di pentas mereka kerana dia tidak punya alternatif. Kalau UMNO memanggil dia untuk bercakap di pentas UMNO, itu juga akan dilakukannya. Lagi pun, apa bezanya Pak Samad bercakap di pentas pembangkang daripada Tun Mahathir bercakap dalam Malaysiakini mengkritik dasar-dasar Pak Lah dan menyindir Mantan Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin sebelum pilihanraya 2008 yang lalu? Double standard tak boleh dipraktiskan dalam apa juga situasi saya kira!