Wednesday, December 31, 2008

Tersungkur Engkau

Kiranya
semua ini hanyalah tingkah mu
untuk menewas orang yang kau panggil musuh
apakah engkau sudah lupa
Dia telah lebih dahulu
menewas
dengan meragut bahagia mu?

Kiranya ini semua
hanyalah helah mu memerangkap ku
apakah engkau sudah lupa
Dia terlebih dahulu
telah memperlahan langkah mu
dengan kesakitan demi kesakitan
dan engkau tersungkur akhirnya
ditikam dari belakang
ah! pedih mu dapat ku rasa
sebenarnya
aku cukup simpati dengan mu
tapi percayalah
semua itu adalah ubat pahit dari Nya
kepada mu
yang kurang rasa kurang timbangan
terhadap kami yang kesakitan dan kelukaan
lalu dipalitkan pula kedukaan dalam hidup mu
supaya engkau tahu
bukan hak mu menghukum orang lain

Tuesday, December 30, 2008

Kisah Tukang mandrem

Seperti biasa, postings saya mengenai cerita Nadia baru-baru ini menimbulkan riaksi. Saya dihubungi oleh seorang wanita yang mengenalkan dirinya sebagai Maya dan bercerita tentang apa yang terjadi kepadanya. Kisah beliau tidak banyak bezanya dari cerita Nadia, Ika dll. Tapi sedikit creepy kerana banyaknya episdod si tukang mandrem yang rupanya diupah oleh orang-orang tertentu untuk mengawal dan mengacau kehidupannya. Suatu ketika dulu saya bukannya percaya sangat tentang cerita begini, tetapi bila mengenangkan quran pun banyak kali menyebut tentang perbuatan sihir saya percaya tentang kewujudannya(rujuk Surah Yunus!).

Ok Maya adalah seorang wanita yang mengajar di sebuah sekolah di KL. Dan dia baik dengan seorang kaunselor disekolahnya yang dianggap sebagai abang angkatnya. Namanya Faizal. Setiap kali Maya ada masalah dengan suaminya seorang eksekutif di sebuah korporat, Faizal lah tempat dia mengadu hal, apalagi kerana mereka juga mempunyai hubungan kekeluargaan walaupun jauh. Maya amat mempercayai Faizal dan sedikit pun tidak menyangka bahawa abang angkatnya ini boleh melakukan perkara yang paling tidak patut terhadapnya. Selepas beberapa tahun mengajar bersama, Faizal ditawarkan jawatan tinggi di jabatan lain yang amat penting dengan akses yang mudah kepada ramai VIP, tokoh korporat, orang politik dll. Kepakarannya dalam bidang kaunseling merupakan kekuatannya. Tuah badan Faizal si abang angkat Maya!

Pun begitu, mereka masih mempunyai hubungan baik dan setiap kali Maya bermasalah dia akan menalipon Faizal dan mereka akan bertemu untuk sesi kaunseling. Apa yang tidak diketahui oleh Maya ialah Faizal menaruh perasaan kepadanya dalam diam-diam dan menunggu masa Maya jatuh ke tangannya. Pun begitu, mereka tidak selalu bertemu kerana masing-masing sibuk dengan kerja dll. Maya juga mencari mekanisme lain untuk mengatasi masalahnya dan melalui seorang ustazah teman rapatnya di sekolah dia semakin mendekatkan diri dengan agama. Dan entah kenapa ustazah kawannya sering mengajarkan dia ayat-ayat quran menentang ilmu sihir dan menyuruh dia mengamalkannya. Pada sangkaan Maya, itu semua adalah kerana dia mengsyaki keluarga suaminya yang kerap menggunakan bomoh dan ada 'pusaka' dalam keluarga mereka seperti yang diceritakan oleh pak cik suaminya kepada Maya sendiri.

Tetapi ada perkara pelik berlaku kepada Maya bila dia mula mendekatkan diri kepada agama. Entah macam mana, 'instinct' atau firasat Maya menjadi semakin kuat dan dia tahu apa yang akan berlaku sebelum perkara itu berlaku. Malah dia dapat membaca fikiran, perasaan dan niat seseorang yang rapat kepadanya. Dan jika orang itu mempuyai niat yang tidak baik kepadanya, Maya akan merasa resah dan kadang-kadang fobia serta memberitahu orang tersebut jangan buat begitu dan begini kepadanya kerana sesuatu yang buruk akan menimpa orang tersebut kalau ia terus berbuat demikian kepada Maya. Dan sememangnya perkara tersebut akan berlaku mengikut pemerhatian Maya. Banyak kali dia melihat sendiri macam-macam berlaku kepada berbagai orang di sekelilingnya yang kemudian diketahui telah melakukan perkara yang tidak sepatutnya kepadanya. Al Quran mengatakan ilmu Allah Taala itu amat luas dan Dia memberikan kelebihan kepada orang yang dipilih Nya. Seperkara yang diketahui oleh ramai kawan-kawannya ialah Maya mempuyai perwatakan yang lurus bendul kadang-kadang dan sering diambil kesempatan oleh orang disekelilingnya. Maya juga tidak boleh tengok orang lain berada dalam kesusahan dan kalau mengetahuinya, pasti dia akan membantu apa yang terdaya. Tetapi seringkali kebaikan dan keikhlasan Maya disalah-erti dan dia dipergunakan. Dia dididik begitu agaknya kerana Maya datang dari keluarga yang kuat agama dan ada ulamak terkenal dalam kalangan anggota keluarganya.

Berbalik kepada cerita Faizal, setelah bersara dari jawatannya dia tiba-tiba menghubungi Maya yang sedang dalam proses hendak bercerai dengan suaminya setelah perkahwinan itu tidak dapat diselamatkan lagi. Entah macam mana Faizal mengetahui bahawa Maya berada dalam situasi yang sukar! Tetapi Maya tidak mengindahkan semua itu kerana yang penting baginya adalah menghadapi kehidupan baru dengan aanak-anaknya. Beberapa kali selepas bercerai, Maya bertemu dan rapat dengan berbagai orang yang berminat kepadanya, tetapi macam-macam perkara berlaku. Hubungannya dengan sesiapa juga yang mendekatinya sentiasa 'panas' dan sering bergaduh tanpa sebab kadang-kadang. Apalagi bekas suami Maya berada dalam keadaan 'overdrive' berkempen sana sini untuk menunjukkan kepada semua orang bahawa Maya ini bermasalah dengan dirinya bukan kerana suaminya yang tak betul! Apa yang tidak diketahui oleh Maya ialah ada ahli keluarganya yang bersekutu dengan bekas suaminya dan juga Faizal untuk 'mengajar' Maya tentang kehidupan!! Malah atas kepentingan orang tertentu, ramai lagi orang lain yang terlibat dan mengupah si tukang mandrem ini untuk mengawal dan 'mengurung' Maya supaya tidak jatuh ke tangan orang lain. Dan ini ada kaitan dengan kedudukan Maya yang datang dari keluarga ulamak terkenal tersebut. Macam cerita The Firm juga la ni. Tapi versi lain. Versi yang melibatkan yang natural dan supernatural!

Hanya setelah melalui berbagai perkara pelik dan tidak masuk akal kadang-kadang, barulah Maya tahu yang dia disihir oleh abang angkatnya! Dan setelah mengorek cerita tentang Faizal barulah dia tahu Faizal menggunakan ilmu hitam untuk menguasai orang lain supaya suka dan mengikut cakapnya.Itulah kelebihan Faizal yang menjadikannnya dicari oleh semua orang besar dan kecil. Perbuatan Faizal memang diketahui oleh ramai orang tetapi mereka yang terdesak dan tidak kuat imannya akan jatuh ke tangan kaunselor yang licik dan amat berpengaruh di pejabatnya. Tetapi Maya akhirnya dapat menjejaki rahsia dan kelicikan abang angkatnya yang sebenarnya ditamatkan perkhidmatannya di jabatan lamanya sebelum dia bersara awal. Sebabnya? Disiplin. Faizal diketahui mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita sewaktu bertugas di Malaysia Timur dan mempunyai anak luar nikah dengan seorang wanita tempatan di sana. Dan tujuannya mendekati Maya ialah untuk mengambil kesempatan terhadapnya dari segi kewangaan dll yang boleh memberi keuntungan kepadanya. Faizal yang sudah biasa hidup berpeleseran dan berfoya-foya di luar rumah mahu meneruskan stail kehidupannya dan memerlukan wang yang banyak untuk berbuat demikian.

Kesian Maya, orang yang amat dipercayainya selama ini adalah orang yang paling tidak boleh dipercayai. Pun begitu, nasib baik Maya menyedarinya dan sempat menjauhkan diri daripada abang angkat yang tidak layak menjadi abang angkat langsung. Mungkin itu sebabnya Allah Taala memberikan kelebihan ilmu kepada Maya yang tidak diberikan kepada orang lain. Allahuakbar.

Monday, December 29, 2008

PAOLO BERTOLIN: FESTIVAL FILEM ADALAH UNTUK FILEM
OLEH
SITI RUQAIYAH HASHIM
Sewaktu Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (KLIFF)Baru-baru ini saya sempat berbual panjang dengan Paolo Bertolin ko-ordinator Venice Film Festival (VFF) bahagian Sinema Asia yang turut serta berada di Kuala Lumpur. Sejak tahun lalu Paolo tidak ketinggalan menyertai KLIFF dan orang yang bertanggung-jawab membawa filem Mamat Khalid Kala Malam Bulan Mengambang ke Venice Film Festival. Paolo juga bertindak untuk Udine Film Festival dan percakapan dengan beliau menghurai banyak persepsi serta salah faham tentang kriteria pemilihan filem-filem Asia di beberapa festival filem di Eropah termasuk di Cannes dan juga Berlin yang merupakan festival paling berprestij dan berwibawa dan tertua di dunia.

Berikut adalah interviu saya (SRH) dengan beliau yang diadakan selepas KLIFF 2008 berakhir.

SRH: Apakah kriteria yang dipakai dalam pemilihan filem ke Festival di Venice seperti yang diketahui dan dipraktis?
Paolo: Secara amnya bagi festival besar seperti Venice, Cannes dan juga Berlin yang mengadakan pertandingan, saya perlu katakan tiada kriteria yang menentukan filem mana yang masuk dan yang mana tidak boleh masuk. Tiada peraturan ketat yang dipakai melainkan filem yang telah dibuat tayangan perdananya lebih dari satu tahun sebelum festival tidak boleh diterima.
Contohnya baru ini Festival Filem Venice diadakan pada bulan September dan ada satu filem dari Hungary yang telah ditayangkan sebelum tahun 2007 telah tidak diterima. Begitulah antara peraturan yang digunapakai.
Peraturan lain ialah jika sesuatu filem itu telah diterbitkan dalam DVD di negara asalnya juga tidak layak dipilih ke festival walaupun ditayangkan dalam masa kurang dari setahun dari tarikh festival. Tentang tema, kandungan dll aspek perfileman kita tidak kenakan apa juga peraturan.
Satu lagi ialah mengenai filem di bawah 30 minit dikira sebagai filem pendek dan pemilihannya dibuat oleh jawatan kuasa lain yang mengendalikan pertandingan filem pendek. Filem sederhana antara 30 minit hingga 1 jam dikira sebagai filem pendek juga dan tidak layak untuk masuk Festival Filem Venice. Jadi hanya kriteria umum saja yang ada.
SRH: Bagaimana dengan kandungan filem tersebut? Adakah faktor tertentu yang diambil kira?
Paolo: Bila kami menonton apa juga filem mungkin faktor yang menjadikan sesuatu filem itu releven di Venice, Berlin atau pun Cannes ialah kami melihat bagaimana riaksi audien festival terhadapnya?Dan juga bagaimana riaksi pihak media Itali dan antarabangsa terhadap filem tersebut? Apakah ia akan disukai atau diterima? Ianya menjadi masalah kadang-kadang menjadi kekangan juga. Kerana kadang-kadang filem dari latar-belakang budaya yang berbeza tidak begitu baik penerimaan dan apresiasinya oleh audien Itali, Perancis atau Jerman.
Kadang-kadang hanya kerana aspek kemahiran teknikalnya pun boleh menyebabkan filem itu ditolak oleh penonton atau media dan kami dapat rasakan filem yang mana tidak disukai oleh audien disebabkan oleh bagaimana filem itu dibuat dan bukan atas sebab lain.
SRH: Adakah ini berkaitan dengan isu serta sebab-sebab kontroversi di dalam sesebuah filem?
Paolo: Tidak juga. Tetapi lebih kepada filem itu tidak difahami dan tidak disukai dalam konteks yang tertentu. Contohnya beberapa tahun yang lalu, ada sebuah filem Filipina yang merupakan filem terbaik bagi tahun 2002/03 yang sangat populer tetapi di Venice audien dan media Itali tidak menerimanya. Ia kelihatan begitu buruk pembikinannya dari aspek teknikal bukan dari aspek penceritaan, tema dan plot. Hanya kelemahan teknikal. Dan ini akan meletakkan filem ini ditempat yang rendah bila dibandingkan dengan filem-filem Amerika Syarikat, Perancis dan dll. yang lebih baik dari segi teknikalnya.
Pada mulanya semua orang sedikit teruja dengan filem ini kerana popularitinya di Filipina. Tapi di Eropah, pengkritik filem pun tidak menerimanya kerana kelemahan tekniknya walaupun mereka ini tidak berapa faham dan biasa menonton filem-filem Filipina.
Perkara seperti ini amat penting. Saya akui, ianya merupakan kekangan yang mendiskriminasi industri kerana filem dari Filipina ini bukannya dari negara kaya seperti filem dari negara lain. Tetapi ianya sangat mustahak (aspek teknikal yang baik).
Pun begitu, teknologi baru digital sekarang menyama-ratakan filem dari semua negara di seluruh dunia. Dan bagi pembikin filem bebas yang tidak memerlukan bajet yang besar, sebuah filem yang baik akan menjadi filem yang baik.
Teknologi digital telah membawa kesama-rataan kepada semua pembikin filem di mata audien dan para perancang program festival. Dengan filem-filem digital, anda memahami bahawa ianya dibuat dengan bajet yang rendah diluar kebiasaan industri. Anda juga akan dapat mengapresiasi idea pembikin filem bebas, ketabahan dan kemahuan mereka yang tinggi dalam membuat filem walaupun dengan bajet yang rendah.
SRH: Dan dalam filem-filem ini, kreativiti amat bermakna dan mengatasi segalnya?
Paolo: Sememangnya begitu. Kreativiti menjadi keutamaannya. Ini termasuk dalam menilai dan membuat keputusan penjurian filem. Sekurang-kurangnya begitulah harapan saya, kerana kadang-kadang ia tidak jadi begitu. Teknologi ini telah meningkatkan peluang pembikin filem tertentu dari negara tertentu memasuki festival.
SRH: Anda menyebut tentang filem Filipina yang tidak berapa baik dari aspek teknikal yang telah ditolak. Bagaimana kalau dibandingkan dengan filem-filem Iran yang diterima di festival di Eropah? Adakah ianya dilihat dari kaca-mata yang sama kerana filem-filem Iran banyak yang telah menang di festival Eropah. ?
Paolo: Ya sudah tentu.Tapi dalam dua dekad yang lalu saya tak nampak filem-filem Iran yang menang di festival antara-bangsa kasar pembikinannya. Dalam kes filem-filem Iran ianya benar-benar dapat mengakses festival kerana ianya ‘bercakap’ kepada semua audien. Walau pun ianya sangat unik bila anda menonton filem Iran anda tahu dari mana ia datang . Dari pakaian dan kostum pelakon-pelakonnya sahaja anda sudah tahu ia filem Iran.
Jenis ceritanya juga sangat jelas mempamerkan ianya sangat universal dan jujur. Apabila nama-nama besar pengarah Iran seperti Kiorastami, Makhbalbaf, dll muncul di senario festival antara-bangsa mereka juga mempersembahkan cerita secara visual dalam erti kata menggunakan bahasa filem yang kuat. Inilah jenis seniman yang bukan saja boleh membawa cerita yang kuat dan bagus tetapi juga membuatnya dengan sinematik yang sangat menakjubkan.
Sebagai perbandingan,ianya seperti seorang pengarang yang menulis cerita yang hebat dan amat menyentuh dan ditulis dengan bahasa yang amat indah. Beginilah yang dilakukan oleh Kiorastami, Makhbalbaf dan Majid Majidi dll yang boleh membawa citra negara mereka dengan cara yang mudah dan bercakap kepada semua orang di seluruh dunia. Kerana akhirnya anda akan dapati semua manusia itu sama walau apa pun latar baudaya mereka. Bagaimana mereka berinteraksi antara satu sama lain, bagaimana mereka menderita,ketawa,menangis dll adalah sama saja walau di mana pun. Dan ini dilakukan dengan sinematik yang amat hebat, memberi inspirasi,kreatif dan sangat original. Juga sangat halus dan penuh dengan subtleteis dan ianya sangat penting.
SRH: Akhir sekali, apa harapan anda untuk menambahbaik KLIFF di masa yang akan datang?
Paolo: Yang paling saya harapkan ialah festival ini benar-benar memberi fokus untuk filem. Festival filem adalah untuk filem. Dan saya amat mahu melihat festival filem yang menyentuh audiennya. Dan ini termasuk festival filem tempatan. Kenapa anda perlu buat festival yang berrtanding antara satu sama lain? Kenapa perlu buat festival yang cuba menjadi seperti Cannes, Berlin ataupun Venice Asia? Kenapa tidak fikirkan festival digunakan sebagai alat untuk membantu industri nasional dan juga audien nasional?

(Interviu penuhnya akan dimasukkan dalam majalah Suara Baru edisi Januari).

Sunday, December 28, 2008

Pakatan Keadilan Rakyat apa sudah jadi?

Belum pun beralih hari kata orang kampung saya, orang-orang dalam Parti Keadilan Rakyat telah menunjukkan belang masing-masing. Hanya beberapa bulan yang lalu, Dt.Seri Anwar Ibrahim sibuk ke sana ke mari cuba mendapatkan Ahli-Ahli Parlimen BN menyeberangi Dewan Rakyat untuk membolehkan beliau menubuhkan kerajaan dan menjadi PM dan langkah beliau dikritik hebat bukan saja oleh BN tetapi juga banyak pihak dan menyifatkannya sebagai tidak beretika. Malah di kalangan Pakatan Rakyat sendiri, banyak pihak yang tidak merestui perbuatan beliau walaupun mereka berdiam diri mengenainya. Banyak pihak yang menyarankan Ahli Parlimen yang mahu menukar parti perlu meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi mereka supaya pilihan-raya kecil boleh diadakan untuk mendapatkan mandat baru yang sah sebagai benar-benar mewakili kehendak rakyat kawasan yang berkenaan.

Sejak beberapa hari yang lalu, ribut kecil sedang berlaku di kawasan Parlimen Kapar, Selangor kerana wakil dari PKR yang memenangi kawasan tersebut mahu keluar dari parti kerana beliau tidak gembira dengan cara Menteri Besar Selangor bertindak dan mentadbir negeri ini. Saya menjangkakan pasti mudah bagi wakil Kapar ini berbuat demikian kerana itulah prinsip demokrasi yang dipercayai oleh PKR dan ahli-ahli Pakatan Rakyat yang lain, kerana itulah yang hendak mereka lakukan kepada orang-orang BN beberapa bulan yang lalu . Membeli atau memujuk orang BN memasuki PR tidak melibatkan isu etika kerana ini namanya demokrasi. Tetapi tiba-tiba wakil Kapar diminta meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi parlimen atas dasar wakil tersebut telah dipilih atas tiket PKR/PR dan rakyat kawasan itu perlu memberikan mandat baru siapakah calon yang mereka mahu mewakili mereka. Kenapa perlu berbuat demikian? Bukankah wakil Kapar perlu diberi hak demokrasi beliau seperti yang mahu ditagih daripada ahli-ahli BN yang mahu menyertai PR? Sekali lagi ini menunjukkan sikap double standard pembangkang yang amat memualkan. Apa sudah jadi PKR/PR?

Thursday, December 25, 2008

Teresa Kok dan Saman RM30 juta

Saman YB Teresa Kok terhadap Utusan Malaysia dan Dato Chamil Wariya sangat menarik perhatian saya. Pun begitu tidak ramai yang mahu menganalisis situasi ini kerana takut kalau-kalau ia menjadi subjudice dan memberi kesan tertentu kepada kes mahkamah yang telah difailkan. Tanpa mahu melibatka diri saya dalam perkara-perkara teknikal kes ini, saya cuma ingin menyoal di mana letaknya prinsip demokrasi bersuara yang dilaung-laungkan oleh Teresa dan Parti DAP selama ini? Apakah cerpen tulisan Dato Chamil dengan tajuk YB J yang tersiar dalam Mingguan Malaysia sedikit waktu lalu tidak lebih merupakan hak seseorang menulis seperti yang dimahukannya dan tidak perlu dipersoalkan oleh orang lain? Bukankah DAP selama ini amat kuat memperjuangkan prinsip kebebasan bersuara jadi kenapa hak bersuara orang lain mahu disaman dan di 'intimidate' dengan tindakan mahkamah? Apa yang ditulis dalam cerpen tersebut tidak lebih daripada memanfaatkan lesen kreatif seseorang penulis. So whats the big deal? Sekali lagi Teresa dan DAP ternyata mengamalkan double standard yang paling jelas dan amat memualkan!

Wednesday, December 24, 2008

The Firm ala Malaysia!

Seperti yang dijangka postings mengenai kisah Ika baru-baru ini menarik perhatian ramai. Dan seperti biasa mereka tidak mahu dikenali dan tak berani memberi komen secara langsung kepada saya dalam ruang ini. Tetapi berbagai cara dilakukan untuk bercerita tentang berbagai kisah lagi. Seorang teman rapat saya dihubungi oleh seorang teman lama yang juga ada kisah yang nak dikongsi bersama. Jadi ini kisah kawan kepada kawan saya!

Namanya Nadia. Dan kisahnya masih pada 'broadband' yang sama- dibuli, dimanipulasi, diambil kesempatan, ditipu dan dipergunakan oleh saudara-mara, orang politik dan bekas suami. Ini sudah klise tapi ada twist yang cukup menarik. Nadia minta 'disiberkan' kisahnya supaya siapa yang makan cili api tu biarlah dia yang rasa pedasnya. Seperti Kay, Fiona dan Ika mereka menjadi mangsa kerana berdiam diri dan menderita kerana mereka cukup baik, tak mahu bising, mahu menjaga air muka keluarga dan tak mahu anak-anak menderita. Jadi mereka terpaksa memendam rasa bertahun-tahun dan cukup menderita. Mengikut kawan saya, Nadia menangis terisak-isak bila bercerita tentang kisahnya. Mengingatkan saya kepada kata-kata Ensieh Shah Hoesseini Pengarah Filem Iran yang saya temubual baru-baru ini bahwa 'luka itu tetap luka' sampai bila-bila!

Bagi mereka yang sering mengikuti kisah Mendiang Puteri Diana semasa hidupnya pasti masih teringat tentang istilah 'The Firm' yang digunakan oleh beliau bila bercakap tentang keluarga Di Raja disekelilingnya. Kisah Nadia juga lebih kurang begitu. Dia dikelilingi oleh saudara-mara yang terlibat dalam politik dan apa yang terjadi yang berlaku kepada Diana juga. Bercakap tentang sejarah yang berulang!!

Setelah bercerai dengan bekas suaminya, Nadia meneruskan kehidupan dengan dua orang anaknya yang sedang meningkat dewasa. Hasil dari tuntutan harta sepencarian dengan bekas suaminya, Nadia membeli rumah dan kereta untuk keperluan diri dan anak-anaknya dan cuba menceburkan diri dalam perniagaan. Nadia agak rapat dengan seorang sepupunya yang merupakan isteri kepada orang politik. Sebagai bekas pensyarah IPT Nadia agak luas pembacaannya, cerdik, berilmu dan seorang yang luas pengalamannya kerana banyak kali tinggal di luar negeri dan memang ramai yang menyedari aset dikepalanya yang bukan calang-calang tinggi intelligence nya. Sepupunya telah beberapa kali mahukan Nadia menjadi setia-usahanya. Mengenali sepupunya yang cukup domineering,manipulatif dan mesti mendapat apa yang dimahukannya tanpa menimbang perasaan dan keperluan orang lain, Nadia menolak permintaannya.

Pun begitu, Nadia masih mengekalkan hubungan baik dengan sepupunya dan sering memberikan pandangan serta pertolongannya tentang banyak perkara bila diperlukan. Apa yang tidak diketahui oleh Nadia ialah segala usahanya dalam perniagaan dan projek yang diperolehinya semuanya disabotaj oleh orang-orang disekelilingnya. Malah segala dana yang dijanjikan oleh orang tertentu pun dimanipulasi dan tidak diberikan seperti yang sewajarnya (walau pun surat telah dikeluarkan!).Bapa saudara Nadia (bapa sepupunya) yang pada mulanya berjanji mahu menyediakan dana untuk projek yang diperolehinya juga telah mendiamkan saja perkara tersebut setelah mendapat projek besar lain. Pada mulanya Nadia tidak mengetahui kenapa dana yang dijanjikan kepadanya tidak diberikan, tetapi setelah beberapa lama barulah dia faham. Seperti Diana, dia dikontrol oleh 'The Firm' di sekelilingnya. Mereka tidak mahu Nadia boleh berdikari dan berjaya tetapi mahu memastikan Nadia bergantung hidup dengan ehsan orang-orang tertentu.

Sebabnya? Ilmu dan kecerdikannya. Apalagi bila beliau mula menulis di surat khabar dan majalah tempatan. Bagi orang-orang tertentu, Nadia cukup bahaya bila dia bebas dan boleh berdikari. Jadi dia mesti duduk di bawah dan 'berkhidmat' kepada orang-orang tertentu yang takut kepada pemikirannya dan apa yang ditulisnya tidak seperti apa yang dimahukan oleh mereka!! Jadi, Nadia mesti dikontrol dan mesti dekat dengan orang-orang tertentu sahaja. Itulah sebab sepupunya yang disangkakan baik hati selama ini mahu dia menjadi setia-usaha peribadinya!! The Firm mahu memastikan Nadia tidak pergi ke mana-mana dan menjadi 'milik' mereka. Suatu perlanggaran hak asasi manusia yang cukup jelas dan hampir tidak terfikir boleh berlaku di negara ini. Pelik tetapi benar.Sebenarnya Nadia telah lama merasakan hidupnya dikontrol oleh orang-orang tertentu. Pastinya ada bos besar di sebalik semua ini. Dan bos besar ini cukup berkuasa dan mempunyai jaringan yang cukup luas dan boleh menggerakkan sesiapa juga sebagai jenteranya termasuk musuh-musuh politik mereka! Malah bekas suami Nadia dan kawan-kawannya juga menjadi sebahagian daripada jentera bos besar yang digerakkan untuk menyekat, memanipulasi dan mensabotaj kehidupan Nadia.

Berbagai perkara dilakukan terhadap Nadia dan anak-anaknya. Anaknya pernah diugut dengan diacukan pisau Rambo oleh 'perompak baik' yang mengambil 50% sahaja daripada wang dalam dompetnya. Menyimpan kunci kereta anaknya (bukan mencuri keretanya), memberikannya 20 sen kemudian menyuruh anaknya menalipon ke rumah untuk mengambil kunci kereta simpanan dari ibunya! Keretanya pernah dibuang minyak brek sebanyak 2 kali dalam masa 2 minggu berturut-turut dengan kesan tikaman yang jelas pada casing minyak tersebut. Nasib baik anak-anak Nadia yang memandu keretanya ketika itu tidak kemalangan walaupun hampir sangat! Cerita tayar kereta ditikam paku dan ice pick juga selalu berlaku. Malah kehidupan peribadi Nadia juga dikontrol. Dengan bantuan bekas suaminya yang tidak mahu Nadia berkahwin lain bila ada orang yang menunjukkan minat kepadanya, berbagai perkara dilakukan untuk memastikan Nadia tidak ke mana.

Kakak, sepupunya berkempen dan kadang-kadang ada orang tertentu yang disuruh 'memandrem' Nadia bila ada orang mendekatinya. Nadia kenal siapa orang itu dan tahu apa yang dilakukannya dan menjauhkan diri daripadanya. Semua manusia tidak cukup baik bagi Nadia. Si A begitu, si B pula begini. Ada sahaja yang tidak kena dan tidak sesuai di mata mereka. Tidak cukup dengan itu, anak Nadia juga dihasut supaya memusuhi ibunya jika Nadia berkeras dan mahu meneruskan niatnya untuk mengahwini seorang manusia yang dirasakanya cukup sesuai dengan dirinya!! Jadi seperti kisah Ika juga, berbagai perkara dilakukan termasuk menghasut dan menakutkan keluarga lelaki yang mahu mengahwini Nadia dengan fitnah, tohmah dan berbagai 'skendel' yang kononnya menyelubungi kehidupan Nadia yang tidak pernah pergi mana dengan siapa pun dan cukup kuat pegangan agama dan telah beberapa kali ke Mekah menunaikan haji dan umrah!! Sememangnya ada beberapa orang lelaki yang telah mendampinginya selepas beliau bercerai, tetapi hubungan Nadia tidak lebih dari 'suka' kepada orang itu dan tidak lebih dari itu dan tidak cukup lama bertahan kerana berbagai perkara berlaku kepada orang yang mendekatinya! The Firm means bussiness nampaknya.Patut perkara ini dilaporkan kepada SUHAKAM saja, tapi Nadia tak nak pulak atas sebab-sebab tertentu!

Pun begitu, Nadia mempunyai suatu kelebihan. Atau mungkin suatu sumpahan! Sesiapa yang membuat inaya kepada Nadia pasti akan mendapat balik berbagai musibah yang tidak dijangkakan. Entah kenapa boleh jadi begitu, mungkin Allah Taala nak menunjukkan kepada manusia-manusia The Firm ini bahawa mereka tidak boleh menjadi Tuhan dengan 'mengontrol' dan melakukan kezaliman kepada orang lain. Kadang-kadang dalam masa yang singkat tak dan beralih hari kata orang kampung saya, kenalah si Mamat tu! Nadia tak tahu bagaimana ini semua terjadi, tapi dia cukup ingat hadis Nabi Muhammad SAW yang mengatakan 'Doa orang-orang yang terinaya itu cukup dekat dan tidak ada dinding pemisahnya dengan Allah.' Dan Nadia cukup ingat juga tentang arwah ibunya yang sangat sedih dengan banyak perkara yang diperlakukan oleh The Firm kepadanya dan anak-anaknya sehingga dia pernah berdoa di depan Kaabah memohon Allah swt. menunjukkan jalan yang benar kepada orang-orang yang menzalimi Nadia dan cucu-cucunya dan mengembalikan kezaliman mereka kepada orang yang membuatnya. Kasih Ibu membawa ke syurga dan Nadia sudah pun melihat kebesaran Allah di hadapannya dari semasa ke semasa! Dan ini termasuklah kepada sepupu serta kakak-kakaknya yang menjadi sebahagian dari The Firm dengan berbagai cara. Jika tidak kena kepada mereka sesuatu mungkin berlaku kepada anak-anak mereka. Tapi Nadia cukup lembut hatinya dan dia yang fobia bila melihat ada orang yang cuba berbuat perkara yang tidak baik kepadanya. Mungkin Allah Taala lebih mengenali Nadia dari orang lain yang tidak habis-habis memfitnah dan menikamnya dari belakang, dan Dia mengawasi Nadia sepanjang masa. Alhamdullilah.

Sunday, December 21, 2008

Fenomena Laskar Pelangi

Dalam Kosmo! semalam ada artikel kecil mengenai filem Laskar Pelangi yang sedang hit di Indonesia sekarang. Saya sedang membaca novelnya karangan Adreana Hirata dan akan meletakkan postings nya setelah direviu dan disiarkan dalam akhbbar. Memang sebuah novel yang bagus -gripping dan naratifnya cukup baik. Ianya kisah murid-murid sekolah kampung di Belitong sebuah pulau berdekatan Bangka dan tidak jauh dari pesisir pantai Muar. Ceritanya sangat indah dengan latar-belakang sekolah kampung yang ada kalanya membuatkan kita ketawa dan mencemaskan pada waktu yang sama.

Gapena dengan Kedutaan Indonesia sedang berusaha untuk membawa Adreana dan pengarah filem ini ke Malaysia. Kami bercadang untuk membuat diskusi buku, apresiasi filem dan seminar kecil tentang sastera dan filem Malaysia-Indonesia. Nantikan kedatangannya beberapa bulan lagi kerana walau pun belum menonton filemnya, saya yakin ini suatu filem yang hebat yang jelas 'soul' Melayunya. Tabik saya kepada Adreana Hirata.