Sehingga kini saya kurang pasti kenapa kerajaan negeri Pulau Pinang mahu meletakkan papan tanda jalannya dalam berbagai bahasa di negeri itu kalau tidak untuk menunjukkan kesempitan pemikiran politik mereka.Pergilah tengok di mana pun, negara mana yang ada buat begitu selain di Pulau Pinang? Amat memalukan bila melihat politik orang-orang tertentu di negeri itu.
Dikebanyakan negara dan pusat pelancongan di dunia, hanya papan tanda informasi pelancongan yang ditulis dalam berbagai bahasa. Di Switzerland,tanda arah kepada bank/pengurup wang memang ditulis dalam berbagai bahasa - Jepun, Arab, Inggeris, Perancis, Jerman dll untuk memudahkan pelancong mencari arah, tetapi nama jalannya tetap dalam satu bahasa sahaja. Begitu juga di Itali, Perancis, Jerman, Belgium malah seluruh Eropah anda akan dapati tidak ada satu jalan pun yang ditulis dalam berbagai bahasa. Hanya papan tanda informasi pelancongannya sahaja yang ditulis dalam berbagai bahasa.Apa yang cuba nak dilakukan oleh Sdr. Lim Guan Eng?
Monday, November 24, 2008
Politik Papan Tanda Jalan
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:32 PM 0 comments
Saluran Art tiada sarikata
Sehingga kini, saya sedikit hairan kenapa saluran Astro 111 atau Art yang membawakan program dalam Bahasa Arab ada kalanya mempunyai sarikata tetapi lebih banyak tidak bersarikata Bahasa Melayu/Inggeris. Kenapa ini terjadi? Di negara ini mungkin ramai orang Islam/Melayu yang mahu menonton programnya tetapi kerana ketiadaan sarikata siapa yang nak faham apa yang diperkatakan? Mungkin bagi program bual-bicaranya yang dibuat secara live agak sukar mendapatkan khidmat penterjemah tetapi tak kan filem dan lain-lain program yang telah dirakam terlebih dahulu tidak boleh diusahakan sarikatanya. Banyak saluran di Astro yang mempunyai sarikata bagi programnya, tetapi sangat tidak patut kalau nak kata penterjemah/penulis sarikata dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu tak ada di negara ini. Lainlah kalau pihak Astro memang tidak mahu ramai rakyat Malaysia menontonnya!
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:23 PM 0 comments
REVIU BUKU: SURAT DARIPADA DR.MAHATHIR
OLEH:SITI RUQAIYAH HASHIM
Selepas Pilihanraya ke 12 dan dalam suasana yang begitu tidak menentu dan kejutan yang tidak sedikit kepada ramai orang, saya sempat menghantar SMS kepada beberapa orang rakan dan mencadangkan kepada mereka supaya menyuruh Dt. Zainuddin Maidin mantan Menteri Penerangan menulis banyak-banyak sebagai terapi kepada apa yang dilalui. Semasa kempen pilihanraya yang lalu saya berada di utara dan mendengar serta tahu apa yang berlaku di kawasan Parlimen Sungai Petani tempat Dt.Zam bertanding. Jadi saya amat gembira bila mendengar buku ini telah keluar dan mencarinya setelah membaca reviunya dalam Utusan Malaysia beberapa minggu yang lalu.
Impression pertama saya tentang buku ini ialah ia sebuah buku yang saya akan suka kerana kulitnya berwarna kegemaran saya. Berbagai tona warna coklat yang berlainan. Dari coklat cerah kepada coklat gelap. Dan inilah in color saya sejak beberapa tahun ke belakang! Jadi bila merayau di MPH Mid Valley baru-baru ini dan terjumpa buku ini saya terus membelinya.
Buku tulisan Dt. Zam salah seorang tokoh wartawan yang paling banyak saya baca sejak di bangku sekolah ini merupakan extension kepada buku tulisan beliau iaitu Mahathir Di Sebalik Tabir yang diterbitkan pada tahun 1994. Edisi tambahan ini hanya bermula pada m/s 279 dengan kisah pengumuman Tun Mahathir pada 22 Jun 2002 tentang persaraan- nya di Perhimpunan Agong UMNO sehingga m/s 447.
Seimbas lalu, saya dapati edisi tambahan ini ditulis dengan cukup candid,jujur dan terus–terang malah mungkin dengan luka yang tidak sedikit. Itulah impression saya setelah selesai membacanya. Dan bukan itu saja tetapi saya dapat rasakan banyak lagi yang tersirat dan hendak diperkatakan oleh pengarangnya, tetapi telah tidak diperkatakan.Berbanding dengan bahagian pertama buku ini yang ditulis 14 tahun lebih awal yang lebih analitikal dari minda kritis seorang wartawan, bahagian edisi tambahan ini lebih peribadi sifatnya dan memperlihatkan keterlibatan dengan subjek yang diperkatakan(Tun Mahathir) dengan pertalian dan hubungan pada jarak dekat.
Dan seperti semua hubungan yang melewati hal-hal profesional seseorang akan mempamerkan berbagai facet dan dimensi emosi dan rasionalisasi bila cuba meng- artikulasi perasaan serta pandangannya mengenai subjek yang diperkatakan. Pun begitu, pengarang tidak bermasalah untuk berbuat demikian dan tulisan ini menjadi rakaman peristiwa yang sekaligus cukup emotif dan analitikal tetapi paling penting frank and honest. Sesuatu yang mungkin tidak akan dilakukan oleh orang lain di waktu yang lain!
Entah kenapa saya merasakan seperti ada hubungan ‘love –hate’ di antara Dt.Zam dengan Dr.Mahathir. Saya lebih suka menggunakan frasa ‘sayang-benci’ dan bukanya ‘benci tapi rindu’ bila melihat senario antara keduanya. Sesuatu yang amat normal dalam hubungan antara dua orang manusia yang mempunyai perwatakan yang dominan (dan ada kalanya keras) serta cukup berpengaruh dan berkuasa dalam bidang masing-masing. Dan dalam situasi yang begini, fleksibiliti ada kalanya menjadi penyelamat kepada hubungan tersebut tetapi pada masa yang sama mungkin menyebabkan sebelah pihak ‘makan hati’ dengan pihak yang lagi satu. Betulkan saya jika tersilap dan apologi!
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:41 PM 0 comments
INTERVIU: KOPI KERAS, TONE BRULIN DAN ROH ANAI-ANAI
OLEH :SITI RUQAIYAH HASHIM
Kali terakhir saya bertemu dengan Profesor Tone Brulin selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1977 ialah sewaktu beliau mementaskan teater kanak-kanak ‘Tak Kotak-Kotak’ di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka pada tahun 1979. Bersama-sama Siti Fauziah Abd.Rahman yang menjadi pelakon teater tersebut ketika itu, mereka mementaskannya di beberapa lokasi institusi pendidikan di seluruh Malaysia. .
Tone Brulin merupakan pensyarah saya sewaktu di USM. Kepada 3 kumpulan pertama mereka yang membuat pengkhususan dalam bidang Teater dan Drama, Tone Brulin adalah satu-satunya pensyarah yang paling berpengaruh dan sangat terkemuka. Bukan kerana beliau tokoh teater besar dan amat berwibawa dari Eropah (kerana mendapat anugerah Order of Leopold II Belgium pada umur 26 tahun) dan merupakan ‘the lecturer’ , tapi dedikasi, konsep dan komitmennya kepada teater di mana juga beliau berada amat mengkagumkan saya dan ramai penuntut beliau yang lain. Beliaulah yang memulakan dan menggerakkan kumpulan teater Angkasaran (singkatan dari Angkatan Sasaran) yang merupakan kumpulan teater USM sebagai nucleas kepada aktiviti seni dan teater kami. Itulah sebabnya ia di namakan Angkasaran yang merupakan terjemahan dari konsep target groupe yang dikemukakan oleh Tone Brulin sewaktu panggung eksperimental USM siap dibina pada tahun 1972.
Selepas itu, segala-galanya adalah sejarah bila Angkasaran mementaskan teater Naga-Naga Siapa Kau, Naga-Naga Di Mana Kau (juga dipentaskan di Jakarta dan satu-satunya teater Malaysia yang reviunya keluar dalam jurnal The Drama Review ,USA hingga ke hari ini) diikuti Torando (yang mendapat jemputan ke Festival Teater Shiraz) dan Barong Display (dengan kumpulan teater dari USA) di bawah arahan Tone. Bukan saja sebagai pensyarah Tone Brulin meninggalkan impak yang besar kepada kami, personaliti dan perwatakannya yang mencari kesempurnaan, menuntut kejujuran dan komitmen yang total dalam kerja teater beliau ada kalanya turut mempengaruhi pemikiran kami dalam kehidupan. Setidak-tidaknya kepada saya!
Manakan tidak, rehearsals sehingga jam 2 atau 3 pagi, lima hari seminggu selama tiga atau empat bulan untuk suatu pementasan adalah perkara biasa dan no complain! Disiplin yang diterapkan menjadikan kami berfikir banyak kali kalau mahu ponteng latihan dan siapa pun tidak berani berbuat begitu kerana bukan Tone yang akan marah tapi satu kelas akan menyumpah siapa yang ponteng! Dan konsep lakonan teater Tone menuntut pelakonnya menjadi cukup lasak dan boleh buat apa juga samada merangkak di bawah tempat duduk penonton, memanjat gangway siling teater dalam gelap atau apa juga aksi yang cukup menyiksa dan sukar dibuat. Tapi di akhirnya anda menjadi manusia yang lebih bertujuan, fokus dan amat mementingkan kualiti dengan apa juga yang anda kerjakan.
Di kelas lakonan dan Western Theatre Tradition kami dipukau oleh Tone Brulin dengan kekayaan pengalaman dan ilmu pengetahuannya. Di kelas Western Theatre Tone tidak perlu buku, rujukan dan syarahan yang disediakan di atas kertas tetapi menghamburkan ilmu dan pengetahuan melalui pengalamannya sendiri kerana beliau adalah sebahagian daripada tradisi teater moden Barat..
Jadi baru-baru ini bila bertemu dengan Tone Brulin dan Siti Fauziah isterinya (Pudi kepada saya dan rakan rapat yang lain) yang ditawarkan mengajar dan akhirnya mementaskan teater Roh Anai-Anai dengan penuntut Diploma Seni Persembahan UITM saya seperti terlayang balik kepada masa lebih 30 tahun lalu sewaktu kami semua sering duduk melepak samada di Panggung Sasaran ataupun ketika duduk-duduk minum kopi di kantin ‘Fu Mancu’ USM sambil bercakap teater. Cuma kali ini di antara kopi keras (pekat dan tanpa gula) kesukaan Tone dan cakap-cakap mengenai Roh Anai-Anai dan lain-lain ‘kesengsaraan hidup’, kami berada di kafeteria Hospital Ampang Puteri. 3 hari selepas Aidil-Fitri yang lalu kira-kira 2 minggu sebelum Roh Anai-Anai dipentaskan, Tone kemalangan dan terpaksa menjalani pembedahan dan menghabiskan masa hampir 3 minggu di hospital.
Wawancara dengan Tone Brulin dan Fauziah dibuat dalam lebih dari 4 sesi panjang cakap-cakap dari Hospital Ampang Puteri beberapa hari sebelum mereka berangkat balik ke Antwerp. Saya katakan lebih dari 4 sesi kerana di antara perjalanan nak pergi makan di kedai Mamak pun kami tak henti-henti bercakap teater, seni, Roh Anai-Anai, Naga-Naga, Kapai-Kapai, Torando dan paling banyak mengenai kompeni teater mereka yang dinamakan Theatre of The Third World. Begitulah!
(Catatan: Sebahagian dari interviu yang akan disiarkan dalam majalah PENTAS yang akan datang disiarkan dalam beberapa segmen dalam blog ini).
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 4:51 PM 0 comments
SRH: Di Malaysia sekarang terlalu banyak teater muzikal dengan bajet besar yang diberi penekanan. Ia amat menghiburkan tetapi tidak memprovokasi minda untuk berfikir perkara yang serius seperti teater Roh Anai-Anai. Mungkin itu sebabnya?
Tone Brulin: Memang betul kata anda. Tapi itulah juga yang berlaku diseluruh dunia. Dan saya tak mahu bercakap tentang perkara itu kerana apa yang saya pentingkan ialah teater dan skrip seperti Roh Anai-Anai. Dan ianya bukan satu perbandingan kerana anda tak boleh membandingkannya! Saya bukan dalam bisnes teater, tapi dalam bisnes mencipta seni dalam konteks teater. Kami telah mulakan skrip ini sejak dua tahun yang lalu di Afrika Selatan dan saya tulis semula kerja-kerja Eugene Marais dengan seorang aktor Norway.
SRH: Apa peluang untuk aktor atau orang teater dari Malaysia berjaya dengan baik seperti anda di Eropah?
Siti Fauziah: Tidak mudah dan sangat sukar sekarang. Banyak grup teater internasional. Masa saya mula di Belgium pada tahun 1975 dulu tak ada grup lain macam kami. Dan sekarang amat sukar walau pun kepada orang Belgium sendiri. Dasar kerajaan juga lebih mementingkan rakyat tempatan. Sekarang semua pekerjaan adalah untuk orang Belgium dulu. Parti Nationalist Front yang menguasai hampir 25 peratus parlimen sangat kuat dan memastikan peraturan ini dipatuhi. Dan ini berlaku di seluruh Eropah, malah di seluruh dunia.
SRH: Pandangan anda tentang teater Malaysia?
Siti Fauziah: Saya rasa orang di sini tidak cukup serius tentang teater. Saya tak nampak sikap orang yang bermati-matian kerana teater dan mendedikasi kehidupan mereka kepada seni ini dalam teater Melayu. Dan penuntut pun macam tak tahu apa-apa. Dan dalam kegelapan. Di akhir kursus mungkin baru mereka faham sikit tentang teater tu mengenai apa!
SRH: Tapi kita dulu pun macam tu saya rasa. (Siti adalah senior saya di USM).
Siti Fauziah: Ya kita pun macam tu juga. Tapi kita banyak inisiatif sendiri dan bukan nak tunggu habiskan semester saja. Dan kita seronok sangat bila nak buat rehearsal di Panggung Sasaran dulu.
SRH: Ya yang tu memang saya akui. Kita tunggu saja bila nak buat latihan teater. Kita tak ponteng dan rasa seronok.
Siti Fauziah: Dan kita faham sangat tentang kerja berpasukan dan menghormati orang lain. Di UITM, hari ini 1 orang tak datang berlatih. Esok orang lain pulak. Jadi macam mana nak buat latihan kalau macam tu? Dan bila dekat pementasan mereka panik walau pun dah banyak kali kami ingatkan kepada mereka. Dan kostum hanya dapat dibuat beberapa hari sebelum pementasan dan hasilnya mereka tidak dapat bergerak dengan selesa kerana tak biasa berpakaian begitu.
(Catatan: Sewaktu mementaskan Torando di USM 30 tahun yang lalu, saya teringat kami mula berlatih dengan memakai kostum teater sekurang-kurangnya 1 bulan sebelum pementasan.)
SRH: Akhir sekali, apa yang anda berdua nak ucapkan kepada peminat teater dan penuntut anda di Malaysia?
Tone Brulin dan Siti Fauziah: Kami nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua yang terlibat dalam pementasan ini. Saya amat tersentuh dengan lawatan anda semua sewaktu saya di hospital, bunga yang diberikan dll. Tahun depan kami bercadang untuk pulang dalam bulan Jun/Julai dan jika ada undangan mementaskan teater di mana-mana kami akan pertimbangkan. Terima kasih.
CATATAN: ANTARA SKRIP DAN ADAPTASI YANG TELAH DIHASILKAN OLEH TONE BRULIN IALAH -:
Shadows
The Case of P.J.
The Good Lady of the Crabs
The Dogs
Vertical-Horizontal
The Night of the Burning Apes
Tavandot (Torando dalam Bahasa Malaysia)
Eyes of Chalk
Putopot
Mudhead
3 = too much, 2 = not enough
The Village Doesn’t Exist Anymore
Vincent Van Gogh
Kontiki
Uncle and the Jukebox
Leap Frog in West Berlin
The Goatriders
The Troglodites
The Kakoomakakoo
Stump Removal
Barong Display
A Djumbee at Crook’s Castle
The New costume of Friday
Asking Questions of A maid
Joshaphat
This is Not Eugene
Tales of the Mah-Meri
Sharkawa
The Last Days of Clover Fields
Torso
Stallochild
The Tail of the Mandarin
Tractor Dimitri
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 1:40 AM 0 comments
Sunday, November 23, 2008
INTERVIU: SITI FAUZIAH ABD.RAHMAN DAN TEATER SE ANTERO DUNIA
OLEH:SITI RUQAIYAH HASHIM
Di kalangan dunia teater Malaysia, nama Siti Fauziah Abd.Rahman mungkin tidak berapa dikenali . Pun begitu, wanita kecil molek yang berasal dari Kelang ini bukan calang-calang nama di kalangan orang-orang teater di seluruh Eropah malah di seluruh dunia. Isteri kepada Tone Brulin yang mengasaskan TIE 3 – Theatre in Europe of the Third World hampir 30 tahun yang lalu yang berpusat di Antwerp, Belgium adalah merupakan tenaga pengggerak penting grup teater ini. Malah dalam berpuluh-puluh buah teater yang diarahkan oleh Tone Brulin, Fauziah selalunya memegang peranan penting selain daripada turut menjadi pereka dan menjahit kostum, dan mencipta boneka dan topeng bagi banyak teater kanak-kanak yang mereka pentaskan.
Dilahirkan di Teluk Gadong Kelang pada tahun 1951, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Kelang sehingga tingkatan 3, Siti Fauziah datang dari keluarga besar seramai 14 orang. Beliau adalah anak ke tujuh dan bapanya adalah seorang guru besar di Kelang. Pada tahun 1968 beliau melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh Tun Fatimah di Johor Bharu sehingga tamat tingkatan 6 dalam jurusan sains. Dan di Sekolah Tun Fatimah lah, beliau mula menunjukkan bakat dalam lakonan dan pementasan. Kalau sewaktu di Convent Kelang, penglibatannya amat terhad kepada pengucapan puisi Shakespeare sahaja kerana budaya sekolah Convent yang amat ketat dan tidak membenarkan pementasan, lakonan dll di Sekolah Tun Fatimah, Siti mendapat peluang yang cukup banyak dan beliau cukup aktif dalam lakonan dan pementasan. Dan disitulah bermulanya kecintaan Siti kepada teater dan lakonan. Bukan itu saja, beliau juga suka melukis dan seringkali membuat poster untuk pementasannya.
Siti melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1972 dan merupakan seorang aktivis teater kampus yang cukup komited dan berbakat. Beliau mengambil bahagian dalam teater paling masyur USM iaitu Naga-Naga Siapa Kau, Naga-Naga di Mana Kau yang turut dipentaskan di Jakarta arahan Tone Brulin. Teater Torando dan Kapai-Kapai karya Ariffin C.Noer menyusul kemudian. Tamat dari Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1975 dalam jurusan Teater dan Drama , beliau meninggalkan tanah air dan bersama-sama dengan kumpulan teater pimpinan Tone Brulin mereka mementaskan cerita Tales of the Mah-Meri di seluruh Eropah dengan mendapat sambutan yang hangat di mana juga mereka berteater.
Skrip ini adalah cerita mengenai masyarakat orang asli di Pualau Carey, Kelang. Dan inilah skrip pertama yang dipentaskan di seluruh Eropah dengan berlatar-belakangkan cerita dari Malaysia walau pun masih ramai yang belum mengenali Malaysia di bidang teater di Eropah ketika itu. Teater ini turut dipentaskan di Malaysia pada tahun yang sama sebelum di kembangkan lagi skripnya dan ditukar namanya menjadi Tales of Nata Daha. Skrip ini terus dipentaskan di Caracas, Baltimore, St.Marten di Kepulauan Carribean, Stockholm dan di St.Andrew Scotland sebelum mendapat penghormatan dipentaskan di Festival Teater Nancy di Peranchis, iaitu salah satu festival teater terkenal dan penting di seluruh dunia. Di Nancy teater ini dengan Siti sebagai pemegang watak utamanya mendapat sambutan paling hebat dan nama wanita dari Malaysia ini mula meniti di bibir orang teater di seluruh dunia.
Selepas Tales of Nata Daha dipentskan di Antwerp, Siti Fauziah yang masih tidak fasih berbahasa Flemish diterima belajar di sekolah teater terkenal Herman Teirlinck sebagai pelajar biasa yang tidak perlu membayar. Belajar di situ membolehkan beliau menguasai bahasa Flemish dengan baik sebelum melanjutkan pelajaran di Holland iaitu di Toneel Akadamie of Maastricht yang sangat masyhur. Dan seperti di Antwerp, peluang belajar di Maastricht membolehkan beliau belajar dan menguasai bahasa Belanda. Sehingga ke hari ini, selain bahasa Inggeris, Flemish dan Belanda Siti Fauziah turut menguasai bahasa Sweden dan memahami bahasa Perancis dan Jerman. Kecekalan dan ketabahan Siti Fauziah menghadapi semua cabaran dalam menuntut ilmu sememangnya berbaloi kerana jika tidak beliau tidak akan dapat bertutur dalam lima bahasa asing pada hari ini
Beberapa tahun selepas itu mereka berada di Jakarta dan menjadi tetamu penyair terkenal Rendra. Tone mengadaptasi puisi protes termashyur Rendra dan menamakannya Prostitutes of Jakarta dengan Siti menjadi pelakon utamanya. Pementasan teater itu mendapat sambutan hebat dari penonton. Begitu juga ketika mereka mementaskan skrip tulisan Ariffin C. Noer yang paling masyhur iaitu Kapai-Kapai di Stockholm, Sweden. Itulah kali pertama Ingmar Bergman pengarah teater dan filem terkenal Sweden mengangkat sebuah skrip dari Indonesia dan mementaskannya selama 130 hari dalam bahasa Sweden dengan Siti Fauziah memegang peranan utamanya. Ariffin C.Noer turut dijemput ke Stockholm . Sambutan hangat yang diberikan kepada pementasan Kapai-Kapai bukan saja menyaksikan penduduk di Stockholm yang menonton, tetapi peminat teater dari Findland dan Norway juga menontonnya.
Pada tahun 1979 ketika Theatre of the Third World diiktiraf oleh Flemish Ministry of Culture di Belgium dan geran diberikan kepada grup teater ini, Siti Fauziah turut mendapat pengiktirafan. Beliau diberi gaji tetap sebagai pelakon dan selama 12 tahun berikutnya, bersama-sama kumpulan teater ini mereka terus menjelajah ke seluruh dunia sambil mementaskan berbagai skrip yang diambil dari sastera rakyat atau kisah dari negara yang mereka lawati. Melalui teater, Tone Brulin dan Siti Fauziah mendekatkan penduduk Eropah dan seluruh dunia dengan seni dan budaya masyarakat Dunia Ketiga. Mereka meruntuhkan tembok bahasa, budaya dan agama dengan memperkaya pengalaman budaya dan seni melalui pementasan teater .
Selain dari berlakon, Siti Fauziah juga sering bertindak sebagai pereka dan pembuat kostum. Jadi tidak hairanlah jika ke mana juga beliau pergi, mesin jahitnya adalah antara benda paling penting dan sentiasa dibawa bersama.Dengan skil menjahit yang baik, beliau juga belajar membuat boneka dan topeng. Sewaktu di Vermont Amerika Syarikat ketika menghadiri festival teater boneka, beliau belajar dari kompeni The Bread and Puppet Group yang sangat terkenal dengan boneka mereka yang ada kalanya setinggi 5 meter. Teknik membuat boneka mereka sangat mudah dan lebih mirip kepada konsep seni boneka Jepun. Hampir 7000 penonton menghadiri pementasan festival teater ini.
Di England Siti menghadiri festival The Welfare State International dan terus menggali ilmu pengetahuan membuat boneka dan topeng dari bahan-bahan terbuang dan murah seperti straw, buluh dan kayu. Festival yang unik ini disertai oleh ramai orang teater seluruh England dan Eropah yang mengembara dalam karavan. Mereka akan berkumpul di bandar tertentu dalam perkampungan karavan dan mementaskan teater serta permainan boneka dan teater kanak-kanak. Ianya adalah suatu pengalaman yang amat membuka minda kepada Siti. Sesuatu yang perlu dipelajari oleh kumpulan teater kita tentang mementaskan teater tanpa menggunakan kos yang tinggi jika kita benar-benar mahu mengembangkan teater dan seni ke seluruh negara dengan cara yag murah tapi berkesan.
12 tahun adalah suatu waktu yang lama bagi sesiapa juga mengabdikan diri kepada dunia teater profesyenal yang menjelajah dan membuat pementasan di seluruh dunia .Ianya memerlukan komitmen yang tidak berbelah-bahagi dan ternyata memerlukan semangat dan keinginan yang kental dan bukan semua orang mampu berbuat begitu. Pun begitu, pada tahun 1992 bersama-sama Tone Brulin yang sedang mengalami masalah kesihatan kumpulan Theatre of the Third World ini akhirnya diserahkan kepada Pengarah Artistik nya iaitu Eugene Berveos. Tone dan Fauziah meneruskan juga kerja-kerja teater mereka bila dijemput oleh pihak-pihak tertentu..
Selepas belajar di Studio Herman Teirlinck pada tahun 1979 Fauziah juga mula mengajar taichi di situ selama 5 tahun. Seiringan dengan kerjaya teaternya, Fauziah membuka kelas taichi di Anterwarp dan selama 16 tahun beliau mengajar di sebuah sekolah muzik di situ. Di Sekolah tarian P.A.R.T.S yand diketuai oleh Anne Therese de Keeirsmaker yangsering membuat pertunjukan di seluruh dunia, Fauziah turut mengajar taichi di situ selama 3 tahun. Sehingga sekarang, kelab-kelab sukan di sekitar bandar ini sering memanggil beliau untuk mengajar. Malah ke mana saja beliau pergi sewaktu mementaskan teater beliau turut mengajar taichi kepada orang-orang teater.
Selepas tidak lagi aktif dalam Theatre of the Third World Tone Brulin dan Fauziah masih terus berlakon dan mengarah teater di seluruh Eropah. Kebetulan ketika itu beliau mengalami sakit pada bahu kanannya yang serius dan perubatan moden tidak berjaya mengubatinya. Beliau mencuba akupuntur dan Fauziah mula berjinak dengan perubatan tradisional China untuk membantu suaminya.Beliau mendaftar di European University of Traditional Chinese Medicine yang terletak di Rotterdam, Belanda. Pengorbanan seorang isteri yang tidak terhingga besar maknanya kepada seorang tokoh teater terkenal yang mendapat anugerah bintang Order of Leopold II ketika berumur 26 tahun dan mendapat penghormatan dari UNESCO beberapa tahun yang lalu dengan menerbitkan buku mengenainya bertajuk An Exceptional Theatre Life. Fauziah belajar tentang perubatan menggunakan herba dan juga akupuntur dan sehingga kini mahir mengubat orang sakit melalui teknik perubatan China tradisional ini.
Selama lebih 30 tahun di Eropah beliau bukan saja berteater seantero dunia , tetapi turut mengajar taichi dan mempraktis akupuntur. Dan mungkin pengalaman sewaktu berteater inilah menjadikan beliau seorang yang cukup terbuka fikirannya, resourceful, tabah dan kental menghadapi sebarang ujian dan dugaan dalam hidup untuk mencapai cita-citanya . Teater yang disebutkan di atas hanyalah sebahagaian kecil daripada berpuluh-puluh pementasan yang telah mereka persembahan.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:27 PM 2 comments
REVIU TEATER BUKAN DEJAVU : MENANGANI CABARAN DIDAKTISME
OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM
Seimbas lalu, set dan latar belakang cerita teater Bukan Dejavu amat mengingatkan saya kepada set Kampung Kambing dalam teater Salina adaptasi novel SN A Samad Said yang dipentaskan di Balai Budaya hampir 20 tahun lalu. Kisah kumpulan manusia kurang bernasib baik di kawasan setinggan dengan seribu satu permasalahan yang kusut dan mengusutkan. Dalam Salina seorang pelacur yang hidup dengan kekasihnya Abdul Fakar di Kampung Kambing ada watak Helmi, Haji Karman, Nahidah dan Narto yang terkapai-kapai dalam kompleksiti hubungan kehidupan antara mereka. Dalam Bukan Dejavu, Nora seorang GRO yang tinggal bersama Ustazah Salmi berjiran dengan imigran Narti dan Yanto berdepan dengan permasalahn Tahir yang merogol Jamilah anak tirinya sehingga mengandung dan melarikan diri dan diberi perlindungan oleh Ustazah Salmi. Nora pula menghadapi dilemma kepulanga anaknya dari seberang laut yang disangkanya
tidak mengetahui pekerjaannya.
Citra hitam pekat manusia-manusia malang ini tidaklah sama dengan tema dan plot dalam Salina, tetapi dinamisme dramatiknya bergerak pada landasan latarbelakang yang sama. Kalau dalam Salina penduduk-penduduknya berjiran dengan kupu-kupu malam masyarakat pasca perang dunia ke 2, kampung dalam skrip Bukan Dejavu dihuni bersama dengan penagih dadah dan pekerja-pekerja imigran dari Indonesia, Selatan Thailand dll. yang katanya berlatarkan sekitar tahun 80han. Pun begitu bukan soal pengaruh intertekstualnya yang perlu diperkatakan, tetapi skrip teater panjang ini ada kalanya terlalu didaktik. Sarat bermuat dengan mesej dan pengajaran halal dan haram itu dan ini. Mungkin terlalu langsung dialognya diolah, sehingga segala-galanya menjadi begitu didaktik dan membelakangkan subtleity yang harus ada dalam teks yang baik dan mencapai tahap yang cukup tinggi nilai seninya. Seperti kuih yang hanya diketahui selepas dimakan sedap atau tidaknya, begitu jugalah dengan skrip teater (juga filem). Ianya hanya diketahui baik tidaknya selepas dipentaskan atau difilemkan.
Bukan Dejavu juga sarat dengan beberapa plot besar dan berat dan cukup menarik di atas kertas tetapi menjadi cabaran yang cukup besar apabila dipentaskan selain daripada panjang dan meleret-leret. Permasalahannya ternyata mendapat treatment yang dangkal dan memberikan kesan superfisialiti yang amat ketara bagi sebuah skrip teater panjang. Dan inilah yang terpaksa dihadapi oleh sesiapa juga yang mementaskan naskah seperti ini. Dan seperti hukum menterjemah karya sastera ‘yang cantik itu tidak setia tetapi yang tidak cantik itu selalunya setia’ menginterpetasi skrip teater juga menuntut kreativiti dan sensitiviti yang sangat tinggi. Dan jika seorang sutradara terlalu setia kepada teks di depannya, beliau juga mungkin mengambil risiko besar menjadikan persembahan teaternya tidak cantik. Ada harga mahal yang perlu dibayar kerana kesetiaan? Mungkin itulah punca masalah besar pementasaan Bukan Dejavu arahan Rohayah Atan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.
Pun begitu, persembahan teater ini tidaklah buruk sama sekali. Lakonan Juhara Ayub sebagai Narti, cukup baik dan meyakinkan dalam watak wanita becok isteri Yanto yang membuka gerai makan tempat segala aksi dan cerita berlaku dalam teater ini.Jalaluddin Hassan sebagai Tahir bouncer dan ketua gangster yang bekerja di Kelab Karaoke Semarak Hati tempat Nora bekerja dan yang telah merogol anak tirinya juga sangat baik dan natural dengan penampilan yang amat meyakinkan. Shukor Yon (Yanto), Safura Ya’cob ( ustazah Salmi), Yussak Kasan (Parjo) dan Eyzendy Aziz ( Wan Dol) juga tidak mengecewakan dalam watak masing-masing dan menjadi penyelamat kepada pementasan yang bermula sedikit perlahan dan mencapai momentum pembinaan klimaks hampir setengah jam selepas itu sahaja.
Cuma Norish Karman yang entah kenapa sedikit kaku dan tidak mempamerkan lakonan yang sepatutnya jauh lebih baik pernah diperlihatkan di atas pentas. Pelakon-pelakon lain juga boleh di perkembang watak mereka dengan lebih baik sekiranya analisis watak yang cermat dan terperinci telah dibuat dengan kedalaman intelektual dan psikologi yang cukup teliti. Dalam pementasan teater apa pun, analisis dan interpetasi watak sama penting dan beratnya dengan penulisan skrip. Berlawanan dengan apa yang dipercayai oleh ramai, dalam teater aspek lakonan maha penting. Cerita yang merencatkan akal dan menghina intelektual pun boleh jadi persembahan teater yang baik jika lakonan dan interpetasi wataknya dibuat dengan cukup baik dan teliti. Kerana dalam melahirkan lakonan yang baik, natural dan meyakinkan prosesnya adalah lebih banyak merasai emosi watak yang dibawa bukannya memahami dan memikirkan tentang apa yang dilakukan oleh watak itu.
Mungkin kehadiran ‘gerombolan’ pekerja imigran dari berbagai bangsa yang juga penduduk kampung ini turut menjadi faktor penyebab dinamisme dan perkembangan ceritanya menjadi panjang dan meleret-leret walau pun ada kalanya ia membawa unsur kelakar yang amat menggelikan hati serta menyelamatkan babak-babak yang agak membosankan. Dan ‘gerombolan ‘ ini agak besar jumlahnya dan meramaikan pentas yang kecil sehingga menyesakkannya. Dialog-dialog mereka ini juga yang memperlahan tempo lakonan dan dinamisme penceritaan. Babak membuat persediaan kenduri aqiqah dan simulasi membantu Jamilah melahirkan kandungannya amat melucukan tetapi meleret dan melemaskan.
Entah kenapa untuk pentas yang tidak begitu besar, terlalu banyak set yang diletakkan? Rumah kosong untuk disewa dan tidak berfungsi sama sekali dalam pementasan teater ini juga diletakkan dan menggunakan ruang lakonan yang banyak. Mungkin untuk mempamerkan suasana sesak kampung setinggan? Pun begitu seperti penentuan blocking pergerakan pelakon, semua yang ada di atas pentas mesti mempunyai fungsinya yang tersendiri dan penting. Aspek teknikal lain seperti penataan cahaya cukup baik dan memadai kerana tidak ada kesan khas yang diperlukan. Begitu juga dengan kesan bunyi dan muziknya adalah cukup baik dan berkesan.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:16 PM 0 comments
