Saturday, January 3, 2015

PUISI PASCA WCP KE 34 -TRUJILLO, PERU

VIVA PALESTINA

Segala soal ku

tidak kau jawab

tapi berbagai yang terjadi

riak bertukar menjadi ombak

ombak semakin hampir menjadi tsunami

tanpa ku sedari

rupanya itulah jawapan mu
                 
                
                          biarkan detik ini berlalu
                       
                         dalam kesepian panjang  amat indah
                       
                          kerna dalam sunyi begini pun
                         
                          ku rasakan kehadiran mu di sisi
                         
                          penuh kasih
                         
                          penuh sayang
                         
                          penuh  kemanusiaan
                          
                          serta cinta tanpa syarat
                         
                          sarat termuat
                         
                         dalam redup renung mu
                         
                         dalam getar suara mu
                         
                         dalam nakal bersalut cemburu
                  
 ku simpan senyum mu dalam hati ku

ku bawa kemana jua aku pergi

 begitu kata mu

 semusim yang lalu

                           Ah!
                          
                           ini musim cinta mekar agaknya  
                           
                           gemanya semakin nyaring  di  cuping telinga
                           
                           Viva Palestina!
                           

                                                                                           
                                                                                     Helsingborg Sweden   - November 2014.
                           
                                                 
PUISI UNTUK SEORANG ADIK

Dalam kedinginan pagi -2 darjah

dia mencapai basikal

dan mengayuh keluar

meninggalkan ku

di bilik kecil itu
                    
                     aduh!

                     gigihnya dia mencari kehidupan

                     ada  titik-titik jernih di tasik matanya

                     dan di kelopak mata ku

                     titisnya mengalir lebih laju

                     ketika berpelukan

                     sesaat sebelum aku melangkah pergi

adik kecil yang ku tinggalkan di tanah orang

melambaikan tangan

belum sempat aku terbang

mesej darinya berkata

dia sudah merindui ku!

                         Ya Tuhan

                          peliharalah adik kecil ku yang tidak lagi kecil

                          berikan kekuatan kepadanya

                          berikan kesejahteraan kepadanya

                          setelah Engkau kembalikan dia  ke jalan Mu

Ya Tuhan

terima kasih

 kerna pasti arwah ibu aman di sana

adik kecil ku telah menemui cahaya Mu

dan punya kekentalan seribu badang

dan damai di hatinya

terpancar diwajah bersih

oleh bibir yang sentiasa menyebut kalimah Mu

Allahuakbar
                         
                       
                                                                                               Copenhagen Airport – Disember 2014. 


MACHU PICCHU

Di puncak ini

aku mencapai awan

di puncak ini

aku mengenggam kasih sayang

di puncak ini ku saksikan kemanusiaan

kerna antara Marie dan Maria

ada seorang Siti

antara Nestor dan Isztevan

ada seorang Ernesto

dan segalanya  mengesahkan

di mana pun

ada Marie yang jujur

ada Maria yang luhur


                      di mana juga

                      kita akan jumpa

                       seorang Nestor yang sedang membalut luka                          

                       atau Isztevan yang  lucu dan menghiburkan

                       serta Ernesto yang sabar melindungi


di mana pun

ada manusia yang baik

 juga  yang kurang ajar

 dan si oportunis yang tidak punya malu sedikit pun


                       di puncak ini

                       ku katakan sekali   lagi

                       aku menggapai awan dan kasih  sayang

                       lahir dari jiwa  tulus dan luhur

                                                
                          
                                                                                                       Machu Picchu – November 2014.

KONGRES PENYAIR SEDUNIA KE 34 -PERU.

KONGRES PENYAIR SE DUNIA KE 34 DI BUMI EL CONDO PASA.

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.

Kongres Penyair Sedunia ke 34(WCP) baru saja berlalu pada 14 November yang lalu di Trujillo (bunyinya Truhiyo) kira-kira 500 km dari Lima Peru. Kira-kira 200 penyair, penulis, pengkaji sastera khususnya puisi, Profesor serta golongan akademik sastera dari seluruh dunia berkumpul di bandar kecil penuh tinggalan sejarah dan warisan sejak 3000 tahun yang lalu. Bandar tempat penyair terkenal Peru,  Cesar Vallejo (Valleyo bunyinya) mendapat ijazah pertama dalam bidang kesusasteraan dan menerbitkan karya awalnya ini menjadi tempat penyair berkampung dan membaca puisi  masing-masing. Trujillo sememangnya ibukota kebudayaan utama Peru, bumi El Condo Pasa (lagu puisi Peru malar segar yang terkenal seluruh dunia semenjak dipopulerkan oleh Simon Garfunkel dalam tahun 1960an) dan pemilihannya tepat sekali dengan tema “La Paz y el amor son eternal poesia” atau Keamanan dan Kasih Sayang melalui Puisi Sepanjang Zaman      

Walau pun beberapa orang dari penyair dan pengarang Peru merupakan nama besar (gergasi mungkin lebih tepat) kesusasteraan dunia kontemporari dan pernah mendapat anugerah tertinggi  melalui Hadiah Nobel Kesusasteraan dan juga Hadiah Nobel Keamanan, ini kali pertama Kongres Penyair Se Dunia diadakan di Amerika Selatan. Tidak ada peminat kesusasteraan antarabangsa  yang tidak pernah mendengar nama Pablo Neruda, Gabriel Garcia Marquez, Mario Vargas Lhosa, Ernesto Kahan dan lain-lain lagi. Pun begitu,baru sekarang  World Academy of Arts and Culture (WAAC) yang bernaung di bawah UNESCO ini memilih Peru sebagai negara pertama Amerika Selatan menjadI hos  kongres  tahunan yang telah bermula semenjak 1969.            

 Tahun lalu, Bandaraya Ipoh menjadi hos kepada kongres ini dengan jayanya. Kelicinan perjalanan  dan pengurusan kongres di bawah  Kerajaan Negeri Perak dan beberapa ajensinya serta Yayasan Kampung Karyawan Malim  di Gopeng  menjadi buah mulut para delegasi di Lima dan  Trujillo. Penulis dan beberapa orang delegasi Malaysia dari Ipoh menerima sambutan istimewa dan penghormatan daripada Menteri Kebudayaan Peru dan Dato Bandar Lima selesai majlis perasmian kongres ini di Auditorium Inca Kementerian Kebudayaan Peru.
Wakil rasmi Perak dan  Malaysia terdiri daripada enam orang penyair, penulis serta Pegawai Pengiring. Delegasi  kami terdiri dari Saudara Hipani Alwi, Awang Zaidel bin Awang Jamil dari Sarawak, Sasha Shakirah dan penulis sendiri dari Persatuan Karyawan Perak, Puan Azian Ariff dari MB Incorporation sebagai pegawai pengiring  dan Encik Zamari Muhyi dari Koloni Karyawan Perak (PORT)  
Persekitaran kongres ini sudah dijangkakan akan di dominasi oleh penyair berbahasa Sepanyol dari seluruh Amerika Selatan. Hampir 75 peratus delegasi datang dari Peru (paling ramai), Bolivia, Mexico, Argentina, Chile,  Colombia, Brazil, Paraguay dan juga Sepanyol. Dan sebahagian besar mereka hanya boleh bertutur dalam bahasa Sepanyol dan menjadi masalah besar  komunikasi di antara delegasi luar termasuk kami sendiri dengan mereka. Pun begitu, ia tidaklah seteruk mana kerana khidmat beberapa orang pelajar dan staf University Trujillo yang boleh berbahasa Inggeris  sebagai penterjemah berjaya mengatasi masalah walau pun ada kalanya berlaku sedikit kesilapan komunikasi yang membawa kepada berbagai situasi lucu dan juga meyakitkan hati! Penulis sendiri serta Sasha Shakirah yang tinggal di hotel yang berlainan daripada delegasi Malaysia yang lain tertinggal teksi yang sepatutnya membawa kami ke Taman Cesar Vallejo untuk membaca puisi. Pun begitu Hipani dan Zaidel serta Shakirah sempat membacanya dan giliran penulis di ubah ke Universiti Trujillo keesokan harinya.   
Delegasi kedua terbesar datang dari China dan segala diasporanya. Kebanyakan mereka juga tidak boleh berbahasa Inggeris tetapi mereka yang boleh, menjadi penterjemah kepada yang lain-lainnya. Beberapa orang penyair berketurunan China  yang telah menetap di Los Angeles, Peranchis, Sepanyol dan Belanda turut serta dalam kongres ini. Delegasi dari China turut membawa dua orang wanita generasi ke 72 dan 78 Kung Fu Tzi yang datang dari Shandong untuk dipertemukan dengan penyair dan penulis China dari luar negeri. Sesuatu yang cukup menarik saya kira.
Pun begitu sangat dikesalkan kerana hanya Malaysia sebuah negara Islam yang juga dari Asia yang menghantar wakil kali ini. Sayang sekali tidak ada perwakilan dari Palestin kerana sentimen terhadap mereka sangat positif dan apa juga puisi yang dilontarkan dan punya kaitan dengan Palestin serta penderitaan mereka mendapat tepukan gemuruh serta teriakan bravo! bravo! Ini termasuk puisi penulis sendiri yang  mencatat tentang Yassir Arafat serta polonium yang dikatakan terdapat pada pakaiannya ketika menghembuskan nafas terakhir. 
 Selain daripada beberapa penyair dan ahli akademik dari Taiwan dan seorang dari India serta seorang lagi dari Afrika Selatan (berasal dari India) serta Profesor Ernesto Kahan Naib Pengerusi Kongres Penyair Se Dunia yang berasal dari Argentina tetapi bermastautin di Israel, beberapa orang penyair dari Amerika Syarikat (berketurunan Hispanik)  tidak banyak negara yang menghantar wakil ke kongres kali ini seperti yang berlaku di Malaysia.
 Penulis Haiku  Toshi Tai satu-satunya penulis yang mewakili Jepun dan sedikit gementar kerana tidak berapa fasih berbahasa Inggeris dan penulis serta delegasi dari Malaysia  sentiasa perlu membantu beliau untuk berkomunikasi. Apa pun ianya membuatkan kita sedar tentang kecilnya dunia dan masalah seorang manusia akan juga menjadi masalah kepada orang lain. Jadi bahasa puisi dan sentimen  manusia yang terkandung di dalamnya adalah tali penghubung di antara sesama  kita dalam mengisi ruang di muka bumi ini dan menyedari kita perlu hidup bersama dan belajar untuk hidup bersama. Ernesto Kahan sering berkata kepada saya, ‘kita hidup dalam satu kampung dan toleransi serta kasih sayang sahaja yang boleh mendatangkan keharmonian kepada seluruh manusia. Saya tak pernah mengenali Toshi sebelum ini, tetapi ketika akan berpisah, kami berpelukan seperti sahabat karib.        
 Mungkin kekurangan kaki-tangan dan petugas sukarela dalam  sekretariatnya  sedikit mencacatkan kelicinan perjalanan kongres ini. Beberapa kali penulis menerima permintaan maaf daripada Naib Pengerusi kongres  Mavi Marquez dari Peru kerana mereka risau majlis yang berlangsung tidak sehebat di Malaysia. Pun begitu, kongres ini punya kelebihannya yang tersendiri kerana diisi dengan beberapa wacana ilmu yang cukup akademik, intelektual dan analitikal. Pembentangan kertas kerja tentang puisi-puisi Cesar Vallejo oleh Dr.Edmundo Torrejon dari Bolivia dengan dipengerusikan oleh Prof Ernesto Kahan banyak bercakap tentang imej Vallejo yang sentiasa memperjuangankan mereka yang tertindas dan menderita oleh rejim yang zalim. Dan secara otomatis, penderitaan rakyat Palestin dan kekejaman Israel dipertalikan dengan apa yang ditulis oleh  Vallejo walau pun beliau meninggal dunia pada tahun 1938 sebelum masalah Palestin  muncul selepas Perang Dunia ke 2 tahun 1945. Perbincangan kertas ini turut disertakan dengan terjemahan dalam Bahasa Inggerisnya yang dibacakan oleh penyair Bella Ventura dari Colombia.
Seminar dan pembentangan kertas kerja tentang penyair, novelis, dan nama besar kesusasteraan  Amerika Selatan dan karya mereka juga diadakan di Universiti Nasional Trujillo . Ramai sarjana dari universiti Amerika Selatan membentangkan kertas mereka di hadapan kami dan juga penuntut university ini. Cuma sayang, ada di antara kertas-kertas tersebut tidak diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dan kami yang tidak memahami Bahasa Sepanyol merasa amat kerugian kerana tidak memahami apa yang diperbincangkan.
Majlis pembacaan puisi juga diadakan di sebuah sekolah rendah perempuan Santa Rosa di tengah Bandar Trujillo. Dari respon yang diberikan kanak-kanak sekolah ini ternyata puisi cukup penting dan masih segar di pemikiran mereka. Walau dalam bahasa apa pun ianya dibacakan, tepukan gemuruh kedengaran kerana mungkin bahasa sudah tidak menjadi masalah besar bila manusia dapat berkomunikasi melalui emosi, nada suara, lantunan diksi dan kata-kata yang cukup minima dalam bait-bait puisi yang diperdengarkan.              
                                                                                                     


  PISAQ

Di bumi Inka ini

aku teringat soal mu 

tahun lalu

                Ku diamkan diri
                
                kerna aku tak punya jawapannya ketika itu

Hari ini

di wilayah El Condo Pasa ini

aku sudah punya jawapannya

kerna kita telah pasti

di mana letaknya mimpi

dan di mana letaknya hati.


                                                                                 Cuzco-Helsingborg Disember 2014,


Dont Tell me and Do Tell Me


Please tell me

this is not true

its not happening

and everything

is just another 

intoxicating long ride

to propel me 

into another direction

                   Please  tell me

                   its not your warm eyes

                    gazing into mine

                    looking for answers

                    searching for meanings


Please tell me

its not your firm hands

holding mine

while eyes searched for assurances

                 please tell me

                  you are not feeling the same

                  and everything

                  is just my wild imagininings

But most important

do tell me

that its true

and I wasnt dreaming


                                                                                          Trujillo- November 2014.

Wednesday, January 15, 2014

Pengarah Filem Generasi Ke Lima China


25 TAHUN KARYA-KARYA ZHANG YIMOU

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.

 
 Dalam ucapan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Fine Arts oleh Universiti Yale, salahsebuah universiti terkemuka di dunia, Zhang Yimou dikatakan ‘seorang genius dengan kamera dan sinematografi’.  Peristiwa ini berlaku dalam tahun 2010 dua tahun selepas Majalah Time meletakkan pengarah filem tersohor China ini di tempat kedua sebagai Tokoh Tahun 2008.

 Steven Spielberg pengarah tersohor Hollywood  dengan penuh rasa hormat dan rendah diri pernah berkata “ Intipati Majlis Pembukaan Olimpik Zhang Yimou adalah idea  yang mengatakan konflik dalam manusia adalah keinginan kepada ketenangan jiwa. Tema inilah yang telah diterokai dan disempurnakan dalam filemnya samada ianya mengenai kehidupan seorang petani biasa maupun golongan bangsawan.. .. Pada  petang ini  yang dipenuhi  keindahan visual dan emosi yang mengkagumkan, beliau mendidik, mencerahkan dan menghiburkan kita semua.” Beliau  merujuk kepada sumbangan kreatif terhebat  Zhang Yimou untuk majlis pembukaan Olimpik Beijing yang lalu.

Trilogi  Red Sorghum, Ju Dou dan Raise The Red Lantern merupakan filem awal  Zhang paling banyak diperkatakan kerana menggunakan alegori  dengan  mempamerkan watak wanita dengan karekter yang  kuat dan psikologi yang kompleks  melalui berbagai perkara yang menekanreka oleh watak lelaki yang dominan. Dalam dekad pertama proses beliau  berkarya , Zhang  menekuni tema ini dengan begitu ketara sekali dan ianya sukar untuk dilihat sebagai suatu kebetulan sahaja.

Malah dalam filem  Curse Of The Golden Flowers (2010) dan Flowers of War (2012) juga  wanita menjadi mangsa kerakusan kuasa, perang dan lelaki  dari  order lama yang mungkin merupakan perlambangan kepada ibunda dan negara yang menjadi mangsa kepada pergolakan sejarah, sosial dan politik China yang cukup bergelora sejak dari dahulu hingga ke zaman moden  ini.

Hingga ke hari ini, Zhang tidak pernah  menjawap atau mengiyakan soalan yang diajukan kepadanya tentang  tema-tema sebegini. Sebagai seorang remaja berumur 17 tahun ketika Revolusi Kebudayaan dilancarkan  dan terpaksa menjual darahnya untuk membeli kamera, tentu banyak yang mahu diperkatakan oleh Zhang. Beliau  cukup malang kerana bapanya seorang pegawai tentera Koumintang yang menentang komunis dan seorang abangnya lari ke Taiwan ketika  tentera Mao menguasai China. Beliau terpaksa berhenti sekolah dan dihantar bekerja di sebuah kilang tekstil ketika berumur 16 tahun untuk ‘pendidikan semula’ walau pun dia merupakan seorang pelajar paling bijak dalam kelasnya.  

 Seperti kata pengkritik  Cassandra James  Zhang  percaya dengan karya yang  memaparkan cerita kesusahan, penderitaan dan ketahanan rakyat China yang telah melalui banyak zaman sukar dalam sejarah mereka. Dengan tamadun lebih dari 3000 tahun, China telah melalui sejarah panjang sukar dan senang, kemakmuran dan kebuluran, peperangan antara wilayah dan dengan negara asing, perang saudara dan juga perang untuk penyatuan. Dan semua ini telah dilalui oleh rakyat China dan menjadi inspirasi penting dan asas utama kepada karya-karya Zhang dari awal hingga sekarang.

 Dan seperti yang kita semua ketahui, di mana dan dalam apa situasi sekali pun, manusia perlu dan akan  bertahan dan  melawan apa juga nasib malang yang mereka hadapi dan lalui dan inilah yang dipaparkan dalam karya-karya Zhang Yimou. Perjuangan manusia dalam menghadapi persekitaran kehidupan mereka yang menekan  merupakan satu faktor penting filem Zhang yang menjadikan  cukup menarik dengan penceritaan yang mencengkam dan tidak memberikan peluang kepada penonton melepaskannya. Beliau memang seorang pencerita yang hebat.   

 Filem-filem Yimou juga bermain dengan alegori  warna terang  melambangkan emosi dan situasi yang melahirkan mood yang tertentu. Paling ketara ialah dalam filem Hero yang diterbitkan dalam tahun 2002. Pun begitu, filem-filem awalnya juga terserlah dengan penggunaan warna yang mencernakan situasi dan memperkatakan sesuatu dengan halus. Terlatih sebagai seorang sinematografer, Yimou mengadunkan warna dengan aksi babak yang melahirkan visual yang cukup hebat dan kuat.

  Beliau juga bereksperimen dalam filem Not one Less dengan mengambil pelakon kanak-kanak yang tidak terlatih. Bukan itu saja dia  menyembunyikan kamera di tempat yang tidak disedari oleh pelakonnya dan merakam gambar mereka untuk babak dalam filem ini  dalam aksi dan mimik muka yang cukup natural dan bersahaja. Suatu eksperimentasi yang menarik dan sedikit esentrik sekaligus.   

 Memasuki milenia baru Zhang dan ramai pengarah  Generasi Ke Lima China  berkarya dengan filem ‘wuxia’ yang membawakan kesatriaan dan kepahlawanan melalui kisah-kisah kungfu, shaolin dan ‘seni peperangan’ China.  Zhang  membawakan ‘The Hero, House of Flying Dagger dan Curse of The Golden Flower’. Hero  mendapat sambutan hangat di Amerika Syarikat dan mengutip jumlah box office yang tinggi hampir RM300 juta selain  menang berbagai anugerah di seluruh dunia. Filem Hero dengan kos sekitar RM60 juta menyaksikan permulaan bajet filem Zhang yang semakin besar dan penglibatan syarikat filem Barat yang membiayainya.Bukan itu saja, syarikat pengedaran filem terkenal seperti Miramax, Buena Vista dan lain-lain mula mengedarkan filem-filemnya di seluruh dunia termasuk yang dilarang tayangannya di China seperti Red Sorghum dan Raise The Red Lantern.

 Beberapa tahun kebelakangan, Zhang mula  mengambil beberapa pengarah muda dari Asia dan menjadi mentor mereka. Seorang daripadanya adalah pengarah filem Palestin yang menang di Festival Doha yang lahir dan besar disebuah kem pelarian . Zhang yang cukup terkesan ketika masih muda bila melihat Akira Kurosawa di usia 80 tahun di Festival Cannes  berkata ‘saya masih belajar membuat filem’ ternyata tahu memberi balik kepada khalayak filem dari seluruh dunia yang mengkaguminya  sejak 25 tahun lalu. Sifat merendah diri Akira Kurosawa yang merupakan salah seorang idola Zhang ketika di Akademi Filem Beijing dulu ternyata bukan sahaja mempengaruhi filem-filemnya. Zhang Yimou  sememangnya seorang seniman sejati yang bukan sahaja memperkatakan penderitaan dan kemanusiaan dalam filemnya, tetapi melakukan sesuatu yang cukup besar maknanya kepada mereka yang cukup malang dan hidup dalam keadaanyang cukup tertekan.     

(ARTIKEL DI ATAS ADALAH BAHAGIAN KEDUA DARIPADA ARTIKEL TERDAHULU BERTAJUK IMPAK PENGARAH GENERASI KE LIMA FILEM CHINA. SEBAHAGIAN DARIPADANYA ADALAH MERUPAKAN KATA PENGANTAR KEPADA BUKU MENGENAI PENGARAH FILEM GENERASI KE LIMA. ARTIKEL DI ATAS TELAH DISIARKAN DALAM BERITA HARIAN BERTARIKH 11 JANUARI 2014). 

 

 

 

 

 
 

 
 

 

 

 

  

   

 

 
     

 

 

 

 

 

 

 

 



 
 
 
 
 
 
jumlah box office yang tinggi hampir RM300 juta selain  menang berbagai anugerah di seluruh
     
 
 
 
 
 
 
 
 




 








 

Wednesday, December 25, 2013

IMPAK PENGARAH GENERASI KE LIMA


IMPAK  PENGARAH GENERASI KE 5  KEPADA INDUSTRI FILEM CHINA.

Bermula dengan filem  The Yellow Earth arahan Chen Kaige ( 1984) diikuti  filem  Red Sorghum karya dan arahan Zhang Yimou pada tahun 1987 pengarah  China mula mempamerkan pembaharuan, kesegaran, kedalaman intelektual dan emosi yang tidak boleh dipertikaikan hasil  karyawan Tanah Besar China yang menamakan diri mereka  Pengarah Filem Generasi ke 5 atau The New Wave. Karya mereka tidak langsung mengagungkan sosialisme dan propaganda komunis dan menjadi  kejutan dan gegaran di dunia filem antarabangsa terutama di Festival Filem Cannes, Berlin dan Venice yang merupakan festival filem besar, berprestij dan cukup lama di dunia (hanya Festival Berlin yang masih dikira baharu dalam usia sekitar 25 tahun) di luar Hollywood.  

 Filem Farewell My Concubine yang sering disebut sebagai karya bersama Zhang Yimou dan Chen Kaige (Kaige sebagai  pengarah dan Yimou sebagai Pengarah Fotografi)  sekali lagi menggegar Cannes bila memenangi anugerah filem terbaik pada tahun 1993.  Pada tahun yang sama filem  arahan Zhang Yimou Raise The Red Lantern menang di Berlin. Tahun demi tahun berikutnya adalah sejarah dunia perfileman yang mula melihat peralihan dominasi filem-filem seni dari Barat ke Asia yang banyak diwarnai oleh filem-filem dari China dan Iran. Hari ini, filem dari Iran dan China bukan saja banyak mencapai kejayaan box office yang besar di seluruh Asia tapi juga di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri.

Beberapa kali filem  Zhang Yimou, Cheng Kaige dan Feng Xiao Gang menjadi calon utama (sejak dari  Raise The Red Lantern 1993)  filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi Hollywood. Filem Flowers of War arahan Zhang Yimou pada tahun 2011 hanya kalah kepada filem Iran The Separation arahan Asghar  Farhadi. Bila ada lebih dari satu filem yang di kira sebagai ‘mahakarya’ oleh pengkritik filem dari seluruh dunia , pasti hanya satu yang terpilih dan Flowers of War terpaksa beralah kepada The Separation bukan kerana filem  Zhang Yimou ini tidak cukup hebat.

 Pengarah filem Generasi ke 5 China merupakan karyawan yang lahir dari Akademi Filem Beijing selepas tamatnya Revolusi Kebudayaan Mao Tze Tung yang dipelopori oleh isterinya dan  beberapa  tokoh politburo Parti Komunis China yang di gelar The Gang of Four.  Dan dalam banyak  karya mereka, impak dan kesan Revolusi Kebudayaan yang meninggalkan parut yang dalam dipamerkan secara terang oleh karyawan filem Generasi Ke 5. Chen Kaige adalah di antara mereka yang cukup terkesan dan menyesal kerana telah menghina serta mengaibkan bapanya sendiri Chen Huaiai seorang pengarah filem terkenal secara terbuka ketika berumur 16 tahun kerana dituduh menjadi penentang revolusi. Dan insiden  ini terlihat dalam satu babak filem Farewell My Concubine yang cukup mengesankan dan menyatakan segala-galanya. 

 Zhang Yimou yang menghasilkan trilogi  Red Sorghum, Ju Dou dan Raise The Red Lantern menggunakan alegori dalam filem-filemnya mengkritik tekanan politik dan sosial negaranya. Zhang banyak mempamerkan watak wanita yang kuat dan melalui berbagai perkara yang menekan mereka oleh watak lelaki yang dominan, jahat, kasar dan tidak berperi-kemanusiaan dan ramai penganalisis melihat ini sebagai suatu perlambangan kepada situasi politik-sosial China  yang sangat menekan. Dalam dekad pertama proses beliau  berkarya , Zhang seolah-olah melakukan ‘purging of the pain’ yang membawakan  katarsis,  kelegaan dan kepuasan memperkatakan   segala  yang telah dilalui rakyat China dari Revolusi Kebudayaan Mao.

Hingga ke hari ini, Zhang tidak pernah mahu menjawap atau mengiyakan soalan yang diajukan kepadanya tentang  perkara ini. Sebagai seorang remaja berumur 17 tahun ketika itu dan terpaksa menjual darahnya untuk membeli kamera, tentu banyak yang mahu diperkatakan oleh Zhang dengan seringkali mempamer watak wanita yang ditekan dan dimangsai oleh order lama. Watak wanita yang mempunyai perwatakan kuat dengan psikologi karekter yang kompleks dalam filem-filem Zhang mungkin merupakan perlambangan kepada ibunda dan negara yang menjadi mangsa kepada pergolakan sejarah, sosial dan politik China yang cukup bergelora sejak dari dahulu hingga ke zaman moden setelah komunis menguasainya.

Zhang Yimou dan Chen Kaige adalah dua nama besar yang cukup gah  dari Pengarah Generasi ke 5 selain daripada Tiang Zhuang Zhuang yang menghasilkan filem Blue Kite   dan Zhang Junzhao (1983) yang mengarahkan filem One and Eight dan lain-lain. Blue Kite dengan kritikan yang cukup keras terhadap Revolusi Kebudayaan menyebabkan filem ini tidak dibenarkan tayangannya di China. Bukan itu saja, Zhuang Zhuang juga tidak dibenarkan membuat filem lagi sehingga beberapa tahun yang lalu atas arahan mendiang Deng Xiao Peng.

Secara formal, gelombang  filem Generasi ke 5 tamat pada tahun 1989-1990 dan ramai di antaranya selepas itu menumpukan karier mereka dalam televisyen, dvd dan lain-lain. Pun begitu, Chen Kaige dan lebih prolifik lagi Zhang Yimou menghasilkan filem-filem seni bermutu dan menang di banyak festival di seluruh dunia. Filem-filem Zhang menang  anugerah Los Angeles Film Critics, Anugerah Silver Bear Berlin, Sundance, Venice dan lain-lain. Bukan saja mendominasi filem seni melalui  Hero, House of Flying Dagger, Story of Quiju, The Road Home, Not One Less, To Live, Curse of Golden Flowers, Flowers of War dan lain-lain, filem-filem Zhang turut membuat kutipan box office yang baik di dalam dan di luar China.      

Feng Xiao Gang walau pun bukan dari kumpulan Generasi ke 5 adalah nama besar lain yang  cukup berjaya dengan filem-filemnya seperti The Banquet dan Aftershock.  Seperti Yimou, Feng mengeksploitasi kekuatan visual dalam filemnya. The Banquet  filem period yang merupakan adaptasi longgar Hamlet karya Shakespeare cukup hebat dengan visual dan sinematografi  yang sukar dilupakan dan ternyata karya beliau mempamer pengaruh Generasi ke 5 yang kuat.      

(Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian 22 Disember 2013 yang lalu. Di atas adalah versi asal yang tidak diedit).

Saturday, December 14, 2013

Setiap Kali Melihat Bapa

Setiap kali melihat mu

dan menghitung beban usia

belakang mu yang bongkok

aku jadi lupa pada segala

pedih luka kecewa

serta marah yang tidak terhambur

oleh wajah putera

yang semakin tidak ku kenal

oleh kacau dalam dirinya


       
        bapa

        Dia telah memanjang usia mu

         dan banyak kali mengajar ku

         tentang kesabaran dan kasih sayang

          walau mereka cuba  menolak ku ke tepi

         tapi kasih mu

         yang sentiasa mendambakan aku di sisi

        sedikit pun tidak menjejaskan harga diri

        dan aku jadi perkasa semula

        serta tidak mengenal putus asa

        kerna kasih mu adalah raja

       suara mu yang berkata

       aku anak yang sentiasa di tunggu


Allahuakabar

begitu permainan Nya
 
menitiskan bahagia

serta  bayu kasih yang menyegarkan

walau mereka mungkin tidak mengerti


         biarkan lah begitu

         kerna Dia cukup tau

        Bismillahi Tawakkal Allalah

        sentiasa memberi kemenangan kepada ku.


                                                                                              Ipoh -31 November 2013.




Friday, November 1, 2013

KATA ERNESTO


KATA ERNESTO

 Di oslo
mereka berikan kami

sekeping diploma

cek yang besar

kemasyhuran dan pengiktirafan

tapi mereka tak berikan kami keamanan

 
dalam termangu aku bertanya
               
di mana keamanan itu agaknya?

dalam elusif mencari kebenaran
dia mula jatuh cinta dengan puisi
bait-bait yang disinggahi

ada kala

membawanya
ke lorong-lorong berdarah

Buenos  Aires yang ditinggalkan

                di lain waktu
              wajah Fathi Arafat yang telah pergi menjelma

               dalam keliru dan kelabu                                                                                                                  
               kerna polonium yang melekat di pakaian Yasir
              ketika disemadikan

               ah! Kebenaran itu amat membebankan

di waktu lain pula
dia terlihat

gadis-gadis kecil bermain lompat tali
di lorong-lorong Tebing Barat

yang di duduki tanpa restu

sedang ia cukup terganggu

mengenang holocaust

                   Ernesto
                 begitu hati-hati kau bicara

                   tentang Tel Aviv mu
                 mungkin kerna aku ber abaya ketika itu

                  dengan hijab biru menutup dada

 tapi ketahui lah
apa pun  pakaian kita

kemanusiaan dan keamanan

tetap kita buru
tetap kita perkatakan                                                                                                                                  

seolah-olah kitalah

manusia dungu kelas satu
sang pemimpi romantis

tak berkesudahan

atau manusia ketinggalan zaman
yang sudah patut pupus


                       seperti engkau
                      
                       ada kalanya
                     
                      aku juga    

                      hampir tewas oleh putus asa
                     juga oleh si pembunuh mimpi

                      sinis dan kejam                                                                                  

                      menikam segala urat nadi
                      kerna jiwa mereka

                     terlalu parah
                     dengan pekat darah merah

                     bernama kebencian

                    

 WCP  ke 33 Ipoh                                                                     21-26 Oktober 2013.