Sunday, May 12, 2013

Galeri Sultan Azlan Shah


GALERI SULTAN AZLAN SHAH YANG MENAKJUBKAN.

Kalau mahu mengamati  dan meneliti setiap satu artifak yang dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan Kuala Kangsar, seseorang mungkin memerlukan sehari suntuk  untuk melakukannya.  Sudah hampir  10 tahun Galeri ini dibuka dan ramai tetamu dan pelawat dari dalam dan luar negeri yang telah melawatinya, tetapi  tidak banyak pablisiti yang telah dilakukan untuk galeri ini. Sayang, kerana  kerana galeri ini mempamer koleksi cenderamata dan  sebahagian besarnya  merupakan koleksi dan mengenai  DYMM Sultan Azlan  Shah sendiri yang sangat mengkagumkan sukar di lihat di banyak  muzium di negara ini mau pun jika dibandingkan dengan di luar negeri.
“ Tuanku memberi segala  bahan  dalam koleksi baginda untuk dipamer .  Staf muzium
 memilih dan membuat penyelidikan dan hasil cetusan idea dan perkenan baginda adalah apa yang
dipamer  di  galeri ini.   Tujuannya kerana baginda mahu menanam kesedaran  kepada golongan
muda tentang pentingnya pendidikan”  Demikian kata-kata awal pembuka cerita yang disampaikan
kepada penulis serta jurugambar Farhan Najib dari Ipoh. Mungkin sentuhan profesyenal  pegawai
arkib   seperti Puan Nor Jannati  Ibrahim yang menjadikan  pemameran artifak di galeri ini begitu
rupa jadinya dan terasa ‘hidup’  punya ‘jiwa’ dan ‘bercakap’ kepada mereka yang melawatnya,  
demikian bisik hati penulis.

 Puan Nor Janati seorang pegawai Arkib Negara semenjak tahun 1985 dan cukup berpengalaman  pernah terlibat dengan penubuhan beberapa galeri dan muzium di Malaysia. Malah selama 6 bulan beliau pernah  di hantar ke Timor Leste dan bekerja keras menyelaman rekod serta dokumen bersejarah  negara muda  yang baru  saja mencapai kemerdekaan setelmelalui peperangan dan masalah kekacauan politik dan etnik yang serius. Berkhidmat  dibawah panji-panji  Bangsa-Bangsa Bersatu, beliau dengan beberapa orang  petugas dari Malaysia berjaya menubuhkan Arkib  Timor Leste dengan kecekalan yang tidak sedikit dalam suasana negara itu  masih belum cukup pulih daripada kekacauan. Sekembalinya dari   Timor Leste, beliau  bertugas  sebagai Pengarah Arkib Cawangan Perak  yang sedang memulakan tugas  membuat pengisian untuk pameran  di Galeri Sultan Azlan Shah ketika itu.        

 Penulis memang suka ke  muzium sejak dari dulu samada di dalam atau di  luar negeri  tetapi bagi saya  Galeri Sultan Azlan Shah punya kelas dan keistimewaan yang tersendiri dan mengungkap banyak ‘sejarah dalam sejarah’  seorang Sultan, Negeri Perak dan sebahagian penting sejarah  negara ini. Masakan tidak, dari artifak seperti kad pengenalan lama, passport antarabangsa dan salinan surat beranak yang cukup peribadi sifatnya membawa kepada persembahan hadiah berharga dari seorang raja yang di reka indah dari emas.   

 Integriti DYMM Sultan Azlan Shah yang terdidik dalam bidang Undang-Undang  dan begitu sinonim dengan perundangan negara untuk suatu masa yang lama dan  pernah dilantik ke jawatan  Ketua Hakim Negara  termuda ketika berusia  37 tahun terpahat kuat  dalam jiwa baginda dan mungkin ini sebabnya sepasang gelang kaki emas hadiah dari Sultan Qaboos dan rantai leher dari Amir Kuwait dipamerkan di galeri ini. Bagi orang lain artifak sebegini mungkin tidak akan dipamerkan untuk tontonan ramai  tetapi tidak di Galeri Sultan Azlan Shah (SAS).  

 Lama dulu, sewaktu melawat The Hermitage di St.Petersburg yang merupakan istana musim sejuk Tzar Nicholas  11  raja terakhir Russia,penulis menyaksikan artifak tinggalan keluarga ini  dan kagum dengan ‘kemewahan’ artifak yang dipamerkan. Dari hiasan telur Easter yang bertatahkan berlian dan batu  permata berharga  hinggalah jam mangkuk biasa warna putih dengan waktu menunjukkan pukul dua yang menandakan waktu istana itu diserang oleh tentera Lenin  dan Tzar Nicholas  serta keluarganya ditawan.  Begitulah perasaan penulis ketika melawat Galeri SAS baru-baru ini. Artifak yang dipamer punya elemen cukup manusia dan cukup  ‘raja’ pada masa yang sama. Lawatilah galeri ini dan anda akan faham apa yang penulis maksudkan.             
Bangunan asal galeri ini juga cukup menarik, bersejarah dan  merupakan istana lama yang pernah di
semayami oleh DYMM Sultan Perak ke 28 iaitu Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah  yang merupakan
ayahanda kepada nenda DYMM Sultan Azlan Shah sendiri. Dikenali dengan nama Istana Ulu dan di
bina dalam tahun 1898, arkiteknya adalah Kapten Maurice Alexander  Cameron yang merupakan
Timbalan Jurutera  Kolonial dan Ketua Juruukir Negeri-Negeri Selat ketika itu. Banyak persamaan
dalam rekabentuk Istana Ulu ini yang terlihat pada bangunan seperti Dewan Bandaraya,  Mahkamah
Tinggi dan  Stesen Keretapi  di Ipoh serta Istana Negara yang terbina dalam era  yang sama.

 Almarhum Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah mementingkan warisan ukiran Melayu dikekalkan di Istana Ulu yang  dapat dilihat hingga ke hari ini. Diperbuat daripada kayu cengal yang sangat kuat dan tahan, Seorang juruukir terkenal ketika itu iaitu Raja Harun Al-Rashid telah ditugaskan membuatnya. Baginda memastikan ukiran yang menghiasi  istana ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Ukiran yang ada di ruang-ruang dalam  istana ini merupakan yang asal dan bukannya dibuat semula. Lebih seratus tahun ukiran-ukiran ini menghiasi Istana Ulu, dan ia masih boleh dilihat hingga sekarang.
Di antara artifak  menarik zaman pemerintahan baginda  yang masih  dapat dilihat di galeri ini  ialah
set pinggan mangkuk yang masih sempurna  dan digunakan  di istana ini pada tahun 1902. Pada
setiap   artifak ini tertulis nama baginda dalam tulisan jawi. Tidak kurang pentingnya ialah gambar
baginda yang diambil ketika menghadiri majlis Pertabalan   King George ke 5 di England dalam
busana di raja yang direka khas untuk majlis ini. Busana ini hampir menyerupai sut kolar Nehru yang
banyak dipakai ketika ini kerana  baginda tidak dibenarkan memakai sut barat seperti yang dipakai  oleh  orang barat. Ini bertujuan  untuk membezakan baginda seorang raja dari koloni Britain
dari orang barat lain. Fakta sensitif sebegini mungkin tidak dapat dibaca dalam buku sejarah mana
pun, tetapi gambar Alrmarhum Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah di Galeri SAS ini menceritakan
segala-galanya, 

 Bahan-bahan yang dipamerkan di Galeri ini dibahagikan mengikut 13 kategori pengkelasan yangberbeza dan menarik. Di bahagian DYMM Sultan Azlan Shah sebagai tokoh perundangan, turut dipamerkan kertas-kertas penghakiman dengan tulisan tangan baginda yang bersih, halus dan cantik kemas tersusun dalam fail ‘crcodile’ yang digunakan ketika itu. Sebahag besar dokumen ini telah dibukukan dan masih digunakan di mahkamah dan sekolah perundangan di IPT kita.                   
Baginda telah mengendalikan lebih 1000 kes dan amat terkenal sebagai seorang hakim yang adil,
jujur, tegas dan berani demi menegakkan kesaksamaan, keadilan dan kebenaran.  Banyak anugerah  perundangan daripada universiti luar negeri yang diterima oleh baginda dipamerkan di galeri ini yang menjadi testimoni kepada kejayaan membina    imej perkhidmatan kehakiman yang dihormati  dan baik dengan baginda sebaga salah seorang ‘pemain’ utamanya yang mencorakkan sistem perundangan   kita untuk suatu waktu yang lama.

 Sukan Hoki negara ini juga sinonim dengan DYMM Sultan Perak. Malah sesiapa yang mahu membuat penyelidikan dan bercakap tentang sukan ini di Malaysia tidak lengkap sekiranya tidak merujuk kepada baginda. Banyak bahan yang ada kaitan dengan sukan hoki Malaysia dan juga diperingkat antarabangsa terpamer di galeri ini. Kedudukan baginda sebagai Naib Presiden Persekutuan  Hoki Antarabangsa dan Presiden Persekutuan  Hoki Asia hanyalah sebahagian kecil daripada begitu banyak pencapaian dalam bidang ini yang bermula semenjak baginda di bangku sekolah lama dulu.
Sememangnya suatu pengalaman yang menarik, informatif dan akan diingati oleh sesiapa juga yang
melawati Galeri SAS ini. Mungkin pihak pengurusan Galeri perlu mengadakan banyak kerjasama
dengan IPT tempatan dan badan bukan kerajaan yang ada kaitan dengan pemuliharaan warisan dan
sejarah untuk menganjurkan seminar dan berbagai majlis ilmu yang akan mendedahkan
kecermerlangan galeri ini dengan artifak yang dipamerkannya kepada ramai orang. Ramai murid
sekolah, penuntut IPT,  penyelidik  serta pelawat yang telah mendapat manfaat ilmu dari Galeri SAS,
tetapi masih ramai Khalayak yang tidak mengetahui tentangnya dan sesuatu perlu dilakukan tentang perkara ini. Paling penting, galeri dengan pemameran koleksi yang baik  dengan sentuhan
peribadi   DYMM Sultan Perak  ini adalah suatu aset Negeri  Perak dan Malaysia yang penting dan
setaraf dengan beberapa galeri termashyur di seluruh dunia. Banyak yang boleh dipelajari secara
santai dengan melawat galeri seperti ini.

 (Artikel ini telah diedit dan disiarkan dalam akhbar Berita Harian semalam Ahad 12 Mei 2013. Artikel di atas adalah versi asal ketika dihantar kepada Berita Harian).

 

Thursday, April 4, 2013


TANDA PUTERA: TANDA KEMUFLISAN PATRIOTISME KITA?

Bagi semua yang telah menonton  filem cantik Tanda Putera arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba
yang masih entah  bila akan ditayangkan, pasti akan mengatakan tidak ada detik yang lebih baik
untuk menayangkannya selain daripada sekarang. Senario politik kebelakangan yang amat mencabar di Sabah hanyalah suatu pengesahan bahawa filem kenegaraan seperti   Tanda Putera amat diperlukan dari semasa ke semasa untuk memastikan generasi muda sekarang tidak muflis
patriotisme mereka  kerana kesilapan kita  meminggirkan pelajaran sejarah suatu ketika dulu. 

Patriotisme bukan boleh dipupuk dengan kempen pengibaran Jalur Gemilang setahun sekali pada musim menyambut kemerdekaan sahaja, tetapi banyak cara lain yang lebih halus seperti melalui filem dan genre kesenian  lain untuk menyerapi  jiwa dan hati nurani rakyat Malaysia.

 Berbagai alasan diutarakan supaya filem ini tidak ditayangkan hingga sekarang. Antaranya kerana ada adegan kepala peserta FELDA dipenggal komunis tergolek di atas tanah. Tapi tontonlah filem    Django Unchained yang sedang ditayangkan sekarang, pasti ramai yang akan berkata babak kekejaman dalam Tanda Putera itu tidak ada apa-apa sebenarnya. Dalam Django Unchained babak kekejaman apa yang dilakukan oleh orang kulit putih terhadap hamba abdi dari Afrika di ladang kapas yang tidak ada? Tapi tiada pula  yang mempertikaikan tayangan filem ini di negara ini? Kedua filem ini Tanda Putera dan Django Unchained adalah filem-filem sejarah yang dipadankan dengan insiden yang benar-benar terjadi. Tapi mengapa harus ada dwi-standard dalam soal ini? Puak humanis mana yang punya justifikasi begini agaknya? Semoga  keakuran pihak  berwajib mengikut rentak mereka tidak akan dilihat sebagai kelemahan dan kemuflisan patriotisme di negara ini.

 Tanyalah mereka yang telah menonton filem Tanda Putera, pasti ramai yang mengatakan ini adalah sebuah filem  indah ‘festival material’ yang perlu dipertontonkan kepada khalayak. Suatu kerugian besar filem cantik seperti ini tidak ditayangkan  di pawagam kita kerana hingga kini hanya ada beberapa buah filem kenegaraan yang  indah begini. Lainlah kalau filem Tanda Putera ini setahap filem  Lelaki Komunis Terakhir yang sedikt pun tidak punya nilai aestetik dan artistik yang boleh dibanggakan. Tanda Putera  bukan dalam liga filem Lelaki Komunis Terakhir  yang dibuat sebagai agenda politik simpatisan kepada Chin Peng yang telah tua dan mahu kembali ke negara yang pernah diderhakainya! Tanda Putera mempamer  kekuatan dan kemantapan skrip yang bukan calang-calang bikinannya. Hanya beberapa buah filem kenegaraan (dan bukan kenegaraan juga) kita yang sebaris kedudukannya seperti Tanda Putera.

 Malah jika mahu bercakap tentang filem kita sejak dari dahulu, Tanda Putera adalah di antara beberapa buah filem tempatan yang mengangkat perspektif lain daripada perkara biasa dalam kehidupan , tak usah bercakap tentang filem yang berasaskan sejarah yang benar-benar terjadi. Tanda Putera mengangkat perspektif persahabatan dan keakraban di antara dua orang pemimpin ulung negara ini yang benar-benar terjadi dan bukannya fiksyen yang ditokok tambah untuk menyedapkan cerita. Ianya mengenai kekuatan dan kewibawaan peribadi Perdana Menteri Kedua Malaysia Tun Abdul Razak dan Timbalannya iaitu Tun Dr Ismail. Garapannya begitu artistik sekali dengan mempamer  aspek kehidupan mereka yang cukup tragik dan menyedihkan.   

 Aspek penyelidikan dan ketelitian pembinaan skripnya  sahaja sudah kup baik dan  membanggakan. Tak usah bercakap tentang penataan artistik, lakonan dan sinematografi serta  runut bunyi yang memang dalam kelasnya yang tersendiri. Penulis tidak ada sedikit pun rungutan tentang filem ini melainkan bila dan bila ia akan ditayangkan kepada umum? Dan perlu diulang sekali lagi,suatu kesilapan besar kepada industri  filem dan rakyat negara ini jika filem ini tidak ditayangkan. Atas sebab filem ini belum ditayangkan untuk umum, adalah tidak beretika jika penulis  membuat reviu Tanda Putera. Tetapi rasanya tidak adil juga jika tidak menulis tentang beberapa aspek yang tidak diketahui tentang kehebatan buah tangan Shuhaimi Baba yang terakhir ini.      
 Ada  portal berita media alternatif parti pembangkang  yang menuduh filem ini sebagai rasis. Penulis kurang pasti apakah kewajaran mengatakan filem  ini sebagai rasis? Malah ada tokoh yang lantang memperjuangkan liberalisme dan hak asasi manusia yang terkemuka belum pun menonton filem ini turut menuduhnya sebagai rasis! Apakah kerana adegan gerakan hartal orang Cina di Pulau Pinang dan pergaduhan kaum Peristiwa 13 Mei 1969 dipaparkan sebagai latar masa dan peristiwa filem Tanda Putera maka ia secara otomatik menjadi sebuah filem yang rasis? Dalam filem ini juga
dipaparkan persahabatan dan keakraban beberapa orang mahasiswa Universiti Malaya  berlainan
kaum dengan seorang pensyarah mereka  dari keturunan Serani. Apakah seorang yang rasis
pemikirannya   akan memaparkan adegan sebegini jika ia sememangnya rasis? 

 Sewaktu kontroversi filem Lelaki Komunis Terakhir rancak diperkatakan sedikit waktu yang lalu, penulis pernah disergah dengan biadap sekali oleh seorang wartawan BBC di perkarangan kompleks FINAS. Wartawan tersebut bertanya kenapa orang Melayu negara ini begitu takut untuk membiarkan filem ini ditayangkan kepada khalayak sedangkan ia adalah berasaskan kebenaran dan bukan tentera Melayu sahaja yang terkorban semasa darurat? Penulis tergamam seketika bukan kerana soalan tersebut tetapi kerana cara wartawan berkulit putih itu bertanya. Lalu penulis ceritakan kepadanya bahawa bapa saya berkhidmat dalam angkatan bersenjata dan pernah bertugas di kawasan hitam di Kroh semasa darurat dan masih mengingati cerita beliau tentang kekejaman komunis dan trauma yang dilaluinya semasa pertempuran di dalam hutan. Wartawan tersebut terdiam mendengar jawapan saya dan tidak menjawap bila ditanya apakah bapanya pernah bertempur menentang komunis dalam hutan di Tanah Melayu semasa darurat juga?

Atas dasar kebenaran dan fakta sejarah juga, penulis ingin bertanya pihak yang melobi supaya Tanda Putera tidak ditayangkan, apa yang nak ditakutkan kerana filem ini bercakap tentang kebenaran dan sejarah yang betul-betul terjadi? Mereka yang terkorban dalam Peristiwa 13 Mei terdiri daripada orang Melayu dan juga Cina jadi apa yang difobiakan bila kita bercakap tentang secebis sejarah negara ini?           

Thursday, March 21, 2013

MUSIM PUISI DATANG LAGI


LAGU ITU
(UNTUK  ARWAH PAK TAM) 

  
      Lama dulu
      waktu ku dengar lagu itu

      ibu menitiskan air mata 
      kerna adik lelakinya

      berada di Bau
     Unit Perubatan Tentera  British

     dianggotainya terpanggil sama
     memerangi keegoan

    seorang pemimpin pandai pidato
    dengan tangan-tangan kotor di belakang

                             50 tahun berlalu
                             lagu itu ku dengar lagi

                             ibu sudah tiada
                             Pak Tam juga telah lama pergi

                             tapi  akulah yang menitiskan air mata                                                                        

                            melihat saudara-saudara ku
                         berperang sesama sendiri

                            merebut kuasa
                            merebut negara

                            merebut takhta yang sudah tiada

     saudara ku
     sejenak aku jadi nanar

     memikir dan merenung

      kelaparan mu dalam kelukaan
      hingga sudah tidak ku kenal lagi                                                                                                          

      rupa dan wajah itu
      kerna anak mata mu tidak lagi  hitam
 
     kulit mu tidak lagi sawo matang

      Allahu Akbar juga

      sudah jarang  ku dengar dari mulut mu
                    
                       lalu di tanah yang pernah merah ini

                       terpanggil aku untuk bertanya
                       siapakah saudara mu ketika ini?

                        kerna  pasti engkau menyedari                                                                                       

                       banyak tangan kotor di belakang itu

 
Pasir Salak - 8 Mac 2013                                                                                                                      

           

  

         


 




 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
           
            
            
            
            
             
            
            
           
           
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 






 

 

Sunday, March 17, 2013

Rock Oo!


ROCK OO…: SECEBIS SEJARAH MUZIK ROCK MALAYSIA.

Ada orang   menamakan filem ini sebagai ‘rockumentari’ iaitu   dokumentari tentang muzik rock. Sekali lagi filem parodi Mamat Khalid yang sedang ditayangkan mendapat sambutan box office yang membanggakan.   Filem Rock Oo arahan Mamat yang diterbitkan oleh Grand Brilliance adalah sekuel kepada filem Rock yang diterbitkan beberapa tahun lalu. Sememangnya filem-filem bertemakan rock garapan Mamat memaparkan  secebis sejarah genre muzik rock di negara ini dan ‘rokumentari’ mungkin nama yang tepat baginya jika Dewan Bahasa dan Pustaka bersetuju dengan terma tersebut.

Seperti filem Tanda Putera arahan Shuhaimi Baba yang memaparkan sejarah persahabatan dan kehidupan dua orang pemimpin ulung Malaysia dengan intim sekali, Rock Oo juga cukup intim menceritakan tentang kemunculan dan perkembangan muzik rock Malaysia semenjak tahun 80han hingga  90han. Cuma garapan kedua pengarah ini berbeza kerana Mamat memilih memperkatakannya melalui lelucon sementara sejarah persahabatan dan kehidupan Tun Abdul Razak dan Tun Dr.Ismail disampaikan melalui drama cukup menyayat hati dan tragis (suatu kesilapan dan dosa besar jika filem ini tidak ditayangkan di Malaysia sampai bila-bila)!

Pun begitu kedua pengarah filem ini  mencoretkan sebahagian penting sejarah negara ini dalam karya mereka. Hanya pengarah dan penulis skrip cukup kreatif dan berpemikiran tinggi sahaja mampu berkarya dan mengangkat perspektif lain kehidupan dalam karya mereka dengan begitu baik sekali. Tidak pernah ada kumpulan rock bernama Rimba Bara di Malaysia, tetapi Mamat mengungkap kemunculan dan perkembangan muzik rock di negara ini melalui jatuh bangun dan perjalanan kumpulan dengan nama tersebut. Kumpulan rock Rimba Bara mungkin tidak pernah wujud, tetapi penulis yakin ada kumpulan rock yang mirip dan menyerupai apa yang telah dilalui oleh kumpulan ini.      

Rock Oo memaparkan kisah ahli-ahli kumpulan rock Rimba Bara yang cuba menaikkan semula nama dan kemegahan kumpulan ini yang pernah berada di puncak suatu ketika lalu. Amy Mat Piah (lakonan Que Haidar) bukanlah seorang bekas ahli kumpulan Rimba Bara tetapi seorang pemuda kampung penjual air batu campur yang amat berminat untuk menjadi seorang rocker. Beliau mengajak Jijo (lakonan mantap  Khir Rahman) sebagai bekas gitaris Rimba Bara untuk menghidupkan semula kumpulan ini.

Mi Black (lakonan Azmi Black) pemain dram yang cukup setia dengan kumpulan ini bersetuju untuk menghidupkan semula Rimba Bara dengan penyertaan Slash Hj.Tapah  (lakonan hebat Pekin Ibrahim) walaupun vokalis utama mereka Zul Kapan ( lakonan Sofi Jikan) telah dilamar oleh Studio Luncai Emas. Amy Mat Piah mendapat peluang keemasannya untuk menyertai Rimba Bara menggantikan Zul Kapan walau pun vokalnya tidaklah sebaik mana tetapi dalam situasi ini, tiada rotan akar pun berguna.

Tetapi keazaman anak-anak muda dari kawasan luar bandar ini untuk berjaya bukanlah semudah yang disangkakan. Berbagai masalah dan halangan seperti yang telah dilalui sebelum ini hampir berulang dan mereka hampir berputus asa. Tetapi Amy Mat Piah dengan semangat anak petani modennya yang berkobar-kobar pantang mengalah serta beberapa insiden yang menimpa Zul Kapan dengan kumpulan rock  Malaikal Maut nya yang telah diharamkan oleh kerajaan telah mengubah keadaan dan menaikkan semula kumpulan rock Rimba Bara.

Bersama dengan kumpulan rock  lain yang cukup terkenal dan disukai ramai seperti Wings, Bumiputera Rockers dan lain-lain, Rimba Bara mendominasi pentas dan dunia muzik tanah air. Berbagai polemik tentang sub-budaya yang dibawa bersama muzik mereka  dan itulah yang telah berlaku dan  mendominasi akhbar dan media tempatan dalam tahun 90han. Di suatu ketika, muzik rock  heavy metal telah diharamkan kerana berbagai gejala tidak sihat yang ikut serta bersamanya. Dadah, perlakuan liar dan arak yang  sangat asing dari budaya kita adalah sebahagian daripadanya dan  semua ini dicatatkan oleh Mamat Khalid dalam filem ini dengan kepekaan yang tidak sedikit kerana begitulah realitinya.

Imej-imej pemuzik rock tempatan yang cukup mirip dengan kumpulan dari luar negara yang ‘brutal  habis’ (dalam bahasa rock nya)  seperti Iron Maiden, Slayer, Led Zeppelin dan lain-lain juga terpancar melalui imej pemuzik rock tempatan. Melalui imej yang di bawa oleh Zul Kapan, Slash Hj.Tapah dan kumpulan Malaikal Maut, imej sejagat muzik rock menjadi ikutan anak-anak muda di Malaysia juga. Rambut panjang dengan pakaian dan seluar jean sendat adalah suatu kemestian dan samada di bandar atau pun di kawasan FELDA, golongan muda Malaysia turut mengikutinya sehingga menimbulkan kebimbangan kerajaan.

 Insiden paling diingati ialah arahan berambut pendek bila pemuzik rock kita mahu membuat penampilan di televisyen tempatan. Amy Search yang menjadi rocker pertama merelakan rambutnya dipotong oleh Menteri Penerangan ketika itu iaitu Dato Mohamed Rahmat dan merupakan insiden yang cukup sensasi dalam sejarah muzik rock kita. Mamat memaparkan insiden tersebut dengan sentuhan yang cukup kelakar, sinis dan membuatkan penonton ketawa selain daripada rocker ‘brutal’ Jijo mengukur kelapa dan lain-lain. Realiti dan fiksyen yang digarap Mamat dalam Rock Oo cukup kreatif, sensitif dengan kedalaman intelektual yang tidak boleh dipertikaikan walau pun subjek yang mahu diperkatakan cukup santai dan tidak memerlukan keseriusan langsung.        

Hampir semua pelakon utama filem ini merupakan pelakon teater tempatan yang cukup terdidik di  pentas teater. Hasilnya, aspek lakonan filem ini dengan perkembangan watak yang sangat menghiburkan dan menarik mewarnai filem ini dari awal hingga akhir. Pekin Ibrahim tidak punya dialog yang banyak tetapi mimik muka dan lakonan dari ‘dalam’ yang dibawanya cukup meyakinkan, dan berkesan. Ada orang seringkali membuat komen bila teater dipenuhi oleh pelakon filem dan selebriti, tetapi dalam Rock Oo Mamat Khalid menterbalikkan situasi dan siapa pun tidak menyentuh tentang hal ini. Bagi penulis, yang mustahak ialah lakonan seseorang mesti meyakinkan dengan watak yang dibawanya dan memberikan kesan cukup baik kepada filem atau teater, bukan dari mana dia datang.                

(Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian Ahad 17 Mac 2013. Ini adalah versi asal artikel). 

Monday, March 11, 2013

ROYAL BELUM WORLD DRUM FESTIVAL


ROYAL BELUM WORLD DRUM FESTIVAL: MANIFESTASI MERAKYATKAN SENI

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.
Royal Belum World  Drum Festival 2.0 (RBWDF) baru saja melabuhkan tirainya  dengan sambutan yang sungguh baik. Pada malam penutup festival ini di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh hampir 10 ribu orang menghadirinya walau pun dalam cuaca sejuk dan hujan renyai. Malam sebelumnya di Lapangan Terbang Grik cuaca lebih baik dan hampir lima ribu orang menyaksikan pertunjukan yang sama. Beberapa pertunjukan sampingan dalam skala yang lebih kecil di pusat membeli belah di adakan di seluruh Perak seperti di Taiping, Manjung, Jelapang dan Gopeng.Penulis berkesempatan menghadiri  pertunjukan ini di beberapa tempat yang berlainan dan jelas kelihatan usaha merakyatkan seni hidup segar di negeri ini.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, Perak cukup giat mengadakan berbagai aktiviti seni dan budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.  Festival Puisi dan Lagu Rakyat Pangkor yang telah tiga tahun berturut-turut di adakan  mendapat sambutan yang semakin meriah dan ramai. Pangkor yang sememangnya merupakan pulau yang cukup eksotik memang sesuai dengan aktiviti begini dan cukup berpotensi menjadi lebih besar dan terkenal.  RBWDF pula telah dua tahun berturut-turut di adakan dengan jayanya dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Syabas kepada semua pihak berkenaan kerana dalam usaha  menjadi negeri maju, manifestasi merakyatkan seni budaya tempatan dan membawa kesenian dan warisan dunia ke negeri ini jelas kelihatan dan ianya sesuatu yang cukup sihat. Dengan slogan ‘Beat The World’ festival yang asalnya  bertujuan untuk pemuliharaan dan pengekalkan warisan dan kebudayaan tidak ketara dunia ini membawa berbagai kumpulan  genderang (perkusi) terkenal dari seluruh dunia. Suatu usaha terpuji yang cukup berpandangan jauh dan sepatutnya sudah lama di adakan  dalam kita berusaha untuk mengapresiasi dan memahami budaya orang lain dan menjustifikasi kehadiran dan kekuatan budaya kita sendiri di dunia ini.

Cuma sayang, Malaysia sendiri tidak punya kumpulan genderang yang  terkenal seperti beberapa perwakilan negara luar yang sudah berpuluh tahun membuat persembahan di seluruh dunia. Mungkin dalam seni persembahan tradisional kita,alat genderang hanyalah sebahagian daripada berbagai jenis alat muzik lain yang mengiringi persembahan seperti makyung, wayang kulit, mek mulung, kuda kepang dan berbagai genre lain. Pun begitu, hasil daripada pertandingan yang di adakan di Gopeng  dalam Royal Belum Malaysia Drum and Percussion Challenge 2013 baru-baru ini, kumpulan dari ASWARA iaitu Rhythm of Malaysia yang memenanginya memberikan persembahan  yang menarik dan cukup bertenaga.

 Mungkin Kumpulan Gendang Sembilan dari Perak sendiri perlu diperkemas dan dinaik-taraf dengan mendapat sentuhan pakar genderang terbaik negara ini dan boleh diangkat ke taraf yang lebih tinggi dan di bawa keluar negeri untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman bagi memperbaiki  persembahan mereka. Festival bertaraf dunia begini perlukan persiapan rapi  dan perancangan jangka pendek dan panjang yang sistematik dan berpandangan jauh jika ianya mahu terus di adakan dan mampu menarik pengikut dan penonton yang ramai dari seluruh dunia. RBWDF ini memang cukup unik, menarik dan berpotensi untuk menjadi suatu persembahan yang  dapat meletakkan Perak di peta kebudayaan dan warisan dunia dan  menarik ramai pelancongan  seperti yang telah dilakukan  Sarawak melalui Rainforest Festival nya.    

Rata-ratanya dari persembahan yang telah di saksikan, festival ini telah berjaya membawa beberapa kumpulan genderang yang cukup terkenal di seluruh dunia. Natiq Rhytm Group dari Azerbaijan di bawah pimpinan Natiq Shirinov cukup menarik diperkatakan. Ini kali kedua kumpulan ini di jemput membuat persembahan oleh RBWDF dan Natiq Shirinov  merupakan seorang pemukul genderang yang telah membuat persembahan di Itali, Switzerland, Rusia, Turkey, Amerika Syarikat, Perancis, Poland dan lain-lain. Ketangkasan dan kecepatan jari-jemari Natiq memukul gendang telah menjadikan kumpulan yang telah 13 tahun diketuainya sebagai kumpulan genderang terbaik  Azerbaijan dan beliau mendapat anugerah seni tertinggi di negaranya pada tahun 2007.

Tidak kurang menariknya ialah persembahan Egyptian Nile Folkloric Musical Troupe dari Mesir. Di ketuai oleh  seorang pemukul gendang  veteran bernama Abdul Rahman kumpulan ini terdiri daripada 7 orang pemukul gendang kecil menyerupai kompang . Ditubuhkan sejak tahun 1975, Abdul Rahman dan kumpulannya telah  menjelajah dan membuat pertunjukan di seluruh Mesir, Paris, Malaga,Malta, Uzbekistan, Istanbul, Maghribi, Qatar, China, Amerika Syarikat dan beberapa negara Afrika.

 Kumpulan ini mempunyai seorang penari lelaki bernama Mustaffa 33 tahun yang menarikan     Tarian Tannura. Ianya cukup unik dan menarik dengan memakai kostum berwarna-warni seberat 8 kilogram dan berlapis-lapis berpusing-pusing tanpa henti hampir 20 minit lamanya. Tarian ini mempunyai kaitan rapat dengan Islam dan berasal dari Turki diasaskan oleh ahli sufi                   Mohammad Jalaludin Rumi.  Mustaffa membuat improvisasi dan belajar tarian ini sendiri ketika berumur 25 tahun sewaktu melawat Kuniya di Turki. Sejak 3 tahun yang lalu, beliau dengan kumpulan genderang Abdul Rahman telah mengadakan pertunjukan di 14 buah festival antara-bangsa dengan mendapat sambutan yang hangat.       

Kumpulan Wild Marmalade dari Australia yang dianggotai oleh seorang pemain dram moden bergabung tenaga dengan seorang peniup serunai panjang dan besar yang dipanggil  didjeredoo dan merupakan alat muzik orang asli Australia yang cukup menarik bunyinya. Dari Thailand, gabungan kumpulan Nakhonsawan Rajabhat University dan Absolutely Thai juga mempamerkan deruman pukulan gendang yang cukup unik dan bertenaga. Indonesia mengantar 2 kumpulan genderang iaitu Pancasura STSI dan Tataloe Percussion dari Bandung. Maldives mempersembahkan kumpulan genderang Harubee yang diiringi beberapa orang penari yang  jelas mempamerkan pengaruh tarian India.

Secara keseluruhannya Royal Belum World Drum Festival ini cukup membanggakan walau pun masih banyak ruang untuk pembaikan diperlukan. Pada pandangan penulis pengurusan majlis yang lebih baik perlu dilakukan dengan memberi penekanan kepada ketepatan masa kerana persembahan di Grik terlewat hampir setengah jam. Walau pun ini pertunjukan percuma, tetapi ianya perlu dilakukan penuh disiplin termasuk menyediakan tong sampah kerana ‘tarmac’ lapangan terbang itu dipenuhi sampah selepas pertunjukan dan perkara sama telah berlaku tahun lalu. Kumpulan seperti Wicked Aura dari Singapura juga mungkin tidak diperlukan dalam festival ini kerana kumpulan ini tidak lebih daripada sebuah kumpulan rock yang lebih sesuai beraksi dalam konsert  bersama kumpulan yang se genre dengannya. Sedikit dikesalkan juga dalam mempromosi hutan tropika Royal Belum tidak pula disediakan klip video mengenainya untuk mempamer kepelbagaian fauna dan floranya ke seluruh dunia melalui  internet ketika festival  ini berlangsung.     

(ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR HARIAN METRO JUMAAT  8 MAC 2013)                                      

Tuesday, February 26, 2013

Reviu Filem Husin Mon dan Jin Pakai Toncit


JIN PAKAI TONCIT PERLUKAN ANALISIS SARJANA

Rasanya sempurnalah sudah trilogi Mamat Khalid dalam siri zombie dan hantu-hantunya dengan tayangan filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit. Filem ini telah lama disiapkan tetapi entah kenapa ‘diperam’ sebelum akhirnya ditayang dengan mendapat sambutan yang amat baik. Kali kedua penulis menonton filem ini adalah di hari kelima tayangan pukul 9 malam dan panggung masih penuh! Dalam keriuhan dan cuti panjang menyambut Tahun Baru Cina dengan hampir semua pawagam menayangkan filem Cina, filem Husin Mon dan Jin Pakai Toncit (HMJPT) tetap mencuri tumpuan peminat filem Melayu.

Lebih menarik ialah filem ini bukan saja ditonton oleh orang Melayu, tetapi berbagai bangsa dengan golongan umur yang berbeza juga memenuhi panggung. Penerbit filem yang masih mahu membuat filem untuk golongan remaja dengan tema-tema cinta, gangsterisme dan rempit-merempit perlu berfikir semula tentang pendekatan mudah mereka. Mamat  Khalid melalui filemnya yang membawakan parodi atau kritikan sosial melalui lelucon menjuarai genre ini sejak beberapa tahun kebelakangan.
Jika dianalisis ketiga filem beliau semenjak Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan terakhir HMJPT, Mamat  membawa tema ‘manusia hidup kembali’ selepas mati. Penulis yakin Mamat yang sentiasa bercakap melalui metafora, analogi dan simbolisme mahu mengatakan sesuatu yang lebih besar impaknya kepada masyarakat dan bukan ketawa-ketawa sahaja. Ada sesuatu yang ‘mati’ tetapi bangun semula menjadi hantu dan menghantui seluruh masyarakat di Kampong Pisang sebuah kampung di negeri Perak. Melalui lelucon, ada lapisan makna lain yang mahu diperkatakan oleh Mamat jika penonton menganalisis dengan lebih teliti segala yang digarap dalam  filem  beliau.

Filem HMJPT membawa sejarah Kampong Pisang sejak 136 tahun  lalu. Ejaan lama perkataan kampung yang masih digunakan mungkin suatu simbolisme bahawa penduduk tempat ini masih mengekalkan ciri  tradisi dan nilai kampung Melayu  lama dan belum benar-benar  terhakis oleh arus kemodenan. Dan ini menimbulkan konflik nilai dalam pemikiran masyarakatnya dan mereka seolah-olah terperangkap  dalam lingkaran masa antara kepercayaan lama dan baru. Dalam mereka menolak tahyul dan segala macam kepercayaan lama, sebahagian besar mereka masih mempercayainya.   

Kampong Pisang dibuka pada tahun 1877 ketika jalan kereta api  pertama dibina di negara ini iaitu dari Taiping ke Port Weld (kini Kuala Sepetang). Latar masa ini  merupakan tiga tahun selepas Perjanjian Pangkor ditanda-tangani yang memulakan campur tangan Inggeris di Perak . Perjanjian ini menandakan bermulanya penjajahan Inggeris secara tidak langsung di sebuah negeri Melayu yang berdaulat dan akhirnya menular ke negeri Melayu lain. Mungkin imej watak Dr.Shamsuddin (lakonan mantap Rashidi Ishak) yang berkemeja dan bertopi ala orang Barat dan sampai di Kampong Pisang dalam sebuah kereta antik dengan nombor plat bertulis HELL merupakan perlambangan kepada penjajahan itu sendiri!
HMJPT membawa kisah Husin (lakonan Awie) yang balik dari Singapura dalam keadaan yang menyedihkan kerana jatuh bankrap. Husin disambut oleh  penduduk Kampong Pisang yang sedang minum di warung Pak Jabit. Pak Abu (lakonan terakhir Zami Ismail) serta beberapa orang lain yang memperlekeh Husin kerana situasi dirinya. Tetapi Pak Jabit (lakonan cukup natural Man Kadir) mempertahankan Husin dengan  menceritakan beberapa orang lain di kampung mereka termasuk anak saudaranya Yeh Sekupang juga berada dalam kebankrapan. Mamat bercakap tentang zaman ramai manusia jatuh bankrap dan kebankrapan boleh datang dalam banyak cara. Mamat mau mengatakan sesuatu saya kira.

Dengan perasaan kecewa, rendah diri  dan kekeliruan Husin pulang ke rumah lama keluarganya. Kak Limah  yang dulunya sakit jiwa tetapi disangka menjadi hantu telah pun pulih dari sakitnya kini menjadi ketua rombongan yang sering membawa jiran-jirannya dan penduduk Kampong Pisang ke Singapura. Sesuatu yang kurang disenangi oleh Husin kerana Singapura membawa kenangan pahit kepadanya.
Apa pun, kekecewaan Husin sedikit terubat apabila Mon (lakonan  Ezylnn) bekas kekasih lamanya tiba-tiba muncul. Mon yang sebenarnya adalah jelmaan Ayu seorang lagi bekas kekasihnya yang telah meninggal dunia memujuk dan merayu Husin mengikutnya dan tinggal ke dalam hutan di waktu malam. Ayu muncul  semula sebagai   seorang puteri bunian tanpa Husin menyedarinya walau pun penduduk Kampong Pisang terutama Usop Wilcha (lakonan  Syed Asri Osman) serta kawan-kawan mereka heboh dan sibuk mencarinya.

Dalam kekalutan itulah tiba-tiba muncul seorang manusia misteri yang menggelarkan dirinya Dr.Shamsuddin yang mengakui dirinya adalah pakar untuk memulihkan penduduk Kampong Pisang dari gangguan hantu dan orang bunian. Beliau berjaya meyakinkan semua orang kampung dengan kehandalan ilmunya apalagi mempunyai gelaran doktor dan nampak terpelajar serta cukup meyakinkan. Suatu sindiran kepada ramai orang dalam masyarakat kita yang sering cepat terpengaruh dengan individu yang punya gelaran doktor dan nampak terpelajar serta datang dari luar.
Pun begitu, Husin mencurigainya dan akhirnya terbongkarlah identiti  Dr.Shamsuddin yang sebenarnya. Beliau adalah jin yang menjelma setiap 45 tahun di Kampong Pisang untuk menuntut haknya.  Rupa-rupanya 136 tahun lalu  penduduk asal Kampong Pisang telah membuat perjanjian dengan jin pakai toncit ini (slanga bahasa Perak bagi lelaki berambut panjang yang mengikat rambutnya di atas kepala). Mengikut perjanjian tersebut jin itu perlu dipersembahkan dengan dikorbankan seekor kambing untuknya selain daripada beberapa orang anak teruna yang akan ghaib daripada kampung tersebut. Kenapa lelaki dan tidak anak dara sunti seperti yang sering terdapat dalam metos serta kepercayaan masyarakat Melayu? Mungkin ada ‘jin ‘yang lebih menyukai lelaki dan tidak mahukan wanita agaknya!

Seperti filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat Khalid satu-satunya pengarah filem tempatan yang tidak meletakkan barisan pelakonnya terdiri daripada pelakon muda yang tampan dan jelita. Pun begitu, kelakar filem Mamat masih hebat dan menggelikan hati dan membuat kutipan yang tinggi. Mungkin kedua filem awalnya dalam siri ini lebih menggelikan hati, tetapi Mamat mungkin sudah membina reputasi membuat filem cerdik tapi membuatkan penonton ketawa berdekah-dekah pada masa yang sama. Siapa kata pelakon cantik dan tampan sahaja punya tempat dalam industri filem kita? Tahniah kepada Mamat Khalid yang membuktikan itu tidak benar!
Catatan: Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian Ahad lalu 25 Febuari 2013.
 

Tuesday, January 15, 2013

Memahami Les Miserable

Menonton  adaptasi novel Victor Hugo yang terakhir dalam bentuk filem muzikal Les Miserable tidak pernah mengecewakan. Pernah diadaptasi  ke dalam teater,teater muzikal dan filem biasa ini kali pertama rasanya ia diterbitkan dalam filem muzikal. Novel hebat yang berlatar-belakangkan permulaan kebangkitan rakyat semasa Napoleon Bonarparte merampas kuasa dan menabalkan dirinya sebagai Maharaja Perancis setelah revolusi Perancis yang menumbangkan  monarki tidak berjaya merealisasikan slogan ' Liberty,Equality and Fraternity ' yang dibawanya. Perancis melalui suatu fasa agak lama yang dipenuhi ketidak-stabilan politik-ekonomi-sosial selepas revolusi yang menjadikannya sebuah republik.     

Latar belakang kepada novel Victor Hugo ini bukannya kebangkitan rakyat yang menumbangkan Raja Louis ke 16 dengan permaisurinya Marie Antoinette dipancung dengan 'guillotine'. Tapi ini adalah kebangkitan rakyat menumbangkan Napoleon Bonarparte yang telah kalah di Peperangan Waterloo pada tahun 1815 di tangan Admiral Horatio Nelson dari Britain.

Kehebatan novel Les Miserable ini tidak perlu diperkatakan kerana ia telah dianggap sebagai salah satu karya terhebat yang berlatar-belakangkan Revolusi Perancis. Walau pun novel Hugo tidaklah sesukar mana untuk memahaminya, menganalisis  adaptasi novel ini dalam bentuk apa pun memerlukan kefahaman sejarah dan politik yang mendalam tentang era ini. Perlu diingat, Revolusi Perancis adalah merupakan permulaan  kesan domino kejatuhan monarki dan merebaknya revolusi anti-monarki yang akhirnya melahirkan Amerika Syarikat dan banyak negara Eropah lain yang menjadi republik. Les Miserables adalah suatu 'tour de force' sejarah dunia moden yang sentiasa releven hingga ke hari ini dalam banyak aspek. Ini bukan calang-calang karya!