Baru-baru ini Duta Jepun ke Malaysia merasmikan Festival Filem Jepun 2012 di GSC Pavilion. Sempena perasmian itu, dibuat Tayangan Perdana filem Key of Life yang belum pun ditayangkan di Jepun sendiri. Filem ini menang di Festival Shanghai dan turut ditayangkan di Toronta antaranya. Key of Life sangat menarik kerana kelakar dan serius pada masa yang sama. Tetapi yang paling menarik ialah filem-filem Jepun semakin introspektif sifatnya dan skrip serta penceritaannya merupakan komponen paling penting seperti filem Iran. Dan filem sebegini tidak tinggi kos pembikinannya tapi cukup baik, 'gripping' dan punya kedalaman intelektual, emosi dan spiritual yang sangat membanggakan.
Dalam ramai pembikin filem kita bercakap tentang CGI dan kesan khas yang menakjubkan tapi kekuatan skripnya tidak seberapa, filem-filem Jepun sepanjang yang dipertontonkan di beberapa buah pawagam terpilih di Lembah Klang mempamerkan kekuatan skrip dan penceritaan yang mengkagumkan. Kenapa kita nak berlumba dengan kuasa-kuasa filem yang bukan dalam kategori kita? Kita boleh belajar dan memperkaya teknik-tenik baru dalam perfileman, tetapi kenapa tidak juga belajar tentang penulisan skrip yang baik dengan kedalaman intelektual, emosi dan spiritual yang tinggi seperti filem Iran 'The Separation' yang diletakkan sebagai mahakarya oleh pengkritik filem di beberapa akhbar besar di Amerika Syarikat sendiri?
Tuesday, September 18, 2012
KEY OF LIFE
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:13 PM 0 comments
Wednesday, September 5, 2012
Dialog Bodoh Dalam Filem 29 Februari?
Di Rumah Terbuka FINAS baru-baru ini, saya diingatkan oleh seorang teman lama tentang adanya dialog pelik dalam filem 29 Februari yang dipanggilnya sebagai 'dialog bodoh'. Saya sengaja tidak menyentuh perkara ini dalam reviu yang disiarkan oleh BH Ahad yang lalu (kerana panjang ceritanya ). Apa yang dimaksudkan oleh sahabat saya itu ialah tentang dialog Budi dengan Razak yang kecewa kerana lamarannya untuk mengahwini Lily ditolak oleh bapa Lily. Lantas Budi berkata kepada Razak' susah-susah sangat kita kahwin sama-sama kitalah!'.
Saya tidak yakin ini dialog bodoh, tetapi dialog yang sarat dengan substeks yang mempamer pernyataan sosio-budaya-seksual (juga politik) yang cukup berbisa! Hanya Edry yang tahu kenapa dialog ini ada dalam filem beliau, tetapi jika ada harga mahal yang akan dibayar kerananya, KRU Productions perlu menerimanya dengan dada yang terbuka.
Di negara maju, sesuatu karya diingat oleh pengkritik untuk waktu yang lama kerana penulis-penulis cukup 'passionate' dengan analisis mereka dan setiap kontroversi diingati sampai bila-bila. Samada soal ciplak atau dialog seperti di atas adalah perkara serius yang tidak boleh dipermainkan sewenang-wenangnya. Jadi Edry Abdul Halim perlu bersedia (mungkin untuk waktu yang lama) JIKA beliau sentiasa akan diingati dengan dialog pelik ini!! Berkarya perlukan ilmu bukan untuk sekadar ekspresi diri sahaja.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:46 PM 0 comments
Monday, September 3, 2012
Tentang Filem 29 Februari
Entah kenapa bila menonton filem terbaru Edry Abdul Halim ini saya teringatkan filem The Case of Benjamin Button yang dibintangi oleh Brad Pitt dan Cate Blanchett. Cuma ceritanya berbeza kerana dalam filem 29 Februari (sepatutnya ejaannya ialah Febuari, mana ada ejaannya Februari? ) tentang watak Budi yang lambat tua, tapi Benjamin Button pula mengalami tumbesaran yang terbalik. Waktu kecil dia macam orang tua dan menjadi semakin muda setiap tahun. Akhir sekali dia kembali macam bayi yang hanya menangis untuk mendapatkan susu dll. sewaktu semua orang di sekelilingnya semakin tua, sakit dan akhirnya meninggal dunia.
Datin Paduka Shuhaimi Baba yang saya temui Sabtu lalu juga berkata begitu. Mungkin Edry mendapat idea dan ilham dari filem Benjamin Button tapi itulah namanya pengaruh intertekstual dalam seni. Dan semua orang pengkarya melaluinya. Ia berbeza dari ciplak atau plagiat. Sebab itu saya masih mengkategorikan filem 29 Februari sebagai karya tulen. Pun begitu filem ini tak lebih daripada sebuah filem cinta yang mengasyikkan (absorbing) dan punya kekuatan dalam aspek teknikal dan kesan khas sahaja. Kisah cinta antara lelaki dan wanita berlainan bangsa ini adalah suatu kisah yang normal dan tidak ada apa istimewanya.Tidak ada idea dan pemikiran besar di dalamnya seperti yang tersurat dan tersirat dalam filem Bunohan. Dan kekuatan sebuah filem bukan terletak pada aspek teknikal sahaja tetapi pemikiran di dalamnya. Pergilah ke festival mana pun, skrip dan pemikiran di dalamnya yang menjadi ukuran kekuatan filem itu.
Lakonan Remy Ishak dalam 29 Februari cukup baik, tapi saya dan ramai berpendapat bahawa lakonan Faizal Hussin dalam Bunohan lebih baik lagi. Faizal mencapai tahap lakonannya yang terbaik dan tidak pernah terlihat sebelum ini. Sama seperti Dato Rahim Razali dalam filem Cinta.
Festival Filem kali ini yang akan dikendalikan oleh FINAS akan menguji banyak perkara terutama sistem penjurian yang sangat kontroversial pada tahun-tahun lalu. Kita perlu menobatkan filem yang terbaik, jika kita tak mahu diketawakan mengangkat filem yang tak patut menang sebagai yang terbaik.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:21 PM 0 comments
Wednesday, August 22, 2012
Salam Syawal
Tidak terlalu lewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir dan batin kepada semua pembaca blog ini dan juga artikel-artikel saya yang selalu disiarkan dalam Berita Harian Ahad dan juga Harian Metro. Sebagai seorang penulis dan pengkritik teater dan filem adalah natural bagi saya untuk menjadi kritis dan menulis perkara yang kadang-kadang tidak disukai oleh orang lain. Jadi saya mohon maaf sekiranya ada yang tersinggung dengan apa yang saya katakan. Ianya dilakukan atas dasar ilmu dan tidak bertujuan untuk menyinggung sesiapa secara yang tidak profesyenal.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:20 AM 0 comments
Thursday, August 9, 2012
Tahniah Kepada Pandalela Rinong
Tahniah kepada Pandalela Rinong gadis 19 tahun dari Bau Sarawak yang telah menambah koleksi pingat Olimpik kita kali ini. Untuk pertama kalinya acara terjun papan anjal 10 M memecahkan rekod harapan mengutip pingat yang hanya ditumpukan kepada badminton sahaja.Setelah gagal dalam 2 acara lain dan ada akhbar yang mengutuk beliau dengan perkataan 'Pandalela tercorot' yang sangat tidak sesuai, gadis ini membuktikan beliau boleh melakukannya dan tidak ke London untuk makan angin! Akhbar tersebut mungkin hanya ingin memprovokasi beliau supaya melakukan yang lebih baik lagi, tetapi perlu diingat bahawa bahasa dan penggunaan perkataan tertentu punya konotasi psikologi yang cukup berkesan. Samada ia boleh menguatkan semangat mereka yang bertanding, atau mungkin meruntuhkan semangat dan menyebabkan kekecewaan. Tapi kalau penulisnya sendiri tidak ada ilmu tentang psikologi, apa yang boleh diharapkan daripada situasi begini? Pandalela masih muda dan seperti atlet lain yang muda mereka punya masa depan yang cukup berpotensi tinggi dan masih boleh mewakili Malaysia mungkin 2-3 kali Olimpik lagi. Kritikan perlu mengambil kira semua ini dan kita jangan terlalu cepat menghukum jika mereka gagal kali pertama. Yang pastinya mereka telah melakukan yang terbaik dan cukup serius bila bertanding. Untuk sampai ke pusingan terakhir pada kedudukan tempat kelapan Olimpik sudah cukup baik dan merupakan pencapaian yang cukup membanggakan.
Pengorbanan yang telah dilakukan oleh atlet-atlet kita bukan sedikit untuk sampai ke tahap itu. Sewaktu anakanda saya Jaa melalui latihan bolingnya di Sunway Pyramid sejak berumur 12 tahun, bukan sahaja wang ringgit yang perlu dikeluarkan, tetapi masa dan tenaga yang banyak perlu dikorbankan. Saya terpaksa bersara awal dari tugas sebagai pensyarah di sebuah IPT di Kuala Lumpur untuk membolehkan beliau menghadiri latihan-latihannya selepas sekolah. Jaa tidak menjadi seorang pemain boling yang mencapai tahap yang tinggi, tetapi nilai disiplin yang terterap dalam pemikiran beliau sangat berharga dan menjadikan beliau seorang Pengurus Kecergasan di Fitness First yang sangat berkaliber dan diakui sendiri oleh pihak pengurusan syarikat beliau. Tahun lalu Jaa menggondol anugerah Fitness Manager of 2012, dan syarikatnya sering mengenegahkan beliau sebagai 'permata' mereka. Sebagai seorang ibu saya lah manusia paling bahagia dengan banyak kejayaannya dan bersyukur kepada Tuhan kerana kejayaan anak saya. Tetapi apa yang hendak saya katakan di sini ialah, penglibatan yang serius dalam bidang sukan apa pun memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit daripada para atlet dan juga keluarga mereka. Jadi mungkin pihak akhbar atau sesiapa juga lebih berhati-hati bila mahu mengutuk atlet kita di mana juga mereka bertanding. Saya yakin semua yang bertanding itu tidak mahu kalah dan punya semangat juang yang cukup kental, jadi janganlah kutuk mereka sewenang-wenangnya.
Tahniah kepada para olimpian kita. Samada mereka menang atau tidak, mereka telah melakukan yang terbaik dan persediaan yang serius telah dilakukan. Mungkin lebih banyak usaha dan dana diperlukan untuk melahirkan olimpian yang mendapat pingat lebih banyak emas, perak dan gangsa. Dibandingkan dengan negara lain, apa yang kita peruntukkan untuk para atlet kita tidaklah sebanyak mana. Begitu juga dengan penglibatan pegawai-pegawai sukan yang mengiringi atlet kita. Mana dia Istiaq Mubarak, Rabuan Pit, Mumtaz Jaafar dll yang lebih layak untuk menjadi pengiring dan pegawai sukan kita? Sebastian Coe adalah seorang pemenang pingat emas Olimpik Britain dan hari ini beliau mengepalai Olimpik London 2012. Paradigme penglibatan pegawai dan persatuan sukan kita perlu berubah kerana bukan soal pengumpulan dana dan kerja-kerja 'PR' sahaja yang diperlu dilakukan, tetapi banyak aspek lain kesukanan yang perlu diberi perhatian. Dan penglibatan orang-orang politik yang hanya mahukan 'mileage' untuk karier politik mereka perlu dihentikan jika kita mahu sukan dan atlet kita mencapai tahap yang lebih tinggi.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:29 PM 0 comments
