Tuesday, February 23, 2010

GAPENA MENJADI TETAMU BEIJING.

Pada 24 Januari hingga 30 Januari yang lalu, serombongan AJK GAPENA telah dijemput menjadi tetamu Kerajaan Republik Rakyat China. Diketuai oleh Tan Sri Ismail Hussin Ketua 1 Gapena, turut serta dalam lawatan tersebut adalah Setiausaha 1 Prof.Madya Dt.Dr. Zainal Abidin Borhan, Ketua 2 Prof Madya Dr.Hashim Ismail,dan Hj. Abd.Rahim Abdullah.Turut serta adalah Badan Kerabat dari Perak iaitu LEPAS yang diwakili oleh ketuanya Toh Maharaja Indera Dato Haji Khairuddin Arshad yang telah menulis catatan harian perjalanan mereka yang amat menarik dan detail sekali.Rombongan GAPENA menjadi tetamu kepada The Chinese People Association for Friendship with Foreign Countries (CPAFFC).

Lawatan AJK GAPENA bermula dengan sehari di Guangzhou bandar ketiga terbesar di China.Di sini mereka dibawa bertemu dengan Timbalan Presiden Persatuan Penulis Wilayah Guangdong dengan beberapa orang penulis terkenal dari bandar ini termasuk seorang penulis terkenal wanita yang dikenali dengan nama Aryun yang merupakan seorang 'National First Grade Writer' yang tarafnya seperti Sasterawan Negara di Malaysia.

Destinasi berikutnya adalah bandar Quanzhou di mana rombongan GAPENA diraikan oleh Persatuan Persahabatan Quanzhou.Dari situ mereka dibawa dengan bas ke Jinjiang yang merupakan tempat asal datuk nenek Jose Rizal pejuang awal pembebasan Filipina di bawah pertubuhan Katipunan yang diasaskannya.Kampung asal datuk nenek Rizal bertempat di Sinque .Rombongan GAPENA disambut oleh pemimpin tempatan yang menceritakan asal usul keturunan Jose Rizal yang bermula daripada seorang pedagang abad ke 17 Cua Yi Lam atau nama Filipinonya Domingo Lam. Sesuatu yang amat menarik saya kira bila mendengar Tan Sri Ismail menceritakannya kepada saya dan mengingatkan saya kepada watak Jose Rizal yang merupakan seorang yang hebat dan serba boleh tetapi tidak panjang umurnya apabila dijatuhkan hukuman tembak sampai mati oleh penjajah Sepanyol di umur 35 tahun pada 30 Disember 1896. Rombongan GAPENA dibawa melawat rumah asal moyang Rizal yang sewaktu hidupnya mendapat berbagai gelaran seperti' Kebanggaan Bangsa Melayu', Filipino Utama serta Insan Terhebat Di Kalangan Bangsa Berkulit Sawo Matang'. GAPENA dalam usahanya mencari susur galur Melayu dan diasporanya telah menemui satu lagi 'permata' Melayu yang tidak begitu diketahui selama ini.

Seterusnya rombongan GAPENA melawat Xiamen,dan di Universiti Xiamen mereka disambut dan diberitahu kali terakhir penulis dari Malaysia datang ke situ adalah 9 tahun lalu iaitu Persatuan Penulis Cina Malaysia.Banyak perbincangan ilmiah dan kerjasama yang telah dibuat dengan pihak berwajib Universiti ini. Seterusnya mereka ke Guilin dan diraikan oleh Persatuan Persahabatan Bandaraya Guilin.

Bandar terakhir yang mereka lawati ialah Pangkalan Zhujian iaitu sebuah bandar peranginan di tepi Sungai Li dengan pemandangan yang menakjubkan mengikut catatan Dt. Khairuddin. Rombongan GAPENA meninggalkan Lapangan Terbang Guilin ke Kuala Lumpur pada 31 Januari 2010.

Tuesday, February 16, 2010

KERJASAMA GAPENA-KARYAWAN FILEM.

Baru-baru ini GAPENA dan Karyawan Filem bertemu lagi dan membincangkan kerjasama. Dalam suasana paling santai di Restoran Tupai-Tupai yang semakin menjadi 'port' kami, saya dan Tan Sri Ismail Hussein bertemu dengan sahabat-sahabat dari Badan Gabungan NGO dengan 'bintang'mereka Sdr Mohd Jurit dan Ustaz Zu.Mereka di susuli oleh Sdr. Jais dari GPMS dan akhirnya kumpulan kami disertai oleh bintang-bintang sebenar dunia filem kita. Datin Paduka Shuhaimi Baba, Dato Ahmad Tamimi Siregar, Sdr Harun Salim Bachik Presiden SENIMAN, Sdr. Yusof Kelana dan juga Sdr. Jurey Latif dari PTVM hadir bersama.

Dan seperti biasa, suasana santai begini boleh menjadi tidak begitu santai dalam isu dan perkara yang dibincangkan. Kami bercakap tentang kerjasama dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan melalui filem dan program televisyen. Sinergi ini amat perlu dan penting sekali kerana tidak ada perjuangan memartabatkan Bahasa Kebangsaan yang boleh dan harus dipikul oleh pejuang bahasa sahaja tanpa melibatkan industri kreatif dan seni yang amat bersangkutan. Seorang teman di GAPENA berbisik kepada saya 'kenapa selama ini kita tidak buat kerjasama ini?' Wallahualam Bisawab jawab saya. Apa pun saya cukup bahagia kerana ramai yang sudah terpanggil dan menyedari akan keperluan ini dan iannya maha penting!!

HARI PEJUANG BAHASA 152

Pada 14hb Febuari dan 15hb Febuari yang lalu kerabat GAPENA dan pejuang Bahasa berkampung lagi. Kami meraikan Hari Pejuang Bahasa 152 yang kali ini disertai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka serta beberapa NGO Melayu. Adik-adik dari Persatuan Silat Sendeng pun ada dan ianya mencetuskan sesuatu yang amat emotif sifatnya kepada saya. Tahun lalu pada tarikh yang sama kami mengadakan majlis Ratip dan Ratap Bangsa. Kemuncaknya kami membuat laporan polis mengenai PPSMI. Berkat ratip dan ratap serta kawan-kawan yang terpaksa menelan gas pemedih mata, PPSMI dibatalkan.

Tahun ini semangat kami lebih tinggi.Pada petang 14hb. Febuari, rumah GAPENA dipenuhi oleh ramai kerabat dan sahabat yang turut serta dalam majlis tahlil yang kami adakan khas untuk mengingati arwah semua pejuang bahasa yang telah tiada.Biarlah kami yang mengingati mereka.Dibandingkan dengan tahun lalu, kehadiran kali ini lebih ramai. Malah golongan muda dan remaja juga turut sama membaca yassin dan sembahyang berjemaah.YBhg. Dato Termuzi Ketua Pengarah DBP pun turut serta bersama kami. Saya cukup terharu sewaktu melihat beliau beratur untuk menyenduk nasi dan masak lemak ikan kering. Allahyarhamah isteri Dato Termuzi yang saya panggil Kak Azimah sering menjamu kami makan di rumahnya sewaktu saya masih bertugas sebagai pensyarah di Istitut Bahasa lebih 10 tahun lalu.Alfatihah untuk beliau.

Saya selalu yakin keikhlasan dan kejujuran dapat dihidu beratus kilometer jauhnya, sama seperti manipulasi, eksploitasi ketidak-jujuran dll perkara kurang murni dan suci akhirnya akan diketahui juga walau selicik mana pun 'grandmaster'nya menjalankan modus operandi! Jika kebenaran yang kita cari, kebenaranlah yang akan kita temui sama seperti jika penipuan dan kepalsuan yang kita berikan penipuan dan kepalsuanlah yang akan kita terima.Apa pun begitulah yang saya rasai. Selepas selesai majlis membaca yassin kami melepak di 'port' Sdr.Ismail Embong di belakang rumah GAPENA. Sambil berbual dengan beliau tentang 'soal-soal negara' dan penulis skrip Sdr Anwar Idris yang kebetulan adalah sepupunya, saya semakin yakin bahawa segala yang berlaku banyak hikmahnya. Alhamdullilah.

Tuesday, January 26, 2010

Elia Suleiman dan Filem Palestin

Baru-baru ini Astro menayangkan program di Aljazeera tentang pelakon dan pengarah filem Elia Suleiman dari Palestin. Program Masterclass dengan Elia Suleiman ini adalah sempena Festival Filem di Doha. Sehingga hari ini saya tidak yakin ramai orang Malaysia maupun kalangan masyarakat filem kita yang telah mendengar tentang Elia Suleiman yang pada pendapat saya seorang seniman tulin yang membuat filem-filem cantik dengan cas dan pernyataan politik yang sangat tinggi dari bumi berdarah tanah kelahirannya. Malang bagi Elia tetapi lebih malang bagi orang Malaysia yang rata-ratanya punya simpati cukup tinggi terhadap apa-apa juga mengenai Palestin.

Saya sempat membebel tentang perkara begini kepada beberapa orang sahabat rapat di media. Siapa pun tak kata apa kerana mungkin mereka pun tidak tahu tentang Elia Suleiman yang mengarah filem sejak tahun 2002. Saya tidak menyalahkan sesiapa tentang perkara ini, tetapi cukup berterima kasih kepada AlJazeera kerana menyiarkan program ini. Di FINAS baru-baru ini, saya sempat berbual dengan beberapa orang teman dan mencadangkan KLIFF atau FINAS sendiri menjemput Elia Suleiman ke Malaysia dan menayangkan filem-filemnya supaya kita tidak ketingglan zaman dan tidak menyedari kehadiran pembikin filem dari Palestin yang cukup artistik,konseptual,dengan kedalaman intelektual yang tidak sedikit, filosofikal dan padat dengan pernyataan politik tentang Palestin.

Saya kagumi segala usaha rakyat Malaysia menyokong, membantu dan antara mereka yang berada di barisan depan memperjuangkan isu Palestin,jadi tambah kayakan lagi jiwa dan minda kita dengan membawa filem-filem Elia Suleiman ke sini. Kita berforum,berseminar, berpuisi dan sahabat saya Dt.Ahmad Talib dengan Yayasan Salam nya sampai pergi ke Gaza untuk melakukan yang terdaya untuk Palestin, apa salahnya Dato Rais Yatim kalau kita sertakan juga filem-filem Elia Suleiman dalam KL Film Festival (KLIFF)nanti?

Wednesday, January 20, 2010

Mana Setangginya di RTM

Hari Ahad lalu, RTM 1 menyiarkan rakaman Teater Mana Setangginya yang dipentaskan di Istana Budaya tahun lalu. Tahniah diucapkan kepada RTM kerana karya hebat Sasterawan Negara Dato Nordin Hassan ini dapat ditonton oleh seluruh peminat teater dan rakyat Malaysia di seluruh negara. Teater ini mungkin memerlukan tumpuan dan pemikiran yang mendalam untuk memahaminya dan mungkin ada yang merasa ‘terencat akal’ untuk menghadamnya. Tetapi mereka yang biasa dan suka kepada karya-karya sastera serta seni di peringkat tinggi mungkin tidak akan beralih kepada genre yang lain setelah ‘mengenali’ karya sebegini.


Saya ada pengalaman peribadi yang mahu dikongsi dengan sekelian pembaca blog saya. Anak bongsu saya LJ berumur 26 tahun dan lulusan Universiti Malaya dalam bidang Sains Sukan dan bertugas sebagai seorang ‘Personal Trainer’ di sebuah Pusat Kecergasan. Tetapi beliau juga seorang penulis lirik (rhyme) dalam Bahasa Inggeris. Ramai yang membaca rhyme beliau sering menyangka tulisannya adalah daripada seorang yang jauh lebih tua. Sebabnya? Idea serta pemikiran beliau jauh lebih tinggi daripada usianya yang sebenar. Rhyme tulisannya sering di baca oleh Miss Nina dari Kumpulan Teh Tarik Crew di Radio suatu ketika dahulu.


Anak saya tidak begitu rajin membaca tetapi pengkayaan minda dan jiwanya sejak kecil adalah melalui menonton filem, teater, muzik dll. Sejak berumur 4 tahun saya sering membawa beliau menonton teater dan filem arahan Akira Kurosawa dll. ‘Masters’ dalam filem dan teater. Seterusnya LJ membesar dengan muzik hip-hop Tupac Shakur, Kanye West, Talib Kweli dll penulis lirik Amerika-Afrika . Dan beliau peminat setia serta rapat dengan beberapa orang penyanyi indie tempatan yang punya kekuatan sendiri dalam penulisan lirik mereka. Pengaruh serta pemikiran seniman serta pengkarya begini begitu tebal dalam minda serta penulisan rhyme LJ yang ramai merasakan ada kedalaman intelektual yang tidak sedikit di dalamnya, cukup filosofikal dan cukup tinggi pemikirannya. .


Saya tidak pernah memaksa beliau menulis rhyme atau apa juga tetapi menggalakkannya secara natural. Kata pepatah kita ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?’ Pepatah Inggeris menamakannya ‘Chip of the old block’ agaknya.. Itu yang dapat saya rasakan, walau pun sewaktu berumur 17 tahun beliau pernah marah kepada dirinya sendiri kerana tidak tahu dan tidak gembira bila menonton filem-filem biasa seperti yang ditonton oleh rakan sebayanya. LJ sering berkata kepada saya dia rasa seperti membuang masa dan tenaganya menonton filem James Bond dll yang dipanggilnya filem bodoh! Suatu ketika saya pernah berasa bersalah kerana LJ tidak tahu melepak macam remaja lain dan sentiasa ada yang nak ditulisnya. Dan ketika di Tahun Pertama di universiti dia sering diketawkan oleh rakan-rakannya kerana tak ada masa nak mengorat pun! Abang-abang senior LJ sering mengajaknya duduk-duduk dan tidak terlalu memikirkan perkara-perkara serius dalam kehidupan! Dan lebih malang, bila mengorat gadis yang sebaya umur dengannya mereka selalunya takut nak mendekatinya kerana percaya LJ terlalu tua untuk mereka. Malah ada yang memikirkan dia sudah punya isteri dan anak! Kesian kepada anak saya.


Apa yang nak saya katakana di sini ialah pemikiran tinggi yang punya kedalaman intelekual hanya lahir jika bahan yang disajikan kepada khalayak juga mempunyai pemikiran tinggi, filosofikal dan tidak bercakap tentang isu serta idea remeh dan kecil. Mungkin tidak semua orang akan berfikiran tinggi serta intelektual di seluruh negara hasil daripada menikmati karya-karya begini, tetapi apakah sesuatu yang wajar meneruskan penghasilan karya dan pemamerannya di TV kita dengan karya yang tidak membina ketamaddunan sesuatu bangsa?

Sunday, January 3, 2010

SALAM PUISI 2010

NOKTAH ITU

Ku noktah engkau di titik itu
bukan kerna aku bosan
tapi kerna aku kurang yakin
engkau wujud di sukma ku
sama seperti aku kurang yakin
engkau pernah wujud di kamus hidup ku

lelaki itu ada kalanya
seperti seekor keldai
tenggelam dalam rengek dungunya
tidak dapat membaca
maknawi kasturi
yang ditabur di kakinya
bukan kerna telapaknya teramat mulia
tapi kerna hanyir egonya
ku tutupi
dengan siraman wangian

rupanya ia kurang arif menelaah
bahawa rendah hati seorang perempuan
cukup wangi buat menyirami jiwanya
penuh dendam
penuh kelam
penuh debu dan daki kehidupan
dan aku tidak mahu melihatnya
tenggelam dalam tasik hitam
hati budi seorang pendendam.

Istana Budaya – Oktober 2009.


RAWANA

Rupanya nyawa Rawana
terletak di kepalanya yang ketujuh
dan hanya Sugirva si raja monyet
yang mengetahuinya


lalu bila dipanah oleh Sri Rama
matilah Rawana
walau sewaktu pertapaan
gurunya telah berjanji
dia tidak akan mati sampai bila-bila
dan kerna terlalu yakin
umurnya yang panjang
dipenuhi dengan kerakusan kepada kuasa
kezaliman dan keangkuhan
kerna ia berkepala sembilan

Ah!
beruntung rupanya Sri Rama
punya sahabat si raja monyet
yang banyak mengenggam rahsia
pertahanan Langkapuri
dan nyawa Rawana!

Dewan Philharmonik Petronas – 19/12/2009.


SITA DAN SEORANG GADIS KECIL

Sahabat
kenapa tidak kau ceritakan
tentang Sita
yang terpaksa terjun ke dalam api
untuk membuktikan kesuciannya?

Ceritera itu
menyobek sudut hati ku
kerna satu ketika
aku juga seperti dia
yang terpaksa terjun dalam marak fitnah
bertahun lamanya
untuk membuktikan maruah dan harga diri
yang hampir meragut kewarasan
sedang segalanya tidak lebih daripada
tragedi bodoh
seorang lelaki buruk
yang memerlukan perisai besi
buat menutup calar egonya
kerna tidak dipedulikan



mujur ada seorang gadis comel berambut perang
sewaktu mendongak dan mencium tangan
perlahan-lahan menyedarkan aku
sebenarnya Sita sudah cukup suci
tapi Rama lah yang kelabu dalam keraguan
disihir seorang permaisuri tua
yang bertakhta di atas kerusi roda.


Rumah GAPENA – 31/12/2009.

Saturday, January 2, 2010

THE BODYGUARD AND THE ASASSINS.

Sejak 2 tahun lalu hanya beberapa filem yang benar-benar menyentuh hati nurani saya selepas menontonnya dan masih saya fikirkan dari masa ke semasa. Selain daripada The Kite Runner yang cukup cantik, menyentuh perasaan dan mengembalikan kewarasan serta kemanusiaan daripada peperangan panjang di Afghanistan (dan peperangan boleh datang dalam banyak versi) saya rasa filem arahan Teddy Chen The Bodyguard and The Asassins adalah satu lagi filem yang akan saya fikirkan untuk suatu masa yang panjang.

Saya peminat setia filem-filem Zhang Yimou dan Chen Kaige dari Tanah Besar China dan sering merasakan kedua orang ini adalah ‘master’ pembikin filem masa kini dengan kerja-kerja mereka yang cukup halus, penuh seni dan artistik dan sukar ditandingi di seluruh dunia. Pada pendapat saya filem-filem dari studio Hong Kong maupun Taiwan. dari pengarah seperti John Woo serta Ang Lee masih tidak dapat menandingi kerja-kerja Zhang Yimou dan Chen Kaige. Pun begitu, Teddy Chen dari studio Hong Kong semakin menghampiri liga yang didominasi oleh rakan-rakan mereka dari Tanah Besar China.

Dengan barisan pelakon serta bintang popular yang cukup ramai dan boleh mengalahkan barisan bintang kelab bola sepak Barcelona, Chelsea atau pun Manchester United, Bodyguard and Asassins telah ditangani dengan cukup halus dan penuh seni. Filem yang berlatar-belakangkan permulaan revolusi Dr. Sun Yat Sen yang akhirnya berjaya menumbangkan Dinasti Qing pada tahun 1905 di China mempunyai kekuatan pemikiran serta kedalaman intelektual yang cukup hebat bagi filem yang dibuat dari studio
di Hong Kong. Dan seperti filem-filem Zhang Yimou, Chen Kaige dll filem Teddy Chen cukup sopan tanpa perlu mengeksploitasi sensualiti, keganasan dll ramuan Hollywood yang semakin mencabar kewarasan kadang-kadang.

Terima kasih kepada Teddy Chen yang mengarah filem cantik ini dengan penuh kasih-sayang (terjemahan daripada perkataan passionate) serta mengambil masa hampir 16 tahun dalam pembikinan. Selepas The Red Cliff arahan John Woo yang menghampakan, saya hampir putus asa dan merasakan filem-filem Hong Kong tidak akan ke mana walaupun industri filem mereka antara yang terbesar di dunia. Tapi filem Teddy Chen mengubah persepsi tersebut dengan sekelip mata. Saya berikan sepuluh tahun lagi, saya yakin filem-filem Hong Kong dan Tanah Besar China akan menjadi saingan besar kepada Hollywood!

NATRAH

Beberapa orang teman dan peminat setia saya meminta sangat-sangat saya coretkan sedikit pendapat tentang Teater Natrah kerana puji-pujian yang melambung dari beberapa orang wartawan hiburan menjadikan mereka memerlukan sedikit bantuan daripada saya!

Teater Natrah ada momen-momen cantiknya, tetapi juga ada banyak ruang untuk diperbaiki. Saya sependapat dengan ‘Lola’ Zohara Gany Batusha yang merasakan teater ini tidak memberikan ruang ‘bernafas’ yang cukup serta ‘mencungap’ dan seperti nak dihabiskan dengan cepat. Banyak momen yang terlepas daripada menjadi cantik kerana subteksnya tidak dimanfaatkan.Segalanya menjadi begitu mekanikal dan tidak meninggalkan impak yang bagus kerana lakonan yang baik tetapi tidak meyakinkan. Saya kurang yakin analisis skrip yang ekstensif telah dibuat sebelum latihan lakonan dimulakan. Sayang sekali. Dan tambah ‘mengecilkan hati ‘ saya adalah set hebat gereja dengan salib terlalu besar yang saiznya melebihi daripada apa yang perlu. Apa yang nak dipertontonkan dalam teater ini? Seperti kata Khalid Salleh, saya setuju dengan pendapat teater ini kurang sensitif dengan persekitaran dan masalah assault demi assault yang ditujukan kepada Melayu dan Islam di negara ini.

Tuesday, December 29, 2009

Selamat Menyambut Tahun Baru 2010

CUTI SABATIKAL SENDIRI

Ramai orang yang bertanya kenapa saya tidak menulis reviu teater Natrah dll sejak kebelakangan? Saya sedang bercuti sabatikal kata saya. Maklum saja dekat-dekat nak hujung tahun ni banyak perkara yang perlu dibereskan terutama hal-hal berkaitan keluarga dan bersifat peribadi. Segalanya perlukan tumpuan 200% bukannya 100%! Maklum saja banyak yang bersangkutan dengan ‘soal-soal negara’. Oops! Saya bergurau sahaja dan kerana tidak ada lagi jenaka tahunan (joke of the year) yang lebih baik saya jadikan ‘cuti sabatikal’yang saya berikan kepada diri saya ini sebagai jenaka paling lawak tahun 2009 .Saya selalu bercakap tentang joke of the year dengan anak-anak dan keluarga saya dan setiap hujung tahun kami duduk dan bertukar cerita serta bercakap tentang jenaka paling lawak tahun tersebut. Tujuannya mudah sahaja. Nak bagi kami semua ketawa sepanjang masa terutama bila ada yang sedang bersedih, kecewa, mood tengah tak bagus dll.

Cubalah terapi begini dalam keluarga anda, pasti menjadikan ramai yang bahagia. ‘Laughter is the best medicine’ kata pepatah Inggeris. Tapi ia bukan pepatah yang tidak ada kebenaran saintifiknya. Apabila kita ketawa, seronok, optimis dll yang menyenangkan hati, sel-sel otak kita mengeluarkan hormon endopen secara natural yang bertindak seperti dadah narkotik morfin yang ‘melalikan’ kesakitan, kedukaan dan susah hati dan menyebabkan seseorang tidak mengalami kemurungan. Tak payah pergi bercuti ke Bahamas, Gold Coast dll tempat yang eksotik kalau anda tak mampu semua itu, tapi duduk dengan ahli keluarga dan anjurkan peraduan bercerita jenaka paling lawak tahunan. InsyaAllah anda akan mulakan hidup tahun baru nanti dengan semua orang merasa cukup bahagia, bersemangat dan optimis.

POLIGAMI DAN MERPATI PUTIH

Baru-baru ini banyak akhbar menyiarkan berita hangat tentang seorang artis terkenal yang menjadi isteri kedua seorang ahli politik terkenal. Saya tidak mahu komen tentang perkara ini kerana telah pun menulis tentangnya sebelum ini dan tidak mahu dilabel sebagai pejuang poligami yang mengkhianati wanita sendiri. Saya menghormati semua pihak dan pandangan serta pandapat semua orang yang kontra mau pun yang menyokong isu ini tetapi banyak kali saya memikirkan kenapa Islam membolehkan poligami?

Saya membuat penyelidikan tentang perkara ini dan jawapan yang saya terima semuannya telah diketahui ramai dan bukannya bersifat saintifik. Segalanya bersifat hujah teologi, budaya dan antropologikal sahaja. Sehinggalah saya menonton dokumentari National Geographic beberapa bulan lalu dan membaca dengan lebih lanjut tentang burung merpati putih yang menjadi simbol cinta, kasih sayang dan keamanan sejagat.

Kenapa merpati putih menjadi simbol cinta dan kasih sayang? Jawapannya sangat mengejutkan saya. Rupanya burung merpati putih mempunyai satu pasangan sahaja sepanjang hidup mereka. Faktor genetik burung-burung ini rupanya dijadikan Allah sebegitu rupa dan amat berlainan daripada haiwan lain temasuk manusia. Burung merpati putih jantan atau betina hanya mencari pasangan yang baru apabila pasangannya yang sedia ada meninggal dunia.

Lalu saya terfikir, mungkin Islam membolehkan poligami kerana faktor genetik manusia tidak dijadikan Allah SWT seperti yang terdapat pada burung merpati putih. Mengapa Allah tidak jadikan genetik manusia (lelaki dan juga perempuan) bersifat monogami tetapi bersifat ‘polygamous’ kalau Dia berkehendakkan manusia begitu? Kemungkinan penemuan ini bersifat sangat insidental tetapi ianya cukup meyakinkan saya dan beberapa orang lain yang sependapat. Dan kerana Islam itu ad-din dan mengaturkan peraturan hidup yang cukup terperinci dan teliti, ia sudah menggariskan hak berpoligami hanya diberikan kepada lelaki dan tidak kepada perempuan. Dan ini juga ada kaitan langsung dengan faktor penentuan zuriat dan kelahiran anak-anak dalam sebuah perkahwinan yang juga genetik sifatnya dan tidak perlu saya terangkan. Begitulah agaknya kehebatan Allah SWT dan hukumnya.

Ilmu Allah itu lebih luas dari lautan dan ia tidak terjangkau oleh pemikiran manusia yang kerdil ini. Mungkin itu sebabnya ramai tokoh agama khuatir mereka yang anti poligami dan aktivis wanita yang senada dengan mereka mungkin berada dalam kedudukan cuba menafikan hukum Allah dan peraturan hidup Islami. Saya boleh menerima hakikat Datin Paduka Chew Mei Fun mengeluarkan kenyataan anti poligami baru-baru ini kerana dia bukan orang Islam, tetapi mereka yang Islam dan mengaku Islam mungkin perlu membuat kajian yang lebih komprehensif dan mendalam sebelum mengeluarkan ‘fatwa’ mereka sendiri yang bersifat emotif semata-mata. Allahuakbar.

KERJASAMA KARYAWAN FILEM-GAPENA.

Dua bulan yang lalu, satu pertemuan bersejarah antara GAPENA dan Karyawan Filem yang datang dari berbagai persatuan termasuk FDAM atau Persatuan Pengarah Filem Malaysia, PROFIMA atau Persatuan Pekerja Filem Profesyenal Malaysia, SWAM atau Persatuan Penulis Skrip Malaysia serta PTVM atau Persatuan Penerbit TV Malaysia berlangsung. Selepas makan tengahari di Restoran Tupai-Tupai kami beredar ke Rumah Gapena yang berdekatan. Pertemuan kami berjalan dalam suasana cukup mesra, cukup profesyenal dan cukup intelektual. Berbagai masalah dan isu bersama dibincangkan dalam semangat muhibbah dan hormat di antara satu sama lain serta menyedari keperluan kepada kerjasama yang erat di antara semua pihak yang hadir.

Hasil dari pertemuan tersebut, bulan lalu dalam program Helo Malaysia TV BERNAMA En. Ahmad Ibrahim dari FDAM, En Borhan Md. Zin dari GAPENA dan Pensyarah UPM Sdr. Shamsuddin Othman menjadi panel dalam forum bertajuk Memartabat Bahasa. Suatu forum yang menarik dan mencungkil banyak isu dan persoalan tentang usaha-usaha memartabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara ini.

Sebenarnya sudah lama saya dan Encik Ahmad Ibrahim dan beberapa orang sahabat dalam industri filem bercakap tentang isu-isu begini sejak beberapa tahun yang lalu. Apa pun saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima-kasih kepada Abang Mat London saya ni kerana atas kesediaan, inisiatif dan pemikiran serta visi beliau pertemuan bersejarah dan kerjasama dengan GAPENA dapat direalisasikan. Kami menerima banyak tepukan di belakang serta sokongan kuat atas kejayaan kerjasama ini dari berbagai pihak. Ramai yang berpendapat kerjasama ini sudah lama patut dilakukan kerana ia akan memberikan kesan serta impak yang cukup kuat kepada usaha memartabat Bahasa Kebangsaan kita. Hanya orang yang tidak mahu memartabat Bahasa Kebangsaan negara ini sahaja yang akan memandang serong kerjasama sebegini. Sekali lagi, terima kasih Abang Mat!

SIHIR DAN KESYIRIKAN.

kebelakangan ini akhbar Berita Harian banyak menyiarkan artikel tentang sihir, ilmu hitam dan segala kesyirikan yang berkaitan dengannya. Adalah sesuatu yang amat menyedihkan sewaktu orang kita dah berjaya menjadi angkasawan dan terapung di angkasa lepas, masih ada insan-insan malang orang kita yang mengamalkan perkara karut begini yang statusnya sama seperti menyengutukan Allah Taala dan syirik hukumnya. Pun begitu, Al-quran banyak kali menyebut tentang sihir, malah Nabi Muhamad SAW
sendiri pernah disihir oleh orang Yahudi. Jadi sudah sampai masanya perkara ini ditangani secara sistematik dan mengikut undang-undang.

Mekanisme pembuktian apa juga perbuatan sihir dan mandrem ini bukanlah mudah tetapi iannya tidak mustahil dan memerlukan ilmu untuk melakukannya. Saya selalu berpendapat bagaimana pun hebatnya ilmu manusia terutama yang bersahabat dengan iblis dan syaitan ini sentiasa ada anti-dote nya jika kita semua yakin bahawa Allah SWT itu lebih berkuasa dari segalanya. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mempelajari bagaimana menangani hal sebegini. Iblis dan Syaitan itu dicipta Allah daripada api. Api tidak boleh dilawan dengan api, tetapi hanya boleh dipadam dan dikalahkan oleh air. Sebab itu kita sentiasa digalakkan mengambil wuduk. Dan wuduk adalah permulaan kepada banyak ibadat dalam Islam. Dan membanyakkan zikir, membaca Al-quran, sembahyang sunat dll ibadat selain daripada yang wajib sahaja yang dapat menjauhkan manusia dari segala gangguan sihir dan syaitan. InsyaAllah.