Monday, March 9, 2009

Sunday, March 8, 2009

GAPENA' GMP dan PPSMI

Sabtu lalu bila Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dan Parti Pembangkang yang mengambil kesempatan mengadakan perarakan ke Istana Negara menimbulkan kecoh yang amat tidak diperlukan. Selepas sembahyang Jumaat sehari sebelumnya, dalam perjalanan menziarahi jenazah arwah Zubir Ali di masjid seksyen 14, saya dan Zurinah Hassan bertembung dengan Datuk Baha Zain yang baru pulang dari masjid yang sama. Kami diberitahu oleh Datuk Baha bahawa perhimpunan anjuran GMP yang dirancang esoknya akan terus diadakan di Masjid Negara. Sebelah malamnya ada orang menghantar SMS kepada saya bahawa perhimpunan GMP mendapat permit polis dan penyerahan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong akan diteruskan seperti jadual. Tapi saya katakan saya bersama GAPENA dalam hal ini dan akan ke Ipoh esoknya.

Di rumah bapa, saya menonton berita Awani, Bernama dan juga TV 1 di sebelah malam dan melihat kecoh-kecoh bikinan parti pembangkang tentang PPSMI. GMP hanya mendapat permit untuk perhimpunan dan itulah yang telah mereka lakukan. Permit perarakan tidak diberikan, tetapi apabila ia dibuat juga undang-undang telah dicabul dan GMP serta beberapa orang kenalan rapat berada dalam kedudukan yang amat sukar dan menyedihkan. Mengenali Pak Samad Said sejak sekian lama, saya amat sedih melihat beliau turut sama menjadi mangsa lontaran gas pemedih mata yang tidak pernah di alaminya seumur hidup. Kalau Pak Samad berumur 55 tahun saya mungkin akan mengatakan kepada beliau 'Tak apalah Pak Samad, segala-galanya ada kali pertama!' Tapi saya tak tahu apa nak kata jika saya jumpa beliau selepas ini kerana beliau bukan berumur 55 tahun.

Respon Datuk Seri Hishamuddin tentang perkembangan terakhir PPSMI agak klise dan telah beberapa kali didengar. Sekali lagi beliau bertanya kenapa sekarang baru nak buat repot polis?
Saya kurang pasti samada beliau sedar atau tidak bahawa tindakan GAPENA, GMP dan pihak-pihak lain adalah berasingan dan berbeza. Dan tentang soal kenapa sekarang semua ini berlaku juga membuatkan ramai orang yang SMS kepada saya dan berkata 'ke mana menteri ini selama ini? Dia tak tahukah orang dah bising tentang PPSMI sejak ianya diimplementasi?'

Seingat saya, bantahan serta protes perlaksanaan PPSMI telah mula kedengaran sejak tahun 2003 lagi. Di banyak Seminar dan kongres kebudayaan dan pendidikan yang diadakan, bantahan terhadap PPSMI telah disuarakan dan mendapat laporan media. Jadi soalan beberapa orang rakan ke mana Datuk Seri Hisahamuddin selama ini tidak menghairankan dan merupakan jenaka yang tidak lucu. Percakapan saya dengan Ketua 1 GAPENA Tan Sri Ismail Hussein sedikit waktu lalu masih diingat. Kata Tan Sri Ismail, ' Kami dah sampai kepada kemuncak kekecewaan dan akan mengambil tindakan membuat laporan polis kerana PPSMI mencabul Pasal 152 Perlembagaan Negara. Kami dah banyak kali berbincang dan berdebat tetapi kerajaan masih tidak sensitif kepada soal ini. Dan membiarkan kerajaan yang didukung oleh UMNO sendiri melanggar Perlembagaan Negara dalam hal ini adalah tidak patut sama sekali.' "No way?' tanya saya. "No Way! 'kata Dt. Profesor Zainal Kling dan juga Dt. Profesor Zainal Abidin Borhan serentak. Semangat ini diulangi oleh Dt.Dr. Latif Bakar kemudiannya di depan beberapa orang petugas media selepas majlis baca Yassin bulan lalu.

Mereka membantah PPSMI kerana tidak mahu membiarkan UMNO dilihat menongkah arus perjuangan anak bangsa yang merugikan UMNO sendiri. Semoga tidak ada siapa pun mempertikaikan hal ini atau memandang serong kenapa baru sekarang repot polis dibuat. GAPENA ditunjangi oleh golongan budayawan yang amat berkaliber, intelektual, berwibawa, malah di antara 'best brains' di seluruh dunia dalam pemikiran budaya dan Pengajian Melayu dan tindakan mereka cukup berhemah walau pun kelihatan lambat dan tidak agresif.

Dalam dialog dengan Mantan PM Tun Mahathir di rumah GAPENA pada bulan Disember yang lalu, fakta yang sama telah diajukan kepada beliau oleh Dt.Profesor Zainal Abidin Borhan yang kelihatan macam nak menangis menahan sebak sewaktu bangun menyoal. Dan Mantan PM mengakui beliau telah membuat kesilapan tentang PPSMI tetapi meminta ianya tidak ditukar kembali kepada pengajaran matematik dan sains dalam bahasa ibunda semua aliran sekolah.
Sesuatu yang menimbulkan berbagai soalan kerana kalau sudah diketahui ianya silap kenapa diteruskan juga? Tun Mahathir mahu menambahkan enigma beliau agaknya! Semoga Datuk Seri Hishamuddin lebih faham dan mempunyai pengetahuan yang cukup sebelum beliau bertanya lagi kenapa baru sekarang nak buat repot polis tentang PPSMI yang mencabul perlembagaan.

GAPENA dan saya sendiri berpendapat Bahasa Inggeris amat penting dan tidak menolaknya. Ajarlah banyak mana pun Bahasa Inggeris kepada anak-anak kita supaya mereka dapat menguasai semua ilmu di peringkat paling tinggi di internet atau di mana juga, tetapi jangan dirosakkan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan perlembagaan kita dalam Pasal 152.

Friday, March 6, 2009

Tentang KJ bukan Opportunis Politik

Salah satu blog yang sering melayari posting saya ialah Pro Khairy.Com yang menemubual YB muda dari Rembau ini dan kata YB KJ dia bukan oportunis politik yang akan meninggalkan gelanggang kalau ditakdirkan kalah nanti. Memang seharusnya begitulah Dik! Jadilah seorang pejuang bangsa agama dan negara dan bukan hanya seorang ahli politik. Ya, memang betul bukan bila menang sahaja boleh berjuang dan berkhidmat. Saya amat setuju dan sudah menjangkakan orang seperti YB KJ ni mempunyai integriti yang tidak sedikit dan kekuatan dalaman yang membanggakan dan bukan sahaja bergantung kepada Pak Lah bapa mertuanya. Saya sering percaya bila seseorang itu berilmu dan berpengetahuan tinggi, itulah asetnya yang paling berharga dan YB KJ mempunyai semua itu. Knowledge is power jangan lupa tentang hal itu!

Kata Datuk Mukriz lagi beliau tidak dibenar memasuki politik oleh ayahandnya semasa Tun Mahathir masih menjadi PM. Pun begitu, Datuk Mukriz bukanlah tidak masuk politik langsung, cuma tidak menjawat jawatan tinggi parti. Apa pun,beliau tetap enjoy the limelight melalui berbagai platfom NGO yang sangat berprofil tinggi seperti Aman Malaysia dll. Dan ini juga adalah aset serta kelebihan yang dipunyainya sama seperti orang lain yang memegang jawatan politik dalam kerajaan atau pun parti. Dan saya yakin Datuk Mukriz tidak akan jadi Pengerusi Aman Malaysia atau Datuk Paduka Marina menjadi Presiden Majlis AIDs jika mereka bukan anak-anak kepada seorang PM. Lain orang lain stail dan semantiknya. Tun Mahathir tidak mahu dilihat memberikan tempat kepada ahli keluarganya dalam politik, tetapi tidak di tempat lain. Pak Lah pula pernah berkata, buang Khairy kalau dia tak bagus, tapi beri dia peluang kalau dia ok! Saya kira perbezaan semua orang dalam perkara ini tidak banyak dan sekali lagi, buanglah persepsi negatif terhadap YB KJ kerana ia amat tidak wajar dan tidak adil!

Wednesday, March 4, 2009

Tentang dihormati lawan dan kawan

Membaca blog SAKMONGKOL AK47 KJ: Disegani lawan dan kawan tadi saya teringat dan mahu berkongsi pengalaman dengan semua. Dalam tahun 2005 saya telah menginterviu Tan Sri Abdullah Ahmad (bekas MP Kok Lanas dan Timbalan Menteri semasa Pentadbiran Tun Razak) dan ketika itu beliau dengan Tun Mahathir sering memberi ceramah dan syarahan yang antaranya banyak mengkritik Pak Lah dan dasar-dasarnya. Pun begitu saya amat terkejut bila beliau memberi pujian yang terbuka dan jujur tentang Khairy . Kata Tan Sri Abdullah' KJ adalah seorang pemimpin muda Melayu yang brilliant. Susah nak cari orang Melayu yang cerdik macam tu. Dia ada potensi yang besar dan the making of a good great politician. Dia orang muda dan bagi lah dia peluang untuk naik. Kalau sikit-sikit buat salah tu biasalah. Mana nak cari orang tak buat salah?'
Saya setuju dengan SAKMONGKOL bahawa KJ disegani lawan dan kawan. Dan terima kasih kepada komen jujur Tan Sri Abdullah yang dah lama saya tak jumpa.
Dt. Dr. Latiff Bakar Ketua 2 Gapena memanggil KJ 'budak cerdik'! Utusan Malaysia hari ini menyatakan Khairy paling banyak menjadi korban persepsi negatif. Saya amat setuju dengan tulisan Sdr.Zulkifli dan mendoakan semua orang 'civil' ketika berkempen dan berilah peluang kepada orang yang berwibawa, dengan mentaliti dan intelek yang cukup baik dan tinggi. Kerana ini adalah suntikan kesegaran yang amat diperlukan dalam UMNO terutama Pemuda UMNO. Cukuplah dengan segala momok yang dilemparkan kepada Khairy selama ini dan berilah beliau peluang yang adil.

Monday, March 2, 2009

GAPENA, Repot polis dan Mahathirism

Berita Minggu Ahad lalu memuatkan interviu dengan Tan Sri Ismail Hussein Ketua 1 GAPENA yang mengatakan kesilapan pentadbiran lalu (semasa Tun Mahathir) yang telah meminggirkan golongan budayawan Melayu dari arus perdana politik dan kemelut UMNO hari ini adalah disebabkan oleh faktor ini. Sememangnya itulah yang terjadi. Malah bukan saja golongan budayawan yang dipinggirkan, pakar-pakar sains sosial juga begitu. Terlalu banyak penekanan yang diberikan kepada sains dan teknologi dan ramainya teknokrat dalam UMNO menyebabkan golongan yang memperkatakan tentang idealisme perjuangan bangsa terpinggir. Dan segala keputusan dan pembuatan dasar kerajaan dan berbagai agensi pentadbiran dilakukan oleh sekumpulan manusia dari satu segmen masyarakat dengan latar belakang pendidikan yang tertentu sahaja. Semua orang tahu, untuk membangunkan negara kita perlu mengembeling tenaga manusia dari semua bidang, sains teknologi dan juga sains sosial.

Itu sebabnya kita pinggirkan mata-pelajaran sejarah yang sangat penting dan diajar di seluruh dunia walau pun di negara maju. Orang politik kita merasakan ianya tidak penting demi mengejar sains dan teknologi, maka mata pelajaran yang mengajar anak bangsa tentang asal usul mereka menjadi tidak perlu dan akhirnya generasi sekarang termasuk pemimpin menjadi buta sejarah serta mengeluarkan berbagai kenyataan yang ada kalanya begitu naif bunyinya tapi pada masa yang sama memalukan dan sangat tidak sensitif kepada kaum bumiputera yang merupakan penduduk asal negara ini.

Ternyatalah segala kehebatan dan kejayaan yang dicapai hanyalah bersifat fizikal semata-mata. Tanpa jiwa, tanpa idealisme, tanpa keutuhan spiritual dan hati nurani yang membanggakan. Malah bukan itu saja, tiba-tiba kita dikejutkan oleh perlakuan budaya yang pelik-pelik dan tidak pernah terfikirkan selama ini. Daripada cerita memberi hadiah penyapu, rakaman video peribadi yang memalukan,menggunakan perkataan celaka di Parlimen, mahu menyaman Sultan sehinggalah visual sidang Jumaat berbaring di atas jalan raya menghalang kereta YTM Raja Muda Perak di Bukit Chandan. Apa namanya ini kalau bukan krisis jati-diri? Tak usah bercakap tentang rasuah, salah guna kuasa dan politik wang. Dan kenapa ini terjadi?
Pembangunan fizikal yang tidak seimbang dengan aspek kejiwaan dan rohaniah.

Kata Datuk Mukriz Mahathir lagi, apa salahnya Mahathirism jika ia membawa pertumbuhan KDNK yang lebih besar daripada yang dicapai sekarang? Memang baik jika KDNK kita lebih besar tetapi kalau damage kepada masyarakat juga besar dan terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk menangani gejala rempit, dadah dan berbagai gejala sosial yang tidak sihat yang ada kaitannya dengan ketidak-seimbangan pencapaian fizikal dan spiritual apa gunanya? Datuk Mukriz mungkin seorang anak bapanya, tetapi saya yakin beliau juga perlu berfikir, bertindak dan mempunyai idealisme perjuangannya sendiri kerana kalau pun beliau menang jawatan Ketua Pemuda UMNO di akhirnya beliau akan diukur dan dilihat mengikut kemampuan dirinya sendiri.

Friday, February 27, 2009

Wednesday, February 25, 2009

Antara Feudalistik dan Hadiah Penyapu

Dalam interviu dengan sebuah akhbar tempatan dengan calon Ketua Pemuda UMNO mantan Menteri Besar Selangor Dato Seri Khir Toyo baru-baru ini, beliau mengatakan UMNO masih feudalistik sifatnya dan beliau mahu mengubah situasi ini jika menang dalam pemilihan Mach nanti. Saya pening juga memikirkan apa maksud perkataan 'feudalistik' yang diucapkan oleh beliau. Apakah konsep serta pengertian feudalistik yang beliau fahami? Kerana pada pemahaman saya konsep feudalistik itu ada kaitan kuat dengan institusi monarki, istana, 'war-lordism" perhambaan dan juga konsep yang dipraktis dalam masyarakat zaman dahulu sebelum merdeka malah sebelum penjajahan juga. Soalnya apakah semua ciri ini ada dan masih wujud dalam UMNO pada hari ini?
Tidak dapat nafikan, kita telah melalui suatu evolusi perubahan sosial yang panjang dan mengambil masa yang lama dan banyak institusi sosial kita yang telah berubah. Sesuai dengan perubahan yang bersifat evolutionary masyarakat Melayu masih kuat berpegang kepada tradisi dan adat resam dan ini amat jelas dalam kebanyakan institusi sosial orang Melayu termasuk UMNO. Pun begitu, saya tidak yakin segala ciri masyarakat feudal yang ada dalam masyarakat Melayu lama masih kekal dan dipraktis seperti yang dikatakan masih terdapat dalam UMNO pada hari ini dalam erti kata yang sebenarnya.

Satu soalan yang timbul pada fikiran saya ialah apakah konsep Dato Seri Khir sendiri tentang rupa-bentuk perlakuan budaya orang Melayu UMNO yang patut dipegang sekarang? Apakah kita perlu membuang segala perlakuan yang mengangkat tinggi adat resam, perasaan hormat-menghormati, kesetiaan dll dan menggantikannya dengan perlakuan 'baru dan moden' seperti memberi hadiah penyapu sebagai sesuatu yang lebih wajar demi menolak dilabel sebagai konservatif dan tidak feudalistik? Atau menyogok wang untuk membeli undi kemudian disyaratkan mengangkat sumpah dan tidak boleh mengundi orang lain? Saya tidak fikir ini yang diperlukan dalam UMNO terutama sekali di kalangan pemimpinnya!

Mungkin semangat berpuak-puak dan 'war-lordism' masih sangat kuat dalam UMNO. Tapi saya yakin dalam semua parti politik di Malaysia (yang bukan berasaskan Melayu) pun situasi ini wujud. Malah di seluruh dunia pun konsep kesetiaan dan pemimpin adalah begitu simbiotik dan berlaku di mana-mana juga. Ahli psikologi Perancis Simone Le Bon pernah menulis dan mengatakan hubungan pemimpin dan orang yang dipimpin itu mempunyai ciri-ciri 'libidinuos' yang membawa konotasi seperti hubungan yang berasaskan seksualiti antara lelaki dan perempuan yang saling memerlukan. Dan perkara ini juga berlaku antara pemimpin dan yang dipimpin sehingga ada yang sanggup berkorban apa saja demi mempertahankan pemimpin mereka dan ianya dilakukan atas apa juga nama seperti prinsip, kepercayaan, kepentingan bersama, material dll.

Dato Seri Khir mempunyai latar-belakang pendidikan doktor gigi mungkin beliau tidak begitu arif tentang segala konsep yang berkaitan dengan institusi sosial tetapi beliau perlu lebih berhati-hati dalam mengungkap kata kerana ditakuti ada orang yang akan menginterpetasi dan menganalisis sedalam-dalamnya tentang pemikiran beliau dengan perlakuan memberi hadiah penyapu yang mungkin mencerminkan perkara yang akan merugikan beliau sendiri
! Selamat Bertanding.






se