MAUT : GENRE FILEM BADA SEMAKIN JELAS
OLEH
SITI RUQAIYAH HASHIM
Malaikal Maut. Begitulah judul asal filem Bada Haji Azmi yang terbaru. Pun begitu, Lembaga Penapis Filem Malaysia mungkin merasakan judul tersebut terlalu mengejutkan dan akhirnya filem ini ditukarkan kepada Maut sahaja. Dan mengikut Bada sendiri, skrip filem ini banyak kali dirombak bukan sahaja setelah iannya siap, tetapi ketika masih diperingkat lakon layarnya lagi. Dan Bada sebagai seorang ‘budak baik’ yang tidak mahu bising-bising akur dengan nasihat JAKIM, LPF dan segala macam ajensi yang terlibat. Pun begitu, filem ini tidaklah teruk sangat jadinya, ada kekuatannya yang tersendiri terutama dari segi teknikal yang menghasilkan sinematografi yang cukup cantik dan ada kalanya cukup mencabar dan bukan semua pengarah kita sanggup dan mampu berbuat demikian.
Pengalaman yang cukup lama sebagai pengarah fotografi dalam banyak filem adalah aset Bada yang paling berharga. Dalam banyak filem arahannya kita dapat saksikan Bada sememangnya seorang pengarah yang passionate. Beliau berani bereksperimen dengan berbagai posisi kamera dan syot dari sudut yang tidak konvensional dan ini menghasilkan kerja kamera yang baik malah impressive. Tidak kurang menariknya adalah sudut pencahayaan yang begitu rapi dan teliti dibuat dan menghasilkan kesan artistik yang cukup baik. Babak kereta terbalik dengan Awal Shaari, Que Haidar dan dua pelakon wanita lain di dalamnya sangat mengesankan. Seperti kata Que mereka digoncang dan terasa seperti duduk dalam mesin pencuci pakaian dan dengan kamera yang diikat dalam kereta tersebut ternyata adegan ini sesuatu yang akan diingat oleh peminat filem tempatan untuk suatu waktu yang lama. Bada orang seni tulin yang sentiasa mencabar dirinya untuk menghasilkan sesuatu yang berlainan setiap kali dia berkarya dan tidak berpuas hati setakat menghasilkan ulangan betapa baik pun kerjanya yang lalu.
Bada ternyata dalam kategori yang sama seperti Kabir Bhatia yang cukup teliti dan halus menterjemahkan aspek teknikal filem-filem mereka menjadi kerja seni yang menarik untuk diperkatakan dan dalam kelas mereka yang tersendiri. Dan ini adalah suatu perkembangan sihat untuk industri filem kita bila semakin ramai sutradara dengan kekayaan pengalaman teknikal sebagai bekalannya. Kata-kata nakal Ray Reinhart pengarah fotografi ‘legenda’ filem-filem Oliver Stone (dalam filem Platoon, Born on The Fourth of July), Martin Scorcese dll yang ditemui semasa KLIFF 2008 baru-baru ini masih di- ingat. Saya ketawa bila mendengar Ray cukup jujur mengakui dia senang hati bila bekerja dengan sutradara yang tidak tahu apa-apa aspek teknikal dan fotografi dan Oliver Stone adalah salah seorang daripadanya. Dalam konteks ini yang pastinya ialah Bada lebih hebat dari Oliver Stone kerana legenda filem Amerika Syarikat ini tidak ada pengetahuan tentang segala macam aspek teknikal filem !
Filem ini membawakan tiga cerita yang berasingan dan berlaku dalam tiga bulan kalendar Islam yang berbeza iaitu Syaaban, Ramadan dan Syawal. Bahasa filem dan sinematik yang baik digunakan oleh Bada dengan falsafah yang cukup halus bila setiap bulan ditandai dengan sehelai daun dari pohon yang besar jatuh ke bumi yang menandakan dinamisme waktu. Suatu metafora halus tentang progression usia manusia yang semakin mendekatkan kita kepada ajal dan maut yang pasti tiba bila masanya? Tanpa apa juga penyamaran, ini filem dakwah yang cukup jelas dan cukup berani. Tayangan Unggul penerbit filem ini juga harus diberi pujian kerana berani membawakan filem yang berlainan dan tidak konvensional dari genre biasa hantu dan hantu lagi atau kisah cinta remaja kota mau pun milieu remaja kota dengan drift drag racing serta rempitnya yang menjadi tren masa kini. Dan ini sesuatu yang menyegarkan. Skrip filem ini cukup baik penulisannya walau pun saya lebih suka filem Bada sebelum ini iaitu Syaitan yang dari aspek temanya ternyata tidak klise langsung dan membawa pendekatan yang lebih berani mempamerkan hipokrasi manusia yang bertopengkan imej baik dan alim.
Cerita-cerita dalam filem Maut tidak membawa apa-apa kejutan dan mungkin inilah sedikit kelemahan filem ini. Ianya begitu dijangkakan dan sedikit didaktik ada kalanya. Dan seperti kata saya, Bada adalah ‘budak baik’ yang selalu berkompromi dengan jangkaan umum melalui filem-filemnya. Cerita ketiga tentang remaja dan black metal dalam filem ini dibawakan dengan lesen kreatif yang memberi ‘keselesaan’ kepada pemikiran dan jiwa kita. Ianya diakhiri dengan kematian watak yang dibawakan oleh Que Haidar dalam satu kemalangan yang dahsyat.
Filem pertama ialah tentang roh orang mati dibunuh yang berkomunikasi dengan gadis dalam bas yang sama dengan si mati yang kembali meminta tolong untuk menemukan jasadnya yang dibuang di tanah perkuburan. Lakonan Liyana Jasmay dan lain-lain cukup meyakinkan dan cerita ini berjaya mengekalkan unsur suspen yang cukup baik dan gripping dari awal hingga akhir. Malah dalam ketiga cerita filem ini, hampir semua pelakonnya mempamerkan lakonan yang meyakinkan dan sedikit pun tidak mengecewakan.
Cerita kedua mengisahkan pengalaman koma dan hampir mati watak yang dibawakan oleh Sabrina Hassan seorang peramugari yang hidup dengan stail kebaratan setelah berkahwin dengan seorang lelaki barat. Dan beliau diberikan peluang kedua setelah berpisah dengan suaminya ketika mau kembali ke pangkal jalan tetapi jatuh pengsan di depan masjid. Ketika tidak sedarkan diri di hospital, beliau mengalami keadaan di bawah sedar yang menyaksikannya berada di neraka dan dihukum oleh Allah Taala atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukannya sewaktu hidupnya. Ini menyebabkan beliau berubah dan menjadi seorang Islam yang lebih taat kepada agama selepas bangun dari komanya.
(Reviu filem Maut arahan Bada Hj.Azmi ini telah disiarkan dalam Berita Minggu 25 Januari 2009 lalu).
Monday, January 26, 2009
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 8:09 PM 0 comments
Tentang ADUN Bota dan politik semasa
Apa sudah jadi di Bota? ADUN nya sudah mengumumkan keluar dari BN dan nak masuk PKR. Dan orang PKR semuanya menyokong penuh dan BN Perak mencari jawapan di mana silapnya? Apa pun yang menariknya ialah kenapa PKR mahu menerimanya dan tidak menyuruh beliau meletakkan jawatan dulu seperti yang heboh di Kapar beberapa bulan lalu? Bila ADUN Kapar nak keluar PKR beliau disuruh letak jawatan kerana kemenangannya atas tiket parti itu dan beliau tidak berlaku adil kepada pengundi-pengundinya jika keluar dari parti pujaan mereka dan masuk BN. Tapi bila ADUN Bota nak keluar BN dia disambut penuh bahagia oleh orang PKR. Apa sudah jadi? Double standard is the name of the game!!
Selepas kekalahan BN di Kuala Terengganu, Tun Mahathir cukup cepat menyalahkan Pak Lah sebagai penyebab utamanya. Swing hampir 3000 undi adalah besar, tapi tanpa penyelidikan rapi dan post-mortem yang teliti, menyalahkan siapa juga adalah perkara yang tidak wajar, tidak adil dan sangat dikesalkan. Saya tak yakin hanya ada satu faktor pengundi di KT
menolak BN. Saya yakin banyak sebab kenapa perkara ini berlaku. Mungkin kerana keadaan dalam UMNO dan BN masih tidak berubah walaupun sudah menerima kejutan dalam PRU 12 tahun lalu. Orang UMNO masih ghairah berebut jawatan bagi pemilihan parti bulan Mach nanti. Mungkin UMNO terlalu elitis di peringkat atasan tapi di akar umbi ianya tidak begitu. Jadi ada gap yang cukup luas. Orang UMNO mungkin dapat menerima keadaan ini, tetapi rakyat di luar UMNO dan BN mungkin tidak suka keadaan begini dan membuatkan ianya ditolak oleh rakyat.
Mungkin juga orang takut bila berlaku peralihan kuasa nanti, BN akan balik kepada keadaan
sebelum Pak Lah menjadi PM. Ada orang menamakannya sebagai the golden years of corruption! Menggerunkan bila mendengarnya tapi itulah persepsi rakyat. Mungkin juga sebab isu ura-ura nak buat LCCT baru yang eksklusif untuk Air Asia di Labu yang tidak jauh dari KLIA dan ini tidak baik dari segi keselamatan (sama seperti ketidak-sensitifan Air Asia nak gunakan Lapang Terbang Subang sebagai pengkalannya disebabkan kawasan ini begitu dekat dengan penempatan penduduk yang sangat padat dan ini amat bahaya). Mungkin juga sebab ura-ura Sime Darby nak ambil alih IJN dan ini sangat tidak sensitif kepada rakyat yang takut ianya akan menyebabkan kos perubatan di hospital ini melambung tinggi bila diswastakan.
Mungkin isu-isu ini semua tidak berkaitan dengan Pak Cik Dollah, Amat dan Ah Kiong di Kuala Terengganu, tapi rakyat baca surat khabar, dengar radio, tonton TV, ada internet dan MSC yang Tun Mahathir sendiri buat menjadikan rakyat Malaysia makin pandai dan bijak dan tahu apa yang baik dan tak baik untuk mereka. Jadi eloklah dibuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum siapa juga membuka mulut kerana riaksi knee-jerk ini amat bahaya dan tidak wajar sama sekali. Doa saya supaya Tun Mahathir dan keluarga berada dalam keadaan sihat dan boleh berfikir dengan baik dan dijauhkan daripada prejudis kepada siapa pun. InsyaAllah.
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 6:57 PM 0 comments
Sunday, January 25, 2009
Kepada Pemuisi Sambilan
Engkaukah itu
yang mencatat puisi tentang penderaan
mengutuk kekejaman
mencerca kezaliman
sedang diwaktu lain
engkaulah yang mendera
engkaulah yang yang berlaku tidak adil
engkaulah yang memanipulasi kebenaran
demi cita mu mau berada di puncak itu
cukuplah!
hentikan hipokrasi itu
lihatlah ke dalam diri mu
dan belajarlah bercakap tentang keadilan
bila engaku mampu berhenti menjadi zalim
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:07 AM 0 comments
Wednesday, January 21, 2009
Muzikal lebih populer?
Entah kenapa untuk suatu masa yang cukup lama ada pendapat yang mengatakan teater muzikal adalah genre yang lebih populer dan itu sebabnya Istana Budaya lebih gemar untuk mempertontonkannya kepada khalayak. Benarkah contention ini? Sejak dua minggu lepas saya telah menonton 3 teater bukan muzikal di berbagai panggung di seluruh Kuala Lumpur dan mendapati ianya penuh dan hampir penuh setiap kali pertunjukan diadakan.
Di Lambang Sari semasa Makyung Raja Senyanya dipersembahkan, panggung hampir penuh setiap malam. Walau pun lebih 2 jam durasi persembahannya, tiada yang gelisah dan keluar masuk panggung sepanjang persembahan. Ini Makyung. Genre seni persembahan tradisional kita yang cukup populer dan terkenal. Walau pun sahabat saya Sidik menulis katanya dia duduk terlalu lama hingga kebas, tetapi mungkin mood Sidik tak berapa baik malam itu agaknya. Kami menonton pada malam yang sama tapi saya tak nampak pun dia gelisah dan nak keluar!
Ketika pementasan drama realisme Berani Mati dipentaskan di Stor, DBP saya duduk di sebelah Namron dan kami menikmati sebuah persembahan yang cukup baik dari segi lakonan dan skripnya. Dan panggung kecil itu hampir penuh juga walau pun saya menonton pada malam akhir . Dan semalam Panggung Eksperimen ASWARA juga hampir penuh ketika persembahan Saya...Dari Hujung Kota karya Dt. Nordin Hassan dipentaskan.
Mungkin panggung ini semua kecil dan tidak sukar untuk mendapat audien dan panggung jadi penuh. Tetapi tinjauan spontan saya terhadap beberapa penonton yang hadir mempamerkan mereka lebih suka genre bukan muzikal. Sebabnya? Ianya lebih mencabar intelektual dan lebih bermakna serta tidak sekadar menghiburkan kata mereka! Pastinya mereka yang datang ini peminat serta khalayak teater yang cukup tulin. Peminat susah mati (terjemahan anak saya kepada istilah die hard fans)! Jadi dari mana cerita serta kepercayaan bahawa muzikal lebih populer? Mungkin suatu penyelidikan terperinci perlu dibuat tentang perkara ini dan sebelum kita terus-menerus beranggapan demikian dan muzikal demi muzikal berbajet besar dan sekadar menghiburkan serta much to be desired nilai seninya menjadi menu tetap kalendar persembahan teater kita tahun demi tahun! Lainlah kalau orang-orang kita beranggapan seni itu hanya untuk hiburan dan suatu dosa besar mementaskan kerja seni yang membuatkan orang berfikir dan tersentuh hati nuraninya!
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:19 AM 0 comments
Tuesday, January 20, 2009
Kita kekurangan naskah teater yang baik?
Menonton teater ' Saya....dari hujung Kota' yang merupakan kompilasi serta kolaj kepada skrip-skrip SN Dt. Nordin Hassan malam tadi mengingatkan saya kepada beberapa perbualan dengan beberapa orang rakan sedikit waktu lalu. Sutung Umar sering berkata masalah teater kita antaranya ialah kerana kita ketiadaan naskah yang baik. Dan naskah yang baik juga jarang-jarang dihasilkan sekarang kerana orang lebih banyak menulis skrip muzikal kerana itulah yang dikehendaki dan paling laku dan berharga sekarang ini. Saya tidak mahu bergaduh dengan Sutung tentang perkara ini kerana ada kebenaran dengan apa yang beliau katakan. Tetapi apakah ketiadaan naskah yang baik harus menyebabkan aktivis dan kementerian menolak tepi pementasan teater dan semuanya lari kepada muzikal sahaja?
Sebenarnya kita tidak ketandusan skrip-skrip yang baik. Dan saya sependapat dengan sahabat saya Ku Seman yang mengatakan skrip-skrip yang baik seperti tulisan Usman Awang patut dipentaskan semula. Dan dua tiga hari yang lepas sempena ulangtahun ke 80 Cikgu Nordin Hassan, seminar pemikiran beliau telah diadakan dengan di sebelah malamnya pementasan "Saya ...dari hujung Kota' diadakan. Malam semalam majlis menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Dt.Nordin. Dalam keterharuan dan titisan air-matanya selepas persembahan yang cukup baik arahan Rohani Yousuff, tiba-tiba saya merasakan kerinduan yang amat sangat kepada karya-karya tulisan Dt.Nordin yang cukup indah, kuat serta dalam filosofi Islamnya dan menjadikan saya manusia yang lebih kecil di sisi tuhan!
Siapa kata kita ketiadaan naskah? Maaf untuk berbeza pendapat tetapi apa yang perlu dilakukan ialah memberi penghargaan begini kepada penulis-penulis besar seperti Dt.Nordin, Syed Alwi,Usman Awang, A.Samad Said dll. Lagi pun, kalau Muzikal Puteri Gunng Ledang boleh dipentaskan berkali-kali, apa salahnya karya penulis-penulis besar kita dipentaskan setiap tahun pun? Istana Budaya akhirnya telah meletakkan dalam kalendar tahun ini untuk mementaskan Mana Setangginya karya Cikgu Nordin (tapi kenapa lewat sangat hujung tahun nanti baru nak dipentaskan?) yang sebenarnya telah ditulis untuk mengisi pementasan pertama sempena pembukaan Istana Budaya hampir 15 tahun lalu!! Suatu tragedi maruah bila Mama Mia dengan cerita anak luar nikah mencari bapanya mendapat sponsor RM 20 juta untuk dibawa ke Malaysia, tetapi karya Sasterawan Negara yang cukup halus dan tinggi falasafah agamanya tak dapat dipentaskan kerana kekurangan bajet!! Istana Budaya mesti memastikan sekurang-kurangnya satu skrip karya Sasterawan Negara yang cukup baik dipentaskan setiap tahun.
Melihat dan mengiringi Cikgu Nordin dalam keadaan yang amat daif disebabkan kesihatannya semalam membuatkan saya semakin marah dengan banyak perkara . Sebenarnya cukup bahaya meletakkan orang yang tidak berilmu dan tidak berpengetahuan menerajui sesuatu institusi yang dipertanggung-jawabkan untuk tugas tertentu dan KPKKW bukanlah suatu Kementerian yang boleh diambil mudah dan tidak penting dari sudut pembinaan negara-bangsa. Kerana seni bukan sahaja untuk hiburan dan peluang meraih Rm berapa biliun pun, tetapi ianya mengenai pembinaan pemikiran, falsafah, sikap dan pengisian spiritual sesebuah bangsa. Dan untuk suatu waktu yang terlalu lama, kita membuat kesilapan demi kesilapan.
Terima kasih kepada ASWARA yang cukup peka dengan keperluan pementasan karya-karya besar yang merupakan permata terbilang kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan kita seperti yang telah dilakukan kepada karya-karya Dt. Nordin selama ini. Karya-karya Dt.Nordin bukan saja penting kerana falsafah Islamnya, tetapi ia cukup universal dan mencakupi banyak perkara yang menyentuh kemanusiaan sejagat. Kehebatan muzikal PGL mungkin dalam genre nya yang tersendiri tetapi tidak ada sebab kita harus meminggirkan kehalusan Cindai, Lantai T.Pinkie dan Uda dan Dara. Kalau karya-karya Shakespeare boleh dipentaskan beratus tahun dan ilmu mengenainya tidak habis-habis digali sehingga kini kenapa tidak kita yang menobatkan karya besar sasterawan sendiri?
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 9:05 PM 0 comments
Monday, January 12, 2009
Tahniah kepada PM
Pak Lah, terima kasih dan tabik dari saya kerana ini pertama kali dalam sejarah parlimen Malaysia sebulat suara meluluskan usul mengutuk pencerobohan Israel ke atas Gaza. Dan salut saya kepada semua rakyat Malaysia yang bangun menyatakan kebencian terhadap keganasan bersiri Israel. Semoga siapa pun tidak melihat ini sebagai ada agenda tersembunyi kerajaan atau pun PM kerana apa yang penting ialah ini menyatakan kebencian terhadap perang terhadap keganasan kepada orang awam, hak asasi kemanusiaan dan demokrasi yang dilaung-laungkan oleh Amerika Syarikat. Semoga ianya diikuti dengan tindakan susulan yang lebih konkrit dan ianya diterjemahkan kepada suatu ketetapan yang amat bermakna atas nama kemanusiaan. Menjadi civil society dan bercakap tentang hak asasi manusia bukan sahaja tentang gay rights dll tapi memastikan manusia tidak duduk dalam penjara besar kemudian dibom, di tembak dan dibakar oleh fosforus.
Semalam saya telah letakkan postings bahagian ke 2 interviu dengan Paolo Bertolin yang bercakap tentang filem-filem pasca 9/11. InsyaAllah transkrip penuhnya dalam Bahasa Inggeris akan diletakkan dalam blog ini selepas iannya diterbitkan. Ini mungkin wacana yang tidak bersangkutan dengan keganasan bersiri Israel terhadap Palestin, tetapi seperti kata Imamura Shoei pengarah filem terkenal dari Jepun, ALL WARS ARE WRONG!
Posted by Siti Ruqaiyah Hashim at 7:04 PM 0 comments

