Wednesday, January 21, 2015

RATIB QALBU SUTUNG UMAR

Dua malam lalu, bertempat di Institut Terjemahan Buku Malaysia Wngsa Maju diadakan malam bacaan puisi 'Ratap Qalbu' sempena pelancaran buku antologi puisi penyair luhur Sutung Umar Rs. Ramai penyair, penulis, orang teater dan petugas ITBM yang hadir termasuk penulis sendiri. Memang sesuatu yang sudah dijangkakan akan menjadi majlis bacaan puisi yang bakal diperkatakan kerana ramainya pendeklamator yang hebat dan ternama mengambil bahagian. Beberapa orang Sasterawan Negara turut hadir termasuk Dt.Baha Zain yang duduk di sebelah penulis dan Penyair Raja Aminullah Ahmad.

Turut mendeklamasikan puisi kerohanian dan manifestasi seni Sutung Umar yang berfokuskan akidah, kepercayaan dan spiritualisme berasaskan Islam, ialah orang seni ternama yang tak payah diperkenalkan seperti U Wei Hj Shaari, Sani Sudin, Rosnan Rahman, Rahimidin Zahari, Sofea Jane, Melisa Saila, Sabri Yunus dll. JUga pendeklamator dan penulis tidak terkenal serta seniman kecil yang sedang mencipta nama.

Penulis jarang ke majlis pembacaan puisi kerana faktor masa dan lain-lain.Tapi untuk Sutung Umar, saya tolak tepi segala halangan dan meredah segala kesesakan jalan raya kerana Sutung amat bermakna bagi penulis dan sangat saya hormati. Inilah editor pertama yang menyiarkan karya dan tulisan saya semenjak tahun 1987 dalam majalah-majalah keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka. Puisi pertama bertajuk Port Dickson dan cerpen pertama penulis bertajuk Ika Sutung lah yang menyiarkannya dalam Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Dan beliau mendidik penulis untuk berkarya dengan baik dan sabar bukan dengan cara memberitahu di mana kelemahan dan kekuatan karya tersebut, tetapi berkata ' Tulis sehingga engkau sendiri puas bila membacanya! Selagi kau tak puas hati dengan apa yang kau tulis, jangan hantar kepada aku!'

Pernah sekali, Sutung menghantar balik sebuah cerpen sebanyak tiga kali kepada penulis dan menyuruh betulkan tanpa memberitahu apa yang perlu dibetulkan! Penulis naik pening dan geram juga dan berkata kepada dia,'....buang saja lah dalam tong sampah kalau tak bagus!' Dengan tenang Sutung menjawab' Cerpen tu cukup bagus, kalau orang lain yang tulis aku dah ambik. Tapi aku tahu kau boleh tulis lebih bagus dari tu, sebab tu aku tak nak buang, dan nak kau betulkan!'Penulis terdiam dan tak jadi marah dan mengambil semula cerpen tersebut dan 'memeramnya ' untuk beberapa minggu dan menulis semula bahagian tertentu hingga puas hati. Itulah pelajaran paling besar dan bermakna bagi penulis dan sehingga ke hari ini, saya tak kisah tentang kuantiti penulisan, tetapi kualiti karya yang lebih penting. Beberapa kali (2-3 kali), artikel penulis yang dah di hantar dan di terima untuk diterbitkan oleh editor surat khabar, penulis ambil balik kerana rasa bersalah dan tak mau beri kerja sub-standard walau pun editor kata dah cukup baik! Tapi penulis tak boleh berkompromi walau pun dengan diri sendiri dalam bab-bab ini. Dan paling penting, mesti jujur bila menulis walau pun orang tak tau kita telah berlaku jujur atau pun tidak.

Tabik saya kepada Sutung Umar RS 'guru' yang melahirkan saya sebagai seorang penulis. Semoga Allah memberikan beliau keberkatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat dan kesihatan yang baik. Jasa beliau kepada saya akan dikenang sampai bila-bila.

0 comments: