Thursday, December 2, 2010

RALAT

FESTIVAL FILEM KESATUAN EROPAH YANG SANGAT PRAKTIKAL.

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.


Setiap tahun negara-negara Kesatuan Eropah akan mengadakan Festival Filem di negara ini. Diam tak diam ini tahun ke sebelas tayangan filem-filem terbaik daripada berbagai negara Kesatuan Eropah dijalankan di beberapa pawagam di sekitar Lembah Kelang dan kemudian akan dibawa ke Pulau Pinang. Tahun ini Belgium menjadi hos bagi pihak Kesatuan Eropah seluruhnya dan sebanyak 18 buah filem yang memenangi berbagai anugerah di berbagai festival di Eropah dan ditempat-tempat lain ditayangkan walau pun filem-filem ini tidak merupakan filem terbaru mereka.

Yang pentingnya mereka menghantar filem terbaik Itali, Perancis, Sweden, Sepanyol, Belgium dll.dan bukan filem terbaru kerana yang terbaru tidak semestinya yang terbaik.
Ini sesuatu yang harus kita pelajari kerana filem adalah wadah terbaik dan paling praktikal mempamer dan mengeksport budaya, bangsa dan sesebuah negara dengan cara yang murah dan mudah. Yang diperlukan hanyalah menghantar filem-filem mereka dalam satu pakej yang menarik dan mengandungi kepelbagaian etnik, bahasa dan budaya yang tidak sedikit dan benar-benar mempamerkan ‘kesatuan dalam kepelbagaian’.

Paling penting festival seperti ini tidak mahal dan memakan belanja yang tinggi tetapi hanya memerlukan perancangan dan ko-ordinasi yang rapi. Ianya satu pesta tayangan filem tanpa glamor kehadiran artis dan ‘huu-haa huu-haa’ festival yang kadang kala pengisiannya lebih kuah dari isinya. Mungkin kerana objektif festival seperti ini untuk mempamer jatidiri dan essence budaya, bahasa dan segala-galanya tentang Kesatuan Eropah. Saya beranggapan festival filem sebegini cukup sesuai untuk Malaysia dan juga Asean jika kita mahu bercakap tentang ‘kesatuan dalam kepelbagaian.

Kita jarang sekali menonton filem-filem dari Eropah kerana pengedar filem kita memilih untuk tidak berbuat demikian saya kira. Walau pun filem-filem ini cukup baik dan Festival Filem Cannes, Berlin dan Venice adalah merupakan festival filem terulung dunia, cukup penting malah lebih awal dari Golden Globe dan Academy Awards yang menobatkan filem-filem Hollywood sahaja.

Festival Filem Cannes, Berlin dan Venice menobatkan karya yang cukup tinggi nilai seni dan estetikanya dari seluruh dunia dan bukan sahaja dari Eropah dan merupakan festival filem yang cukup terbuka, universal dan benar-benar menghidupkan semangat serta pengertian filem sebagai wadah seni yang cukup penting semenjak abad ke 20. Hanya di sini, filem-filem Iran, China, Turki, Amerika Selatan dll pernah dinobat sebagai filem terbaik, pengarah terbaik dll anugerah besar perfileman.

Di sini juga filem-filem Hollywood sering ‘berpeluh’ bersaing dengan filem terbaik dunia kerana nama-nama besar di Cannes, Venice dan Berlin termasuklah Majid Majidi, Hussein Makbalbaf, Zhang Yimou, Chen Kaige dll yang cukup halus kerja seni mereka setanding Martin Scorcese, Almadovar, Jean Luc Godard dll.yang lebih mementingkan seni di dalam sinema dan bukan semata-mata teknik, imej janaan computer, bajet besar dan eleman-elemen lain.

Pengedar filem kita mengaut banyak keuntungan daripada pemameran filem-filem Hollywood, Hong Kong dan Bollywood dan mungkin sudah cukup selesa berbuat demikian kerana perkiraan mereka ialah keuntungan dan keuntungan sahaja. Mengapa perlu melakukan sesuatu yang berbeza daripada biasa kalau pendapatan yang lumayan sudah terjamin? Mengapa perlu mencuba sesuatu yang baru kalau ia belum tentu membawa hasil lumayan? Ini mungkin perkiraan penting pihak pengedar filem luar negeri di sirkit pawagam kita.

Pun begitu, stesen televisyen kita yang turut menayangkan banyak filem luar negara mungkin perlu berbuat sesuatu tentang perkara ini kerana kita tidak boleh membiarkan hanya segolongan kecil manusia yang berorientasikan keuntungan semata-mata mendominasi serta menentukan selera penonton filem kita. Ini sesuatu yang tidak sihat saya kira.

Bukan semua filem dalam Festival Kesatuan Eropah ini merupakan ‘bahan’ festival Cannes, Berlin dan Venice tetapi filem-filem mereka jauh lebih baik dan ‘kaya’ daripada kebanyakkan filem kita yang seperti ketandusan idea dan tidak menunjukkan ketingian pemikiran, kedalaman intelektual dan falsafah yang tinggi. Cuba-cubalah menonton ‘psycho drama’ seperti dalam filem Leo dari Sweden atau dilemma Simon seorang jurulatih renang di Calais dalam membantu seorang pendatang asing Kurdish bernama Bilal untuk merenangi Selat Inggeris untuk bertemu dengan kekasihnya yang tinggal di London. Filem-filem ini ada ‘jiwa’ dan kedalaman emosi yang tidak terdapat dalam banyak filem kita.

NOTA: TERDAPAT SEDIKIT KESILAPAN DALAM ARTIKEL DI ATAS YANG TELAH DISIARKAN OLEH AKHBAR BERITA MINGGU HARI AHAD YANG LALU 28 NOVEMBER 2010.
PADA PARAGRAF KE EMPAT, PATUT DIBACA:

1). Saya beranggapan festival filem begini cukup baik bagi negara-negara Asean jika kita mahu bercakap tentang kesatuan dalam kepelbagaian.

APOLOGI KEPADA SEMUA PEMBACA. tERIMA KASIH.