Monday, November 30, 2009

Nik Aziz Buat Hal Lagi.

Dah lama saya tidak menulis di blog kerana berbagai perkara yang perlu difikirkan. Dan bila duduk diam seketika, berfikir dan memerhati apa yang berlaku dan tidak berlaku di sekeliling kita kadang kala lebih banyak mendatangkan 'jawapan' kepada banyak persoalan. Pun begitu, saya dari jenis yang tidak boleh diam lama. Malah sejak kecil saya memang dikenali sebagai anak yang tidak boleh duduk diam! Wallahu Alam tuhan saja yang mengetahui kenapa saya jadi begitu!!

Pun begitu, kebelakangan ini kontroversi tentang Mursyidul Am PAS Dato Nik Aziz timbul lagi. Dan benar seperti kata seorang lagi 'adik' saya yang mengakui dia orang PAS dan sering menulis dalam Harakah bahawa kebelakangan ini Tok Guru lebih banyak mendatangkan masalah kepada orang Islam di negara ini. Malah banyak lagi kata-kata beliau yang kurang manis jika dituliskan di sini dan saya tak sampai hati nak meletakkannya. Apa pun saya memahami 'kekecewaan' adik saya ini dan sememangnya merasakan Nik Aziz banyak buat hal kebelakangan ini. Terakhir, beliau mendoakan Allah membukakan hati PM untuk memberi royalti minyak kepada Kelantan atau memusnahkan PM.MasyaAllah. Islam tidak pernah menyuruh kita berdoa yang tidak baik kepada sesiapa pun walau pun hidup kita mungkin tonggang terbalik oleh kekejaman dan kezaliman manusia lain kepada kita.

Apa sudah jadi Tok Guru? Islam jenama apa yang nak dibawa? Jenama manusia pendendam dan pemikiran yang kacau tapi bertopengkan Islami? Nik Aziz begitu tertekan agaknya kerana berbagai isu menghantui beliau dan keluarga beliau, PAS dan juga tekanan dari dalam dan luar Pakatan Pembangkang sendiri. Baru-baru ini saya berbual dengan sahabat-sahabat di GAPENA dan kami sependapat bahawa masalah PAS sekarang kerana ada orang lain yang membuat parti itu jadi begini. "Pas tak kan jadi begitu, kalau tak ada orang yang mencelah!" begitu kata Prof. Zainal Kling yang sememangnya vokal terhadap parti ini.

Di celah-celah kami ketawa kerana seorang sahabat kami yang cukup populer sedang 'dipancing' oleh pihak tertentu untuk memasuki PAS, kami semua merasa cukup cemas dengan perkembangan mutakhirnya, kerana parti yang memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu ini semakin kuat badai yang ditempuhnya oleh perbuatan orang yang tidak mahu melihat parti ini berkerja-sama dengan UMNO untuk kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.Orang yang tidak mahu Melayu bersatu-padu. Orang itu sudah berjaya memecah-belahkan UMNO sehingga keadaannya begini sekarang, kalau dia terus dibiarkan tidak mustahil PAS juga akan menjadi mangsanya. Doa saya, semua orang Islam dan Melayu memahami dan mengenali siapa kawan dan siapa musuh mereka yang sebenar!!

'Close encounter' denganTembok Berlin

Sudah 10 tahun Tembok Berlin diruntuhkan. Sebagai ikon penting Perang Dingin dan menimbulkan banyak nostalgia kepada ramai orang, saya mempunyai kenangan sendiri tentangnya. Sewaktu Tembok Berlin nak diruntuhkan, saya berada di Stirling, Scotland. Beberapa minggu sebelum perkara itu berlaku saya dan beberapa orang penulis dari berbagai negara Asia, Eropah dan Afrika yang menuntut di Universiti Stirling berjumpa dan berbual di Mc Roberts Library. Desas desus yang kami dengar ketika itu cukup kuat mengatakan sesuatu yang cukup drastik dan bersejarah bakal berlaku. Ramai di antara kami yang sudah mengagak bahawa Komunisme akan berkubur tidak lama lagi.

Beberapa hari kemudian seorang penulis dari Mesir memberitahu saya bahawa Vaclav Havel penulis drama tersohor dari Czechovslovakia (kemudiannya menjadi Presiden Czech yang pertama) menjemput kami untuk pergi ke Budapest dan dari situ akan dibawa ke Berlin kerana ada perkara penting yang akan berlaku. Kumpulan kami cukup teruja dan masing-masing bersiap sedia apalagi kerana mendapat jemputan Vaclav seorang penulis yang terkenal di seluruh dunia.Semua orang menghubungi Kedutaan masing-masing untuk mendapat kebenaran. Saya juga tidak ketinggaalan dan menghubungi seorang pegawai yang sudah saya lupa namanya di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi kita di London untuk meminta kebenaran dan visa ke Budapest.

Dua hari kemudian saya menghubungi London sekali lagi untuk mendapat jawapannya dan amat kecewa kerana diberitahu visa untuk rakyat Malaysia tidak akan dikeluarkan untuk saya walau pun kami dijemput oleh orang seperti Vaclav Havel sekali pun atas isu keselamatan. Semua kawan-kawan penulis saya pergi ke Budapest dan menjadi tetamu Vaclav dan menyaksikan Tembok Berlin diruntuhkan. Dan tidak ada apa pun yang tidak baik berlaku kepada sesiapa pun sewaktu peristiwa ini terjadi. Agaknya kalau saya mendapat kebenaran hari itu, mungkin saya merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Kadang-kadang birokrasi sememangnya tiada bermata dan bertelinga selain daripada tidak dapat bertindak atas dasar empati. Begitulah birokrasi namanya!

Sunday, November 8, 2009

Lembing Awang Pulang ke Dayang Patut di Bawa Ke Istana Budaya

Seorang pembaca reviu filem Lembing Awang Pulang ke Dayang yang tersiar dalam Berita Minggu semalam menghubungi saya dan mencadangkan skrip ini harus diadaptasi kepada teater dan dipentaskan di Istana Budaya. Saya amat bersetuju dengan cadangan tersebut malah dalam reviu asalnya saya cadangkan begitu juga. Sememangnya skrip ini cukup baik dan penceritaannya 'gripping'. Saya membayangkan pementasannya yang cukup spektakular, teatrikal dan mempunyai kedalaman intelektual yang cukup hebat. Cerita serta karya yang diangkat dari kisah benar ini cukup besar dan penting dalam wacana sejarah kita untuk dijadikan suatu teks yang memukau disamping kita bercakap tentang nasionalisme dan patriotisme serta penjajahan Belanda yang jarang sekali disentuh dalam apa juga genre kesenian kita.

Lembing Awang Pulang ke Dayang bukan sahaja bercakap tentang tragedi percintaan dan pertunangan dan bukan saja mempamerkan perang psikologi yang bertukar menjadi perang fizikal kerana situasi buah hati kekasih orang. Ia juga bukan sahaja bercerita tentang kegelapan hati budi manusia yang tamak, kurang pertimbangan akal dan keimanan sehingga sanggup bersekongkol dengan lanun yang kekuatannya bersumberkan ilmu hitam dll. Skrip filem ini memuatkan segala aspek dan milieu masyarakat Melayu Nusantara. Paling penting, ia mengungkap citra Dunia Melayu yang dijerut dan diperkotak-katikkan oleh penjajahan Barat di abad ke 18.

Monday, November 2, 2009

Penahanan Dr. Asri Zainal Abidin.

Segala-galanya begitu mengelirukan bila saya mendapat berita tentang apa yang terjadi kepada Dr. Maza atau Dr. Asri Zainal Abidin Mantan Mufti Perlis yang sejak beberapa tahun kebelakangan setiap minggu menulis dalam Mingguan Malaysia yang jarang tidak saya baca. Pada pendapat saya lontaran idea beliau cukup segar, tidak jumud dan sangat menarik dan keterbukaan beliau memperkatakan yang benar dan tidak benar mengikut Al-Quran adalah sesuatu yang paling saya sanjungi. Malah keberaniannya memperkatakan sesuatu isu yang tidak berani disentuh oleh ramai ulamak lain juga adalah sesuatu yang patut dipuji.

Alasan JAIS menahan beliau berceramah tanpa tauliah adalah sesuatu yang 'pelik' dan lucu yang tidak lucu langsung. Kalau Dr. Maza ditahan kerana berceramah tanpa tauliah kenapa JAIS tidak membantah tulisan, program TV dll beliau selama ini? Alasan tiada tauliah JAIS sangat tidak masuk akal! Beliau seorang pendakwah dalam apa juga kapasitinya dan beliau mempunyai kelayakan dan ilmu yang cukup tinggi untuk mengeluarkan fatwa dll. Tulisan beliau dibaca oleh beratus ribu orang mungkin berjuta di seluruh dunia melalui internet dll. Apakah ini tidak melanggar peraturan JAIS? Apakah orang seperti ini memerlukan tauliah setiap kali membuka mulut?

Sebagai seorang penulis saya juga kadang-kadang mengeluarkan pendapat tentang perkara berkaitan agama dan peraturan Islam yang saya ketahui dan cukup yakin untuk bercakap mengenainya. Kenapa Blog dan tulisan saya tidak diharamkan kerana menyentuh hal-hal agama? Saya tidak ditauliahkan untuk bercakap tentang Islam sama seperti NGO seperti Sisters In Islam (SIS) yang sering memberi pandangan mereka tentang Islam. Kenapa Jais tidak membantah tentang hal ini? Pernahkah SIS ditegur oleh JAIS selama ini? Apakah ceramah agama hanya boleh berlaku dalam dewan, di rumah kediaman, di surau dan masjid sahaja? Apakah program TV, tulisan dalam akhbar, di internet dll bukan ceramah agama namanya.?Tindakan JAIS amat naif, mengecewakan dan suatu 'farce' yang tidak seharusnya berlaku. Hanya orang jahil dan desperado saja yang akan membuat tindakan sebegitu.

Dr. Asri, jangan patah semangat dan teruskan perjuangan. Sememangnya Hidup ini Suatu Kembara dan Allah SWT mengetahui segala-galanya. InsyaAllah doa orang-orang yang dizalimi itu tidak ada hijab dengan Allah.