Tuesday, October 27, 2009

Reviu singkat Muzikal Cuci

Semalam saya menonton Muzikal Cuci di Istana Budaya. Sewaktu makan di kafeteria IB saya bercakap dengan Dt.Zahim Al Bakri pengarah muzikal ini. Saya memohon maaf kepada beliau kerana tidak dapat menghadiri pratonton media yang jarang tidak saya hadiri kerana ada urusan lain sewaktu ianya dibuat minggu lalu. Saya juga katakan saya perlu menonton sekali lagi kalau mahu membuat reviu penuh tapi beliau meminta saya coretkan sedikit dalam blog ini secepat mungkin. 'Sikit pun jadilah' katanya. Ok Dt. Zahim saya tuliskan juga kerana tak sampai hati nak biarkan anda menunggu lama kerana ada beberapa artikel saya yang sedang menunggu penyiaran di akhbar.

Pada asasnya Muzikal Cuci jauh lebih baik 'pace' nya dari yang terakhir diarahkan oleh Zahim Albakri iaitu Muzikal P.Ramlee. Ada 'ruang' untuk bernafas dalam istilah teaternya untuk memberikan segala lontaran, lonjakan dan 'upheaveal' emosi skrip, lakonan dan segala elemen teater lain untuk 'sink' ke pemikiran penonton. Tahniah Dt. Zahim dan semua yang terlibat dengan pementasan Cuci. Teater adaptasi dari filem dengan tajuk yang sama ini sedikit panjang dan sangat 'pop' pendekatannya jadi ramai orang yang menonton merasa terhibur dengan adegan serta dialog lucu yang dituturkan. Ramai yang boleh pertalikan emosi dan pengalaman hidup mereka dengan apa yang ditonton dan itu mungkin kunci kepada iannya begitu menghiburkan.

Kalau dalam Mana Setangginya ada adegan pari-pari terbang penuh fantasi , dalam teater Cuci ada pula adegan romantis di atas gondola pencuci tingkap bangunan tinggi dan peraduan mencuci dari kiri kanan pentas di paras siling. Sebelum itu ada adegan drift atas pentas. Ada 'perlumbaan' kreativiti, inovasi dan keberanian mencabar konvensi yang tidak saya sedari kah? Soalan nakal ini entah mengapa timbul di benak saya. Pun begitu bagi orang macam saya, ada kalanya menonton sedikit unsur slapstik dalam muzikal ini mengganggu konsentrasi saya. Ok. Saya dah tunaikan hajat Dt.Zahim. Terima kasih kerana memberikan muzikal yang menghiburkan.

Sunday, October 18, 2009

Sisters In Islam dan bayi-bayi yang dibuang.

Kebelakangan ini semakin banyak tersiar berita tentang pembuangan bayi baru lahir yang amat menyayat hati membaca atau menontonnya di kaca televisyen. Orang-orang Arab Jahiliah dahulu menanam anak-anak perempuan yang baru dilahirkan, tetapi orang 'moden' sekarang membuangnya di tempat pembuangan sampah, di tangga masjid dan surau dll. Sehingga ke hari ini belum ada kenyataan yang dibuat oleh Sisters In Islam (SIS), tentang perkara sebegini walau pun mereka mendakwa berjuang atas dasar memartabat wanita. Sehingga kini juga saya tidak mendengar apa juga cerita tentang program sokongan terhadap wanita yang mengandungkan anak di luar nikah mahu pun tindakan-tindakan lain membela golongan ini. Maafkan saya jika tersilap dan saya tarik balik kenyataan ini sekiranya saya tidak mengetahui ianya telah dilakukan oleh pihak SIS .

Beberapa bulan yang lalu ketika berbual dengan Pengerusi PERKIM Negeri Sembilan Datuk Hajah Siti Rahmah Kassim yang juga merupakan Ketua Penerangan Kaum Ibu UMNO yang pertama, beliau menyatakan kepada saya pihak PERKIM Negeri Sembilan mengambil tindakan
memberikan perlindungan dan kaunseling kepada mereka yang telah tersilap jalan ini sehingga mereka melahirkan kandungan dan juga menguruskan proses mengambil anak angkat kepada mereka yang memerlukannya dan tidak membiarkan bayi-bayi yang tidak bernasib baik ini terbiar tanpa pembelaan. Soalan saya amat mudah, kenapa SIS tidak mengambil apa-apa tindakan seperti ini jika mereka benar-benar mahu memartabatkan kedudukan wanita dan berjuang untuk hak wanita?

PERKIM Negeri Sembilan tidak bising-bising tentang apa yang mereka lakukan, tetapi sedikit sebanyak mereka telah berjaya tidak membiarkan bayi-bayi yang tidak berdosa ini. Jika mahu meneruskan penggunaan nama Islam dalam pertubuhan mereka, ahli-ahli SIS semua mungkin perlu mendalami pengetahuan tentang agama Islam dan memperbetul strategi dan tindakan mereka dalam membela wanita Islam. Selamat Berjaya saya ucapkan.

Sunday, October 4, 2009

Kes Kartika Sari,Sisters In Islam dan DS Shahrizat Jalil

Beberapa hari lepas media memuatkan beberapa protes NGO Islam terhadap Sisters In Islam yang dilaporkan membuat permohonan mahkamah mengenai hukuman sebatan ke atas Kartika Sari Shukarno yang akan dilaksanakan kerana Kartika tidak memohon untuk membuat rayuan dan mahu hukuman itu dilaksanakan. Suatu ironi besar kepada apa yang didakwa oleh SIS bahawa hukuman ini adalah pencabulan hak asasi manusia, kejam dan menjatuhkan maruah individu. Mana tidaknya? Hak asasi manusia mana yang dicabul kalau Kartika sendiri telah menyedari kesilapannya dan mahukan hukuman itu dijalankan? Bukankah Kartika menerima dan reda dengan hukuman tersebut dan tidakkah itu hak asasi seorang manusia yang perlu dihormati?

Hak asasi manusia mana yang nak diperjuangkan oleh SIS sebenarnya? Atau SIS sebenarnya takut hukuman ini akan menjadi satu 'precedent" yang akan dijadikan asas kepada banyak lagi hukuman-hukuman syariah di masa yang akan datang? Bagi mereka yang biasa dengan terminologi dan prosedur undang-undang 'doctrine of Precedent' adalah maha penting dan rasionalisasi isu yang diperkatakan kadang kala boleh dikelabui oleh banyak perkara.

Perkara tentang menjatuhkan maruah individu seperti yang dikatakan oleh SIS adalah sesuatu yang boleh dihujah penuh kontroversi. Hukuman sebat kata SIS menjatuhkan maruah individu, tetapi orang Islam yang minum arak di khalayak ramai dan ini melanggar undang-undang syariah juga boleh menjatuhkan maruah individu Islam lain yang mungkin ada bersama di lokasi yang sama. Malah bukan saja maruah individu, maruah agama yang suci yang dijatuhkan di sini. Apa yang nak dikatakan oleh SIS dalam hal begini? Sekarang ini di Barat dan banyak negara maju, orang yang tidak minum arak, tidak merokok, tidak menagih dadah amat dihormati dan dipandang tinggi. Malah menyimpan perempuan, mengadakan hubungan sulit dll sering kali menjatuhkan pemimpin politik walau sebesar mana pun mereka itu.

Dalam Kongres Budaya Melayu ke 2 anjuran GAPENA dan Persatuan Sejarah Malaysia pada bulan Mach lalu, beberapa soalan tentang SIS dan kaitan rapat mereka dengan beberapa NGO Islam liberal di Indonesia dll negara telah diperkatakan. NGO yang mempromosi dan menerima perkahwinan orang Islam dengan bukan Islam tanpa menukar agama kepada Islam dan beberapa cara serta etika hidup yang tidak sebenarnya melambangkan ajaran Islam yang tulin merupakan 'rakan-rakan 'baik SIS.

Kata Dato Seri Shahrizat Jalil, pendirian SIS mungkin kerana mengambil kira 'senario yang lebih besar'. Saya tidak hairan Shahrizat berpendirian begitu kerana beberapa tahun lalu sewaktu SIS dengan beberapa individu ternama yang 'berprofil tinggi' melancarkan kempen anti-poligami Satu Isteri untuk Satu Suami Shahrizat pun turut serta bersimpati dengan mereka.Polemik tersebut hanya berhenti apabila JAKIM mengeluarkan fatwa tentang isu tersebut iaitu haram melancarkan kempen seumpama itu kerana poligami adalah sebahagian daripada peraturan dan hukum Islam yang dibenarkan.

SIS sepatutnya mengambil pendekatan mendidik suami-suami Islam supaya tidak berpoligami atau berlaku adil bila berpoligami mengikut prinsip dan ajaran Islam dan tidak menggunakan pendekatan sekular atau pandangan liberal yang tidak boleh diaplikasi terhadap umat Islam! Sayang sungguh orang-orang bijak pandai SIS hanya mahir dalam undang-undang tetapi mereka bukan pakar-pakar hukum Agama Islam yang boleh diikuti. Sebagai seorang wanita, SIS memalukan saya dengan kedangkalan ilmu dan strategi mereka! Kalau pun ada orang-orang penting SIS yang tidak mahu kahwin kerana tidak mahu menjadi 'hamba kepada lelaki' biarlah itu menjadi pandangan peribadi sahaja dan jangan bercakap bagi pihak orang lain! Itu suatu pendapat yang sangat peribadi saya kira tapi nasib baiklah ibu-ibu kita bersedia menjadi hamba kepada lelaki dan lahirlah kita! Kalau tidak, kita semua tidak ada di dunia dan ini termasuklah mereka yang berpendapat berkahwin itu menjadi hamba kepada lelaki.

Mungkin Dato Seri Shahrizat Jalil perlu berhati-hati dengan apa yang dikatakannya kerana tidak usah kira siapa yang jadi PM sekarang, hukum Islam tetap perlu diikuti dan ia tidak pernah berubah kerana ia berlandaskan Al-Quran bukan apa pandangan Tun Mahathir, Pak Lah mahu pun DS Najib. Kesilapan memberikan sokongan dan simpati kepada siapa juga mungkin mahal harga yang perlu dibayar kemudian hari kerana realiti dan senario besar serta arus di dalam UMNO mungkin berbeza sama sekali dengan apa yang ada di luar sana. Fikir-fikirkan .