Thursday, January 29, 2009

Red Cliff 1 dan 2

Dua hari lepas saya menonton filem John Woo Red Cliff 2 selepas hampir 6 bulan terpaksa menunggu sekuel kepada filem yang tergantung-gantung tak bertali ini! Filem Red Cliff 1 sangat menghampakan dan bila saya sms kepada sahabat saya Wahab Hamzah ceritakan kebosanan menontonnya kerana tidak ada apa dalam cerita itu melainkan perang, perang dan perang, dia balas kepada saya " John Woo memang macam tu!" walau pun pada masa itu dia tak tonton lagi! Dan kepada kawan-kawan yang belum menontonnya saya pernah katakan jangan tonton filem ini kalau anda depressed! Nasib baik setelah Red Cliff 2 ditonton, barulah ada sedikit cerita dan perkara untuk diperkatakan . Anak saya selalu menyindir bila saya tonton filem yang dibintangi oleh Takeshi Kaneshiro kerana dulu-dulu saya selalu kata itulah 'degup-jantung ku' (terjemahan anak saya kepada perkataan heart-throb!). Tapi dia tak tau saya bukan nak tengok Kaneshiro the handsome boy of Asia ini, tapi kerja-kerja John Woo setelah Mission Impossibble 2. Saya kira John Woo telah graduate di Hollywood tapi Red Cliff 1 sangat mengecewakan kerana ia hanya kekuatan visual dan itu saja. Lakonan Tony Leung yang amat saya suka kerana versatilinya juga tidak dapat mengubat kehampaan saya. Tapi Red Cliff 2 dapat jugalah menebus kekurangan dan kelemahan Red Cliff 1.

Monday, January 26, 2009

MAUT : GENRE FILEM BADA SEMAKIN JELAS
OLEH
SITI RUQAIYAH HASHIM

Malaikal Maut. Begitulah judul asal filem Bada Haji Azmi yang terbaru. Pun begitu, Lembaga Penapis Filem Malaysia mungkin merasakan judul tersebut terlalu mengejutkan dan akhirnya filem ini ditukarkan kepada Maut sahaja. Dan mengikut Bada sendiri, skrip filem ini banyak kali dirombak bukan sahaja setelah iannya siap, tetapi ketika masih diperingkat lakon layarnya lagi. Dan Bada sebagai seorang ‘budak baik’ yang tidak mahu bising-bising akur dengan nasihat JAKIM, LPF dan segala macam ajensi yang terlibat. Pun begitu, filem ini tidaklah teruk sangat jadinya, ada kekuatannya yang tersendiri terutama dari segi teknikal yang menghasilkan sinematografi yang cukup cantik dan ada kalanya cukup mencabar dan bukan semua pengarah kita sanggup dan mampu berbuat demikian.
Pengalaman yang cukup lama sebagai pengarah fotografi dalam banyak filem adalah aset Bada yang paling berharga. Dalam banyak filem arahannya kita dapat saksikan Bada sememangnya seorang pengarah yang passionate. Beliau berani bereksperimen dengan berbagai posisi kamera dan syot dari sudut yang tidak konvensional dan ini menghasilkan kerja kamera yang baik malah impressive. Tidak kurang menariknya adalah sudut pencahayaan yang begitu rapi dan teliti dibuat dan menghasilkan kesan artistik yang cukup baik. Babak kereta terbalik dengan Awal Shaari, Que Haidar dan dua pelakon wanita lain di dalamnya sangat mengesankan. Seperti kata Que mereka digoncang dan terasa seperti duduk dalam mesin pencuci pakaian dan dengan kamera yang diikat dalam kereta tersebut ternyata adegan ini sesuatu yang akan diingat oleh peminat filem tempatan untuk suatu waktu yang lama. Bada orang seni tulin yang sentiasa mencabar dirinya untuk menghasilkan sesuatu yang berlainan setiap kali dia berkarya dan tidak berpuas hati setakat menghasilkan ulangan betapa baik pun kerjanya yang lalu.
Bada ternyata dalam kategori yang sama seperti Kabir Bhatia yang cukup teliti dan halus menterjemahkan aspek teknikal filem-filem mereka menjadi kerja seni yang menarik untuk diperkatakan dan dalam kelas mereka yang tersendiri. Dan ini adalah suatu perkembangan sihat untuk industri filem kita bila semakin ramai sutradara dengan kekayaan pengalaman teknikal sebagai bekalannya. Kata-kata nakal Ray Reinhart pengarah fotografi ‘legenda’ filem-filem Oliver Stone (dalam filem Platoon, Born on The Fourth of July), Martin Scorcese dll yang ditemui semasa KLIFF 2008 baru-baru ini masih di- ingat. Saya ketawa bila mendengar Ray cukup jujur mengakui dia senang hati bila bekerja dengan sutradara yang tidak tahu apa-apa aspek teknikal dan fotografi dan Oliver Stone adalah salah seorang daripadanya. Dalam konteks ini yang pastinya ialah Bada lebih hebat dari Oliver Stone kerana legenda filem Amerika Syarikat ini tidak ada pengetahuan tentang segala macam aspek teknikal filem !
Filem ini membawakan tiga cerita yang berasingan dan berlaku dalam tiga bulan kalendar Islam yang berbeza iaitu Syaaban, Ramadan dan Syawal. Bahasa filem dan sinematik yang baik digunakan oleh Bada dengan falsafah yang cukup halus bila setiap bulan ditandai dengan sehelai daun dari pohon yang besar jatuh ke bumi yang menandakan dinamisme waktu. Suatu metafora halus tentang progression usia manusia yang semakin mendekatkan kita kepada ajal dan maut yang pasti tiba bila masanya? Tanpa apa juga penyamaran, ini filem dakwah yang cukup jelas dan cukup berani. Tayangan Unggul penerbit filem ini juga harus diberi pujian kerana berani membawakan filem yang berlainan dan tidak konvensional dari genre biasa hantu dan hantu lagi atau kisah cinta remaja kota mau pun milieu remaja kota dengan drift drag racing serta rempitnya yang menjadi tren masa kini. Dan ini sesuatu yang menyegarkan. Skrip filem ini cukup baik penulisannya walau pun saya lebih suka filem Bada sebelum ini iaitu Syaitan yang dari aspek temanya ternyata tidak klise langsung dan membawa pendekatan yang lebih berani mempamerkan hipokrasi manusia yang bertopengkan imej baik dan alim.
Cerita-cerita dalam filem Maut tidak membawa apa-apa kejutan dan mungkin inilah sedikit kelemahan filem ini. Ianya begitu dijangkakan dan sedikit didaktik ada kalanya. Dan seperti kata saya, Bada adalah ‘budak baik’ yang selalu berkompromi dengan jangkaan umum melalui filem-filemnya. Cerita ketiga tentang remaja dan black metal dalam filem ini dibawakan dengan lesen kreatif yang memberi ‘keselesaan’ kepada pemikiran dan jiwa kita. Ianya diakhiri dengan kematian watak yang dibawakan oleh Que Haidar dalam satu kemalangan yang dahsyat.
Filem pertama ialah tentang roh orang mati dibunuh yang berkomunikasi dengan gadis dalam bas yang sama dengan si mati yang kembali meminta tolong untuk menemukan jasadnya yang dibuang di tanah perkuburan. Lakonan Liyana Jasmay dan lain-lain cukup meyakinkan dan cerita ini berjaya mengekalkan unsur suspen yang cukup baik dan gripping dari awal hingga akhir. Malah dalam ketiga cerita filem ini, hampir semua pelakonnya mempamerkan lakonan yang meyakinkan dan sedikit pun tidak mengecewakan.
Cerita kedua mengisahkan pengalaman koma dan hampir mati watak yang dibawakan oleh Sabrina Hassan seorang peramugari yang hidup dengan stail kebaratan setelah berkahwin dengan seorang lelaki barat. Dan beliau diberikan peluang kedua setelah berpisah dengan suaminya ketika mau kembali ke pangkal jalan tetapi jatuh pengsan di depan masjid. Ketika tidak sedarkan diri di hospital, beliau mengalami keadaan di bawah sedar yang menyaksikannya berada di neraka dan dihukum oleh Allah Taala atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukannya sewaktu hidupnya. Ini menyebabkan beliau berubah dan menjadi seorang Islam yang lebih taat kepada agama selepas bangun dari komanya.

(Reviu filem Maut arahan Bada Hj.Azmi ini telah disiarkan dalam Berita Minggu 25 Januari 2009 lalu).

Tentang ADUN Bota dan politik semasa

Apa sudah jadi di Bota? ADUN nya sudah mengumumkan keluar dari BN dan nak masuk PKR. Dan orang PKR semuanya menyokong penuh dan BN Perak mencari jawapan di mana silapnya? Apa pun yang menariknya ialah kenapa PKR mahu menerimanya dan tidak menyuruh beliau meletakkan jawatan dulu seperti yang heboh di Kapar beberapa bulan lalu? Bila ADUN Kapar nak keluar PKR beliau disuruh letak jawatan kerana kemenangannya atas tiket parti itu dan beliau tidak berlaku adil kepada pengundi-pengundinya jika keluar dari parti pujaan mereka dan masuk BN. Tapi bila ADUN Bota nak keluar BN dia disambut penuh bahagia oleh orang PKR. Apa sudah jadi? Double standard is the name of the game!!

Selepas kekalahan BN di Kuala Terengganu, Tun Mahathir cukup cepat menyalahkan Pak Lah sebagai penyebab utamanya. Swing hampir 3000 undi adalah besar, tapi tanpa penyelidikan rapi dan post-mortem yang teliti, menyalahkan siapa juga adalah perkara yang tidak wajar, tidak adil dan sangat dikesalkan. Saya tak yakin hanya ada satu faktor pengundi di KT
menolak BN. Saya yakin banyak sebab kenapa perkara ini berlaku. Mungkin kerana keadaan dalam UMNO dan BN masih tidak berubah walaupun sudah menerima kejutan dalam PRU 12 tahun lalu. Orang UMNO masih ghairah berebut jawatan bagi pemilihan parti bulan Mach nanti. Mungkin UMNO terlalu elitis di peringkat atasan tapi di akar umbi ianya tidak begitu. Jadi ada gap yang cukup luas. Orang UMNO mungkin dapat menerima keadaan ini, tetapi rakyat di luar UMNO dan BN mungkin tidak suka keadaan begini dan membuatkan ianya ditolak oleh rakyat.

Mungkin juga orang takut bila berlaku peralihan kuasa nanti, BN akan balik kepada keadaan
sebelum Pak Lah menjadi PM. Ada orang menamakannya sebagai the golden years of corruption! Menggerunkan bila mendengarnya tapi itulah persepsi rakyat. Mungkin juga sebab isu ura-ura nak buat LCCT baru yang eksklusif untuk Air Asia di Labu yang tidak jauh dari KLIA dan ini tidak baik dari segi keselamatan (sama seperti ketidak-sensitifan Air Asia nak gunakan Lapang Terbang Subang sebagai pengkalannya disebabkan kawasan ini begitu dekat dengan penempatan penduduk yang sangat padat dan ini amat bahaya). Mungkin juga sebab ura-ura Sime Darby nak ambil alih IJN dan ini sangat tidak sensitif kepada rakyat yang takut ianya akan menyebabkan kos perubatan di hospital ini melambung tinggi bila diswastakan.

Mungkin isu-isu ini semua tidak berkaitan dengan Pak Cik Dollah, Amat dan Ah Kiong di Kuala Terengganu, tapi rakyat baca surat khabar, dengar radio, tonton TV, ada internet dan MSC yang Tun Mahathir sendiri buat menjadikan rakyat Malaysia makin pandai dan bijak dan tahu apa yang baik dan tak baik untuk mereka. Jadi eloklah dibuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum siapa juga membuka mulut kerana riaksi knee-jerk ini amat bahaya dan tidak wajar sama sekali. Doa saya supaya Tun Mahathir dan keluarga berada dalam keadaan sihat dan boleh berfikir dengan baik dan dijauhkan daripada prejudis kepada siapa pun. InsyaAllah.

Sunday, January 25, 2009

Kepada Pemuisi Sambilan

Engkaukah itu
yang mencatat puisi tentang penderaan
mengutuk kekejaman
mencerca kezaliman
sedang diwaktu lain
engkaulah yang mendera
engkaulah yang yang berlaku tidak adil
engkaulah yang memanipulasi kebenaran
demi cita mu mau berada di puncak itu

cukuplah!
hentikan hipokrasi itu
lihatlah ke dalam diri mu
dan belajarlah bercakap tentang keadilan
bila engaku mampu berhenti menjadi zalim

me and my not so little prince

(at shalin's and azidi's wedding reception)

Wednesday, January 21, 2009

Muzikal lebih populer?

Entah kenapa untuk suatu masa yang cukup lama ada pendapat yang mengatakan teater muzikal adalah genre yang lebih populer dan itu sebabnya Istana Budaya lebih gemar untuk mempertontonkannya kepada khalayak. Benarkah contention ini? Sejak dua minggu lepas saya telah menonton 3 teater bukan muzikal di berbagai panggung di seluruh Kuala Lumpur dan mendapati ianya penuh dan hampir penuh setiap kali pertunjukan diadakan.

Di Lambang Sari semasa Makyung Raja Senyanya dipersembahkan, panggung hampir penuh setiap malam. Walau pun lebih 2 jam durasi persembahannya, tiada yang gelisah dan keluar masuk panggung sepanjang persembahan. Ini Makyung. Genre seni persembahan tradisional kita yang cukup populer dan terkenal. Walau pun sahabat saya Sidik menulis katanya dia duduk terlalu lama hingga kebas, tetapi mungkin mood Sidik tak berapa baik malam itu agaknya. Kami menonton pada malam yang sama tapi saya tak nampak pun dia gelisah dan nak keluar!

Ketika pementasan drama realisme Berani Mati dipentaskan di Stor, DBP saya duduk di sebelah Namron dan kami menikmati sebuah persembahan yang cukup baik dari segi lakonan dan skripnya. Dan panggung kecil itu hampir penuh juga walau pun saya menonton pada malam akhir . Dan semalam Panggung Eksperimen ASWARA juga hampir penuh ketika persembahan Saya...Dari Hujung Kota karya Dt. Nordin Hassan dipentaskan.

Mungkin panggung ini semua kecil dan tidak sukar untuk mendapat audien dan panggung jadi penuh. Tetapi tinjauan spontan saya terhadap beberapa penonton yang hadir mempamerkan mereka lebih suka genre bukan muzikal. Sebabnya? Ianya lebih mencabar intelektual dan lebih bermakna serta tidak sekadar menghiburkan kata mereka! Pastinya mereka yang datang ini peminat serta khalayak teater yang cukup tulin. Peminat susah mati (terjemahan anak saya kepada istilah die hard fans)! Jadi dari mana cerita serta kepercayaan bahawa muzikal lebih populer? Mungkin suatu penyelidikan terperinci perlu dibuat tentang perkara ini dan sebelum kita terus-menerus beranggapan demikian dan muzikal demi muzikal berbajet besar dan sekadar menghiburkan serta much to be desired nilai seninya menjadi menu tetap kalendar persembahan teater kita tahun demi tahun! Lainlah kalau orang-orang kita beranggapan seni itu hanya untuk hiburan dan suatu dosa besar mementaskan kerja seni yang membuatkan orang berfikir dan tersentuh hati nuraninya!

Tuesday, January 20, 2009

Kita kekurangan naskah teater yang baik?

Menonton teater ' Saya....dari hujung Kota' yang merupakan kompilasi serta kolaj kepada skrip-skrip SN Dt. Nordin Hassan malam tadi mengingatkan saya kepada beberapa perbualan dengan beberapa orang rakan sedikit waktu lalu. Sutung Umar sering berkata masalah teater kita antaranya ialah kerana kita ketiadaan naskah yang baik. Dan naskah yang baik juga jarang-jarang dihasilkan sekarang kerana orang lebih banyak menulis skrip muzikal kerana itulah yang dikehendaki dan paling laku dan berharga sekarang ini. Saya tidak mahu bergaduh dengan Sutung tentang perkara ini kerana ada kebenaran dengan apa yang beliau katakan. Tetapi apakah ketiadaan naskah yang baik harus menyebabkan aktivis dan kementerian menolak tepi pementasan teater dan semuanya lari kepada muzikal sahaja?

Sebenarnya kita tidak ketandusan skrip-skrip yang baik. Dan saya sependapat dengan sahabat saya Ku Seman yang mengatakan skrip-skrip yang baik seperti tulisan Usman Awang patut dipentaskan semula. Dan dua tiga hari yang lepas sempena ulangtahun ke 80 Cikgu Nordin Hassan, seminar pemikiran beliau telah diadakan dengan di sebelah malamnya pementasan "Saya ...dari hujung Kota' diadakan. Malam semalam majlis menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Dt.Nordin. Dalam keterharuan dan titisan air-matanya selepas persembahan yang cukup baik arahan Rohani Yousuff, tiba-tiba saya merasakan kerinduan yang amat sangat kepada karya-karya tulisan Dt.Nordin yang cukup indah, kuat serta dalam filosofi Islamnya dan menjadikan saya manusia yang lebih kecil di sisi tuhan!

Siapa kata kita ketiadaan naskah? Maaf untuk berbeza pendapat tetapi apa yang perlu dilakukan ialah memberi penghargaan begini kepada penulis-penulis besar seperti Dt.Nordin, Syed Alwi,Usman Awang, A.Samad Said dll. Lagi pun, kalau Muzikal Puteri Gunng Ledang boleh dipentaskan berkali-kali, apa salahnya karya penulis-penulis besar kita dipentaskan setiap tahun pun? Istana Budaya akhirnya telah meletakkan dalam kalendar tahun ini untuk mementaskan Mana Setangginya karya Cikgu Nordin (tapi kenapa lewat sangat hujung tahun nanti baru nak dipentaskan?) yang sebenarnya telah ditulis untuk mengisi pementasan pertama sempena pembukaan Istana Budaya hampir 15 tahun lalu!! Suatu tragedi maruah bila Mama Mia dengan cerita anak luar nikah mencari bapanya mendapat sponsor RM 20 juta untuk dibawa ke Malaysia, tetapi karya Sasterawan Negara yang cukup halus dan tinggi falasafah agamanya tak dapat dipentaskan kerana kekurangan bajet!! Istana Budaya mesti memastikan sekurang-kurangnya satu skrip karya Sasterawan Negara yang cukup baik dipentaskan setiap tahun.

Melihat dan mengiringi Cikgu Nordin dalam keadaan yang amat daif disebabkan kesihatannya semalam membuatkan saya semakin marah dengan banyak perkara . Sebenarnya cukup bahaya meletakkan orang yang tidak berilmu dan tidak berpengetahuan menerajui sesuatu institusi yang dipertanggung-jawabkan untuk tugas tertentu dan KPKKW bukanlah suatu Kementerian yang boleh diambil mudah dan tidak penting dari sudut pembinaan negara-bangsa. Kerana seni bukan sahaja untuk hiburan dan peluang meraih Rm berapa biliun pun, tetapi ianya mengenai pembinaan pemikiran, falsafah, sikap dan pengisian spiritual sesebuah bangsa. Dan untuk suatu waktu yang terlalu lama, kita membuat kesilapan demi kesilapan.

Terima kasih kepada ASWARA yang cukup peka dengan keperluan pementasan karya-karya besar yang merupakan permata terbilang kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan kita seperti yang telah dilakukan kepada karya-karya Dt. Nordin selama ini. Karya-karya Dt.Nordin bukan saja penting kerana falsafah Islamnya, tetapi ia cukup universal dan mencakupi banyak perkara yang menyentuh kemanusiaan sejagat. Kehebatan muzikal PGL mungkin dalam genre nya yang tersendiri tetapi tidak ada sebab kita harus meminggirkan kehalusan Cindai, Lantai T.Pinkie dan Uda dan Dara. Kalau karya-karya Shakespeare boleh dipentaskan beratus tahun dan ilmu mengenainya tidak habis-habis digali sehingga kini kenapa tidak kita yang menobatkan karya besar sasterawan sendiri?

Monday, January 12, 2009

Tahniah kepada PM

Pak Lah, terima kasih dan tabik dari saya kerana ini pertama kali dalam sejarah parlimen Malaysia sebulat suara meluluskan usul mengutuk pencerobohan Israel ke atas Gaza. Dan salut saya kepada semua rakyat Malaysia yang bangun menyatakan kebencian terhadap keganasan bersiri Israel. Semoga siapa pun tidak melihat ini sebagai ada agenda tersembunyi kerajaan atau pun PM kerana apa yang penting ialah ini menyatakan kebencian terhadap perang terhadap keganasan kepada orang awam, hak asasi kemanusiaan dan demokrasi yang dilaung-laungkan oleh Amerika Syarikat. Semoga ianya diikuti dengan tindakan susulan yang lebih konkrit dan ianya diterjemahkan kepada suatu ketetapan yang amat bermakna atas nama kemanusiaan. Menjadi civil society dan bercakap tentang hak asasi manusia bukan sahaja tentang gay rights dll tapi memastikan manusia tidak duduk dalam penjara besar kemudian dibom, di tembak dan dibakar oleh fosforus.

Semalam saya telah letakkan postings bahagian ke 2 interviu dengan Paolo Bertolin yang bercakap tentang filem-filem pasca 9/11. InsyaAllah transkrip penuhnya dalam Bahasa Inggeris akan diletakkan dalam blog ini selepas iannya diterbitkan. Ini mungkin wacana yang tidak bersangkutan dengan keganasan bersiri Israel terhadap Palestin, tetapi seperti kata Imamura Shoei pengarah filem terkenal dari Jepun, ALL WARS ARE WRONG!

Sunday, January 11, 2009

Interviu Dengan Paolo Bertolin- Bahagian 2.

SRH: Anda telah menonton banyak filem dari negara Islam selain dari Iran yang dibawa ke festival. Dan kita sedang menghadapi suatu gelombang besar filem-filem Amerika Syarikat pasca 9/11 yang cuba mempamerkan Islam sebagai teroris. Suatu paranoi yang amat malang. Tapi saya rasa festival di Eropah mempunyai nada yang berbeza tentang perkara ini. Malah cuba melakukan yang sebaliknya. Komen anda?

Paolo: Betul. Anda memang boleh berkata begitu. Dalam tahun 2003, ada sebuah filem
yang bertajuk 9/11 kompilasi filem pendek dari 9 orang pengarah dari seluruh dunia yang memberikan pendapat mereka tentang serangan World Trade Center pada 9 September. Mereka terdiri dari Samira Makhbalbaf dari Iran, Yoeseuf Shaim dari Mesir, Imamura Shoei dari Jepun, Kent Lodge dari Britain, Idris dari Burkina Faso, Sean Penn dari Amerika Syarikat dan juga pengarah dari Israel. Kumpulan pengarah yang sangat menarik dalam satu filem dengan perspektif dan realiti yang berbeza tapi bercakap mengenai subjek yang sama.

Yang paling langsung dan provokatif ialah dari Kent Lodge yang mengingatkan kita bahawa peristiwa 9/11 ini sangat penting. Ada seorang pengarah dari Chile yang sedikit pun tidak bercakap tentang 9/11 tapi bercakap tentang pelarian Chile yang telah 30 tahun tinggal di London dan menulis surat kepada George Bush dan berkata-:

“ Saya ingin mengingatkan anda bahawa ketika rakyat Amerika Syarikat mengingati trauma dan penderitaan hebat ini, jangan lupa tentang rakyat Chile yang masih mengingati peristiwa yang mungkin anda semua telah lupa. Iaitu tentang pengeboman istana Presiden Chile yang membunuhnya oleh diktator Pinochet dan semua ini dilakukan dengan sokongan dari CIA!’ Ini pernyataan politik yang paling kuat dan filem pendek ini dibuat dengan sinematik yang sangat simplistik. Ianya memuatkan bahan-bahan arkib yang tulin mengenai pengeboman tersebut lebih 30 tahun yang lalu dan bagaimana Jeneral Pinochet berkuasa dengan bantuan Amerika Syarikat.

Mira Nair dari India bercakap tentang seorang wanita Islam yang anak lelakinya berada di New York ketika itu. Dan ibu ini runsing dan tidak henti-henti menyoal adakah anaknya berada di bangunan Word Trade Center ketika kejadian itu? Adakah anaknya juga terlibat dalam plot serangan tersebut?

Imamura Shoei yang menutup kompilasi ini langsung tidak bercakap tentang peristiwa ini. Tapi filemnya adalah mengenai watak orang Jepun yang terselamat daripada Perang Dunia ke 2 dan menjadi gila. Dia tidak berjalan lurus macam orang biasa tapi bergerak macam ular. Kemudian beliau tunjukkan visual ular yang tidak ada kaitan langsung dengan cerita dalam filemnya. Dan ular itu berkata “ Semua peperangan adalah salah. Tidak kira samada ianya di permulaan atau diakhirnya.” Suatu pernyataan politik yang sangat jelas dan provokatif.

Berbalik kepada soalan anda, festival antara-bangsa seperti Venice memberi ruang kepada semua filem dari seluruh dunia untuk ditayangkan. Dan ini termasuk filem yang sangat tinggi cas politiknya. Kami memberi mereka suara untuk didengar di seluruh dunia dengan pendapat yang berlainan. Dan dalam proses berbuat begitu semenjak 2001 ketika 9/11 berlaku saya percaya komuniti filem dalam konteks yang lebih luas (bukan sahaja festival) , sangat memahami situasi adanya perbezaan pendapat ini. Jauh lebih baik daripada komuniti politik atau pun orang ramai.

Maksud saya ialah, bila anda memilih sebuah filem ke festival, anda sebenarnya memberi endorsement terhadap filem itu. Anda sedar tentang pernyataan politik yang akan dilakukan oleh filem tersebut. Contohnya tahun ini (2008) kami menolak sebuah filem dari Eropah yang sangat anti-Islam. Kami menolak keras filem ini walau pun ianya buah tangan seorang pengarah terkenal. Saya menentang habis-habisan filem ini dari dipilih ke Festival Venice kerana ianya tidak boleh diterima langsung. Kandungannya sangat rasis dan ramai orang yang menyokong pendapat saya dan kami berhenti sebelum filem ini tamat kami tonton.

Kenapa mahu cipta skendel, kontroversi dan perdebatan yang tidak perlu bila filem ini ditayangkan sedangkan situasi di Eropah sekarang sudah cukup panas? Menaikkan isu sensitif, agama dan rasis akan membawa masalah besar sekarang di Eropah. Dan kami di festival menghadapi masalah ini. Kami sedang cuba bekerja kearah mengujudkan kefahaman dan bukannya berkonflik. Jadi pasti anda jelas sekarang, kenapa kami memilih filem tentang kemiskinan daripada yang lain-lain kerana anda juga perlu tahu filem apa yang kami tolak!.

SRH: Maksud anda ada salah konsep dan metos-metos tertentu tentang festival tertentu?

Paolo: Ya, dan saya amat berterima kasih dan berharap interviu ini akan menunjukkan
pandangan dari dalam tentang festival ini. Dan saya mahu sangat ini di dengar di seluruh dunia kerana ia datang dari negara seperti Malaysia. Bahawa kami menolak filem seorang pengarah tersohor, seorang artis terkenal di negaranya kerana kandungannya yang amat anti Islam.Filem yang rasis, kurang memahami orang lain dll tidak akan diterima. Ianya seperti mendapat kad merah dalam bola-sepak!.

(Sebahagian dari interviu bahagian ke 2 dengan Paolo Bertolin yang akan disiarkan dalam majalah. Paolo meminta saya memuatkan interviu penuhnya dalam Bahasa Inggeris dalam blog ini untuk ditatap oleh semua orang. Beliau juga akan mengusahakan supaya terjemahannya disiarkan dalam jurnal di Itali).

Makyung Revisited

Kali terakhir saya menonton pertunjukan Makyung secara 'live' adalah hampir 20 tahun lalu ketika Kak Jah (Khatijah Awang) masih hidup. Bila dia meninggal dunia Makyung hilang serinya kepada saya. Selepas ketiadaan Kak Jah, Makyung bukan Makyung lagi. Segala-galanya sudah berbeza. Al-fatihah untuk Khatijah Awang seorang primadona Makyung terbaik dalam sejarah.

Tapi semalam di IB saya terpanggil untuk menonton Makyung Raja Senyanya. Sebelum itu, Rosnan pelakon utamanya atau PakYung dalam istilah genre ini, beberapa kali 'merayu' supaya saya menontonnya. Berbagai taktik reverse psychology beliau gunakan kepada saya supaya menontonnya. Dan sedikit pun saya tidak menyesal berada di Lambang Sari semalam kerana saya ketawa tak kering gusi melihat Peran Tua dan Peran Mudanya beraksi. Begitu natural, subtle,sharp dan witty jenaka yang mereka persembahkan. Dan Rosnan berada dalam elemennya yang tersendiri sebagai Pakyung memegang peranan Raja Senyanya. Dia mempunyai potensi untuk mencapai tahap yang lebih baik dan tinggi dan juga mungkin boleh
mendominasi senario Makyung seperti the great Khatijah Awang!! Tahniah adik Nan. Perjalanan seni anda mungkin baru sahaja bermula. Dedikasi, kejujuran, kesabaran, profesionalisme, fokus, ketabahan dan keberanian menerima kritikan dan belajar walau pun dari orang yang lebih rendah dari kita sangat diperlukan. Dan jangan lupa dengan doa. Hanya itu rencah-rencah yang akan memastikan kejayaan di hari muka kepada sesiapa pun dalam aspek apa pun!

Friday, January 9, 2009

Kerenah Teman Lelaki Tak jadi Pula!

Postings saya tentang beberapa kes kehidupan semakin mendapat sambutan. Pelawat saya semakin bertambah dan ada dari Amerika Syarikat, Norway, Indonesia, UK dll. Walau pun di tulis dalam Bahasa Malaysia mereka masih membacanya. Mungkin orang Melayu/Malaysia yang duduk di sana agaknya yang melawat blog saya. Dan antara kes-kes yang disiberkan memang ternyata efektif. Tu yang seronok. Rupanya bila makan cili api ni ramai yang tak tahan pedasnya dan menyebabkan rantaian tindakan yang menyelesaikan banyak masalah manusia. Alhamdullilah. Manusia lebih takut orang tahu tentang apa yang mereka buat tapi tak pernah takut pun yang Tuhan tahu apa yang mereka lakukan. Jadi ini kes takutkan manusia tahu tapi Tuhan tahu tak mengapa!!Dan ini memberikan saya ilham supaya terus menulis kerana kalau banyak masalah yang selesai kenapa tidak teruskan?

Ok, ini ada kes baru. Seorang teman saya minta letakkan dalam blog. Namanya Ira. Masalah beliau bermula selepas bercerai dan hampir jatuh cinta dengan seorang duda beranak 3. Seorang ahli perniagaan yang kaya, datang dari keluarga ternama dan bekas isteri juga dari keluarga terkenal. Saya namakan dia Sha. Apa yang berlaku ialah mereka bertemu dalam suatu mesyuarat kerja dan keduanya saling berhubungan lepas itu. Kedua mereka single dan baru melalui perceraian jadi pastinya mereka boleh connect dengan lebih mudah. Ira simpati kepada Sha yang walau pun bercerai tetapi rapat dengan anak-anaknya dan mempunyai seorang anak kecil berumur setahun lebih ketika itu. Pada mulanya Ira hanya memerlukan seorang kawan biasa kerana dia baru saja bercerai dan belum bersedia menjalin hubungan dengan sesiapa pun. Tapi dia tak nafikan merasa tertarik kepada Sha yang punya sega-galanya. Tapi bukan itu semua yang membuatkan Ira tertarik kepadanya. Ira suka kepada Sha kerana dia baik hati dan merendah diri walau pun berada di kedudukan yang amat tinggi dan pasti ramai wanita yang mengejarnya. Ira ni pulak memang jenis yang macam tu. Kalau orang merendah diri, down to earth, senang berkomunikasi, tak meninggi diri dan dia tak ada gap dengan hamba Allah tu, habis hati lah dia!!

Dipendekkan cerita, Ira semakin rapat dengan Sha dan dia yakin mereka boleh menjalin hubungan di peringkat yang lebih serius. Tapi banyak perkara yang Ira tidak tahu tentang Sha dan dia tak mahu kelihatan begitu agresif. Ira juga tidak pasti tentang perasaan Sha terhadapnya dan pengalaman masa lalu dengan bekas suaminya membutkan dia berhati-hati kerana takut terluka lagi. Mungkin Sha dapat merasakan semua perkara itu dan dia memberi masa kepada Ira. Mungkin begitulah agaknya. Tapi setelah hampir setahun berkenalan Ira memberanikan diri dan mengatakan kepada Sha dia suka kepadanya dan mahu mengenalinya dengan lebih dekat. Tetapi Sha terlalu berahsia dan tidak mahu bercerita apa-apa tentang perkahwinan lalunya dan ini lebih membuatkan curiosity Ira semakin mendalam. Suatu situasi yang rumit bila kita suka kepada seseorang yang telalu berahsia tentang dirinya. Dan Ira bukannya budak bodoh yang baru jatuh cinta dan tergila-gila kepada Sha walau pun dia kacak, kaya, tinggi dan baik. Ira bukan jenis yang jadi cuccoo bila dah jatuh cinta dengan siapa pun. Dia tetap berhati-hati.

Satu ketika dekat nak Krismas, Sha memberitahunya dia akan ke London atas urusan kerja. Dia menyuruh Ira menaliponnya di sana. Ira pun menalipon Sha dan hampir tiap hari mereka berbual dan bertanya kabar. Tapi satu hari, dalam bulan puasa ketika menalipon Sha, Ira terkejut besar kerana ada wanita yang menjawap talipon bimbit Sha. Ira pura-pura bertanya siapa yang menjawab talipon Sha adakah anak gadisnya? Wanita itu ketawa dan mengatakan dia adalah teman wanita Sha dan mereka masih di London di apartmennya!! Bum. Bom dah meletup dan tembelang Sha dah terbuka. Selepas itu, Sha tergagap-gagap menjawab dan tidak mengaku bahawa wanita yang berada di apartmennya adalah temannya. Kenapa nak tergagap kalau dia tak ada perasaan apa-apa terhadap Ira? Dipendekkan cerita, Ira memutuskan hubungan dengan Sha dan menggangapnya sebagai kawan biasa sahaja.

Apa yang tidak diketahui oleh Ira ialah Sha menaruh perasaan terhadapnya. Kacau punya cerita. Inilah susah kalau ada hati tapi tak mahu orang tahu! Tapi Ira memang confirm tak mahu lagi kepada Sha. Nak buat apa orang macam tu? Suka kepada Ira, tapi bawa perempuan lain ke apartmennya dan bercuti di London. Ira meneruskan kehidupannya dan Sha cuba menggunakan
kawan-kawan Ira untuk reach out kepadanya. Tapi dia mati-mati dah tak mahu. Buat macam mana pun dia tak mahu. Nak buat macam mana? Jadi dipendekkan cerita Sha berbaik-baik dengan orang-orang yang menjadi musuh bapanya. Bapa Ira adalah orang politik yang terkenal dan semua ini berlaku dibelakangnya tanpa diketahuinya.

Hanya setelah Ira bertemu dan hampir berkahwin dengan kawan bapanya barulah Ira tahu bahawa Sha masih berperanan dalam hidupnya. Sha sudah berkahwin dengan manusia sekepala dengannya orang Urban Legend juga dan Ira sangat gembira bila mendengar hal itu. Jadi kenapa dia masih nak kacau Ira? Rupanya bekas suami Ira dan musuh-musuh bapanya yang buat hal. Dan kenapa? Sha takut ceritanya bawa perempuan di London dihebahkan kepada orang ramai kerana Ira tahu perkara tersebut. Malah musuh-musuh bapa Ira menyebarkan cerita Ira dan bapanya yang menyekat Sha daripada mendapat gelaran Datuk dll. Sikit punya fitnah ke? Tak pasal-pasal Ira dianggap musuh oleh Sha yang rupanya banyak cerita tak baik yang ingin disembunyikannya. Hanya setelah Ira menyedari Sha memberi masalah kepadanya, barulah dia mengorek hal yang sebenarnya. Dan cerita yang didapati memang mengejutkan sekali. Sha bercerai dengan isteri pertamanya kerana dua-dua ada kes. Sha rupanya mempunyai teman wanita 'tetap' di London. Malah mempunyai anak dengan wanita Inggeris tersebut dan bila diketahui oleh isterinya, dia pun membalas dendam dengan mencari boyfriend lain dan menjalin hubungan sulit dengannya. Mereka bercerai kerana Sha sendiri menangkap bekas isterinya tidur dengan teman lelakinya di istana mereka! Memang macam cerita Hollywood.
Dan Ira yang jadi mangsa kerana Sha dengan konco-konconya yang merupakan musuh politik bapanya bermati-matian mahu memastikan Ira tidak kawin dengan pilihan hatinya yang satu kepala dengan dirinya. Hanya kerana salah faham dan fitnah, mereka jadi mangsa manipulasi dan ketidak-adilan. Peliknya Sha ini selalu bercakap tentang hak asasi manusia dan nilai-nilai demokrasi, tetapi kerana takut sangat rahsia gelap kehidupannya diketahui. Dan tak dapat gelaran Datuk pun dia salahkan Ira. Orang macam ini pun ada rupanya!!

Saya menyuruh Ira bersabar dengan segala masalah dan halangan yang dihadapinya. Begitu juga kepada teman bapanya yang didatangi berbagai masalah kerana dia nak mengahwini Ira. Sabar dan berdoa banyak-banyak kepada Allah. Pasti Dia membantu kalau sudah ditakdirkan jodoh mereka begitu. Dan Bismillahi tawakkal Allalah.

Thursday, January 8, 2009

Hamas Rampas Kuasa di Palestin?

Dalam sebuah akhbar tempatan hari ini yang memetik sumber berita dari AFP ada cerita tentang Tebing Gaza lagi. Di akhir berita itu sangat mengejutkan saya kerana ada ceritanya kononnya Hamas telah merampas kuasa di Palestin dalam bulan Jun 2007. Ini sama sekali tidak benar kerana Hamas memenangi pilihan-raya pada tahun tersebut dan mengalahkan Fatah dan kerajaan Mahmoud Abbas. Ismail Haniyeh kemudiannya dilantik sebagai pemimpin Palestin dan diterima oleh seluruh rakyat sehinggalah Israel yang buat kacau dengan blockade dan pembinaan tembok memisahkan dan mengepung penduduk palestin. Akhirnya Ismail terpaksa undur dan Palestin kembali ditadbir oleh Mahmoud Abbas.

Hanya satu fakta yang kecil dipesongkan, tetapi impaknya sangat besar kepada seluruh dunia. Itulah penyelewengan media barat namanya. Hamas tak pernah merampas kuasa tetapi dipilih oleh rakyat Palestin secara sah dalam pilihan-raya!! Tetapi walau pun ia merupakan proses demokrasi yang sah dan betul, Israel dan Amerika Syarikat tidak menerimanya kerana ia tidak berpihak kepada mereka. Ada sesiapa mahu bercakap tentang demokrasi, hak asasi manusia dan segala macam istilah yang dicipta atas nama civil society? Kenapa PKR dan DAP membisu seribu bahasa tentang isu Palestin dan penyembelihan orang awam di Gaza sekarang?

Kempen beli barangan Malaysia sedang dilancarkan kembali. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia apalagi kepad PM yang mengutus kepada PBB supaya membuat persidangan khas mengenai serangan Israel keatas Gaza. Dan mungkin orang Islam negara ini perlu serius memboikot apa yang patut. Persatuan Pengguna Islam patut menyenaraikan nama produk yang
datang dari Israel atau Amerika Syarikat yang dibiayai oleh pemodal Yahudi. Dan seperti kata Prof.Chandra Muzaffar di RTM baru-baru ini, kita perlu sedar bahawa isu Palestin bukan isu orang Islam saja. Di Palestin juga ada orang Kristian dan Yahudi .Jadi jangan gunakan ayat Quran dll sentimen Islam bila melihat isu Palestin. Kenapa nak sempitkannya kepada orang Islam saja? Di seluruh dunia ramai orang yang menyampah dengan terorisme Israel dan double standard Amerika Syarikat. Kita dapat lebih banyak sekutu kalau bukan orang Islam sahaja yang dilibatkan. Jadi kenapa sempitkan pemikiran dan perjuangan? Malah di Palestin sendiri ramai orang bukan Islam yang turut berjuang dan terlibat dalam menentang keganasan Israel ke atas mereka.

Sunday, January 4, 2009

Pembetulan tentang cerita Mira

Setelah membaca blog Mira menghubungi saya dan menyatakan ada kesilapan yang telah saya lakukan dalam tulisan saya. Maafkan saya dan izinkan saya membetulkan kesilapan tersebut. Dah banyak sangat cerita yang diblogkan jadi saya pun jadi mamai kadang-kadang!!

Ok, kata Mira apa yang dia pasrah dan menerima ketentuan Allah tentang hidupnya ialah tentang perceraiannya dengan bekas suaminya Hamirul. Bab itu saja!! Hal-hal lain dia amat kecewa dan merasakan banyak kezaliman yang telah dilakukan kepadanya dan anak-anaknya. Dan ini dia tidak reda dan merasakan siapa yang membuat berbagai perkara tidak baik kepadanya tidak patut dibiarkan berleluasa. Yus dengan konco-konconya (dan Hamirul yang telah bersekutu dengannya selepas mereka bercerai!) tidak harus dibiarkan berleluasa dan menzalimi Mira. Kata Mira dia telah membayar harga yang mahal kerana kesilapannya dan telah banyak kali meminta maaf kepada Yus. Cukuplah setakat itu. Yus telah terhukum kerana perbuatannya mengacau isteri orang dan Mira juga telah bercerai dengan suaminya kerana kesilapannya.

Jadi apa lagi yang nak dibalas dendam tak habis-habis sampai 16 tahun? Ada sesiapa mahu bercakap tentang keadilan dan hak asasi manusia? Ini tak lebih dari cerita hati perut Israel juga! Yus dengan konconya nak pastikan Mira dengan anak-anaknya lenyap langsung sampai tak boleh bersuara ka? Memang budaya Israel la jawapnya macam tu semua!!!Dan Mira juga telah membuktikan dia bukannya hendak kepada Yus kerana selepas bercerai dia tidak pernah berjumpa dengannya dan sentiasa mengelak dari bertemu beliau! Ada sekali Mira dihubungi oleh Yus melalui telefon dan Mira memastikan dia tidak mahu ada apa-apa hubungan dengan beliau. Salah Yus lah kalau dia syok sendiri masih ingat yang Mira maukan dia!!

Saya mendoakan Mira mendapat tahap kasyaf macam Maya juga supaya siapa juga yang buat zalim kepadanya Allah Taala bagi balik tak dan beralih hari kata orang kampung saya!! Sabarlah Mira, dekatkan diri anda dengan Allah Taala macam Maya mana tahu apa tuhan nak bagi kepada kita. Tapi saya amat menyokong kalau orang macam dia orang ni diberi sokongan dan semua pihak yang terlibat meminta maaf dan memberi mereka pampasan sepatutnya. Mereka pun manusia dan perlukan kehidupan yang selesa bukannya terus-menerus dimanipulasi oleh orang-orang yang ada kuasa, kedudukan dan menjadi mangsa terrorism rumah-tangga, hubungan antara lelaki-wanita dll. Kata Tun Dr. Mahathir, perang adalah primitif, saya nak tambah sikit lagi. Menginayakan manusia dan wanita dengan menggunakan jentera seperti the firm juga sangat primitif!!! Sangat-sangat primitif.

Kempen boikot barangan Israel dan Amerika Syarikat

Saya amat bersetuju dengan cadangan Mantan PM Tun Dr. Mahathir tentang memboikot barangan dari Israel dan Amerika Syarikat untuk melemahkan ekonomi mereka dan ini adalah masa yang terbaik untuk berbuat demikian! Saya sokong 100 % dan mencadangkan Tun Mahathir adalah orang terbaik untuk berkempen di seluruh dunia untuk berbuat demikian. Tun masih berpengaruh dan dihormati di seluruh dunia (tapi mungkin tidak dengan pembuat dasar Amerika Syarikat, Israel serta Britain!). Apalagi nak ditunggu? Saya yakin seluruh rakyat Malaysia akan menyokong Tun. Ada baiknya Tun memfokuskan perhatian dan tenaga beliau kepada hal-hal yang lebih besar di persada antara-bangsa daripada politik dalam negeri. Lagi pun segala hajat beliau untuk meletakkan Dt.Najib sebagai PM akan terlaksana 2 bulan saja lagi. Dan kelibat serta suara Pak Lah sekarang pun sudah makin tidak didengari walau pun beliau masih PM. Betul seperti yang dikatakan oleh Dt. Zam dalam bukunya Surat daripada Dr.Mahathir bahawa apa yang berlaku kepada Pak Lah sekarang sama seperti yang berlaku kepada Tunku Abdul Rahman dulu. Lepas ini Tun pasti dah tak ada apa nak dibuat dalam politik tempatan jadi eloklah beliau berkempen di seluruh dunia pulak. Moga-moga impian beliau untuk mendapat hadiah Nobel Keamanan akan tercapai satu hari kelak. Saya doakan Tun berjaya dan kami semua akan turut kempen memboikot barangan Israel dan Amerika Syarikat.

Friday, January 2, 2009

Kisah Kehidupan Lagi

Sebenarnya saya sudah mahu menghentikan wacana-intelektual tentang kehidupan manusia yang telah banyak kali dipaparkan melalui postings saya dalam blog ini. Tapi masih ada orang yang menghubungi dan meminta saya mensiberkan kehidupan mereka. Kesian pulak kepada kawan ini. Apa pun, semoga ianya menjadi iktibar dan menyelesaikan masalah semua yang terlibat. InsyaAllah.

Sewaktu pulang dari belajar di luar-negeri hampir 20 tahun yang lalu, Mira yang ketika itu berumur 35 tahun dan masih cantik agaknya telah dipanggil untuk temuduga di sebuah korporat terkenal. Mira pun pergi dan ditemuduga oleh seorang eksekutif kanan muda syarikat tersebut. Sejak dari awal. Mira kurang senang dengan pandangan yang dilemparkan terhadapnya kerana eksekutif tersebut meng'ogle' Mira dari hujung rambut sampai hujung kaki! Sewaktu nak keluar seorang calon yang sama-sama datang untuk ditemuduga telah berkata kepada Mira ' saya rasa anda akan dapat kerja ini kerana member kita tu mungkin dah jatuh cinta pandang pertama kepada awak!'. Mira tergelak tetapi tidak berkata apa-apa kerana dia tidak berapa kenal dengan orang yang bercakap dengannya. Dalam hatinya berkata, memang aku nak kerja ni, tapi tak nak si Mamat ni jatuh cinta pada aku kerana aku ada suami dan anak!
Lagi kes kemanusiaan dan potensi kepada permulaan peperangan dunia ke 3.

Dipendekkan cerita, Mira tidak diberikan jawatan yang dikehendakinya, tapi diberikan kerja sambilan di syarikat tersebut dan setiap minggu dia kena ke ofis Yus eksekutif muda yang memangnya mula jual minyak kepadanya dari masa ke semasa! Yus lah yang memberikan dia tugas tersebut kerana katanya untuk membiasakan Mira dengan jenis pekerjaan yang dipohonnya yang amat berlainan dengan tugasnya ketika tu di sebuah IPT. Si lurus bendul Mira pun buat lah apa yang disuruh dan walau pun kurang senang dengan Yus yang menggunakan kesempatan tersebut untuk mengorat beliau, tetapi kerana mahukan kerja yang dipohonnya, dia terpaksa memendam rasa setiap kali ke syarikat tersebut! Dia tak tahu kepada siapa nak mengadu kerana ni dah masuk kes sexual harrassment. Dan kes begini bukannya senang nak dibuktikan dan silap-silap dia yang kena balik.Apalagi bila mendengar cerita Yus adalah seorang eksekutif yang baik dan alim dengan dinding bilik ofisnya banyak tertampal seruan sembahyang dan berzakat dll. Macam mana orang alim boleh mengorat isteri orang? Sukar nak percaya tapi bukan perkara yang mustahil!

Setelah beberapa bulan, Mira mula geram dan meminta tolong suaminya yang merupakan kawan sekelas kepada salah seorang bos Yus. Apalagi, menggelabah lah kawan tu. Tujuan Mira berbuat demikian bukan untuk mengadu kepada kawan suaminya tetapi ingin meminta tolong untuk mendapatkan kerja yang dipohonnya. Tetapi Yus yang sudah salah terkam, panik dan mula menyibarkan cerita yang buruk mengenai Mira. Dia menterbalikkan cerita tentang apa yang sebenarnya berlaku mengikut kawan Mira yang bekerja di situ! Naya si Mira ni tak pasal-pasal. Lain yang nak dicari lain yang dia dapat. Kawan Mira menasihatkannya bertenang dan berjumpa dengan ketua lain di syarikat tersebut untuk meminta tolong. Mira pun pergi dan berjumpa dengan ketua pejabat Yus yang lain dan ditawarkan jawatan lain di syarikat yang sama tapi bukan yang dipohonnya. Seorang sepupu Mira yang juga bekerja disitu memberitahunya secara tidak rasmi berita tersebut tetapi sebulan kemudian tawaran itu ditarik balik. Tanpa diketahui oleh sesiapa pun, Yus memanipulasi keadaan dengan mempengaruhi orang-orang tertentu supaya Mira tidak diambil bekerja di syarikat tersebut. Yus pastinya takut Mira bekerja di situ walau di jabatan mana pun sebab dia banyak buat salah! Memang malang nasib Mira.

Mira mengadukan ceritanya kepada beberapa orang temannya dan mereka sepakat nak menakutkan Yus supaya dia serik dan tak buat lagi hal-hal macam ni. Nama saja alim, suruh orang sembahyang begitu dan begini tapi dalam bulan puasa bagi marriage proposal kepada Mira! Susah rupanya bila cantik dan ada otak pada masa yang sama. Patutlah masa saya kecil, nenek saya kata orang perempuan yang cantik-cantik tak payah belajar tinggi-tinggi nanti susah hidup. Betul cakap dia. Naib baiklah saya ni tak cantik dan tak pandai sangat macam Mira!! Kalau tidak mesti jadi macam Mira juga. Hawau betul! Apa yang mereka lakukan ialah menghantar surat layang kepada Yus . Macam-macam lah dalam surat tu. Mira pura-pura suka kepada Yus, tapi pada masa yang sama 'cili-apikan' dia dengan macam-macam hal secara tak langsung. Yus rupanya datang dari kumpulan manusia yang tak mahu perempuan bekerja dan percaya tugas wanita hanya di rumah jadi isteri dan jaga anak-anak. Apalagi, mereka 'berus' dia cukup-cukup dengan wacana-intelektual yang tidak berkesudahan dan bermulalah War of the Roses entah versi yang ke berapa!

Apa yang tidak diketahui oleh Mira dan kawan-kawannya ialah surat-surat mereka dijadikan 'peluru berpandu' (ICBM jugalah) oleh musuh-musuh Yus yang terdiri daripada kawan suaminya serta kawan-kawan mereka di syarikat lain. Sebenarnya puak yang sekepala dengan Yus telah lama menunggu peluang untuk menghapuskan puak-puak Yus dalam syarikat tersebut. Lebih kurang macam cerita puak Erdogan dalam parti PAS juga lah!! Hanya setelah keadaan tidak terkawal lagi, barulah Mira dan kawan-kawannya menyedari apa yang berlaku di syarikat tempat Yus bekerja. Rupanya Mira tersepit di antara dua puak tersebut dan dipergunakan untuk kepentingan orang yang tertentu dan dipendekkan cerita Yus dan puak-nya tersingkir dari syarikat tersebut. War of the Roses sudah jadi Bharatayuda. Pelik betul hidup ini, perang pun boleh tukar-tukar format!! Dan apa yang tidak diketahui oleh Mira lagi ialah orang-orang tertentu di IPT tempat dia mengajar juga 'direkrut' untuk memberi masalah kepada Mira . Dan kawan-kawan Mira yang pada mulanya bersama-sama dengannya untuk menakutkan Yus tidak mahu campur tangan lagi dan membiarkan Mira keseorangan! Double trouble.

Sementara itu, di pejabat tempat suami Mira bekerja, puak-puak Yus juga memasang strategi untuk mengenakannya. Seorang pekerja wanita di pejabat Hamirul (suami Mira) direkrut untuk menggoda dan memeningkan kepalanya dengan mempunyai banyak teman lelaki supaya Hamirul geram dan mengejar wanita tersebut dan ini akan memberi masalah kepada rumah-tangga Mira. Entah ilmu apa yang dipakai wanita tersebut tak tahulah, tapi Hamirul memang separuh gila dan tak ingat rumah-tangga. Hari Ahad pun nak pergi kerja dan isterinya masuk hospital pun dia tak pergi tengok!!! Mira akhirnya terpaksa mengadap semua masalahnya seorang diri dan menyedari kesilapannya walau pun sudah terlambat. Dia bertukar ke pejabat lain apabila kerja-kerjanya disabotaj oleh puak Yus dan akhirnya bila rumah-tangganya juga semakin teruk Mira berhenti kerja untuk memberi sepenuh tumpuan kepada keluarga. Pun begitu, setelah setahun lebih berhenti kerja, rumah-tangga Mira tidak juga dapat dipertahankan apalagi dalam keadaan dia tidak bekerja, suaminya menghinanya dengan berbagai cara yang amat memedihkan hatinya.

Mereka bercerai akhirnya. Dan walau pun Hamirul bagaikan nak gila selepas itu dan mahu rujuk semula dengan Mira, tetapi hatinya sudah tawar kerana begitu banyak yang telah dikata dan dilakukan sewaktu mereka berkrisis. Mira meminta izin daripada anak-anaknya untuk berpisah dengan bapa mereka dan memulakan hidup baru sebagai seorang ibu tunggal. Terlajak perahu boleh diundur, jodoh pertemuan di tangan tuhan dan walau pun Mira dan Hamirul pernah berkrisis lama dulu di awal perkahwinan mereka dan hampir bercerai, tetapi mereka tidak bercerai waktu itu tetapi ianya jadi 20 tahun kemudian!! Mira menerima segalanya dengan hati yang terbuka dan tidak pernah menyesali jalan yang dipilihnya walau pun dia masih beranggapan tanpa perbuatan dan strategi puak Yus jodohnya mungkin masih panjang. Pun begitu, masalah hidup Mira dan anak-anaknya tidak habis di situ saja. Yus, bekas suami Mira dan puak-puak mereka masih mendatangkan masalah kepada Mira dan keluargnya.

Anak sulung Mira disabotaj pengajiannya di sebuah IPT sehingga terpaksa meninggalkan pengajian sebelum tamat. Perniagaan yang dibuat untuk anaknya juga disabotaj dan terpaksa tutup kedai akhirnya. Dan si anak mula diracun pemikirannya oleh ahli keluarga Mira yang amat berimpati dengan bekas suami Mira dan mahukan mereka rujuk semula. Anak sulung Mira menyalahkan ibunya ata segala yang berlaku serta tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibunya. Tapi Mira cukup sabar kerana dia percaya, Jas anak sulungnya hanya punya seorang ibu dunia dan akhirat dan dia percaya suatu hari esok, Jas akan ok kembali dengannya.

Hingga sekarang, sudah hampir 16 tahun semenjak Mira menjejakkan kaki di pejabat Yus dan bermulanya perjalanan takdir yang mengubah banyak perkara dalam kehidupan mereka dan ramai orang di negara ini. Malangnya Mira dan anak-anaknya masih dimangsai oleh Yus dan puak-puak mereka sehingga ke hari ini. 16 tahun adalah suatu waktu yang panjang dan berbagai perkara berlaku. Tapi Mira yakin dia telah melakukan perkara yang betul dan tidak menyesali apa yang berlaku. Ia pasrah dengan apa yang telah dilaluinya dan mungkin kerana itulah Allah Taala memberikan dia ketenangan dan kekuataan dalam menjalani hidupnya. Dia mungkin tidak merancang kehidupannya jadi begitu, tetapi dia menerima segala ketentuan Allah terhadapnya. Dan dia sentiasa berdoa Allah mendatangkan pertolongan kepadanya sepanjang masa dan Dia tak pernah menghampakan Mira. Walau pun banyak broken dreams yang telah dilaluinya, Mira berjaya melakukan banyak perkara yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain dalam karier ke 2 nya sekarang. Begitulah hidup ini, kita tidak mengetahui nikmat kejayaan jika tidak pernah mengenal kegagalan dan tidak tahu erti kebahgiaan jika tidak pernah melalui penderitaan. Dan Mira yakin Allah sentiasa bersamanya walau apa pun satu dunia nak kata tentang dirinya kerana hanya Dia yang mengetahui segala-galanya.