Friday, October 31, 2008

Seorang Lelaki

Seorang lelaki
mungkin punya citra dan wajah seribu
dan seperti yang sudah ku jangka
engkau adalah seorang daripada mereka
yang memutar citra kata dan rasa
untuk menutup rupa yang sebenar
demi menjaga maruah kata mu
lalu kau injak-injak rupa dan maruah ku
tanpa sedikit pun merasa malu kepada Nya
dan kita sama-sama tau
sebenarnya maruah itu bukan milik mu

seorang lelaki
walau siapa pun engkau
kenapa menunduk muka
bila menentang wajah dan mata ku?
apakah kerna kita sama-sama tau
tentang kepalsuan disekeliling mu
dan sakit dalam kalbu mu
yang mengejar keberuntungan cuma
dan kejujuran telah terlalu lama hilang dari dada mu?

atau apakah tertunduk engkau
dalam kekerdilan ku terjahi hidup mu
dan yang ku dapati
kota besi mu
adalah timbunan pasir kesyirikan cuma?

Thursday, October 30, 2008

Galeri Perdana yang makin mantap

Sejak beberapa hari yang lalu tiap-tiap malam saya menonton program Galeri Perdana selepas Berita Perdana RTM. Ada segmen tentang Jelajah Riau dan Salamah Basiron yang amat menarik hati dan cukup baik r & d nya. Jelajah Riau mempamerkan tempat-tempat bersejarah di sekitar Kampar dan Pekan Tua di Sumatera tempat Sultan Mahmud Shah dimakamkan selepas mengundurkan diri dari Melaka yang jatuh ke tangan Feringghi pada tahun 1511. Satu pengkisahan sejarah secara visual yang cukup penting dan unik dan tak pernah dilakukan sebelum ini oleh mana-mana pihak berwajib Malaysia seingat saya. Dokumentari sebegini sepatutnya dibuat oleh Muzium atau KPKKW tetapi nampaknya RTM yang cukup perihatin dan sedar tentang kepentingannya. Banyak perkara yang dipamerkan dalam dokumentari pendek ini tetapi visual tentang makam Sultan Mahmud cukup detail dengan pengkisahan sejarah bagaimana baginda berkerajaan di Kampar dan dimakamkan di situ.

Pun begitu saya merasa sedikit sedih menontonnya kerana makam Sultan Mahmud Sultan terakhir Melaka dijaga dan dikelola oleh penduduk tempatan Pekan Tua sahaja. Apakah tidak boleh dirundingkan dengan pihak berwajib Sumatera supaya makam ini dijaga bersama oleh pihak Malaysia dan juga Indonesia? Bukan itu saja, usaha-usaha yang lebih lanjut perlu dibuat untuk mempopulerkan Pekan Tua sebagai tempat bersejarah yang penting kerana ia membicarakan tentang sejarah kesultanan kita . Ini adalah Sultan Melaka terakhir dan merupakan ayahanda kepada keturunan DYMM Sultan Perak sekarang. Dokumentari pendek yang 'humble' oleh RTM ini perlu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dalam status warisan dan sejarah kita.

Segmen mengenai penulis lirik dan pencipta lagu tahun 60han Salamah Basiron juga tidak kurang menariknya. Tahniah sekali lagi kepada RTM kerana segmen sebegini memperkaya pengetahuan kita tentang khazanah industri hiburan kita. Selalunya hanya stesen Klasik Nasional yang memuatkan program begini yang cukup baik dan menfaatkan penyelidikan yang terperinci dan memberi sentuhan intelektual kepada program hiburan. Dan ini suatu keistimewaan yang tidak terdapat pada stesen lain yang ada di antaranya memuatkan hiburan semata-mata dan juga 'jeritan serta kicauan murai' dj nya sahaja!

Tribute to Prof.Tone Brulin

30 years is a long time to meet your lecturer again. Yet, thats what happened in the past 2 weeks. Yes the great Prof.Tone Brulin who iniated Angkasaran (Angkatan Sasaran) of Universiti Sains Malaysia more than 30 yrs ago is in KL. To all early batches of students of School of Drama and Performing Arts USM Tone Brulin is 'the lecturer/the proffessor'. The best, most coveted, most dedicated, etc.etc. But it was sad to know that he was in hospital during the staging of "Roh Anai-Anai in Panggung Lambang Sari 2 weeks ago. 'Pudi' aka Mdm.Fauziah Abd.Rahman his wife was thrilled to see me after the first show and told me how Tone was hospitalised. He fell from a very low bed in their house in Ulu Langat and fractured his hip days after the Hari Raya.

Almost everyday I visited him in Ampang Puteri after that. Yes, interviewing them at the same time. Tone was clearly depressed but happy when I visited him as except for Pudi who was with him in hospital no one else went to see him. EverydayI sent sms to old friends and people who knew him and few went to visit him plus a big group of UITM students involved in production of Roh Anai-Anai. Tq to all. Today I dropped in at noon to see them off who should be in KLIA by now as their flight to Brussels will be leaving at 11.00 tonight.

Who is Prof.Tone Brulin? To serious theatre people who reads TDR (Theatre and Drama Review Journal) etc. Tone Brulin is an exceptionally brilliant creative drama lecturer from Belgium. At the age of 26 he was awarded The Order of Leopold II of Belgium for his participation and works in drama and theatre. And the past 30 years, they went to perform all over the world touring with their group called Theatre of the 3rd World. I could write for pages of his works but most important thing to say was UNESCO produced a book on him recently called An Emotional Theatre Life in Flemish. Tone, you really deserved the tribute. Especially after numerous drama and theatre performances all over Europe, South America, Africa, Asia and USA and introducing third world countries folklores and tales and stories (including from Malaysia), you are the master story-teller. Well, I'll write more about you in my reviews and interviews both in Bahasa Malaysia and English as you asked me and will send it to theatre journals overseas as well. You are my 'guru' - the one who taught me to be dedicated, to be the best, to give your best and never to compromise with anything but the best!! Maybe I didnt do much in theatre works like you and Pudi, but I write reviews and very happy to know at seminars and talks etc theatre and films students talked about what I said without even knowing me. Just perfect. Thats the way I like it!!

Bon Voyage to Tone and Pudi and safe journey. May God bless you all and hope to see you again sometimes next year.

Tuesday, October 14, 2008

Program di RTM

Saya amat gembira dengan terlancarnya program berita di RTM iaitu Berita Serumpun setiap minggu dengan kerjasama Radio Teleyisen Republik Indonesia. Bermula dengan program kerjasma antara Malaysia dan Indonesia sejak sekian lama, program berita ini merupakan contoh kerjasama terbaru untuk memperkukuh hubungan bi-lateral dengan jiran terdekat yang mempunyai lebih banyak persamaan dari perbezaan. Cuma rancangan setengah jam setiap minggu ini agak pendek dan mungkin perlu dikerapkan atau diperpanjang waktu siarannya. Tahniah kepada RTM yang cukup sensitif kepada keperluan semasa dan serantau.

Cuma saya agak terkilan kerana hingga kini program Deklamasi Angkasapuri yang amat saya senangi dan ikuti sejak dimulakan tidak ada dengar beritanya dan ramai penulis kawan-kawan saya juga turut merasakan begitu. Itu suatu program yang amat baik dan dapat memupuk kreativiti dan memartabat kesenian tinggi (high art) yang tidak sedikit pentingnya kepada pemupukan nilai-nilai pemikiran yang baik dan tidak bersifat budaya populer semata-mata. Puisi walau pun adakalanya bersifat sangat peribadi, tetapi proses penulisannya mencerna bukan saja pengalaman emosi tetapi juga sikap kejujuran, ketulusan dan daya intelek yang tinggi dan dalam maknanya.

Dan dalam program Deklamasi Angkasapuri juga sering dimuatkan persembahan lagu-lagu puisi yang sangat menghiburkan, dengan kelunakan suara dan ciptaan muzik yang menyentuh kalbu dan cukup provokatif sifatnya kadang-kadang dan menjangkau bukan saja tahap emosi manusia tetapi juga daya intelektual dan spiritual yang tinggi. Walau pun ASWARA dan berbagai persatuan penulis tempatan masih mengadakan program pengucapan puisinya, Deklamasi Angkasapuri berada pada kelasnya yang tersendiri. Mungkin kami semua rindu kepada program ini dan mungkin RTM perlu mengadakannya semula kerana terlalu banyak program hiburan populer yang disajikan kebelakangan ini. Dan adakah kesenian itu hanya untuk hiburan dan cari makan?

Mata Pelajaran Sejarah di sekolah

Semalam sewaktu perasmian Wisma Sejarah, PM telah mencadangkan mata-pelajaran Sejarah perlu diajar kembali di sekolah rendah. Saya amat menyokong cadangan ini, malah ingin menambah ia patut diajar juga di sekolah menengah dan di peringkat lebih tinggi untuk semua aliran pengajian. Dalam sistem pendidikan di banyak negara maju, sejarah diajar hingga ke universiti walau pun untuk pengajian sains dan nuklear fizik. Tujuannya hanya satu, supaya warga negaranya tahu asal usul mereka dan tidak ada orang yang buta sejarah dan mengeluarkan apa juga pendapat yang tidak wajar kerana mereka kurang memahaminya. Dan ini sering berlaku di Malaysia.

Bagaimana mata pelajaran ini diajar perlu difikirkan bersama kerana ia tidak semestinya dibuat secara konvensional seperti yang telah dilakukan sebelum ini. Begitu juga kandungan kurikulum -nya. Semua pakar dan sarjana sejarah perlu diajak berbincang tentang perkara ini sebelum keputusan diambil mengenainya. Ramai orang sekarang berada pada tahap yang agak mengelirukan bila bercakap tentang identiti dan jati diri, semangat kebangsaan dan patriotisme dll kerana masa telah mengubah banyak perkara dalam kehidupan kita. Tetapi fakta sejarah tetap fakta walau pun kemungkinan ianya mengalami interpetasi semula dengan persepsi yang sudah berubah dan penemuan fakta-fakta baru. Tapi apa pun yang berlaku, fakta tetap fakta dan tidak ada apa yang dapat mengubahnya!

Contohnya seperti mengatakan MCP atau Parti Komunis Malaya dan Chin Peng adalah pejuang kebangsaan yang turut berjuang untuk membebaskan negara ini dari penjajahan Inggeris tanpa mengambil kira bahawa MCP mendapat sokongan dan bergerak di bawah arahan Comintern atau Komunis Internasional yang berpusat di Moscow ketika itu dengan ramai pemimpin-pemimpinnya yang dilatih di China. Tujuan MCP menentang British adalah untuk menjadikan Tanah Melayu sebuah negara komunis, bukan membebaskannya dari penjajahan British untuk mengembalikan kedaulatan negara ini kepada penduduk asalnya iaitu orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Kebelakangan ini, kerana semakin ramai golongan teknokrat yang berada dalam politik dan mereka sangat tidak arif tentang sejarah negara ini malah konsep asas tentang siapa penduduk asal negara ini juga tidak difahami dengan jelas, berbagai kenyataan dikeluarkan yang lebih merupakan cakap-cakap kurang bijak dan politiking. Dan ini amat merbahaya kepada negara seperti Malaysia yang berbilang kaum, berbilang budaya dan agama.

Melayu dan Nusantara

Tadi masa di majlis Perasmian Wisma Sejarah Persatuan Sejarah Malaysia, ramai orang bercakap tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang ahli politik yang saya rasa kurang arif tentang Dunia Melayu. Katanya orang Melayu di Malaysia ni pun pendatang asing dan bukannya penduduk asal negara ini. Dan mereka datang dari Nusantara.

Saya ucapkan terima kasih kepada YB tersebut kerana pendapat beliau itu ada benarnya. Tapi ternyata beliau sangat tidak faham dan tidak arif tentang apa itu Nusantara. Jadi saya amat terpanggil nak tulis tentang perkara ini. Pertamanya Nusantara itu apa dan di mana? Mungkin beliau tidak tahu bahawa Nusantara itu adalah satu konsep geo-politik-kultural Dunia Melayu yang merangkumi Kepulauan Indonesia, Tanah Melayu, Borneo, Filipina dan juga Selatan Thailand. Nusantara juga dikenali sebagai Kepulauan Melayu. Nusantara dihuni oleh orang Melayu yang terdiri dari berbagai suku kaum dan etnik dengan bahasa dan kebudayaan yang serupa dan berbeza pada masa yang sama. Tapi samada mereka itu dipanggil Bajau, atau Mandailing, Batak, Aceh, Melayu, Dayak , Iban dan apa juga namanya itu semua adalah tergolong sebagai orang Melayu.

Perpindahan serta migrasi antara semua suku kaum ini diseluruh Nusantara berlaku sepanjang masa dari dahulu hingga sekarang. Parameswara yang membangunkan Melaka dalam tahun 1400 datang dari Majapahit. Sebelum Melaka menjadi besar, sudah ada banyak kampung nelayan di seluruh Tanah Melayu seawal abad ke 2 dan 3 di Lembah Bujang dan kawasan Merbuk. Ini adalah tamaddun awal Melayu-Hindu-Buddha-Islam. Nusantara adalah suatu kawasan besar tempat tinggal masyarakat Melayu dan migrasi dari Majapahit ke Melaka tidak ubah seperti Sun Yat Sen membawa sebahagian besar orang China untuk menetap di Formosa (Taiwan sekarang ini) dan meninggalkan Tanah Besar China. Mereka masih orang China dan tidak berubah menjadi bangsa lain walaupun mereka sudah terpisah dari negara asal mereka.

Itulah yang terjadi kepada orang Melayu di seluruh Kepulauan Melayu. Dan migrasi begini tidak pernah berhenti berlaku hingga sekarang. Dan ia juga tidak jauh bezanya daripada perpindahan suatu keluarga keturunan Jawa di Tg.Karang ke Mata Air Perlis dengan kemasukan buruh asing dari Jawa Barat ke Labis di Johor pada dasarnya. Hanya selepas entiti politik negara di Kepulauan Melayu dipisahkan oleh penjajahan dan diikuti oleh kemerdekaan, baru kita ada Republik Indonesia, Malaysia, Filipina dan Selatan Thai. Sebelum itu, tak ada semua nama tu dan seluruh Kepulauan Melayu dihuni oleh orang Melayu. Jadi, mengatakan orang Melayu di Malaysia adalah juga kaum pendatang dari Nusantara adalah tidak betul. Kerana seluruh Kepulauan Melayu dihuni oleh orang Melayu dan tidak ada cerita mereka tu pendatang asing. Macam mana nak dikatakan pendatang asing kalau migrasi berlaku dalam wilayah geo-politik-kultural kaum atau etnik yang sama? Saya harap YB tu benar-benar faham dengan apa yang dia katakan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang sensasi dan kurang difahaminya sendiri.

Monday, October 13, 2008

Mengenai Lukman

Baru-baru ini anak saya meminta saya menulis tentang dirinya (kerana dia menulis tentang saya dalam blognya). Tulisan yang jujur, analitikal dan tidak pretensious. Dekat 2 minggu pening juga nak cakap tentang dia. Agaknya begitulah kita ni, yang paling sukar dilakukan ialah menulis dengan penuh objektiviti tentang orang yang paling dekat dengan kita.

Saya masih ingat sewaktu melahirkannya di King Edward Hospital, Sydney. Seorang bayi yang besar hampir 9 lb, tapi saya tidak mengalami kesukaran sewaktu melahirkannya. Alhamdullilah.
Labour pain saya lebih kurang 45 minit saja dan doktor saya, Dr.Lyneham berlari tidak memakai kasut di koridor wad bersalin itu sewaktu dia diberitahu bayi saya hampir dilahirkan. Mula-mula saya namakan dia Lukman Hakim mengambil sempena surah yang sering saya baca sewaktu mengandung, tetapi bapa Lukman mengubahnya kepada Lukman Jasril kerana abangnya bernama Johan Jasril dan beliau suka kalau anak-anaknya mempunyai nama tengah yang boleh memberi identiti kepada mereka. Pun begitu, Lukman menangis seharian bila namanya ditukarkan sehingga doktor dan jururawat jadi bingung kerana dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Akhirnya, saya pangku dia dan bisikkan ke telinganya yang saya akan terus memanggilnya dengan nama asalnya bila perlu. Jadi bagi saya, dia tetap Lukmanul Hakim walau apa pun nama yang disukai oleh orang lain atau dia sendiri.

Sejak dari bayi, dia jarang memberi masalah kepada saya. Seorang anak yang menyenangkan, soleh juga, berdisiplin, sabar, tabah, bertanggungjawab, saya punya 'rock of gibraltar', kuat merajuk, sensitif, terlalu sabar dan sering dibuli dan diambil kesempatan oleh orang lain, tapi paling penting mempunyai integriti dan sering memberi lebih dari menerima dari orang lain. Ada kalanya saya naik angin juga bila melihat dia dibuli begitu di ofis, dengan kawan-kawan, dengan teman wanita dll. Tapi jawapan yang saya dapat darinya sangat menyentuh perasaan saya. 'You
brought me up like this, to be good and nice. And you had done your job well. Nobody complained about me where ever I am!' Begitulah lebih kurang katanya. Kata Dt.Kalimullah dalam artikelnya kepada Pak Lah baru-baru ini, 'its not worth being nice'.

Dan kadang-kadang saya pun rasa macam tu juga. Tapi seperti Lukman, saya juga dididik untuk menjadi baik, sabar, tabah dan lebih banyak memberi dari menerima. Jadi bukan salah Lukman dia jadi begitu, tapi salah manusia di sekelilingnya yang tak kisah langsung tentang orang lain bila nak ambil kesempatan. Itu normal dan begitulah kehidupan? Memang betul, tapi bukankah kita disuruh sentiasa muhasabah dan sentiasa meningkatkan diri menjadi lebih baik dari semalam? Dan esok kita perlu menjadi lebih baik dari hari ini? Siapa yang tak nak keuntungan? Tapi siapa yang suka diperalat dan dipergunakan tanpa diberi ganjaran yang sebaiknya? Siapa yang suka diambil kesempatan atas kebaikan diri mereka? Orang yang ambil kesempatan itulah yang tak betul! Orang itulah yang kureng kata budak-budak sekarang!

Agama apa pun mengajarkan pengikutnya berbaik-baik dan tidak menyakiti orang lain walau dengan apa cara pun. Dan kalau kita dah terbuat begitu kepada orang lain, kita perlu minta maaf dan membaiki kesilapan itu dengan cara yang sewajarnya!! Dan seperti kata Lukman kepada saya, Mummy, jangan susah kerana life is not fair sometimes, but God is. Memang betul, kerana ramai orang yang saya lihat buat macam-macam kepada orang lain,akhirnya Allah datangkan perkara yang tak baik kepada mereka pulak. Mungkin mereka kaya dan ada kedudukan tinggi dll tapi jiwa mereka tak tenang, tak pernah cukup dengan apa yang ada,jadi gila kuasa dll. Ini semua kerana kufur nikmat. Hanya keimanan dan pegangan agama yang kuat akan menjadikan kehidupan kita lebih baik. Lebih baik dalam semua aspek. Fizikal, emosi, spiritual, kewangaan dll. Dan Islam mengajarkan ini semua.

Lukman juga sangat komited dengan kerjayanya dan saya sangat bangga dengan kejayaan dan pencapaiannya. Sejak berumur 12 tahun dia bermain bowling dan mendapat latihan dari Selangor Ten Pin Bowling assoc (STBA). Dan kini dia menjadi Setia-Usaha STBA (merupakan pegawai yang termuda di seluruh Persatuan Bowling di Malaysia dan pernah dihalau keluar mesyuarat kerana disangkakan bukan official) setelah tamat pengajian dalam Sains Sukan di Universiti Malaya. Saya masih ingat kepada Dr.Ashril ketua Jabatan Sains Sukan UM ketika itu yang hampir bergaduh dan nak saman Kementerian Pelajaran kerana 3 kali nama Lukman digugurkan dari senarai mereka untuk memasuki UM! Entah di mana silapnya (mungkin gara-gara X files) perkara ini berlaku. Lukman masuk ke UM melalui 'green lane' yang dikhaskan kepada atlet berpotensi yang layak ke Universiti dan berlaku 'perebutan senyap' ke atasnya antara beberapa IPT di Lembah Kelang. Walau apa pun , terima kasih kepada Dr.Ashril yang 'hand-picked' Lukman. Dan sekarang STBA pulak buat macam tu kepada anak manja saya ni? Watch out, He is an attractive, hard-working, conscientious Secretary! And there are many offering him jobs elsewhere.

Bercakap tentang perawakan yang menarik ini, satu hal juga. Saya akan katakan dia tall (6 kaki), dark and handsome!! Wu wu wu! Walau pun dia selalu rasa abangnya lebih handsome dari dia, tapi Lukman handsome dengan caranya yang tersendiri. Entah macam mana wajah Lukman lebih 'Ke Indiaan' dari abangnya. Datuk nenek saya berasal dan campuran dari India, Pakistan, Turki, Patani dan Aceh dll. Dan bapa Lukman dari Kedah dengan pertalian yang kuat dengan daerah-daerah Selatan Thai, tapi wajah Lukman lebih India dari semua sepupunya. Dan entah macam mana pulak boleh jadi 6 footer macam tu? Allah Taala mempunyai jawapannya tapi yang pastinya dia tak suka makan nasi dan suka masak sendiri makanannya.

Saya masih ingat sewaktu Lukman kemalangan masa kecil di Sydney dan sewaktu beliau jatuh dari tangga dalam rumah di Kajang. Saya di UK masa itu, dan beberapa hari Lukman berada dalam koma di Hospital Pantai. Tapi satu keajaipan berlaku. Bila saya mendapat berita itu di London, saya terus menalipon wad dia ditempatkan. Waktu ketika itu lebih kurang pukul 3 pagi di Malaysia dan semua orang yang menjaganya di wad tersebut sedang tidur, tapi Lukman yang mengangkat talipon dan menjawap panggilan saya!! Agaknya doa dan kasih sayang saya yang membangunkan dia dari komanya. Alhamdullilah, Allah memanjangkan umur anak saya yang sangat wonderful ini! Sememangnya ia suatu miracle.

Saya juga masih ingat sewaktu membuat Umrah dalam tahun 1998. Rezeki kami amat baik kerana sempat melihat pintu Kaabah di buka dan dibersihkan oleh keluarga Di-Raja Arab Saudi.
Ramai orang berebut untuk duduk berdoa bersetentang pintu Kaabah itu dan kami dua beranak amat bernasib baik. Lukman lebih kurang 15 tahun ketika itu. Seorang 'pakcik' dari Indonesia yang agak rendah sedang cuba mencelah di belakangnya untuk ke depan. Lukman kesian kepada lelaki itu dan mendokongnya supaya dia dapat berdoa di depan pintu Kaabah yang terbuka. Yes, he did that! Well, thats what you are Lukman. So unselfish and so nice and wonderful. Where would I find a son like you? Tq.

Saturday, October 11, 2008

Perkasihan Ini

Percintaan atau perkasihan apakah namanya ini?
kerna kita tak pernah berkesempatan bertemu
dan terlalu singkat masa yang terhampar
untuk kau renung tasik mata ku
untuk ku rasakan denyut kasih mu
walau di alam lain
dapat ku rasa kasih mu yang melimpah
dan pasti kau ketahui
segala yang ku lalukan adalah untuk mu
ah! kesetiaan ini adakalanya membuatkan aku kacau
dan pasti sukar dimengertikan oleh orang banyak
melainkan mereka yang melaluinya

lelaki ku
ketahuilah engkau
aku pernah melalui semua itu
cuma aku lebih berani melangkah keluar
dari lingkaran kasih yang kejam itu
dan ianya dapat ku lakukan dengan langkah paling berani
berbekal ketaqwaan dan kepasrahan
dan Dia mengizinkannya
kerna aku keluar dari kota kesyirikan
sedang aku cukup tahu
itulah juga yang kau dambakan selama ini

Peperangan Roh

Keraguankah yang masih bersarang di dada mu?
sedang engaku cukup tahu segalanya
atau benang ghaib itukah yang masih membelenggu?
kerna sejak awal sudah ku teka
ada lingkaran di sekeliling mu
yang menutup segala pintu dan jendela rasa
kepada sesiapa juga yang menghampiri
dan entah bagaimana
kolam rasa mu berkocak
sewaktu memandang ku
di saat itu sudah ku tahu
ianya tidaklah semudah itu

pertarungan apakah namanya ini?
kalau bukan pertempuran antara roh
di suatu alam lain
dan berpaksikan firasat dan zikrullah
ku terobosi minda dan lautan hati
ku masuki kota rasa mu
dan yang ku temuai
adalah seorang anak kecil
yang kesedihan keperitan menanggung siksa
terpasung rasa dan deria
oleh kasih yang nanar
dan obsesif cinta lahiriah
yang kemabukan rasa
dan lupa
tentang ketentuan qadak dan qadar Nya

jangan kau fikir aku akan undur
kerna ketahuilah
roh-roh yang sedang berperang itu
datang dari dua ufuk yang berbeza
antara kesyirikan dan penyengutuan kepada Nya
dan ketulusan yang berbaki marhum seorang wali
dan pasti sudah kau jangka
aku akan memenanginya
kerna langkah ku bernama taqwa
dan genggam ku kepasrahan dan ketentuan Nya
dan sekarang aku cukup mengerti
kenapa kita bertemu semula

Lembaran kehidupan

Perjalanan ini paling menakjubkan
kerna ia menyelak lembar demi lembar
sejarah dan maknawi kehidupan
serta banyaknya kata
yang tak terucap antara kita
walau antara aku dan kau
cukup mengerti setiap kerdipan mata
dan gugup gentar suara yang menyapa

usah engkau gusar
aku tak kan berganjak dari gelanggang ini
kerna padang permainan ini
sudah ku tahu empunyanya
dan permainan musuh sudah ku jejak tapaknya
ah! bukankah pandai keris Melayu itu
menghapus musuh
dengan menikam tapak kakinya sahaja?
mari kita hapuskan petualang itu
dengan memerangi rohnya
kerna seperti Achilles
di situlah titik kelemahan
yang bakal membunuhnya!

Monday, October 6, 2008

Muzium Sastera Melaka

Dalam Utusan Malaysia hari ini diberitakan Perbadanan Muzium Negeri Melaka sedang dalam proses membaik pulih sebuah bangunan kolonial untuk dijadikan Muzium Sastera yang pertama di negara ini. Suatu usaha yang amat baik, benar-benar berwawasan dan cukup intelektual dan harus dipuji. Bukan kerana saya intim dengan penulis, tetapi sastera dan penulisan adalah satu-satunya tinggalan sejarah dan wadah penggerak intelek, pemikiran, falsafah dan world view apa bangsa pun di dunia ini. Lama selepas Coliseum dan apa juga artifak sejarah dan ketamadunan sesuatu bangsa itu runtuh atau lenyap langsung, peninggalan sastera dan penulisanlah yang bakal menjadi artifak penting sesuatu tamaddun. Tahniah kepada KM Melaka dan para intelek yang mendokong usaha-usaha begini.

Pun begitu, sayang kerana artifak yang bakal dipamerkan hanya tinggalan sejarah penulisan sastera dari penulis Melaka sahaja. Kenapa tidak diluaskan untuk mencakupi penulisan semua hasil sastera dari seluruh negara? Mungkin memulakannya dengan penulis Melaka adalah suatu usaha 'bertatih' tetapi elok juga difikirkan supaya ianya diperkembang dan diluaskan menjadi Muzium Sastera Malaysia. Malah kemudian hari kelak, Melaka yang gigih dengan Dunia Melayu Dunia Islamnya boleh dimanfaatkan untuk menjadi dan mendirikan suatu hab muzium sastera serantau yang cukup baik, sesuai dan penting sesuai dengan kedudukannya sebagai Bandar Bersejarah yang diiktiraf UNESCO. Mungkin sahabat saya Dt. Dr. Latiff, Prof. Ramlah Adam dll perlu think big!

Pengambilalihan suatu bangunan kolonial untuk dijadikan muzium sastera juga adalah suatu usaha yang sangat kena pada tempatnya (cun habis kata budak-budak sekarang!). Jangan di runtuhkan bangunan-bangunan lama kolonial atau bukan kolonial, tapi baik pulih dan gunakan untuk jadi muzium. Berbagai jenis muzium boleh dibuat dan dieksploitasi kalau kita mahu. Entah kenapa selama ini bila bercakap tentang muzium orang-orang kita hanya memikirkan muzium natural history. Suatu tragedi intelek yang menakutkan!

Orang-orang di KPKKW perlu membuat anjakan paradigma untuk memikirkan perkara yang selama ini telah banyak 'di terlepas pandang' dalam usaha memartabat warisan, kesenian dan kebudayaan negara ini. Setiap tahun rombongan kesenian kita mengadakan titian muhibbah dengan negara serumpun, malah festival seni dan filem di luar negeri sejak dari dulu. Dan kita tak tahu setakat mana kejayaan yang telah dicapai dalam bab ini sebab dalam sidang akhbar selepas pulang dari luar negeri kata-kata klise yang sering terpampang di akhbar ialah 'Festival ini telah berjaya'! Bagaimana kita mengukur kejayaan itu kalau filem dan keseniaan kita kebanyakannya hanya ditonton oleh penuntut dan orang Malaysia di London? Apakah ada penyelidikan yang dibuat dan data-data pertambahan kedatangan pelancong dari Britain menunjukkan jumlah pelancong berlipat-kali ganda datang ke negara ini dari Britain? Dan adakah permintaan untuk filem-filem kita ditayangkan di London selain dari yang dibawa masa festival? Ukuran kejayaan itu perlu di sokong oleh kesan yang dibawa selepas setiap festival, bukan dengan kenyataan oral semata-mata!

Friday, October 3, 2008

Seorang Ibu Tiri

Hari itu aku ke kedai
dengan seorang wanita yang bernama ibu tiri
seperti ibu kandung ku yang telah lama tiada
dia suka membeli barang-barang dapur di kedai Rajan
dan ke situlah kereta tua bapa ku pandu
seperti aku memandu ibu
yang terakhirnya lima tahun yang lalu

kemudian di butik Avon kegemaran ibu
yang juga kini jadi kegemaran ibu tiri ku
aku ketawa melihat dia
meletak mengangkat dan meletak kembali keronsang
yang akhirnya tidak jadi dibeli
ah! itu juga manis
persis ibu yang pernah ku lihat suatu ketika dulu

semakin hari aku melihat ibu tiri ku
makin mirip perangainya dengan ibu kandung ku
dan sewaktu di pusara
air mata ku tak tertahan merembes
bila dia turut sama membaca Yassin
walau suatu waktu dulu
aku benci dengan perangainya
merebut makanan dari mulut bapa di hadapan kami semua

Ummi, terima kasih
kerana dalam usia 70
engkau belajar menjadi seorang ibu
dan bukan saja mau menjadi isteri bapa ku
kalau nanti aku menjadi seorang ibu tiri
kepada orang-orang seperti diri ku
pasti aku akan ingat
bahawa sememangnya benar kata mereka
tak kenal maka tak cinta
tapi jika kasih sayang
keikhlasan dan kejujuran penuh di kolam rasa
bertahun dalam kesukaran menimbang rasa
pasti Dia mendatangkan jawapan kepada kita semua
dan pasti kalian dapat menilai tentang segalanya